Sunday, 21 February 2021

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong sempurnakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan

 ... selepas lebih empat dekad Baginda menyempurnakan pemasyhuran Kuantan sebagai perbandaran.  

 

BAGINDA, DALAM SUT BERWARNA BIRU MUDA JUGA, MENURUNKAN TANDA TANGAN SECARA DIGITAL...

NOTA EDITOR ; 

Berikut disiarkan sepenuhnya, teks persembahan ucapan kira-kira 17-minit Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan pagi Ahad, 21 Februari.   

 

DALAM SUT BERWARNA BIRU MUDA - SEMASA BUJANG, BERUSIA 20 TAHUN... Kenangan 40 tahun lepas pada 1 September 1979.

PERSEMBAHAN UCAPAN

YAB MENTERI BESAR PAHANG

MAJLIS PEMASYHURAN BANDARAYA KUANTAN & PERASMIAN KOMPLEKS

BANDARAYA KUANTAN

DEWAN BANDARAYA, KOMPLEKS BANDARAYA KUANTAN  

21 FEBRUARI 2021 (AHAD).  11 PAGI   

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Menghadap,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-

Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah_Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad

Shah Al-Musta’in Billah.

 

Menghadap,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku

Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah

Sultan Iskandar Al-Haj.

 

Menghadap,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni_Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun.

 

01) Patik sebagai hamba tua, mewakili pacal-pacal sekalian, menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, berangkat bercemar duli, bagi menyempurnakan Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya pada pagi ini.

 

02) Sesungguhnya, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku ke majlis pagi ini, telah mengimbau kembali peristiwa hampir sama berlaku lebih 40 tahun lepas, pada 1 September 1979.

 

03) Ketika itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku masih bujang, usia baru mencecah 20 tahun. Tuanku berangkat sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, dalam pakaian sut berwarna biru muda - hampir sama Tuanku pada hari ini, Ampun Tuanku; telah menyempurnakan pelancaran Majlis Perbandaran Kuantan.

 

04) Pelancaran tersebut menandakan kenaikan taraf Kuantan kepada sebuah Perbandaran atau ‘Municipal Council’, daripada hanya sebuah Bandaran atau ‘Town Council’ sebelumnya.

 

05) Pada hari ini, lebih empat dekad kemudian; dinaikkan tarafnya, sekali lagi, kepada sebuah Bandaraya atau ‘City’, dan akan disempurnakan pemasyhurannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga.

 

Ampun Tuanku,

 

06) Bak kata pepatah, ‘lain hulu, lain parang, lain duhulu, lain sekarang’.

 

Sepertimana bezanya status Kuantan sekarang, begitulah juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, yang kini berpermaisurikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sejak lebih tiga (3) dekad lepas.

 

07) Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pagi ini, serta keberangkatan Paduka Anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, telah memberi makna yang lebih besar, kepada seluruh majlis pada pagi ini.

 

08) (Pantun)

 

Ibu mengandung, idamkan mangga,  

Juga mengidam, nasi kebuli,

Menjunjung kasih, tidak terhingga,

Atas keberangkatan, bercemar duli.  

 

Juga mengidam, nasi kebuli,

Idamnya pula, bukan kepalang,  

Atas keberangkatan, bercemar duli,

Majlis berseri, jadi gemilang.

 

PERSEMBAHAN CENDERA KENANGAN BUAT BAGINDA TUANKU...

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun.   

 

09) Dua peristiwa besar, berkaitan status Kuantan ini ialah ‘testimony’ jelas, tentang tingginya keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, terhadap Bandaraya Kuantan.

 

10) Untuk majlis hari ini dan sebelumnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, telah menitahkan ke atas Patik, tentang beberapa perkara yang perlu digerak-aturkan, demi menyaksikan kelancaran dan kejayaannya.

 

11) Patik dengan segera menyampaikan hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, kepada pacal-pacal pentadbir negeri serta agensi berkaitan, demi melaksanakannya.

 

12) Daripada titah tersebut dan daripada pengamatan sebelum ini, Patik dapat simpulkan, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, merupakan Raja Pemerintah yang mementingkan pendekatan ‘hands on’ dan ber-orientasikan keputusan atau ‘result oriented’.

 

13) Oleh itulah, menjadi cabaran dan tanggung jawab Patik pacal-pacal sekalian, untuk sentiasa bersiap siaga, serta berusaha keras, bagi menyempurnakan sesempurna mungkin, titah-titah yang dilafazkan.

 

14) Mengambil iktibar dan pedoman daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, Patik sering menekankan kepada pacal-pacal pentadbir negeri, tentang tanggung jawab bersama, setiap seorang daripada mereka.

 

15) Mereka memunyai tanggung jawab dan peranan yang besar dan relevan, tanpa mengira apa juga kedudukan mereka. Ini sepertimana perbilangan lama Adat Pepatih –

 

Yang buta, penghembus lesung,

Yang pekak, pelepas bedil,

Yang lumpuh, penghuni rumah,

Yang kuat, pembawa beban,

Yang bingung, disuruh-suruh,

Yang cerdik, lawan berunding.

