Monday, 17 December 2018

Wakil rakyat-wakil rakyat Negeri dan Parlimen BN masih beri sokongan kuat kepada BN, kata Menteri Besar


MARI KITA BER'WE-FIE'... Dato' Sri Wan Rosdy masih sempat melayani permintaan para penjawat awam dalam kalangan 'srikandi' kita ini; untuk ber'wefie'. Begitulah 'sempoi'nya (meminjam kata-kata anak muda sekarang) ketua eksekutif negeri kita.  


PERKARANGAN, DEWAN SUK, BLOK C, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tegas menyatakan keyakinan yang wakil rakyat-wakil rakyat Negeri dan Parlimen Barisan Negeri (BN) di Pahang tetap menyokong kuat komponen parti berkenaan.

Dalam pada itupun, beliau tetap mengambil perhatian kepada amaran Pengerusi BN Pusat, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang adanya gerakan untuk membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri bagi berpaling tadah seterusnya menjatuhkan BN di negeri ini.

“Saya yakin, ADUN-ADUN, Ahli-ahli Parlimen masih memberi sokongan yang kuat kepada Barisan Nasional,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy tentang 25 wakil rakyat Negeri (24 UMNO, 1MCA) serta sembilan (9) wakil rakyat Parlimen (8 UMNO, 1 MIC - yang dibatalkan kedudukannya oleh Mahkamah Pilihanraya baru-baru ini).

“Kita akan beri perhatian atas pandangan Dato’ Sri Zahid tu dan sepertimana saya katakan tadi, ADUN BN dan juga Ahli Parlimen, masih lagi setia dengan BN dan UMNO,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan-wartawan Berita Harian dan Sinar Harian semasa hendak beredar daripada program Perhimpunan Pagi YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri pagi Isnin, 17 Disember di sini.

ADA GUNTING DALAM LIPATAN?

Wartawan-wartawan berkenaan meminta beliau mengulas laporan oleh portal berita milik UMNO Malaysia – UMNO Online, yang kemudian dipetik dalam beberapa lagi portal berita dan juga akhbar-akhbar arus perdana mengenai amaran Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid itu.   

“Saya ingatkan orang Pahang bahawa sudah ada gunting dalam lipatan. Saya tidak menuduh tetapi kita harus berhati-hati,” kata Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid sepertimana dilaporkan oleh portal berita tersebut.

“Kita harus membendung agar Ahli Parlimen dan ADUN di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu (tidak memaklumkan nama)…

“Saya Menteri yang pernah jaga polis., askar… Saya beritahu ini… Jadi saya ingin ingatkan kita perlu hati-hati. Usaha sudah dibuat, perjumpaanpun telah buat, saksi dalam perjumpaan itupun ada.

“Maka kita perlu pertahankan agar mereka ini kekal dengan BN,” beliau dilaporkan berkata ketika berucap pada program ‘retreat’ UMNO Bahagian Temerloh yang sepatutnya diadakan secara tertutup, pada malam Ahad, 16 Disember di Bukit Fraser.

Sebelum ‘nasi menjadi bubur’, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid turut dilaporkan mengingatkan kepimpinan UMNO Pahang agar melakukan sesuatu kerana ‘mereka di sebelah sana’ sangat licik. – Khabar