Wednesday 27 March 2019

Negeri sendiri tak terjaga, nak juarai pekebun Cameron Highlands pula – sindiran buat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang


“Sedangkan daripada awal lagi Dato’ Sri Wan Rosdy menegaskan bahawa, tindakan penguatkuasaan berkenaan ialah ekoran pekebun-pekebun terbabit telah mengerjakan kebun-kebun tersebut di dalam kawasan tadahan air Terla hingga mencemarkan air Sungai Ichat di situ,” penulis

SEKADAR HIASAN...


Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Pelik sungguh apabila seorang pemimpin sebuah negeri yang tidakpun berusaha mendapat fakta tepat mengenai sesuatu isu di sebuah negeri lain, tetapi mudah-mudah membuat tohmahan serta mengkritik kepemimpinan negeri berkenaan.

Namun, inilah yang berlaku dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Encik P.Ramasamy yang ‘menyerang’ Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan isu penguatkuasaan ke atas kebun-kebun haram di Cameron Highlands.

Penguatkuasaan tersebut – dengan merobohkan struktur dan memusnahkan tanaman, telah dan akan dijalankan ke atas 61 kebun melibatkan keluasan kira-kira 55 hektar dalam kawasan tadahan air Terla, Mukim Ulu Telom.

Fasa pertama melibatkan 11 kawasan telahpun dilaksanakan bermula 25 Februari hingga pertengahan bulan Mac ini, manakala fasa kedua melibatkan lagi 50 kebun, akan bermula 1 April ini.

Tiba-tiba sahaja, Encik Ramasamy muncul di tanahtinggi itu baru-baru ini – seolah-olah sudah hebat menjagai kebajikan rakyat negerinya sebelum ini; untuk menjuarai pula kebajikan pekebun-pekebun berkenaan.

PENGUATKUASAAN EKORAN PENCEMARAN

Lalu tergamak mengkritik Dato’ Sri Wan Rosdy hingga menyuruh beliau meletakkan jawatan atas alasan kononnya, tindakan penguatkusaan ke atas kebun-kebun haram berkenaan adalah beralasankan politik.

Sedangkan daripada awal lagi Dato’ Sri Wan Rosdy menegaskan bahawa, tindakan penguatkuasaan berkenaan ialah ekoran pekebun-pekebun terbabit telah mengerjakan kebun-kebun tersebut di dalam kawasan tadahan air Terla hingga mencemarkan air Sungai Ichat di situ.

Oleh kerana pencemaran tersebutlah maka Loji Rawatan Air (LRA) yang dibina dan beroperasi sejak 2007 yang sepatutnya memperolehi sumber air mentahnya dari kedua-dua Sungai Ichat dan Sungai Terla yang berhampiran, terpaksa bergantung kepada Sungai Terla sahaja.

Pencemaran di Sungai Ichat terutamanya – pada satu bahagian sepanjang kira-kira 200 meter telah berlaku pencerobohan melampaui zon penampan di kedua-dua belah tebingnya; yang telah dilaporkan sendiri oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Parit dan Saliran (JPS).

“Apakah yang hendak menerangkan tentang berlakunya pencemaran ke atas Sungai Ichat itu jika tidak kerana kerja-kerja kebun sayur di bahagian hulu dan kawasan yang berhampiran dengannya.

TIADA KERJA TANAH LAIN SELAIN KEBUN-KEBUN SAHAJA

“Dan di sana memang kita mendapati, tiadalah kerja-kerja tanah atau pembangunan lain selain kebun-kebun sayur sahaja,” kata seorang pegawai JAS Pahang.

Ekoran itulah, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) yang ketika itu ialah Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, terpaksa mengambil keputusan untuk tidak mengalirkan air dari Sungai Ichat yang tercemar itu ke muka sauk, seterusnya ke LRA Terla tersebut.

Sungguhpun begitu, Sungai Terla yang menjadi penyumbang tunggal kepada LRA Terla dan LRA Terla ialah penyumbang 70 peratus bekalan air terawat kepada penduduk Cameron Highlands; kinipun sudah menghadapi masalah kekurangan air mentah.

LRA Kuala Terla sebenarnya, berkapasiti antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam tetapi ekoran air mentah dari Sungai Terlapun semakin berkurangan, ia hanya dapat memproses dan menjana antara 480 meter padu sejam dan 550 meter sejam sahaja.

Oleh itulah, keperluan air mentah dari Sungai Ichat sangat diperlukan untuk turut diproses oleh LRA Kuala Terla. Sebelum air mentah dari Sungai Ichat dapat dan selamat digunakan, pemulihan Sungai Ichat tentu perlu dilaksanakan dan ini akan mengambil masa sebelum air sungai tersebut boleh digunakan.

AKIBAT PELANGGARAN SYARAT, TOL TIDAK LAGI DIKELUARKAN

Langkah pertama ke arah itu ialah dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) – yang sah-lakunya setahun; sejak tahun 2017 dan susulan itulah, kerja-kerja penguatkuasaan perlu dilaksanakan.

Mengenai TOL ini, Encik Ramasamy juga mempertikaikan bagaimana pekebun-pekebun ini baru sekarang boleh menjadi masalah kepada Kerajaan Negeri sedangkan mereka kononnya, telah mengerjakan kebun-kebun berkenaan sejak lebih 60 tahun lepas.

Dalam hal ini, Encik Ramasamy mungkin tidak dimaklumkan oleh pekebun-pekebun yang dijuarainya itu betapa asalnya di atas tanah yang dicerobohi, TOL memang ada dikeluarkan, yang paling awal menurut Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands ialah pada tahun 1993 atau hanya 26 tahun lepas .

Pada satu ketika selepas itu, bilangan TOL yang dikeluarkan menjadi 50, yang dikeluarkan atas nama ketua-ketua keluarga berkenaan sahaja. Bagaimanapun kemudian didapati, pada setiap TOL yang dikeluarkan itu, terdapat lebih daripada seorang yang mengusahakannya, yang turut meliputi anak-anak yang sudah dewasa, serta sanak-saudaranya.

Soalnya, jika mereka mengikuti syarat-syarat ketat yang dikenakan pada setiap TOL, menurut seorang pegawai pertanian setempat, tentu tidak menjadi masalah terutamanya yang berkaitan dengan usaha agar alam sekitar tidak tercemar dengan kerja-kerja pertanian yang dijalankan.

APA LAGI ALASAN ‘DEMI MENEGAK BENANG YANG BASAH’?

Antara syarat-syarat itu ialah ketidak-benaran mendirikan struktur-struktur kekal serta keperluan mengkhaskan kawasan melupuskan sampah-sarap di atas tapak-tapak berkenaan, serta kewajipan menggunakan racun-racun serangga perosak yang dibenarkan.

Sungguhpun ada yang akur – yang termasuk pekebun kecil mahupun pengusaha besar tetapi, ada kalangan mereka yang engkar, yang akhirnya menyebabkan Sungai Ichat – dengan zon penampan di kedua-dua belah tebingnya turut dicerobohi; telah tercemar teruk.

Jadi, apakah lagi alasan serta ‘serangan’ Encik Ranmasamy selepas ini agaknya, demi menegak benang yang basahnya? – Khabar