Monday 17 December 2018

Kerajaan Negeri teruskan pendekatan ‘people-centric’nya


“Sejak hari pertama lagi saya dilantik pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’),”  kata Menteri Besar

DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN 24-MINITNYA... Yang turut kelihatan di belakang ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri - Dato' Sri Norol Azali Sulaiman (kanan sekali); Dato' Abd Aziz Mat Kiram; dan, Encik Abdul Rahim Muda (kiri sekali). 


DEWAN SUK, BLOK C, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sekali lagi menyatakan penekanannya kepada  pendekatan yang memusat atau mengutamakan rakyat atau ‘people-centric’, dalam mentadbir negeri ini.

Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan 24-minitnya sempena program Perhimpunan Pagi YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri pagi Isnin, 17 Disember di sini.

“Sejak hari pertama lagi saya dilantik (sebagai Menteri Besar) pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’),” katanya.

Lanjutan itu, beliau telah menyebut antara inisiatif yang telah diperkenalkannya termasuk yang dilaksanakan dalam tempoh 100-hari, dan juga tujuh (7) bulan kini beliau menduduki pejabat utama di Wisma Sri Pahang.

Antara inisiatif itu ialah penurunan kuasa kelulusan kebenaran (consent) pindah milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar, kepada pentadbir tanah khususnya di daerah-daerah.

MENGHADAPI KHALAYAK DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM NEGERI... 


ADUANWANROSDY.COM

Selain itu ialah pengwujudan saluran aduan rakyat terus kepada Menteri Besar melalui laman sosial ‘aduanwanrosdy.com’ yang menerusinya, semua lapisan masyarakat dapat mengemukakan aduan secara terus kepadanya.

Begitu juga dengan penubuhan Tabung Perumahan Rakyat yang mensyaratkan setiap pemaju perumahan yang disyaratkan untuk membina rumah kos sederhana rendah, perlu menyumbang sejumlah wang kepada Tabung ini yang akan digunakan untuk membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.

Berikut disiarkan sepenuhnya ucapan Menteri Besar tersebut;

Penjawat awam di semua peringkat pentadbiran sama ada diperingkat negeri, daerah mahupun mukim merupakan tonggak utama atau tiang seri kepada kelangsungan sistem pentadbiran negeri.

Penjawat awam memainkan peranan yang sangat penting dan menjadi faktor penentu sama ada satu-satu kerajaan itu mampu menjadi kerajaan yang berkesan dan berjaya atau sebaliknya.

PERANAN PENTING PENJAWAT AWAM

Tuan-tuan dan puan-puan selaku penjawat awam, perlu sedar bahawa peranan dan tanggungjawab yang tuan-tuan dan puan-puan laksana dan tunaikan begitu penting kepada kelangsungan dan kejayaan Kerajaan ini.

Sebagai ketua kerajaan negeri, saya mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk melihat kerajaan negeri yang ada pada hari ini, mampu menjadi kerajaan yang berjaya, berkesan, dan memuaskan hati rakyat.

Tahun 2018 merupakan tahun pertama saya berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang.

Sejak hari pertama lagi saya dilantik pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’).

Bagi mencapai hasrat tersebut, dalam tempoh enam (6) bulan pertama ini, beberapa inisiatif dan dasar telah diperkenalkan oleh pentadbiran ini seperti ;

PEROLEHI ‘CONSENT’ DALAM TEMPOH 1, 2 HARI

# Penurunan kuasa kelulusan kebenaran (consent) pindah milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar, kepada pentadbir tanah.

Melalui langkah ini, kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah boleh dilaksanakan dalam tempoh antara satu (1) dan dua (2) hari sahaja bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan juga waris qadim.

Langkah ini telah memberi impak yang sangat besar kepada perkhidmatan Kerajaan untuk rakyat kerana sebelum ini, proses kelulusan kebenaran tersebut memakan masa sehingga enam (6) bulan, dan ada yang memakan masa sehingga setahun.

Sehingga bulan November 2018, 566 permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian telah diterima dan diluluskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya pegawai dan kakitangan yang terlibat di Bahagian Pendaftaran, Pejabat Tanah dan Galian Pahang, serta di setiap Pejabat Daerah dan Tanah seluruh negeri ini.

