Wednesday 24 January 2018

Usaha naik-taraf sistem pengairan jelapang padi Pahang Tua/Langgar

… seterusnya, dapat tingkatkan hasil pengeluaran padi daripada purata 2.5 tan sehektar setahun kepada kira-kira sembilan (9) tan sehektar setahun.

MAJLIS PENYERAHAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Sh Mohmed Puzi (kiri sekali). 


PADANG AWAM, KAMPUNG PAHANG TUA, PEKAN – Kerajaan menerusi agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, sedang berusaha menaikkan taraf sistem pengairan kawasan jelapang padi Kampung Pahang Tua/Kampung Langgar, di sini.

Berkeluasan 1,275 hektar yang melibatkan 548 pesawah, Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM32 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 – 2020) ke arah menjadikannya sebagai Jelapang Padi Negara bagi daerah Pekan.

Menurut maklumat yang diperolehi, kawasan jelapang padi Kampung Pahang Tua/Kampung Langgar ini ialah yang tertua di negeri ini, bermula tahun 1926 dengan keluasan cuma 566 hektar.

Matlamatnya kini ialah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada cuma 2.5 tan sehektar setahun kepada kira-kira 9 tan sehektar setahun, sekaligus dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan pesawah terlibat.

Antara kerja-kerja yang sedang dilaksanakan ke arah menaik-taraf sistem pengairan ini ialah pembinaan taliair sekunder dan taliair tertier serta struktur kawalan system pengairan dan salirannya.

DALAM PENYAMPAIAN UCAPAN BERSAHAJA 36-MINITNYA... 


‘TECHNICAL KNOW-HOW’ ORANG JANDA BAIK

Selain itu, menurut maklumat yang sama, kerja-kerja perataan sawah secara besar-besaran juga akan dilakukan bagi memastikan operasi pembekalan air ke sawah yang lebih cekap.

“Hari ini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Pesawah Jelapang Padi IADA Pekan tengah hari Rabu, 24 Januari di sini;

“…  yang hendak saya ketengahkan ialah masalah pengairan sawah di Kampung Pahang Tua(/Langgar) ini. Pahang Tua(/Langgar) ini sebenarnya Jelapang Padi (Negara bagi daerah) Pekan,” katanya lagi.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya membangkitkan tentang ‘technical know-how’ tentang pengairan di kampung asalnya di Janda Baik, Bentong, yang mungkin boleh turut dikongsi bagi pelaksanaan di sini.

“Sebab di kampung saya dulu, kampung nombor dua di Janda baik dulu; sungai di bawah, sawah di atas, tanpa sokongan – maklumlah tahun 60-an, mana ada jurutera-jurutera…

SIDANG HADIRIN SEKELIAN... 


ORANG PAHANG TUA PENYOKONG TEGAR PERDANA MENTERI

“Orang kampung pakat sendiri, dia orang boleh naikkan (salirkan) air dari sungai di bawah itu naik ke atas, ke sawah. Dan dia orang boleh ‘control’ – bila sawah (nak) ada air, bila sawah tak (perlu) ada air. Ha ini saya nak bincang dengan pihak teknikal di sini,” katanya lagi.

Menurutnya, IADA Pekan akan dilibatkan dalam perbincangan berkenaan yang termasuk kemungkinan menjemput empat atau lima orang wakil dari Kampung Janda Baik, untuk memberikan penjelasan tentang teknik sistem pengairan mereka di sana.

Beliau seterusnya berkata betapa, “Masalah penduduk di sini tak ada sangat. Mereka adalah yang ikhlas, yang menyokong tegar Perdana Menteri (Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan) dan Barisan (Nasional).

“Ada perkara sikit-sikit ini (tentang sistem pengairan jelapang padi Pahang Tua/Langgar), kita perlu beri layanan sewajarlah…,” katanya lagi.

Selain wakil rakyat setempat – Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN – Peramu Jaya); yang turut hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Luar Bandar dan Pertanian Negeri, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; serta, wakil rakyat-wakil rakyat di bawah Parlimen Pekan – Dato’ Sri Abu Bakar Harun (BN – Chini), Dato’ Khairuddin Mahmud (BN – Pulau Manis) dan Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (BN – Bebar). 

ANTARA MAKLUMAT YANG DISEDIAKAN... – Khabar