Friday 5 February 2021

Penempatan pelajar daripada ibubapa dijangkiti COVID-19 di Stesen Kuarantin KUIPSAS

“Ini adalah bagi tujuan supaya anak-anak kita tidak terjejas untuk menghadapi peperiksaan SPM (2020) yang akan diadakan pada 22 haribulan ini.

“Jadi, mereka boleh memberi tumpuan, boleh fokus dan In Sya Allah, akan menghadapi peperiksaan dengan keadaan yang stabil, tenang dan kita doakan supaya mereka tidak terganggu apabila mereka menghadapi peperiksaan nanti,” kata Menteri Besar.

BERKOMUKASI DENGAN PELAJAR DI BLOK ASRAMA MENERUSI 'INTERCOM'... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan sedang berbual, bertanya khabar dengan para pelajar menerusi alat komunikasi suara tersebut. Yang turut kelihatan ialah Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawawi Zainal Abidin (berbaju Melayu).

 

DEWAN BARAKAH, KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KUIPSAS), KUANTAN – Atas keprihatinan Kerajaan Negeri bagi memastikan anak-anak pelajar daripada keluarga yang dijangkiti wabak pandemik COVID-19 tidak terganggu pembelajaran mereka bagi menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 pada 22 Februari ini;

Inisiatif menempatkan anak-anak pelajar ini ke apa dikenali ‘Stesen Kuarantin (QS; Quarantine Station) KUIPSAS’ di sini, telah dilaksanakan bermula semalam, Khamis, 4 Februari, dengan kemasukan 19 orang – 12 lelaki dan tujuh (7) perempuan.

Mereka ialah dalam kalangan anak-anak kepada ibubapa yang juga staf Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), yang dikesani dijangkiti penyakit tersebut dalam tempoh beberapa hari lepas.

Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah berkunjung ke sini pagi Jumaat, 5 Februari bagi meninjau keadaan termasuk diberi penerangan ringkas kemudian berbual-bual dengan anak-anak pelajar ini yang berada di blok asrama, menerusi sekadar alat komunikasi suara ‘intercom’.

Beliau kemudian menemui wartawan pada persidangan media, bagi menjelaskan beberapa perkara tentang penempatan sementara anak-anak pelajar ini di sini dan menurutnya; “Ini adalah bagi tujuan supaya anak-anak kita tidak terjejas untuk menghadapi peperiksaan SPM (2020) yang akan diadakan pada 22 hari bulan ini.

DIBERI TAKLIMAT RINGKAS... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Prof Madya Dr Mohd Zawawi ialah Pengarah JPNP, Encik Zaimi Abu Bakar (dua dari kanan).

KEMUDAHAN PdPR TURUT DISEDIAKAN

“Jadi, mereka boleh memberi tumpuan, boleh fokus dan insyaAllah akan menghadapi peperiksaan dengan keadaan yang stabil, tenang dan kita doakan supaya mereka tidak terganggu apabila mereka menghadapi peperiksaan nanti”.

Beliau memuji tindakan yang disifatkannya sebagai proaktif ini, hasil kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan KUIPSAS yang menurutnya, sudi – tanpa banyak karenah birokrasi, menempatkan pelajar-pelajar ini.

Di sini kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, anak-anak pelajar diberi kemudahan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian selain makan-minum yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka juga katanya, ditempatkan di blok asrama dengan setiap seorang menghuni sebuah bilik dan pula telah ditentukan agar akur kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dan hari inipun saya tidak boleh berjumpa dengan pelajar-pelajar, hanya diberi peluang untuk bercakap melalui ‘intercom’. Dan inilah antara SOP yang telah ditentukan dan saya harap semua patuhi SOP yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa.

PENEGASANNYA PADA SESI PERSIDANGAN MEDIA...

HUBUNGI PELAJARPUN MENERUSI ‘INTERCOM’

“Kerana semangat untuk memutuskan penularan COVID-19 ini ialah dengan mematuhi SOP. ‘That is the spirit’. Makna, penjarakan sosial, guna ‘hand sanitizer’, basuh tangan, pakai pelitup muka, dan tidak perlu kumpul beramai-ramai,” tegasnya.

Mengenai tempoh penempatan tersebut katanya; “Saya telah bagi tahu tadi kepada Pengarah Pendidikan dan KUIPSAS, mana-mana pelajar yang dimasukkan ini, pastikan akan menduduki peperiksaan di sini juga.

“Dan mereka hanya akan keluar (dari sini) sekiranya bila mereka balik (ke rumah) nanti, rumah mereka dalam keadaan yang bebas daripada COVID. Makna, ibubapa mereka sudah bebas daripada COVID”.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Wan Rosdy menyarankan agar jika ada lagi anak-anak pelajar yang bakal menduduki SPM 2020 tahun ini dan ibubapa mereka dikesan positif COVID-19 agar segera mendaftarkan diri ke sini.

Menurutnya, terdapat 200-bilik di blok asrama di KUIPSAS yang boleh menampung kemasukan lebih ramai anak-anak pelajar berkenaan dan setakat ini, cuma 19-bilik yang dihuni.  

KELULUSAN SERTA-MERTA RM10,000

Beliau seterusnya mengumumkan Kerajaan Negeri meluluskan serta-merta RM10,000 – selain peruntukan sedia ada; bertujuan membolehkan anak-anak pelajar memperolehi peralatan keperluan peribadi/harian seperti alat tulis dan sabun mandi serta syampu.

Peruntukan ini menurutnya lagi, akan ditambah mengikut keperluan daripada masa ke semasa. – Khabar