Saturday, 14 March 2020

Pahang kekal tenang


Pahang di bawah teraju Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tenang sejak Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lagi membawa hingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan baharu di bawah Perikatan Nasional hari ini.


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan kembali dengan editan pada tahap minimum, ke atas artikel tulisan wartawan kanan yang juga Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Pahang yang berpangkalan di Kuantan, Sdr Nik Amirul Mu’min Nik Min sepertimana tersiar dalam halaman 16 akhbar Sinar Harian terbitan Jumaat, 13 Mac.

Sepatutnya kita di Pahang berasa syukur kerana wa’ima apa juga kedudukan negeri kita berada – sama ada semasa bersama-sama Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), kemudian sebagai negeri pembangkang di bawah Pakatan Harapan (PH) sebaik-baik selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU), dan kini kembali semula bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan BN bersama-sama komponen dalam Muafakat Nasional (MN) – UMNO dan PAS; serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak;

Hubungan Kerajaan Negeri pimpinan BN (dan kini turut bersama-sama PAS dalam MN) dengan pihak media arus perdana yang sebahagian besarnya milik Kerajaan Persekutuan menerusi Khazanah Nasional mahupun ‘proksi-proksi’nya, tidaklah terjejas teruk.

Jika tidak, sudah pastilah serangan media demi serangan media dilancarkan ke atas Kerajaan Negeri pimpinan BN dan kini MN, yang matlamatnya ialah untuk memberikan gambaran umum tentang betapa teruknya kepemimpinan Kerajaan Negeri hingga sepatutnya turut dikecam rakyat yang akhirnya membuatkan mereka jelek kepadanya.

Namun Alhamdulillah – sebagai seorang yang telah berada lebih dua (2) dekad dalam Kerajaan Negeri ini dan sebagai seorang bekas wartawan BERNAMA, saya boleh katakan bahawa ini tidak pernah berlaku. Kenapa? Sebabnya, rakan-rakan media arus perdana kita adalah mereka yang amat ‘sensible’ dan kita pula amat sedar dan faham serta menghormati kedudukan mereka yang tentunya perlu lebih bertanggungjawab ke atas ‘paymaster’ masing-masing.

Dalam hubungan inilah juga, apabila ada artikel positif yang ditulis oleh media arus perdana sepertimana Sinar Harian berkenaan kepemimpinan Kerajaan Negeri dalam artikel ini, kita sewajibnya terus bersyukur. Janganlah pula – sungguhpun masih agak baharu lalu tidak begitu mengerti tentang ‘the mechanics of our mainstream media-people’, cuba bersinis-sinisan terhadapnya. Wallah-hu‘alam.  


Oleh NIK AMIRUL MU’MIN NIK MIN  

KETIIKA tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH), negeri-negeri di bawah pakatan itu turut terheret dan tergugat menyaksikan beberapa negeri seperti Johor dan Melaka beralih tampuk pemerintahan manakala Perak hampir pasti dapat kerajaan baharu.

Berbeza di negeri Pahang diterajui UMNO/Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjadi negeri pembangkang di bawah kerajaan PH, situasinya terus tenang.

Pahang di bawah teraju Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tenang sejak Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lagi membawa hingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Berikutan situasi politik di negeri ini yang tenang dan stabil, Dato’ Sri Wan Rosdy tidak perlu untuk ‘pening kepala’, malah dalam reaksinya pada 26 Februari lalu beliau yakin pentadbiran BN di Pahang tidak terjejas.

Bahkan tidak perlu menghadap Sultan Pahang bagi mengekalkan jawatan dan barisan pentadbirannya ekoran BN masih menguasai majoriti Dewan Negeri.

CABARAN BERSTATUS PEMBANGKANG

Reaksi itu disuarakan beliau ketika ditanya mengenai keadaan semasa pentadbiran Kerajaan Pahang selepas Kabinet terbubar ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ketika BN tersungkur di tangan PH pada PRU14, hanya Pahang dan Perlis bertahan di bawah BN.

PAS terus diberi mandat di Kelantan dan di Terengganu, Pas menggantikan BN manakala negeri-negeri lain termasuk Johor yang menjadi kubu UMNO terlepas ke tangan PH.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 15 Mei 2018, Dato’ Sri Wan Rosdy berdepan cabaran besar untuk menerajui negeri yang berstatus pembangkang selain dibebani hutang dengan Kerajaan Pusat yang begitu tinggi.

Ketika itu, Pahang tetap tenang. Menteri Besarpun tenang merangka strategi mencorak pentadbiran demi pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya.

PEMBANGKANG YANG MESRA-KERAJAAN PERSEKUTUAN

Memilih pendekatan pembangkang yang mesra-Kerajaan Pusat, Dato’ Sri Wan Rosdy tenang bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam hal-hal yang berkait kepentingan rakyat dan kerana itu, Pahang tidak tersisih.

Bahkan, Pahang antara negeri yang menerima peruntukan terbesar daripada Kerajaan Pusat apabila diluluskan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM2.41 billion untuk pelbagai projek pembangunan di negeri ini di bawah ‘Rolling Plan 4 2019’, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020).

Atas kerjasama baik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat sebelum ini, Dato’ Sri Wan Rosdy turut dilantik sebagai Pengerusi Bersama, Majlis Tindakan Negeri Pahang (MTNP) bersama-sama Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar Negeri ketika itu.

MTNP ditubuhkan Kerajaan Pusat PH bagi memastikan negeri ini terus membangun dan tidak terpinggir.

Selain itu, permasalahan di negeri ini turut mendapat perhatian melalui Menteri dan Timbalan Menteri dari Pahang iaitu Dato’ Sri Saifuddin (PKR); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Puan Fuziah Salleh (PKR); Timbalan Menteri Kerja Raya, Encik Mohd Anuar Tahir (Parti Amanah); dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP) ketika itu.

BN DIPERKUKUHKAN DENGAN KERJASAMA DALAM MN

Dalam konteks politik juga, Pahang terus tenang apabila BN majoriti di Dewan Negeri diperkukuhkan dengan lapan Ahli Dewan Negeri daripada PAS yang dari awal memilih untuk menjadi pembangkang konstruktif sebelum menjadi sekutu melalui Muafakat Nasional (MN) antara UMNO/Pas

Untungnya juga, sembilan (9) Ahli Dewan Negeri PH terdiri daripada DAP dan PKR juga, tidak terlalu agresif sebaliknya masing-masing menjalankan tugas cuma sesekali ‘bersuara’ membangkang terhadap beberapa dasar dan keputusan Kerajaan Negeri.

Juga jarang kedengaran kekecohan akibat pergolakan politik dalaman baik daripada UMNO/BN dan dari PH terdiri DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dengan beralihnya Kerajaan Pusat hari ini, Pahang mungkin akan lebih tenang kerana secara automatik status negeri pembangkang sudah bertukar sebagai negeri blok Kerajaan Pusat.

Sudah pasti di bawah Kerajaan PN dengan dua (2) Menteri dan empat (4) Timbalan Menteri dari negeri ini, ia dijangka akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Negeri khusus dalam kawasan parlimen diwakili.

KEMBALINYA 3 DATO’ SRI ISMAIL

Apatah lagi dengan kembalinya tiga (3) Ismail dalam barisan Kabinet baharu – Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan Pertahanan); Dato’ Sri Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri I); dan Dato’ Sri Ismail Abdul Mutalib (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Ia diperkukuh dengan pelantikan Dato’ Sri Saifuddin sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Encik Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Kewangan II) dan Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I). – Khabar