Thursday 23 August 2018

Kerajaan Negeri rayu pertimbangkan semula keputusan pembatalan projek ECRL


PROJEK PULUH RIBUAN JUTA RINGGIT YANG DIBATALKAN...  


WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Rayuan ini katanya, ialah demi rakyat terbanyak, yang selama ini menyambut berita tentang projek ini dengan gembira ekoran manfaat besar yang bakal turut mereka perolehi daripadanya.

Manfaat itu pula bukan sahaja secara langsung tetapi juga secara tidak langsung - dengan wujudnya pertumbuhan pusat-pusat aktiviti sosio-ekonomi baharu khususnya di kawasan sekitar stesen-stesen ECRL yang akan turut dibina di sepanjang jajaran berkenaan.

Namun dengan keputusan pembatalan ini, perkara-perkara yang dijangkakan itu tidak lagi akan berlaku, kata Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, 23 Ogos.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman pembatalan projek berkenaan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pada persidangan media di Beijing, Selasa, 21 Ogos, sempena berakhir lawatan rasmi lima (5) harinya ke Negara China.

POSTER DIPETIK DARIPADA FB 'WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL'... 


RAMAI YANG AKAN KEHILANGAN KERJA

Projek Kerajaan Persekutuan – ECRL dilaporkan bernilai RM81,000 juta (RM81 billion), sejauh 688 KM yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan dengan menerusi Pahang dan Terengganu. Dilancarkan tahun lepas, ia dijadual siap pada 2024.

Selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, turut merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telahpun bermula.

“Malah, kerja-kerja untuk pengambil-alihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya.

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 KM merentasi daerah-daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan; yang akan terlibat dengan projek ECRL di Pahang ini.

RAYU BAGI PIHAK YANG TERKESAN TERUK DENGAN PEMBATALAN  

Daripada 1,394.4 hektar ini pula, kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah Tanah Kerajaan manakala yang lain ialah tanah-tanah milik persendirian, tanah-tanah rizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal.   

“Oleh itulah, saya merayu bagi pihak Kerajaan Negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja-pekerja yang bakal diberhentikan, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan tersebut,” katanya lagi. – Khabar