Sunday 22 March 2020

Inisiatif terkedepan Pahang

... dalam ketegasan dan diplomasi tangani wabak pandemik COVID-19


KETEGASAN DENGAN BERDIPLOMASI... 



Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidaklah keterlaluan untuk menyatakan yang Kerajaan Negeri Pahang terkedepan dalam beberapa inisiatif bagi menangani wabak pandemik COVID-19 termasuk dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 18 Mac dan 31 Mac.

Terkedepannya ia bukan kerana faktor persaingan ‘siapa lebih dahulu’ antara Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri mahupun dengan Kerajaan Pusat, tetapi lebih kerana daya praktikal (practicality) dan daya buat (doability) pada inisiatif-inisiatif tersebut.

Yang pada matlamat akhirnya ialah untuk membendung malah membanteras penularan wabak ini dan pada masa sama, menyejahterakan kehidupan rakyat yang rata-rata – tak kira latar kaum, usia dan kerjaya; terkesan dengannya.

Dan inisiatif-inisiatif ini dicadang, dibincang, diolah dan dilaksanakan sebegitu rupa sehingga ianya dilihat mempunyai elemen ketegasan namun berdiplomasi (stern yet diplomatical).

Antara inisiatif ini ialah arahan penutupan premis perniagaan dari 7 malam hingga 7 pagi keesokannya di lima (5) daerah dikesani ada kes jangkitan wabak itu – Kuantan, Pekan, Temerloh, Bentong, Jerantut yang berkuatkuasa Sabtu, 21 Mac hinggalah akhir tempoh PKP pada 31 Mac.  

UPACARA DI KUIL SRI MARATHANDAVAR... Ada penganut yang mendakwa, upacara di kuil dan perkarangannya ini boleh menggamit penganutnya secara keluar-masuk, mencecah sehingga 400,000 orang!
 

PREMIS NIAGA TUTUP 7 MALAM HINGGA 7 PAGI

Di daerah Cameron Highlands bagaimanapun, tempoh penutupan yang sama ini telahpun dikuatkuasakan sejak bermulanya PKP pada Rabu, 18 Mac lagi.

Ini sepertimana disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN) petang Khamis, 19 Mac di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Susulan itu pada Jumaat, 20 Mac, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak  telah mengeluarkan kenyataan media yang antara lain menyebut –

I. Semua premis yang dibenarkan beroperasi di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),
Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Majlis Daerah Pekan (MDP), Majlis Daerah Jerantut (MDJ), dan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) ditutup bermula jam 7 petang hingga 7 pagi termasuk khidmat pandu lalu (drive-through).

II. Semua kedai serbaneka di stesen-stesen minyak di MPK, MPT, MPB, MDP, MDJ dan MDCH ditutup dari jam 10 malam hingga 6 pagi. Hanya perkhidmatan isian minyak dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen premis sedia ada.

‘PENANG OPEN TO PAHANG-STYLE BUSINESS CLOSURES’

III. Semua kedai serbaneka 24 jam termasuk 7-Eleven di MPK, MPT, MPB, MDP, MDJ dan MDCH ditutup bermula jam 7 petang hingga 7 pagi.

Menurut kenyataan media sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di keenam-enam daerah berkenaan diminta mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan arahan ini dipatuhi.

Ekoran pengumuman inisiatif mengenai arahan penutupan premis perniagaan ini, beberapa Kerajaan Negeri lain seperti Terengganu, Kelantan dan Melaka turut meneladaninya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula menyatakaan kesediaan untuk turut meneladani dengan Ketua Menterinya, Encik Chow Kon Yeow dilapor berkata demikian oleh sebuah portal berita di bawah tajuk ‘Penang open to Pahang-style business closures if COVID-19 still spreads’.

Satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang terkedepan serta yang boleh mengelak malapetaka ialah pengumuman Dato’ Sri Wan Rosdy pada persidangan media sama petang Khamis (19 Mac) itu mengenai kesanggupan pengurusan Kuil Sri Marathandavar menangguhkan upacara ‘Panguni Uthiram’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini.

TANGGUH PERHIMPUNAN 120,000 PENGANUT

“Sukacita juga saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran telah bersetuju dengan pandangan Kerajaan Negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Panguni Uthiram’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini, ditangguhkan.

“Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan keluar-masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut. Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi membendung wabak Pandemik COVID-19 ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Ekoran itulah, beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar, atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan tersebut.

Inisiatif-inisiatif lain yang diumumkan pada persidangan media sama ialah –

I. Menyediakan peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat PKP COVID-19 sepanjang tempoh 14 hari.  

Agihan peruntukan khas ini akan diperincikan kemudian.

BAYARAN BANTUAN AM DIPERCEPATKAN

II. Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan 2,895 penerima.

Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

III. Bagi meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis.

IV. Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang tempoh PKP ini.   

V. Bagi bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan ini.

Mekanisme sumbangan oleh orangramai dan syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.

WARGANEGARA, WARGA KORPORAT BERTANGGUNGJAWAB

“Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri, saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya, In Sya Allah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Beliau turut berkata, akan ada beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi terus menangani wabak Pandemik COVID-19 dan juga untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Semoga dengan ini, usaha kita bersama-sama untuk menangani seterusnya mengatasi wabak Pandemik COVID-19 ini akan berjaya, In Sya Allah,” katanya. – Khabar