 

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun.

 

16) Patik pohon merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, yang telah memberi kelulusan kepada Majlis Perbandaran Kuantan, dinaiktaraf kepada status Bandaraya, pada mesyuarat Majlis Jemaah Menteri, 8 Mei 2019 yang lalu.

 

17) Sesungguhnya, kelulusan ini membawa erti yang besar, kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, serta rakyat-jelata negeri, terutamanya, di bawah kawasan pentadbiran terlibat serta daerah Kuantan keseluruhannya.  

 

Ampun Tuanku,

 

18) Bak kata orang, ‘tiada yang lama, tiadalah yang baharu’. Begitulah juga dengan naik tarafnya Bandaraya Kuantan, yang kejayaannya hari ini, banyak terhutang kepada daya pemerintahan serta pentadbiran yang lepas.

 

19) Paling utama, ialah sumbangan besar Paduka Ayahanda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah. Semasa hayat Baginda, dari masa ke semasa, Almarhum memandu sendiri kenderaan sekeliling Kuantan sambil meninjau keadaan dan kemajuannya.   

Oleh kerana itu, Patik menjunjung kasih, atas daya-upaya yang telah Almarhum curahkan, demi pembangunan negeri, khususnya kepada kemajuan Bandaraya Kuantan.

 

20) Begitu juga sumbangan oleh hamba tua-hamba tua Menteri Besar terdahulu, serta kerajaan di bawah pentadbiran mereka, termasuklah, para penjawat awam sekalian. Sumbangan ini telah berjaya menjadikan Kuantan terutamanya perkhidmatan perbandaran yang disediakan, sentiasa memenuhi kehendak penduduk setempat.      

 

DALAM PENANTIAN... Foto dirakamkan sementara menunggu keberangkatan tiba KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.

Ampun Tuanku,

 

21) Patik percaya, pemasyhuran Kuantan sebagai Bandaraya, akan dapat memberi impak serta kesan besar terhadap bukan sahaja dalam aspek urus tadbir, malah kepada keseluruhan pembangunan daerah ini.

 

22) Daerah Kuantan dijangka terus membangun, dengan watak dan rupa bentuknya tersendiri, sebagai bandaraya antarabangsa yang sarat dengan nilai, budaya, sejarah serta ampuh ekonominya, sehingga turut menawarkan kualiti kehidupan yang sejahtera kepada penghuninya.

 

23) Sesuai dengan tarafnya sebagai Bandaraya, Patik percaya juga, perkhidmatan yang bakal disumbangkan, adalah sentiasa yang terbaik, supaya dapat terus menyumbang kepada pembangunan yang bersifat lestari dan inklusif.

 

24) Sehubungan itu, Patik pohon menyembah maklum, bahawa Patik serta pacal-pacal di bawah pentadbiran Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, komited dalam merangka strategi pembangunan demi membentuk komuniti Bandaraya, yang memiliki Minda Kelas Pertama atau ‘1st Class Mindset’, menerusi usaha-usaha seperti berikut –

 

# Menyediakan perumahan berkualiti dan selesa dengan segala kemudahan prasarana atau kemudahan yang mencukupi.

 

# Menambah baik kawasan berfungsi sebagai pusat aktiviti fizikal, sosial dan budaya.

 

# Meningkatkan akses kepada penguasaan ilmu pengetahuan melalui pendidikan.

 

Dan,

 

# Memambangunkan komuniti sejahtera dan sihat serta yang berdaya tahan.

 

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun.

 

25) Selain aspek pentadbiran dan sosial, penaiktarafan Kuantan sebagai Bandaraya juga akan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi, yang bakal dinikmati oleh penduduk setempat malah, berlaku limpahan meliputi kawasan pinggir bandar dan bandar-bandar berhampiran seperti bandar Pekan dan Maran.

 

26) Kemudahan seperti infrastruktur jalan raya, telekomunikasi dan pengangkutan akan lebih dipertingkatkan lagi bagi memenuhi keperluan semasa dan peningkatan ‘expectation’ penduduk.

 

27) Satu projek yang bakal menjadi pencetus perubahan, khususnya, ke Kuantan ialah Laluan Rel Pantai Timur sepanjang 640 km, yang bakal menghubungkan dua pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan, yang mampu menawarkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan, untuk diraih oleh penduduk tempatan termasuk di Bandaraya ini.

 

Ampun Tuanku,

 

28) Mungkin ada pihak bersikap ‘sceptical’ atau sangsi, atas keupayaan Kuantan, untuk memenuhi obligasi dan tanggung jawab barunya, sebagai sebuah Bandaraya.

 

29) Sikap ini bolehlah dianggap cabaran besar kepada semua. Namun, rekod kejayaan cemerlang Kuantan di bawah Majlis Perbandaran Kuantan sebelum ini, perlu turut disandarkan, bagi melihat keupayaan sebenarnya.

 

30) Pelbagai pengiktirafan telah dicapai oleh Majlis Perbandaran Kuantan, sehingga diiktiraf Pihak Berkuasa Tempatan terbaik di negara ini, Tuanku. Antaranya, Majlis Perbandaran Kuantan dianugerahkan sebagai Bandar Mampan 2020, bagi ketegori Majlis Perbandaran, sempena Hari Perancang Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan.

