Thursday 7 March 2019

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata?

“Ternyata ungkapan ‘isytihar perang’ adalah bersifat hasutan pada tahap yang tertinggi, yang boleh mengundang rasa kurang senang dan perasaan benci-membenci kepada kedua-dua – bukan Melayu apatah lagi kaum Melayu di negara ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy

ANTARA PETIKAN DALAM MEDIA SOSIAL... Antara yang asal dengan ungkapan 'isytihar perang', berbanding kenyataan kedua tanpanya lagi.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri hari ini menyatakan bantahan kerasnya terhadap kenyataan Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng mengenai hubungan baik UMNO dan PAS yang diumpamakannya sebagai pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu di negara ini.

“Ternyata ungkapan ‘isytihar perang’ adalah bersifat hasutan pada tahap yang tertinggi, yang boleh mengundang rasa kurang senang dan perasaan benci-membenci kepada kedua-dua – bukan Melayu apatah lagi kaum Melayu di negara ini.

“Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri meminta lebih banyak lagi pihak membuat laporan polis berikutan kenyataan bernada perkauman dan melampau oleh Setiausaha Agung DAP itu,” kata Pengerusinya, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan media petang ini.

Dato’ Sri Wan Rosdy ialah juga Menteri Besar Pahang – sebuah antara dua (2) negeri yang di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media tersebut yang di bawah tajuk ‘UMNO Pahang Bantah Kenyataan Isytihar Perang Oleh Guan Eng’;

KENYATAAN MEDIA
  
Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang membantah sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng yang menyebut permuafakatan UMNO/PAS yang semakin kukuh sekarang, umpama mengisytihar perang ke atas bukan Melayu.

Ternyata ungkapan ‘isytihar perang’ adalah bersifat hasutan pada tahap yang tertinggi, yang boleh mengundang rasa kurang senang dan perasaan benci-membenci kepada kedua-dua – bukan Melayu apatah lagi kaum Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri meminta lebih banyak lagi pihak membuat laporan polis berikutan kenyataan bernada perkauman dan melampau oleh Setiausaha Agung DAP itu.

Hakikat bahawa beliau segera menukar kenyataannya dengan menanggalkan perkataan ‘isytihar perang’ dalam kenyataan keduanya kepada portal berita Malaysiakini membuktikan beliau memang ada sebut ‘isytihar perang’ pada kenyataan asalnya.

Dan hakikat bahawa beliau kemudian segera membuat pindaan itu ialah selepas beliau sendiri sedar betapa teruknya ungkapan ‘isytihar perang’ tersebut. Namun, bak kata pepatah Melayu, ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

MOHON POLIS SIASAT, LAKSANAKAN PROSES UNDANG-UNDANG SEGERA

Kita mahu pihak berkuasa terutamanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM), memastikan siasatan segera dilakukan ke atas Encik Lim dan biar proses undang-undang berlangsung dengan sewajarnya.

Badan Perhubungan UMNO Negeri juga turut menyokong jika ada pihak yang membuat gesaan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Menteri Kewangannya itu dipecat daripada jawatannya. – Khabar