Tuesday 7 August 2018

Anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri diminta tingkatkan produktiviti dan hasil tahunan

“Dengan hasil yang ditingkatkan serta bertambah itu, adalah diharapkan kadar-kadar tertentu – mungkin antara 15 dan 30 peratus hasil keuntungan tahunan anak-anak syarikat ini, disumbangkan kepada Kerajaan Negeri,” kata Menteri Besar

DALAM UCAPANNYA... 


AMPHITHEATRE, DE RHU BEACH RESORT, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) supaya meningkatkan produktiviti dan hasil tahunan masing-masing, seterusnya menyumbang kembali pada kadar tertentu, kepada Kerajaan Negeri.

“Dengan hasil yang ditingkatkan serta bertambah itu, adalah diharapkan kadar-kadar tertentu – mungkin antara 15 dan 30 peratus hasil keuntungan tahunan anak-anak syarikat ini, disumbangkan kepada kerajaan negeri.

“Pada peringkat permulaan ini, apatah pula hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi tahun 2018 akan berakhir; anak-anak syarikat kerajaan negeri ini mungkin boleh tentukan sendiri jumlah yang mampu mereka sumbangkan.

“Tetapi, bermula tahun depan, perlulah mempunyai plan perniagaan yang jelas, dengan menetapkan sasaran masing-masing tentang jumlah atau ‘recurring returns’ sebenar, yang boleh disumbangkan itu,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian pada Makan Malam bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan S-GLC malam Selasa, 7 Ogos di sini.

KETIBAANNYA DISAMBUT PENUH MESRA... 


ENCIK KAMARUL ARIFFIN IALAH PENYELARAS S-GLC PAHANG

Pada awal ucapannya, beliau telah menyebut kembali cabaran-cabaran yang perlu Kerajaan Negeri hadapi, termasuk untuk membayar kembali hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan kira-kira RM3,200 juta.

Selain itu ialah usaha untuk memperolehi sumber kewangan secukupnya bagi menampung Bajet Negeri yang dibentang setiap tahun, yang bagi Bajet Negeri 2018 ini, memerlukan kira-kira RM700.64 juta untuk menjayakannya.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Wan Rosdy turut mengumumkan pelantikan Encik Kamarul Ariffin Ahmad sebagai Pegawai Khasnya, yang turut bertindak sebagai Penyelaras kepada kesemua 45 S-GLC yang sedia ada.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang perniagaan, Encik Kamarul Ariffin, 46, ialah bekas pegawai kanan di Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), dilantik ke jawatan sekarang berkuatkuasa 1 Ogos lepas.

“Dalam hal ini, tumpuan anak-anak syarikat hendaklah diperbetulkan agar apa juga usaha yang dilakukan, mestilah ke arah membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat juga.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


PELIHARALAH SIKAP BEKERJA BERAMANAH, JUJUR

“Tugas dan tanggungjawab besar Encik Kamarul Ariffin selaku Pegawai Khas saya serta Penyelaras, ialah untuk memastikan ini benar-benar berlaku,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memnita kesemua S-GLC tersebut supaya membetulkan atau menstrukturkan semula syarikat masing-masing dengan mengolah kembali plan-plan pembangunan agar dapat menepati jangkaan serta matlamat Kerajaan Negeri terhadapnya.

Mana-mana S-GLC yang bermasalah dan berada dalam keadaan tersebut untuk jangkamasa yang agak lama katanya, haruslah bertindak dan perlu diberi tempoh tertentu agar kembali berada dalam keuntungan.

Pada setiap lapisan pekerjanya kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, haruslah secara terus-menerus berusaha untuk  tingkatkan lagi kecekapan, elakkan pembaziran dan yang sama pentingnya ialah, sentiasa memelihara sikap bekerja yang beramanah dan jujur.

“Kita harus ingat bahawa Kerajaan Negeri BN di Pahang ialah cuma satu antara dua (2) sahaja Kerajaan Negeri – selain Perlis, yang di bawah kekuasaan BN.

KHALAYAK MALAM SELASA... 


PAHANG JADI TUMPUAN ISTIMEWA  

“Oleh itu, ia sudah tentunya menjadi tumpuan istimewa oleh rakyat. Maka, kita haruslah memberikan fokus yang lebih  demi memastikan kejayaan kita khususnya di mata rakyat-jelata, insya-Allah,” katanya.

Antara yang turut hadir ialah bekas Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; Timbalan Yeng Dipertua, Dewan Negeri, Dato’ Sri Mohamed Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugaam Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin;

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohd Roslan Harun; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; serta lebih 350 Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan S-GLC Pahang.  

MEMPERKENALKAN, ENCIK KAMARUL ARIFFIN AHMAD... 


