Wednesday 13 March 2019

Segerakan peruntukan RM12 juta bagi pembinaan kolam takungan air baharu di LRA Chini


... minta Menteri Besar kepada Kerajaan Persekutuan, demi mengatasi secara jangka pendek, masalah bekalan air di Chini, Pekan.

MEMBANTU MENGISI AIR DARI LORI TANGKI PAIP KE TANGKI AIR DEPAN RUMAH PENDUDUK... Aksi ini dirakam ketika Dato' Sri Wan Rosdy meninjau ke Rancangan Tanah Felda Chini Timur 2. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Abu Bakar (kiri sekali).  


DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA CHINI 3, CHINI, PEKAN – Kerajaan Persekutuan diminta kembali meluluskan peruntukan RM12 juta yang diberhentikan selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, bagi pembinaan kolam takungan air baharu di Loji Rawatan Air Chini, Pekan.

Pembinaan kolam takungan air baharu ini menurut Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, ialah rancangan jangka pendek untuk mengatasi masalah bekalan air yang melibatkan seluruh kawasan Chini di sini.

“… sebelum ini ada kelulusan tetapi telah diberhentikan dan saya difahamkan, ada sejumlah peruntukan lebih kurang RM12 juta melalui Felda, untuk membuat takungan air yang baharu dan saya minta supaya dapat disegerakan.

“Kerana ianya sangat diperlukan (terutamanya) apabila berlakunya musim kemarau (sepertimana yang dialami sekarang),” kata Dato’ Sri Wan Rosdy kepada wartawan pada akhir lawatan kerja meninjau masalah pembekalan air berkenaan petang Rabu, 13 Mac, di sini.

Diminta oleh wartawan untuk mengulas lebih lanjut tentang status sebenar peruntukan RM12 juta tersebut menurutnya, beliau sendiri belum mendapat gambaran jelas dan sahih mengenainya.

NUN DI SANA... Seolah-olah kata Dato' Sri Wan Rosdy kepada Dato' Sri Ir Mohd Soffi semasa meninjau muka suak yang berada kiri-kira 3 KM dari LRA Chini. Yang turut kelihatan ialah Ir Roslan (belakang, hampir terlindung).  


ADA RANCANGAN JANGKA PANJANG BINA LRA BAHARU, KOS RM160 JUTA

“… cuma mendapat maklumat daripada pihak-pihak tertentu mengatakan, perkara ini telahpun dibawa semula dan kemungkinan besar akan dipertimbangkan untuk diluluskan kerana keadaan yang sangat memerlukan untuk membuat (kolam) takungan air.

“Saya percaya, Kerajaan Persekutuan akan beri perhatian yang serius terhadap perkara ini,” katanya.

Ketika diminta mengulas rancangan lain demi menangani masalah bekalan air melibatkan LRA Chini yang membekalkan air terawat kepada 1,052 akaun katanya, Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut mempunyai rancangan jangka panjangnya.   

Antaranya ialah cadangan pembinaan LRA baharu di Kampung Air Hitam berhampiran, menggantikan bukan sahaja LRA Chini tetapi juga LRA Kuala Lepar yang sedia ada. Kos dianggarkan RM160 juta.

Cadangan juga menurutnya dibuat bagi pembinaan muka sauk (intake) baharu di Kampung Air Itam berkenaan, disertai dengan pemasangan paip sepanjang 25 KM bagi menghantar air mentah dari Sungai Pahang berdekatan, untuk diproses menjadi air terawat di LRA Chini. Kos dianggarkan untuk ini pula ialah RM40 juta.

DALAM PERBINCANGAN DEMI RAKYAT YANG TERKESAN DENGAN MASALAH BEKALAN AIR. BERMUTU... Selain Dato Sri Wan Rosdy, Dato Sri Norol, Dato Sri Ir Mohd Soffi, dan, Dato Sri Abu Bakar; yang turut kelihatan dalam foto ini yang dirakam dalam pejabat LRA Chini di Kampung Dusun ini ialah Dato Nazri (kanan sekali), Dato Zaliza (di belakang Dato Sri Abu Bakar), serta Dato Mazlan (belakang Dato Sri Norol). 


PARAS AIR NAIK, MELAMPAUI PARAS KRITIKAL 0.6 METER

“… jadi yang RM12 juta untuk membuat (kolam) takungan air yang baharu (di LRA Chini) saya dimaklumkan secara tidak rasmilah, ada mengatakan bahawa peruntukan ini akan diteruskan,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Ketika ditanya tentang bila projek pembinaan kolam takungan air ini dijangka boleh dimulakan katanya, “Kalau ada duit, bila-bilapun boleh jalan. Yang penting, bergantung kepada duit. Peruntukan ialah dari Kerajaan Persekutuan melalui Felda”.

Ekoran lawatan kerja petang ini katanya, beliau telah ditaklimatkan bahawa telah berlaku sedikit peningkatan pada paras air di muka sauk LRA Chini – kira-kira 1.68 meter berbanding paras kritikal sebelumnya pada 0.6 meter.

(Muka sauk ini memperolehi airnya daripada aliran Sungai Mentiga, yang hulunya pula ialah di Bukit Ibam dalam daerah Rompin. Peningkatan paras air dikatakan berlaku ekoran berlaku turunan hujan selama dua (2) hari berturut-turut, di kawasan hulunya itu).

“Cumanya kita berharap supaya ada hujan. Dan kemarau ini berlaku kerana faktor cuaca, tidak ada hujan,” katanya.

TURUT SUDI MENUNGGANG MOTOSIKAL BAGI MEMUDAHKAN PERJALANAN... Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai penungggang manakala Dato’ Sri Abu Bakar pemboncengnya.     


PUJI TINDAKAN SEGERA PAIP

Beliau memuji tindakan segera yang diambil oleh Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) apabila berlaku gangguan dan terputusnya bekalan air di sini, dengan membekalkan air ke setiap rumah terjejas.

“Dan PAIP telah ‘pool’ semua lori tangki airnya ke sini lalu masalah ini (gangguan dan terputus bekalan air yang penduduk di sini hadapi) dapat dikurangkan,” katanya lagi.

Menurut maklumat yang PAIP sediakan, dalam tempoh hingga petang ini, 14 buah lori tangki dari seluruh daerah telah ditugaskan ke sini, disamping membekalkan 51 tangki statik kesemuanya.

Antara kawasan-kawasan yang terjejas pula ialah Kampung Orang Asli Gumum; Tasik Chini, Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Chini 1 hingga 5; Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Chini Timur 1 hingga 3.

Jelutong; Simpang Chini; Bandar 2 Paloh Hinai; Kampung Arong; Paloh Hinai; Kampung Serambi; Kampung Pulau Rumput; Kampung Padang Rumbia; Kampung Tanjung.  

YANG UZUR DAN MEMERLUKAN, TURUT DIZIARAHI... 


DATO’ SRI SUK DAN EXCO NEGERI TURUT TURUN PADANG

Kampung Batu Balik; Kampung Air Hitam; Kampung Tanjung Keruin; Kampung Kuala Mentiga; Kampung Sepaku; Kampung Mambang; dan, Kampung Bukit Udang.

Antara yang turut hadir pada lawatan kerja ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas Negeri, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang juga Pengerusi PAIP; dua orang lagi Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Dato Nazri Ngah; wakil rakyat tempatan, Dato’ Sri Abu Bakar Harun (BN – Chini); 

Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli; Pengurus Besar, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Pahang, Dato Mazlan Sharudin; dan, Pengurus Besar Korporat PAIP, Ir Roslan Abdul Rahman. – Khabar