KEJAYAAN PR1MA PAHANG & RUMAH MAKMUR

# Mewujudkan saluran aduan rakyat terus kepada Menteri Besar melalui laman sosial ‘aduanwanrosdy.com’. Menerusinya, semua lapisan masyarakat dapat mengemukakan aduan secara terus kepada saya, dan terdapat pasukan yang telah ditugaskan untuk meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar terhadapnya.

# Meneruskan legasi projek perumahan mampu milik negeri Pahang yang dikenali sebagai ‘PR1MA Pahang’ dan juga ‘Rumah Makmur’ yang kini telah terbukti antara projek perumahan yang mampu menjual rumah berkualiti pada harga yang sangat mampu dimiliki oleh golongan sasar.

Sehingga November 2018, 14 projek ‘Rumah Makmur’ telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri, melibatkan 5,506 unit rumah.

Manakala, 118 projek PR1MA Pahang telah diluluskan, melibatkan 37,389 unit rumah yang daripada jumlah itu, 2,770 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya disiapkan dan telah diduduki.

# Menubuhkan Tabung Perumahan Rakyat yang mensyaratkan setiap pemaju perumahan yang disyaratkan untuk membina rumah kos sederhana rendah perlu menyumbang sejumlah wang kepada Tabung ini yang akan digunakan untuk membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.

SASARAN KUTIPAN HASIL TANAH MESTI 90 PERATUS

Penetapan sasaran kutipan hasil tanah sebanyak 90 peratus antara perkara yang menjadi fokus utama saya pada tahun 2019.

Ia adalah untuk terus meningkatkan hasil Kerajaan Negeri terutamanya kutipan hasil tanah yang masih merupakan sumber hasil utama Kerajaan Negeri.

Walaupun kita terus berusaha untuk mengenal pasti sumber hasil baharu, sumber hasil tradisional seperti kutipan hasil tanah, tetap terus diberikan penekanan untuk ditingkatkan.

Dalam pembentangan Bajet Negeri 2019 baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran kutipan hasil tanah untuk tahun 2019 sebanyak RM 388.88 juta.

Sehubungan itu, saya telah menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI; Key Performance index)  bagi kutipan hasil tanah perlu mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus.

KPI LIBATKAN DARIPADA SS KEPADA ADO

Sasaran ini akan menjadi KPI bagi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan tanah – daripada Penolong Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

Saya melihat, masih banyak ruang dan peluang penambah baikan yang boleh kita laksanakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kadar kutipan hasil tanah di negeri Pahang.

Bagi mencapai sasaran ini, saya menggesa pihak-pihak yang terlibat untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri tentang apa yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan lagi pencapaian kutipan hasil tanah kita.

Penetapan sasaran kutipan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga ialah sebanyak 90 peratus, maka, saya juga berharap agar semua pbt di negeri pahang memberi penekanan kepada aspek kutipan hasil ini.

Saya kira inilah masa yang paling sesuai untuk kita mengembling usaha dan pendekatan bagi memastikan kita dapat mengutip hasil semaksima yang mungkin.

KUTIPAN HASIL OLEH PBT TAK SAMPAI 66 PERATUS SETAKAT OKTOBER

Berdasarkan pencapaian tahun 2018, secara puratanya, pencapaian kutipan hasil PBT di Pahang sehingga Oktober lepas masih berada pada tahap 65.95 peratus.

Saya kira kadar peratus ini amat rendah dan masih banyak lagi ruang yang boleh dibuat penambah baikan bagi meningkatkan lagi kadar kutipan hasil.

Saya amat berharap pihak PBT dapat memastikan kutipan hasil ini ditingkatkan kepada 90 peratus pada tahun depan (2019).

Untuk menjadi sebuah Kerajaan yang berkesan, saya percaya kita perlu mendengar pandangan dan cadangan rakyat yang merupakan pelanggan kita.

Kita tidak lagi berada dalam era ‘government is always right’ ataupun tindakan Kerajaan sentiasa betul. Kita perlu juga mengambil pendekatan ‘bottom-up’, dengan mengambil pandangan, idea atau cadangan daripada rakyat.

PERLU ADA ‘ENGANGEMENT’ – BOS DAN ANAK BUAH

Sama juga dalam jabatan atau organisasi, ketua jabatan atau bos bukan tahu segala perkara. Kita perlu mengadakan ‘engagement’ dengan kakitangan dan juga pihak-pihak yang ada kepentingan untuk mendapatkan maklum balas dan juga idea-idea baharu dan segar untuk diaplikasikan dalam organisasi.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, saya akan melancarkan saluran cadanganwanrosdy.com yang akan menjadi satu platform untuk semua lapisan rakyat memberi sebarang cadangan, idea dan juga pandangan secara terus kepada saya.