 

31) Anugerah ini amat bermakna, kerana ia memberi gambaran Kuantan sebagai sebuah bandar yang sangat selesa, indah dan sesuai untuk didiami dan dikunjungi, disokong dengan pengiktirafan Kuantan, sebagai satu daripada 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia sempena Hari Kebahagiaan Sedunia 2020.

 

32) Majlis Perbandaran Kuantan juga mencapai taraf 5-Bintang setiap tahun sejak 2015, di bawah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan, dan berdasarkan laporan Bank Dunia berkaitan ‘Doing Business’ di Malaysia tahun 2020, Kuantan menduduki tangga kedua dalam aspek memudah carakan urusan permit pembinaan di Malaysia.

 

Ampun Tuanku,

 

33) Di peringkat antarabangsa pula, Majlis Perbandaran Kuantan diiktiraf menerusi penerimaan beberapa anugerah antaranya –

 

# Anugerah Pingat Emas ‘The International Awards Liveable Communities’ di Xianmen, Repubulik Rakyat China.

 

# Anugerah Pingat Emas pada ‘41st International Exhibition of Invention of Geneve.

 

Dan,

 

# Anugerah Bandar Lestari Asean Kategori ‘Clean Water’.

 

34) Dengan segala rekod pencapaian cemerlang sebelum ini, Patik yakin, ia merupakan ukuran dan ‘indicator’ jelas, bahawa Kuantan berada di landasan yang betul, ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan bandar-bandar ternama lain, dan akan berjaya dengan cemerlangnya sebagai sebuah Bandaraya, In Sya Allah.

 

'COMPOSE AND CALM', DALAM PERSEMBAHAN UCAPAN KIRA-KIRA 17-MINITNYA...

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun

 

35) Patik pohon ampuni limpah perkenan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, untuk Patik mengalu-alukan para kenamaan, serta tetamu-tetamu yang hadir.  

 

Ampun Tuanku.  

 

Yang Amat Berhormat,

Perdana Menteri Malaysia,

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin

 

Dan,

Yang Amat Berbahagia,

Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman.

 

Yang Amat Mulia,

Kerabat-kerabat Bergelar.

 

Yang Berhormat,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,

Datuk Hajah Zuraida binti Kamaruddin.

 

Yang Berhormat,

Menteri Komunikasi dan Multimedia,

Dato’ Saifuddin bin Abdullah.

 

Yang Berhormat,  

Yang Dipertua Dewan Negeri,  

Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhamad

 

Dan,

Yang Berbahagia,

Datin Sri Dato’ Khadijah binti Ibrahim.  

 

Yang Berhormat,

Timbalan Menteri Kewangan II,

Tuan Mohd Shahar bin Abdullah.

 

Yang Berhormat,  

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,

Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd. Mutalib.

 

Yang Berhormat,

Setiausaha Kerajaan Negeri,  

Dato’ Sri Dr Salehuddin bin Ishak

 

Dan,

Yang Berbahagia,

Datin Sri Kamariah binti Mohd.  

 

Yang Mulia,  

Kerabat-kerabat.

 

Yang Berhormat,  

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 

Yang Hormat,  

Ahli-ahli Jumaah Pangkuan DiRaja Negeri

 

Yang Hormat,

Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’ Indera-Dato’ Indera, Dato’-Dato’.  

 

Yang Hormat,

Dato’ Hamdan bin Hussin,

Yang Dipertua,

Majlis Perbandaran Kuantan.

 

Ahli-ahli Yang Berhormat.

 

Ahli-ahli Majlis,

Majlis Perbandaran Kuantan.

 

Yang Berbahagia,

Ketua-ketua Jabatan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan.   

 

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun

 

36) Sekianlah sahaja persembahan ucapan Patik yang tidak sepertinya ini.

 

37) Patik mewakili pacal-pacal sekalian, pohon ampun dan maaf ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, sekiranya, terdapat sebarang kekurangan dalam penganjuran majlis ini, atau terdapat apa-apa keterlanjuran tutur-kata dalam persembahan ucapan Patik.  

 

38) Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga dikurniakan taufik hidayah, sihat-wal‘afiat ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

 

39) Patik juga bermohon, agar dipelihara dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga memberkati hari-hari pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

 

40) Patik turut mendoakan, moga-moga dipelihara dan diredhai Allah Subhanahu Wata’ala, ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni_ Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah;  

 

41) Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda Putera dan Puteri, Cucunda dan kerabat, para pemimpin, alim ulama’, muslimin dan muslimat, dengan mendapat keredhaan dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata‘ala.  

 

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Pohon Diampun.

 

‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.   

 

Ampun Tuanku.


ARTIKEL SIARAN 27 FEBRUARI... Artikel ini tersiar pada halaman 14 akhbar Utusan Malaysia keluaran Sabtu, 27 Februari atau genap seminggu selepas Majlis Pemsyhuran Bandaraya Kuantan.  - Khabar