Wednesday 24 February 2021

Pahang pertama selepas Putrajaya/Kerajaan Persekutuan terima vaksin COVID-19

 

KOTAK PERTAMA, 'SHIPMENT' PERTAMA... Dato' Sri Wan Rosdy secara simbolik, menerima kotak pertama, 'shipment' pertama vaksin jenis Pfizer pada tengah hari ini.

 

PERKARANGAN, HOSPITAL TENGKU AMPUAN AFZAN (HTAA), KUANTAN – Pahang menjadi destinasi pertama ‘shipment’/penghantaran vaksin berkaitan COVID-19 selepas Putrajaya, dengan penerimaan 23,400 dos hari ini.

Penerimaan disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada satu majlis ringkas diiringi bacaan doa selamat oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Johari Hussein pada tengah hari Rabu, 24 Februari di sini.

“Hari ini, Kerajaan Negeri Pahang menerima ‘shipment’ pertama sebanyak 23,400 dos untuk negeri Pahang di bawah FASA 1. InsyaAllah, kita akan menerima dalam enam (6) ‘shipments’ yang dihantar secara berperingkat-peringkat dalam masa yang terdekat,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy ketika ditemui media.

“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya kepada YB Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) yang telah mengatur (penghantaran) vaksin ini pada hari ini,” katanya lagi.

Menurutnya, vaksin yang diterima ini ditempatkan di lima (5) hospital iaitu di HTAA, sebanyak 9,360 dos; Hospital Lipis, Kuala Lipis, 4,680 dos; di Hospital Sultan Hj Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, 4,680 dos juga; Hospital Muadzam Shah, Rompin, 3,510 dos; dan di Hospital Bentong, 1,170 dos.

MENGAMATI SECARA LEBIH... 

SUNTIKAN PERTAMA PADA JUMAAT

Beliau juga berkata, suntikan pertama yang melibatkan beliau sendiri serta tidak lebih 100 orang dalam kalangan ‘frontliners’ termasuk Ahli-ahli Dewan Negeri, akan dibuat pada hari Jumaat, 26 Februari.  

“Semuanya telah diatur – saya sendiri telah mendengar taklimat daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), PDRM; semua telah disusun dengan baik,” katanya lagi.

Menurut maklumat yang disediakan, ketibaan vaksin jenis Pfizer di HTAA hari ini, ialah bagi ‘shipment’ pertama (1) daripada enam (6) ‘shipments’ di bawah FASA 1 Program Vaksinasi bagi COVID-19 untuk ‘frontliners’ di Pahang.

Kesemua 23,400 dos ini akan melibatkan suntikan yang bakal diberi kepada 11,700 ‘frontliners’, dan setiap seorang ‘frontliner’ akan menerima dua (2) dos dengan jarak masa 21 hari atau tiga (3) minggu selepas suntikan dos pertama.

Selepas ‘shipment’ pertama ini, akan ada lagi lima (5) ‘shipments’ masih di bawah FASA 1 untuk ‘frontliners’.

BACAAN DOA SELAMAT... Bacaan doa turut disempurnakan.

SEBANYAK 6 SHIPMENTS DI BAWAH FASA 1 LIBATKAN 64,350 DOS UNTUK 32,175 ‘FRONTLINERS’ PAHANG

Akhirnya, keenam-enam ‘shipments’ ini berjumlah 64,350 dos, ialah untuk suntikan ke atas 32,175 ‘frontliners’ di seluruh Pahang dan jumlah ini telah meningkat daripada jangkaan awal sebelum ini, seramai 28,000 orang.

Jika jumlah ‘frontliners’ ini bertambah kelak, selebihnya akan menerima suntikan masing-masing di bawah FASA 2 pula yang bagi kalangan warga emas 60 tahun ke atas serta yang mengalami penyakit kronik. – Khabar