Tuesday 5 March 2019

Tamat moratorium bauksit; Menteri Pusat yang ‘jump the gun’, Kerajaan Negeri pula dipersalahkan


“... bahawa pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) 22 Februari lepas, telah memutuskan SOP berkenaan perlu diperkasakan lagi sebelum tempoh moratorium tersebut benar-benar ditarik balik.

 
MENDAHULUI MASA/KEADAAN... Maka, janganlah 'jump the gun'.

 
NOTA EDITOR;

Ekoran kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar bahawa Kabinet memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan tempoh moratorium bagi aktiviti berkaitan bauksit yang berakhir 31 Mac ini, beliau telah turut menerima kecaman hebat. 
 
Kecaman itu bukan sahaja datang daripada luar Pakatan Harapan (PH) seperti wakil rakyat negeri, Encik Andansura Rabu (PAS-Beserah); malah daripada dalam PH sendiri terutamanya wakil rakyat parlimen, Puan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan). 
 
Sandaran utama kepada kecaman ini ialah tentang Prosedur Operasi Piawaian (SOP) bagi pengeluaran, pengangkutan dan pengeksportan bahan mineral kemerah-merahan itu yang menurut mereka, belum mereka ketahui butirannya untuk meyakinkan mereka tentang tahap keselamatan dan kebersihan aktiviti bauksit apabila dibenarkan bergerak semula.
 
Dalam pada membuat kecaman terhadap Menteri berkenaan, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) menerusi Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail turut dipersalahkan sepertimana kenyataan Puan Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang media (Star) siarkan pada 1 Mac. 
 
“The Deputy Minister in the Prime Minister’s Department said this was because a standard operating procedure (SOP) had not been made clear by the Pahang Government”.
 
Beliau juga dilaporkan berkata betapa, “… that former minister Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar had previously proposed the delimitation of bauxite mining hectarage that required environmental impact assessment. However, this has not been complied as the state government had not amended the relevant enactment”. 
 
Artikel berikut ditulis bagi menyanggah kesilapan ketara oleh wakil parlimen berkenaan dalam kecaman-kecaman khususnya terhadap Kerajaan Negeri.   
 
 
Oleh AHYA ALIMUDDIN 
 
Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidak adillah apabila yang membuat pengumuman ‘mendahului keadaan’ (jump the gun) bahawa tempoh moratorium bagi pengeluaran bauksit tamat pada akhir bulan ini ialah Kerajaan Pusat, tetapi yang dipersalahkan setelah ia menerima kritikan hebat ialah Kerajaan Negeri.
 
Inilah yang sebenarnya berlaku selepas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium tamat 31 Mac yang dengannya, kerja-kerja pengeluaran, pengangkutan dan pengeksportan bahan tersebut boleh bermula semula pada 1 April. 
 
Ekoran itu, banyak pihak menghentamnya termasuklah dalam kalangan parti-parti memerintah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri, dan yang paling lantang ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Puan Fuziah Salleh yang juga Ahli Parlimen Kuantan. 
 
Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri yang di bawah Barisan Nasional (BN) diketuai Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, turut menjadi sasaran Ahli Parlimen ini yang semua orang tahu, ‘political survival’nya bergantung penuh kepada isu-isu, bukan sangat kepada perkhidmatannya. 
 
Malangnya, hentamannya terhadap Kerajaan Negeri berhubung isu bauksit ini – sepertimana juga dengan isu pengoperasian Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng sebelum ini; adalah jauh menyimpang daripada kebenaran. 
 
KATS PUTUSKAN PADA 22 FEBRUARI, SOP PERLU DIPERKASAKAN
 
Antara lain beliau bangkitkan tentang soal penyediaan Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang beliau dakwa, Kerajaan Negeri hingga kini masih gagal merangka dan menyediakannya untuk dijadikan panduan oleh operator-operator bauksit.
 
Sedangkan beliau tidak tahu bahawa pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) 22 Februari lepas, telah memutuskan SOP berkenaan perlu diperkasakan lagi sebelum tempoh moratorium tersebut benar-benar ditarik balik.
 
Ini penting kerana dengan SOP inilah juga akan dijadikan sebagai dokumen pengurusan bauksit yang pemakaiannya bukan untuk di Pahang sahaja, tetapi meliputi ke seluruh negara. 
 
Susulan itu, satu bengkel memperkasakan SOP tersebut telah berlangsung di KATS, Putrajaya selama lima (5) hari bermula 25 Februari dan berakhir 1 Mac lepas, yang diurusetiakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). 
 
Selepas ini pula akan dianjurkan semakan awam bagi mendapat maklum balas orangramai khususnya di Kuantan, kemudian dikemas-kinikan lagi sebelum SOP tersebut dimuktamadkan. 
 
SOP DISEDIAKAN MENERUSI BENGKEL DIANJURKAN SEJAK 2016 LAGI
 
Empat perkara asas terkandung dalam SOP ini yang berkaitan dengan pengurusan permohonan dan kelulusan perlombongan; pengurusan pengangkutan; pengurusan tapak ‘stockpile’; dan, pengurusan pengeksportan. 
 
Lama sebelum ini, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan, telah membantu menyediakan SOP tersebut menerusi beberapa bengkel yang dianjurkan bermula tahun 2016 ketika Menteri Besar ialah Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob lagi. 
 
Ahli Parlimen Kuantan itu juga membangkitkan tentang kononnya Kerajaan Negeri belum lagi mengambil tindakan untuk meminda Enakmen tertentu bagi mewajibkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) disediakan ke atas tapak lombong bauksit tidak mengira saiz. 
 
Dalam hal ini, beliau benar-benar tersilap dengan menyangkakan ianya di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri, sedangkan ialah urusan Kerajaan Pusat dengan keperluan Parlimen meminda Akta Kawalan Alam Sekililing (AKAS) 1974.
 
Dan pindaan tersebut telahpun diluluskan oleh Parlimen sejak 2015 lagi, yang antara lain mewajibkan semua tapak lombong bauksit tanpa mengira saiz keluasan, perlu menyediakan Laporan EIA terlebih dahulu.
 
LAPORAN EIA SEDANG DISEDIAKAN, KEMUDIAN PERLU SEMAKAN AWAM JUGA
 
Sebelum pindaan, hanya tanah lombong bauksit berkeluasan lebih 20 hektar sahaja perlu menyediakan Laporan EIA tersebut.
 
Malah sekarangpun, Laporan EIA bagi aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan ini sedang disediakan oleh perunding yang dilantik oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP). 
 
Setelah siap kelak, Laporan EIA ini juga akan melibatkan semakan awam sepertimana SOP yang disebutkan tadi. 
 
Oleh itulah diharapkan, maklumat-maklumat yang tepat haruslah diperolehi sebelum mudah-mudah menuding jari menyalahkan Kerajaan Negeri disebalik tindakan ‘jump the gun’ menerusi Menteri di bawah Kerajaan Pusat sendiri. – Khabar