Wednesday, 18 March 2020

Akurlah kepada Perintah Kawalan Pergerakan


“Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini,” kata Menteri Besar.

SEMOGA ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA MELINDUNGI KITA SEMUA...  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan sepertimana ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini sepertimana pengumuman dibuat dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam Isnin, 16 Mac berkuatkuasa antara 18 Mac dan 31 Mac demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.
  
Di Pahang katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, telah diaktifkan demi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

“Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.

“Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini,” katanya.

KENYATAAN MEDIA

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar tengah hari Rabu, 18 Mac di sini dan berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media tersebut –

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dan Salam Sejahtera.

01. Berikutan Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Isnin, 16 Mac, mengenai wabak Pandemik COVID-19 khususnya berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, sukacita saya menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah ini.

02. Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.  

03. Negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

SELARAS DENGAN ARAHAN MKN 20

04. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.

05. Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini.

06. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri, telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan Arahan MKN 20 yang antaranya –

# Semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang akan ditutup.

# Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi namun, premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.

GALAKAN PENGGUNAAN PERBANKAN INTERNET

# Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan.  

# Operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini Kementerian-kementerian berkenaan.

# Semua pemegang permit/lesen batuan, mineral dan balak dikehendaki menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut.
# Selaras dengan Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang khusus untuk umat Islam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dan solat berjemaah tidak diadakan. Tetapi, Muazzin dibenarkan melaungkan Azan.  

# Masjid dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) hanya dibenarkan bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.

HANYA PERKHIDMATAN BAWA PULANG

# Pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi, manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

# Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan, begitu juga operasi pasar malam dan ‘car boot sale’.

# Semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat berikut –

Tidak dibenarkan makan di premis,
Hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan pandu lalu dibenarkan.

# Semua bentuk hiburan dan sukan termasuk taman tema, kelab sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai kerajaan serta swasta, pusat hiburan (disko, kelab malam, pub), mesin slot, arked hiburan keluarga (karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya), rumah kesihatan (spa, massage, sauna dan seumpamanya) ditutup.

KEKAL MENGINAP DI ASRAMA

# Urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanyalah untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan.

# Menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dengan had waktu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

# Penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.

# Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja.

# Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja.

TERIMA KASIH BUAT PETUGAS KESIHATAN

# Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.

# Pegawai penguatkuasa bersama (PDRM, PBT, APM, KPDNHEP) akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang telah dikeluarkan. Sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun.

07. Semoga dengan kita akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan serta dengan langkah-langkah lanjutan yang Kerajaan Negeri ambil ini, kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik, In Sya Allah.

08. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 ini. – Khabar