Friday 21 December 2018

Yayasan Pahang (YP) peruntuk RM3.48 juta bagi program Bantuan Khas Sekolah Rendah Menteri Besar


Setiap murid akan dapat tunai RM150 untuk belanja persiapan awal persekolahan baharu, dimanfaati oleh 23,200 murid  

PERALATAN PERSEKOLAHAN UNTUK MURID-MURID SEKOLAH RENDAH KITA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menyerahkan peralatan berkenaan termasuk pakaian dan beg sekolah kepada murid-murid ini. 

Antara yang turut kelihatan ialah Cik Rozianis (tiga dari kanan), Encik Asyhar Amin (separuh terlindung di belakang Dato' Sri Wan Rosdy) dan Encik Mustafa (dua dari kiri).   


DEWAN ORANG RAMAI, KAMPUNG KUALA MEDANG, LIPIS – Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), telah memperuntukkan RM3.48 juta bagi menjayakan program Bantuan Khas Sekolah Rendah Menteri Besar (BKSRMB) 2019.

Di bawah program ini, setiap murid yang layak akan menerima tunai RM150 seorang untuk digunakan bagi membeli peralatan persekolahan yang diperlukan demi menghadapi sesi persekolahan baharu Januari depan.

“Kita akan bagi sebelum buka sekolah, insyaAllah. Paling lewat minggu pertama, paling-paling lewat minggu kedua bulan Januari kita akan bagi kepada semua pelajar yang difikirkan layak menerima.

“Dan jumlah keseluruhannya ialah RM3.48 juta,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada wartawan yang ditemuinya pada program ‘Back To School’ anjuran Tenaga Nasional Bhd (TNB) pagi Jumaat, 21 Disember di sini.

Adalah difahamkan, dengan peruntukan RM3.48 juta dan pula setiap murid akan memperolehi RM150 seorang bermakna, kira-kira 23,200 murid seluruh Pahang akan memanfaati program BKSRMB ini kelak.

SESI FOTO BERKUMPULAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Cik Rozianis; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Datin Sri Burhah (sebelah kanan Dato' Sri Wan Rosdy). 


SARANAN BUAT IBUBAPA  

Kajian telah dilakukan yang menunjukkan kata Dato’ Sri Wan Rosdy, keperluan seorang murid untuk peralatan persekolahan termasuk pakaian sekolah ialah puratanya antara RM130 dan RM150 seorang.

“Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan seorang pelajar RM150 dalam bentuk tunai. Hal ini disebabkan agak sukar bagi Yayasan Pahang untuk memberi pakaian, kasut sekolah terutamanya daripada segi saiz.

“Eloklah kita bagi wang tunai dan ibubapa boleh bawa anak-anak mereka ke kedai untuk membeli peralatan persekolahan mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar ibubapa kepada murid-murid berkenaan supaya dapat menggunakan peruntukan yang disedikan tersebut untuk membeli peralatan persekolaahan anak-anak mereka.

“Dan ini sedikit-sebanyak saya percaya, ia boleh meringankan beban dan tanggung jawab ibubapa,” katanya.

POSE BERSAMA KALENDAR 2019 TERBITAN PEJABAT MENTERI BESAR... 


KESUNGGUHAN TNB UNTUK BANTU

Mengenai program anjuran TNB dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Negeri Jelai hari ini, beliau berterima kasih kepada TNB khususnya TNB Pahang, yang telah menjayakan tanggung jawab sosial korporatnya.

Menurutnya, seramai 300 murid termasuk anak-anak Orang Asli menerima manfaat daripada program ini dengan setiap seorang menerima peralatan persekolahan masing-masing  bernilai RM200.

Difahamkan, 300 murid ini ialah masing-masing 100 murid dari Sekolah Kebangsaan-Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Medang di sini dan Tanjung Gahai - kedua-duanya di bawah Dewan Negeri Jelai; dan, masing-masing 50 murid dari SK-SK Mensun dan Telanuk - di bawah Dewan Negeri Tanah Rata yang berjiranan.

“Dan ini satu usaha yang begitu baik dan kita nampak kesungguhan Tenaga Nasional Bhd untuk memenuhi tanggungjawab sosial (korporat) mereka,” katanya lagi yang juga wakil rakyat negeri kawasan ini (BN – Jelai).

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang perkembangan terkini tentang Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah tetapkan tarikh penamaan calon pada 12 Januari, undian pos pada 22 Januari dan pengundian biasa pada 26 Januari depan.

POSTER MENGENAI PROGRAM BKSRMB... 


SERAH KEPADA RAKYAT UNTUK NILAI PRESTASI BN

“Bagi pihak Barisan Nasional Pahang khususnya Barisan Nasional Cameron Highlands sepertimana telah saya nyatakan sebelum ini, kita bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya kecil.

“Kita akur dengan keputusan Mahkamah (Pilihanraya yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen BN kawasan tersebut, Dato’ C.Sivarraajh), dan sekarang kita serah kembali kepada rakyat untuk menilai prestasi kita di Cameron Highlands.

“Saya percaya, rakyat akan buat keputusan yang bijak dan mereka akan dapat melihat dengan sendiri apa yang telah berlaku semenjak 9 haribulan Mei yang lalu (Pilihanraya Umum ke-14) sehingga ke hari ini.

“Dan perkara ini semua orang dapat tahu – kita boleh lihat daripada media cetak, media elektronik dan mungkin dalam ‘group’ WhatsApp masing-masing dan sebagainya…

“Saya fikir rakyat bijak menilailah untuk buat keputusan pada akhir Januari nanti,” katanya yang juga Pengerusi bagi kedua-dua Barisan Nasional (BN) Negeri dan Badan Perhubungan UMNO Negeri.

SIAPA KANAN DIA NAIK

Mengenai calon BN kali ini katanya, ia belum muktamad dan pula terlalu awal untuknya mengulas tetapi akur betapa kerusi atau kuota di Parlimen kawasan Cameron Highlands adalah milik parti komponen BN iaitu MIC.

Beliau turut ditanya tentang berita kenaikan pangkat pemimpin dari Pahang – Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemangku Timbalan Presiden UMNO yang menurutnya adalah sesuai memandangkan beliau ialah Naib Presiden paling kanan.

“… memang sesuailah tempat itu. Itu memang formula kita, sifir kita – siapa kanan dia akan naiklah,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah isteri beliau, Datin Sri Burhah Mohammed; wakil khas beliau di Dewan Negeri Jelai ini, Dato’ Zailaluddin Zainol; Ketua Perkhidmatan Pelanggan, TNB Negeri, Cik Rozianis Mohd Noor;

Penghulu Mukim Jelai, Encik Asyhar Amin Ahmad; dan, Pengurus Besar, Stesen Janaelektrik TNB Cameron Highlands, Encik Mustafa Hashim. – Khabar