SEBAHAGIAN LAGI TEKS UCAPAN

Berikut ialah sebahagian lagi ucapan Menteri Besar tersebut;

Adapun hasrat dan matlamat saya selaku Menteri Besar, ke atas 45 anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri, ialah untuk menyaksikan kesemuanya berada dalam keadaan baik dan kukuh, terutamanya daripada segi kewangan.

Dengan ini sahajalah, bukan sahaja anak-anak syarikat ini dapat berdikari (self-reliance), malah, dapat pula menyumbang pada kadar-kadar tertentu, kepada hasil kewangan negeri.

Sudah tentu kita sama-sama memahami betapa Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN);  dijangka menghadapi keadaan yang agak sukar sedikit dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Paling tidakpun, Kerajaan Negeri masih terikat untuk membayar kembali hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan yang sebanyak kira-kira RM3,200 juta (RM3.2 billion).

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat, Dato’ Sri DiRaja Adnan sebelum ini bahawa, hutang-hutang ini bukanlah untuk perkara-perkara yang bukan-bukan.

Ia sebaliknya ialah untuk pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat-jelata, yang telah meletakkan kita – pemimpin-pemimin BN, dalam kedudukan untuk terus memerintah negeri tercinta.

Daripada RM3,200 juta ini, sebanyak RM2,200 juta (RM2.2 billion) sahaja ialah untuk kerja-kerja berkaitan pembekalan air terawat, yang termasuklah bagi kerja-kerja penukaran paip-paip lama jenis asbestos yang sudah usang (yang turut menyumbang kepada tingginya kadar ketidak-berhasilan air [NRW - Non-Revenue Water]), kepada jenis PVC.

Selainnya ialah kira-kira RM200 juta bagi penganjuran SUKMA XV Pahang 2012; dan, RM40 juta bagi usaha-usaha bantuan mangsa banjir pada tahun 2013.

Menurut Yang Berhormat, Dato’ Sri Muhammad Safian, hutang sebanyak RM2,200 juta dijangka dapat dilupuskan sebaik-baik sistem pembekalan air terawat distrukturkan semula oleh Kerajaan Persekutuan, menjelang akhir tahun ini.

Manakala hutang selebihnya, Kerajaan Negeri akan meminta Kerajaan Persekutuan turut melupuskannya memandangkan hutang-hutang tersebut ialah bagi penganjuran SUKMA tahun 2012 iaitu kejohanan sukan bertaraf kebangsaan (RM200 juta).

Dan RM40 juta pula ialah demi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terkesan teruk dengan banjir besar yang melanda negeri ini pada tahun 2013.

Maka, sepatutnya tinggal lagi RM760 juta baki hutang tersebut dan baki hutang inilah yang sedang kerajaan negeri mencari daya-usaha dan keadah, untuk membayarnya kembali kepada Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga harus berdepan dengan pembentangan bajet tahunan, dan Kerajaan Negeri perlu sediakan peruntukan yang cukup untuknya.

Misalnya, bagi Bajet Negeri 2018 yang dibentangkan pada November lepas (2017), peruntukannya ialah kira-kira RM700.64 juta dengan perbelanjaan mengurus sahaja ialah kira-kira RM700.04 juta.

Daripada manakah kita jangka akan memperolehi peruntukan RM700.64 juta ini, jika tidak daripada hasil-hasil negeri yang kita harap dapat perolehi secara tradisi seperti –

Sebanyak RM337.70 juta daripada kutipan hasil tanah dan galian; RM102.45 juta daripada hasil perhutanan; RM12.50 juta daripada hasil air; RM88.99 juta daripada hasil-hasil lain; dan, RM159.00 juta daripada pemberian geran oleh Kerajaan Persekutuan (yang kini di bawah teraju, PH).  

(Bagi peruntukan pembangunan untuk Bajet Negeri yang sama, ia diperolehi daripada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM108.57 juta yang daripadanya, RM50 juta sahaja ialah bagi urusan pembekalan air oleh Pengurusan Air Pahang Bhd [PAIP]).

Jumlah kewangan ini harus, tidak dapat tidak, diada dan disediakan oleh Kerajaan Negeri yang dengannya, pentadbiran Kerajaan Negeri dapat berjalan secara berkesan dengan matlamat akhirnya, demi mensejahterakan rakyat.

Dan kita semua seharusnya sedar bahawa, rakyat ialah sebenar-benarnya pemegang taruh (stakeholder) utama kepada kepimpinan Kerajaan BN Negeri.

Jika kelak kita kehilangan kepercayaan daripada pemegang taruh ini atau kata mudahnya, pengundi, tentu kita – Kerajaan Negeri pimpinan BN; sama-sama tahu akan penyudahnya terutamanya pada Pilihanraya Umum ke-15 kelak, ‘na‘u-zubillah-himinzalik’. – Khabar