Thursday 4 February 2021

Rumah Rakyat Pahang (RRP) percuma untuk rakyat termiskin, memerlukan

“… kita tak nak dengar projek (RRP ini) terbengkalai, tak siap, ada masalah itu ada masalah ini sebagainya,” tegas Menteri Besar, yang jelas menitik-beratkan soal pelaksanaan RRP termasuk daripada aspek tempoh masa penyiapannya.   

RUMAH KONKRIT DENGAN KOS RM65,000 DIBERI PERCUMA... Dato' Sri Wan Rosdy disertai Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - (dari kiri) Dato' Aziz Mat Kiram dan Dato' Abd Rahim Muda, serta Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato' Ishak Md Napis bersesi foto depan RRP milik Puan Norhayati di Kampung Menson, Cameron Highlands pada majlis penyerahan petang Khamis, 3 Disember 2020. 

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Kalau hujan, atap selalu bocor dan kami terpaksa duduk berhimpit menahan sejuk. Dalam satu kejadian, saya terdengar bunyi sesuatu di belakang rumah dan sebab tak sedap hati terus terjun ke bawah.

“Tak lama kemudian, dua batang pokok menimpa rumah,” kata ibu tunggal beranak dua Puan Norhayati Bedak, 48, masyarakat Orang Asli suku Semai di Kampung Menson, Cameron Highlands, mengisahkan kehidupan sukar sebelum ini, menghuni rumah usang diperbuat daripada buluh.

Bagaimanapun, semua itu berakhir setelah kini menerima dan menduduki Rumah Rakyat Pahang (RRP) – rumah konkrit sesebuah bernilai RM65,000 secara percuma daripada Kerajaan Pahang.

“Kami anak beranak gembira sangat apabila dapat tahu layak menerima rumah baharu. Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri dan MB (Menteri Besar). Hanya tuhan sahaja yang dapat membalas jasa MB,” kata Puan Norhayati lagi.

Puan Norhayati ialah dalam kalangan rakyat termiskin dan memerlukan, menerima manfaat daripada program RRP yang dilaksanakan atas idea Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

LAGI PENYERAHAN RRP DI KAMPUNG KELEDEK, LIPIS... Foto ini pula dirakam pada majlis penyerahan pagi Khamis yang sama. 

LIMA BUAH SIAP DALAM TEMPOH 9 BULAN

Diputuskan untuk membina 98 buah RRP di seluruh negeri pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 26 Februari 2020, dan selepas hanya sembilan (9) bulan, lima (5) daripadanya telah siap dan diduduki, termasuk sebuah oleh Puan Norhayati. Baki lagi 93 buah ada antaranya siap dan hampir siap, serta turut bakal diduduki.

RRP bermatlamat menyediakan rumah yang selamat dan selesa secara percuma kepada golongan B40 yang tidak memiliki rumah atau rumah sedia ada berkeadaan daif dan tidak selamat diduduki.

Spesifikasi bagi setiap RRP ini pula ialah jenis rumah sesebuah setingkat, berkeluasan binaan 750 kaki persegi, tiga bilik tidur, masing-masing satu ruang tamu, dapur dan ruang makan, serta dua bilik air dilengkapi jubin seramik.

Kesemua 98 buah RRP ini disasarkan dibina bagi tahun 2020 dengan agihan dua buah bagi setiap 42 kawasan Dewan Negeri yang terdapat di negeri ini atau kesemuanya 84 buah, serta sebuah bagi setiap 14 kawasan Parlimen atau kesemuanya 14 buah lagi.

Bagi tahun 2021 ini pula, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk membina 100 buah lagi – lebih dua daripada tahun 2020, dan dijangka dapat memulakan pembinaannya pada akhir Mac.

RUMAH USANG DARIPADA BULUH PUAN NORHAYATI, TINGGAL KENANGAN KINI...

DATO’ DO DIMINTA HUBUNGI WAKIL RAKYAT SETEMPAT

“… kita tak nak dengar projek (RRP ini) terbengkalai, tak siap, ada masalah itu ada masalah ini sebagainya,” tegas Dato’ Sri Wan Rosdy, yang jelas menitik-beratkan soal pelaksanaan RRP termasuk daripada aspek tempoh masa penyiapannya.   

“Kita sudah bagi arahan supaya Dato’ DO (Pegawai Daerah) akan terus menghubungi Ahli-ahli Dewan Negeri (dan Ahli-ahli Parlimen) di kawasan masing-masing dan mereka diminta beri (senarai) nama penerima dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian yang dipengerusikan oleh Dato’ DO,” tegasnya lagi.

Kriteria kelayakan penerima RRP secara amnya ialah, mestilah disahkan miskin tegar atau miskin, dan berdaftar dalam bank data kemiskinan nasional atau e-kasih atau diperaku dan disahkan layak oleh mesyuarat Focus Group Daerah (FGD) atau Focus Group Negeri (FGN).

Penerima juga mesti disahkan tidak mempunyai rumah atau rumah sedia ada diperakui usang, daif atau tidak selamat diduduki. Dan penerima juga mestilah yang memiliki tanah sendiri atau sebahagian daripadanya, yang perlu mendapatkan kebenaran pemilik tanah yang lain.

Bagi menjayakan RRP ini, Kerajaan Negeri menetapkan bahawa sumber kewangannya ialah Kerajaan Negeri serta daripada Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) yang ditubuhkan sejak akhir tahun 2019.

ARTIKEL SAMA SIARAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA PADA JUMAAT, 5 FEBRUARI DI HALAMAN 14...

 

PERUNTUKAN RM6.37 JUTA

Peruntukan yang diluluskan bagi pembinaan 98 buah RRP tahun 2020 sahaja ialah RM6.37 juta iaitu RM980,000 daripada Kerajaan Negeri sendiri dan baki, RM5.39 juta daripada TPRP.

Dana bagi TPRP pula diperolehi hasil sumbangan pemaju perumahan di negeri ini yang diberi pilihan sama ada membina Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) di satu-satu kawasan perumahan yang hendak dimajukan yang jika tidak, dimestikan membayar Wang Gantian yang disalurkan ke TPRP.

Dan kadar Wang Gantian ini adalah berdasarkan lokaliti kawasan perumahan berkenaan – kadar yang berbeza-beza bagi kawasan yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Sehingga akhir tahun 2020, sumbangan yang diterima oleh TPRP ialah kira-kira RM13 juta, mengatasi jangkaan asal cuma RM6 juta. (Kutipan pada akhir tahun 2019 cuma RM300,000).  

Bagi memenuhi dan menampung permintaan RKSR berharga RM90,000 sebuah yang mana kini, pihak pemaju tidak lagi wajib tetapi diberi pilihan untuk membinanya; Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembinaan ‘Rumah Makmur’ berharga lebih murah iaitu RM80,000 sebuah.  

RUMAH MAKMUR RM80,000 ALTERNATIF KEPADA RUMAH KOS SEDERHANA RENDAH RM90,000

Sehingga kini, sebanyak 7,088 Rumah Makmur – rumah teres setingkat yang dijayakan dengan kerjasama pihak pemaju perumahan juga, telah diluluskan dan sebanyak 692 unit mula dibina tahun lepas.

Dengan ini, ia merupakan keadaan menang-menang kepada semua dan dalam hal RRP, sudah tentulah memanfaati rakyat termiskin dan memerlukan demi menjagai kebajikan dan kesejahteraan mereka. – Khabar