Friday, 31 August 2018

Selamat Hari Kebangsaan ke-61


“Jika kita bercakap tentang ‘government of the day’ maka kita di Pahang ini, ianya masih kekal di bawah BN atau secara khususnya, UMNO.

“Sungguhpun begitu, sukacita saya tegaskan betapa, dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan; Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama yang sebaik-baiknya demi untuk terus memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelatanya, insya-Allah,” kata Menteri Besar.

DARI ATAS PENTAS DIRAJA... KDYMM Pemangku Raja Pahang sedang membalas tabik hormat kepada kontinjen bagi pasukan keselamatan sempena perbarisan Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Negeri pada pagi Jumaat ini di dataran berdepan bangunan Mahkota Square, Jalan Mahkota, Kuantan. 

Baginda diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang serta Paduka Anakanda-Paduka Anakanda. Antara yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini selain Dato' SRi Wan Rosdy dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed, ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad; 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; serta, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Negeri, Dato' Mohd Nazri Ngah.     


NOTA EDITOR ;

Sempena Hari Kebangsaan ke-61 pada hari ini, Jumaat, 31 Ogos, disiarkan di bawah ini Perutusan Hari Kebangsaan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Perutusan ini telah diedarkan kepada ke seluruh 11 daerah di negeri ini untuk dibacakan oleh Pegawai-pegawai Daerah pada sambutan yang sama di peringkat negeri.


WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Alhamdulillah, kita sekali lagi berada pada tarikh keramat – 31 ogos, yang merupakan Hari Kebangsaan, dan pada tahun 2018 ini ialah tahun ke-61 kita merai serta menyambutnya.

Keraian dan sambutan kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, apabila pertama kali dalam sejarah lebih enam (6) dekad kemerdekaan negara, Kerajaan Persekutuan kini diterajui oleh kepimpinan parti yang bukan Barisan Nasional (bn), iaitu Pakatan Harapan (PH).

Saya percaya, setelah lebih 100 hari Kerajaan Persekutuan yang baharu ini memerintah negara, semua orang telah menerima hakikat tentang peralihan kuasa pemerintahan ini.

Oleh itulah, kita perlu sama-sama ‘move on’, demi memastkan Kerajaan Persekutuan dapat terus digerakkan dalam membangunkan negara dengan jayanya.  

Sepertimana kita menerima hakikat tentang peralihan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan, saya percaya kita, khususnya penjawat awam dan rakyat-jelata negeri ini keseluruhannya;

KEBAWAH DULI TUANKU BERSAMA-SAMA ANAK-ANAK BANGSA MALAYSIA... KDYMM Tuanku tidak keberatan untuk memperkenankan kepada permintaan bagi sesi berfoto kumpulan dengan anak-anak pelbagai bilang bangsa ini.    


PAHANG TERUS KEKAL DI BAWAH BN, UMNO

Turut menerima hakikat betapa Kerajaan Negeri Pahang ini masih terus kekal di bawah BN, sejak Pilihanraya Umum (PRU) pertama lagi, hinggalah terpilih sekali lagi untuk menerajuinya selepas PRU-14, pada 9 Mei yang lepas.

Jika kita bercakap tentang ‘government of the day’ maka kita di Pahang ini, ianya masih kekal di bawah BN atau secara khususnya, UMNO.

Sungguhpun begitu, sukacita saya tegaskan betapa, dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan; Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama yang sebaik-baiknya demi untuk terus memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelatanya, insya-Allah.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, sepertimana kita sedia maklum, tema ini bermaksud menyeru kita rakyat-jelata sekalian, agar sentiasa menyayangi negara kita Malaysia.

Tema ini adalah selaras dan bersesuaian pula dengan logo – iaitu satu simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di bahagian depan yang menyatukan mereka.

TABIK HORMAT BUAT KE BAWAH DULI TUANKU... Kontinjen dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melepasi Pentas DiRaja lalu memberikan tabik hormatnya.  


‘SAYANGI MALAYSIAKU’, ‘KITA PUNYA MALAYSIA’

Logo ini juga membawa maksud bahawa rakyat-jelata yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam harmoni, seia sekata, bersatu padu dan kasih sayang kepada negara.

Tema ini juga selaras dan bersesuaian juga dengan lagu tema yang telah dipilih bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’, yang antara lain liriknya ialah ; ‘Sayangi Malaysiaku,
tanah airku (ini kita punya), Sayangi Malaysiaku, Sayangi Malaysia, satu suara laungkan (Merdeka!).

Semoga dengan tema, logo dan lagu tema ini, kita semua dapat meningkatkan lagi semangat kesayangan dan kecintaan kita kepada negara.

Oleh itulah juga, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan yang termasuklah daripada segi kehidupan harmoni kaum yang wujud selama ini, ekoran kesepaduan kita.

Sunggupun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya, tetapi, dalam kepelbagaian itulah kita boleh dan dapat terus bersatu.

KOMUNIKASI MESRA... Tentu ada sesuatu yang menarik yang telah disembah-tuturkan oleh Dato' Sri Wan Rosdy sehingga KDYMM Tuanku kelihatan tersenyum mendengarnya. 


PERPADUAN BUKAN SOAL SUKA-SUKA BER‘RHETORIC’

Apatah lagi apabila kita bersama-sama ‘sehati sejiwa’ dalam  memberikan segala sokongan kepada dasar-dasar dan program-program yang kerajaan perkenalkan, bagi memakmurkan negara demi kesejahteraan kitalah juga.

Dalam pada kita terus bercakap tentang pentingnya memelihara kesepaduan dan perpaduan, mungkin ada yang bersikap sinis dengan mendakwa kita asyik suka ber‘rhetoric’ mengenainya.

Seolah-olah kita masih mahu mendendangkan ‘lagu lama’ sedangkan kita sudah berada pada abad yang lebih canggih dan negara kitapun sudah lebih enam (6) dekad merdeka.

Sebaliknya, kita harus terima hakikat bahawa, soal perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh diremeh-temehkan. Dan, apabila kita terus mengingatkan rakyat mengenainya, bukanlah kita suka-suka untuk melakukannya.    

Bak kata orang, ‘history repeats itself’ atau sejarah sentiasa mengulangi peristiwa silam, termasuklah sejarah lampau yang hitam, yang boleh berlaku semula jika tidak diambil langkah untuk menghindarkannya.

BERSAMA-SAMA AHLI MMKNYA... Ahli-ahli MMK Negeri - Dato' Mohd Fakhruddin Mohd Airf (dua dari kanan) dan Encik Abdul Rahim Muda (kanan sekali) tidak melepaskan peluang untuk dirakam foto mereka bersama-sama pemimpin Numero Uno Negeri dan isteri.   


JANGAN KITA ADA ‘SHORT AND SELECTIVE MEMORY’

Oleh itulah, dalam soal untuk memelihara kesepaduan dan perpaduan ini, kita tidak boleh jemu-jemu untuk memperkatakannya. Apatah pula apabila kita berdepanan dengan segelintir rakyat yang mempunyai pemikiran singkat dan berpilih-pilih (‘short and selective memory’) tentang hal-hal lampau.

Dalam pada kita terus mengejar kemajuan dan kemodenan, perkara asas tentang usaha memelihara perpaduan harus terus diingat-ingatkan agar kita tidak terjebak kembali dalam perkara-perkara yang boleh memudaratkan kita semula.

Sekianlah sahaja perutusan ringkas ini sempena hari kemerdekaan atau kebangsaan tahun 2018 ini.

Semoga apa yang telah disebutkan ini dapat difahami dalam perspektif yang betul; saya sudahi dengan kalimah ‘Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’. – Khabar