Friday 26 February 2021

“… seikhlasnya, tak ada rasa apa-apa. Kalau isteri kita cubit lagi sakit”

… kata Menteri Besar ditanya wartawan, sakit-tidaknya menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer BioNTech pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri.

 

'TAK RASA APA-APA'...

 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN“... seikhlasnya, tak ada rasa apa-apa. Kalau isteri kita cubit lagi sakit,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang serentak itu terderai ketawa mereka yang hadir.

Ini disebutnya secara spontan sebagai menjawab soalan wartawan tentang sakit-tidaknya setelah menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer BioNTech pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri petang Jumaat, 26 Februari, di sini.

Dato’ Sri Wan Rosdy ialah yang pertama menerima suntikan vaksin tersebut, disusuli 114 yang lain pada hari ini termasuk Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak;

Beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; beberapa Ahli Dewan Negeri termasuk pembangkang; serta pegawai-pegawai Kerajaan dalam kalangan ‘frontliners’ seperti Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah.  

Malah, menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau telah turut dipantau selama setengah jam sesudah ‘dicucuk tadi’ dan didapati, tiada apa-apa perubahan atau kesan-kesan alahan yang beliau alami.

JIKA PEMIMPIN NOMBOR 1 KITAPUN TIADA MASALAH, JADI APA PULA MASALAH KITA UNTUK TURUT MENERIMA SUNTIKANNYA KAN?... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Dato' Sri Norolazali Sulaiman dan Dato' Dr Bahari (berbaju-t biru). 

AMARAN UNDANG-UNDANG TERHADAP PENGHASUT ANTI-VAKSIN

“Jadi saya menyeru kepada semua rakyat negeri Pahang supaya jangan rasa bimbang untuk menerima suntikan vaksin ini kerana sayapun telah dicucuk tadi dan telah dipantau selama setengah jam, Alhamdulillah, tidak ada kesan-kesan alahan ataupun apa-apa,” katanya.

Apatah pula menurut Meteri Besar itu lagi, suntikan yang akan dilaksanakan dua (2) dos bagi setiap orang ini, adalah diberikan secara percuma oleh Kerajaan kepada semua penerima.

Sehubungan itu beliau mengingatkan segelintir pihak anti-vaksin tentang Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 505 (B) yang menetapkan, mana-mana individu menghasut atau menakut-nakutkan orangramai daripada mendapatkan suntikan ini dan disabitkan kesalahan, boleh didenda pejjara maksimum dua (2) tahun, atau denda, atau kedua-keduanya sekali.

Sungguhpun suntikan vaksin ini tidak diwajibkan tetapi sudahpun ada sesetengah negara yang dikatakan berura-ura menyekat kemasukan bukan warganegara ke negara mereka jika tidak dapat membuktikan mereka telah disuntik vaksin berkenaan.  

“Oleh itu saya menyerulah kepada semua rakyat di negeri Pahang ini supaya menerima suntikan vaksin ini yang diberikan secara percuma oleh Kerajaan. Sekiranya kita tidak mengambil vaksin ini, sedikit-sebanyak akan mengganggu juga kehidupan seharian kita,” tegasnya.

PETIKAN PERSIDANGAN MEDIA DALAM SIARAN BERITA PERDANA 8 MALAM TV1...

SASARAN SUNTIKAN KE ATAS 1.12 JUTA PENDUDUK PAHANG

Beliau seterusnya berkata, pemberian suntikan vaksin di Pahang sepertimana negeri-negeri lain, akan melalui tiga (3) fasa. Di bawah Fasa 1 melibatkan ‘frontliners’ melibatkan 32,175 orang.

Fasa 2, seramai 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas, dan golongan berpenyakit kronik atau diistilahkan ‘comorbid’, bermula April.  

Dan Fasa 3, seramai 700,000 orang dalam kalangan mereka berusia 18 tahun dan ke atas, bermula Mei hinggalah Februari tahun depan (2022).

“Sasaran Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri ialah seramai 1.12 juta rakyat di negeri Pahang ini akan disuntik. Kita ada lebih kurang 1.67 juta (penduduk Pahang). Jadi sasaran kita, 1.12 juta (atau 70 peratus daripada jumlah penduduk),” katanya lagi.

Kepada soalan wartawan mengenai usaha sama ke atas penduduk Orang Asli katanya, ia akan dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat.

ORANG ASLI TURUT TERLIBAT

“Dan saya fikir, tidak ada masalah (untuk penduduk dalam kalangan Orang Asli ini menerima suntikan vaksin masing-masing), kerana ini untuk kebaikan mereka juga,” katanya.

Menjawab soalan tentang sasaran Kerajaan Negeri bagi menyempurnakan keseluruhan aktiviti suntikan vaksin ini katanya, “… kita cuba selesaikan secepat mungkin, pada tahun ini juga atau sehingga Februari tahun depan. Apapun bergantung kepada vaksin sampai ke negara kita”. – Khabar