Monday, 25 June 2018

Kerajaan Negeri ‘korban’kan antara RM35,529 juta dan RM44,411 juta, demi peneroka Felda


Pengorbanan dalam bentuk pemberian tanah yang nilai semasa antara RM80,000 dan RM100,000 seekar kepada kira-kira 38,178 peneroka, melibatkan kawasan seluas 179,726 hektar setakat ini.

SURATAN HAKMILIK TANAH KEPADA PENERIMA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menyampaikan dokumen yang dimaksudkan kepada peneroka. Selain Dato' Nazri (dua dari kiri), yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Shahiruddin (tiga dari kanan). 


PERKARANGAN MASJID, RANCANGAN TANAH FELDA TERSANG 2, RAUB – Antara RM35,529 juta dan RM44,411 juta atau, RM35.529 billion dan RM44.411 billion! Inilah anggaran nilai tanah yang telah Kerajaan Negeri ‘korban’kan setelah memberikan tanah atau suratan hakmiliknya kepada 38,178 peneroka Felda, melibatkan keluasan kira-kira 179,726 hektar di seluruh Pahang setakat ini.

Anggaran ini berdasarkan harga semasa tanah pertanian yang berada antara RM80,000 dan RM100,000 seekar X 179,726 hektar @ 444,113 ekar = antara RM35,529 juta dan RM44,411 juta.

Yang membanggakan ialah di Pahang, 38,178 peneroka yang telah menerima suratan hakmilik tanah masing-masing membentuk 88.53 peratus daripada keseluruhan 43,124 peneroka di negeri ini.

Di peringkat nasional, peratusannya cuma 82.5 peratus atau kira-kira 93,000 peneroka telah menerima suratan hakmilik tanah mereka, daripada 112,631 peneroka yang terdapat di Rancangan Tanah Felda-Rancangan Tanah Felda di seluruh negara.

Angka-angka ini didedahkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan 16-minitnya pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah bagi 501 peneroka Rancangan Tanah Felda Tersang 2 dan 3, pagi Isnin, 25 Jun di sini.

LAGI SURATAN HAKMILIK TANAH KEPADA PENEROKA... Yang turut kelihatan dalam foto ini pula ialah Dato' Abdul Aziz (kiri sekali). 


DEMI PENEROKA

“Nilai ini (anggaran antara RM35,529 juta dan RM44,411 juta) tentunya besar yang daripadanya sahajapun, boleh Kerajaan Negeri manfaatkan bagi usaha-usaha membangunkan negeri.

“Namun, inilah pengorbanan Kerajaan Negeri demi memastikan rakyat-jelata dalam kalangan peneroka termasuk dari luar Pahang, dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam ucapan luar teksnya itu.

Dan beliau mengulang-sebutkannya pada persidangan media kemudian.

“Nilai semasa yang dimaklumkan kepada saya ialah RM80,000 ke RM100,000 seekar. Bermakna, saya nak bagi tahu di sini, ‘kos melepas’ Kerajaan Negeri kalau kita ‘calculate’kan, nilainya (antara) RM35,529 juta (dan RM44,411 juta).

“Maknanya, kalau Kerajaan (Negeri) bangunkan sendiri, bagi kepada agensi sebagainya, Kerajaan (Negeri) boleh dapat hasil daripada situ. Tetapi oleh sebab tanggungjawab Kerajaan kepada rakyat (maka dikorbankan jangkaan hasil tersebut),” katanya.

SAMBUTAN MESRA BUAT PEMIMPIN UTAMA NEGERI KITA... 


CUMA 11.47 PERATUS ATAU 4,948 PENEROKA BELUM TERIMA SURATAN HAKMILIK TANAH

Yang belum menerima suratan hakmilik tanah masing-masing kini katanya, ialah cuma 4,948 peneroka ataupun 11.47 peratus daripada keseluruhan 43,124 peneroka di negeri ini.

“InsyaAllah, sekiranya semua proses berjalan dengan lancar – seperti kutipan balik hutang ataupun proses pengukuran tanah dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kita juga akan buat majlis yang sama, akan serahkan suratan hakmilik tanah kepada mereka,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan para peneroka agar – setelah menerima suratan hakmilik tanah berkenaan, dapat menjaganya dengan baik dengan tidak sesekali untuk memajak atau menjualnya.

“… kerana tujuan asal Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan wujudkan Felda ini adalah untuk pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya yang berada di luar bandar,” katanya lagi.

Semasa memulakan Felda katanya lagi, bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak Hussein telah menyasarkannya sebagai antara cara untuk memberi pembelaan kepada orang Melayu seterusnya ‘ada kesinambungan’ untuk anak-cucu mereka.

MESRANYA PEMIMPIN DENGAN YANG DIPIMPINNYA... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan bersalaman dan bermesra dengan para penerima dalam kalangan peneroka pada majlis pagi Isnin ini. 


PROGRAM PEMBANGUNAN TANAH PERTAMA DUNIA

“Dan ini juga merupakan satu projek (pembangunan tanah) yang pertama di negara dan pertama di dunia pada masa itu. Jadi saya harap peneroka Felda dapat berfikir dan ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sanggup berkorban memberikan tanah ini semata-mata untuk mereka,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Nazri Ngah; Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Abdul Aziz Mat Kiram yang juga wakil rakyat setempat (BN – Batu Talam);

Bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat (BN – Dong), Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin; Pegawai Daerah Raub, Dato’ Hamdan Hussein; dan, Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Encik Zulkifli Na‘am. – Khabar