Semua cadangan, idea dan pandangan ini kita akan nilai dan kaji. Sekiranya ada antaranya yang boleh kita laksanakan, insyaAllah kita akan cuba laksanakan demi kebaikan dan kemakmuran negeri Pahang yang kita cintai.

Berkaitan dengan ini juga, saya berhasrat untuk mengadakan sesi dialog atau ‘engagement’ dengan pegawai-pegawai muda yang berkhidmat di negeri Pahang ini.

Saya percaya, mereka ini ada banyak idea yang boleh dikongsikan bersama yang selama ini mungkin terperap sahaja ataupun tiada forum yang sesuai untuk disuarakan kepada pengurusan atasan.

Saya akan meminta pejabat saya untuk mengaturkan sesi ini pada tahun depan.  

SEKTOR PERUMAHN TERUS JADI FOKUS

Sektor perumahan akan terus menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri untuk tahun 2019. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembinaan projek-projek perumahan di bawah program PR1MA Pahang dan Rumah Makmur.

Bagi tahun 2019, untuk projek PR1MA Pahang, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran untuk menyiapkan lagi 1,000 unit rumah. Manakala bagi projek Rumah Makmur, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran sekurang-kurangnya dua (2) projek yang mengandungi 746 unit rumah yang mesti dimulakan pembinaannya pada tahun 2019. 

Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) adalah sebahagian daripada jentera kerajaan yang penting dalam mencapai kemajuan pembangunan dan aktiviti ekonomi negeri.

Pada tahun 2017, S-GLC telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM 2,600 juta (RM 2.6 billion) dengan keuntungan dicatatkan sebanyak RM 565 juta.

Mulai tahun 2018, Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa sebahagian daripada keuntungan tahunan S-GLC ini perlu dikembalikan kepada Kerajaan Negeri.

S-GLC JUGA MESTI SUMBANG KEPADA HASIL NEGERI

Mengambil kira faktor tahun kewangan dan keperluan audit tahunan setiap S-GLC, kutipan bagi sebahagian keuntungan tahun 2018 akan dibuat mulai Mac 2019 dan akan direkodkan sebagai sebahagian daripada hasil Kerajaan bagi tahun 2019.

Ini adalah satu pendekatan baharu yang kita akan laksanakan pada tahun depan (2019). Kita mahu operasi dan tadbir urus setiap S-GLC di negeri Pahang ditambah baik supaya boleh menjana keuntungan, dan sebahagian daripada keuntungan tersebut wajar dipulangkan kepada Kerajaan Negeri.

Bagi maksud penambah baikan kepada tadbir urus S-GLC, Kerajaan Negeri akan menubuhkan ‘Pahang Investment Corporation (PIC) sebagai satu langkah strategik untuk penstrukturan dan mengawal selia prestasi serta perkembangan S-GLC.

Dengan meletakkan S-GLC ini di bawah satu bumbung, ia dapat memudahkan Kerajaan Negeri memantau prestasi berdasarkan KPI yang ditetapkan disamping memberi khidmat nasihat kepada S-GLC untuk membuat pelaburan yang betul dengan pulangan yang menjanjikan keuntungan.

Selaras dengan ‘tagline’ saya iaitu Maju Terus Pahang, saya amat berharap agar semua sasaran dan perancangan yang saya gariskan tadi untuk tahun 2019 dapat dihayati dan dikongsi bersama oleh semua pegawai dan kakitangan awam sekalian.

BANTUAN KHAS RM 500 UNTUK PENJAWAT AWAM

Seperti yang telah saya umumkan dalam ucapan Bajet Negeri Pahang 2019 di Dewan Negeri tempoh hari – sebagai menghargai jasa dan pengorbanan semua pegawai dan kakitangan awam negeri Pahang, pemberian bantuan khas sebanyak RM 500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah.

Saya difahamkan, bayaran ini akan dibuat pada hari esok, Selasa, 18 disember 2018. Gunalah wang tersebut untuk tujuan kebaikan seperti membeli persiapan persekolahan anak dan lain-lain. – Khabar