Wednesday, 13 June 2018

‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’

“... saranan saya selaku Menteri Besar – berbelanjalah, tetapi, berbelanjalah sekadar termampu dan berbelanjalah seperti,  ‘mengukur baju di badan sendiri’,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam Perutusan Hari Raya pertamanya sebagai Menteri Besar.  


NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan sepenuhnya, Perutusan Hari Raya Aidil Fitri oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Perutusan ini telah dirakam pada malam Jumaat, 8 Jun di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 800, Jalan Teluk Sisek Kuantan.

Rakaman berbentuk audio-video dilakukan oleh Stesen TV-stesen TV RTM, dan TV3, serta Pahangku Media. Transkrip rakaman ini pula diedarkan kepada organisasi berita-organisasi berita tempatan pada Rabu, 13 Jun, untuk siaran tanpa penetapan apa-apa ‘embargo’.    

RAKAMAN PADA MALAM JUMAAT, 8 JUN...  Di sisi Dato' Sri Wan Rosdy ialah isteri tercinta, Datin Sri Burhah Mohammed.  


KEDIAMAN RASMI MB, JALAN TELUK SISEK, KUANTANAllahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walilla-hilhamd.

'Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh'.

Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.

01. Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat allah subhanahu wata‘ala, kerana dengan limpah rahmat dan hidayatNya, kita dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah, bersamaan dengan tahun 2018.

02. Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta seisi keluarga, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada Muslimin dan Muslimat di seluruh negara, khususnya negeri Pahang Darul Makmur.

03. Alhamdulillah, setelah sebulan kita berpuasa dalam bulan Ramadan al-Mubarak, kini tibalah masa kita menyambut Hari Raya, pada 1 Syawal.  

04. Sesungguhnya, ini merupakan sambutan hari kemenangan kita bersama, dalam menempuhi segala cabaran semasa kita berpuasa selama sebulan yang lepas.

05. Banyak yang kita dapat pelajari daripada mengerjakan ibadah pada bulan puasa. Paling tidak, kita diajar supaya bersabar daripada cabaran berlapar dan berdahaga, selain bersabar daripada terbabit dalam amalan-amalan yang boleh mengurangkan pahala ataupun membatalkan puasa.


 
06. Selepas melalui tempoh sebulan ini, maka tibalah kita pada hari menyambut kemenangan  kita, dan kita dituntut untuk bergembira meraikannya.

07. Antara cara kita meraikan sambutan perayaan ini tentulah dengan meneruskan amalan kunjung-mengunjung antara sesama kita.

08. Kunjung-mengunjung ini pula bukan setakat yang melibatkan adik-beradik atau saudara-mara terdekat dan jauh; tetapi turut melibatkan rakan-rakan serta jiran-jiran.

09. Sesuai pula dengan kehidupan rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibbah dan perpaduan.

10. Satu daripada punca utama berlangsungnya kestabilan politik dan keutuhan ekonomi negara selama ini ialah kerana adanya semangat muhibbah dan perpaduan dalam kalangan kita.



11. Maka, semangat ini hendaklah terus dijelmakan dalam kehidupan seharian kita, termasuklah semasa menyambut perayaan sepertimana Hari Raya Aidil Fitri ini.

Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.

12. Memang tidak dinafikan, keadaan ekonomi negara masih lagi mencabar ketika ini namun perayaan seumpama ini perlulah diteruskan juga.

13. Dengan keadaan mencabar ini, mungkin ada yang berpandangan perlu bagi kerajaan menyarankan agar muslimin dan  muslimat dan rakyat sekelian, mengamalkan sikap berjimat-cermat serta ‘berjerut-perut’.

14. Namun sesungguhnya, ‘berjerut-perut’ bukanlah kaedah yang terbaik. Sebaliknya, jika ia diamalkan oleh kerajaan terutamanya, ekonomi negara akan terkesan secara negatif hingga boleh menyebabkan ekonomi keseluruhannya menguncup.

15. Ekonomi yang menguncup sesungguhnya, adalah tidak baik untuk negara.

16. Oleh itulah, saranan saya selaku Menteri Besar – berbelanjalah, tetapi, berbelanjalah sekadar termampu dan berbelanjalah seperti,  ‘mengukur baju di badan sendiri’.

17. Hanya dengan ini, selain kita dapat terus bergembira menyambut hari kemenangan ini; kita juga sebenarnya membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

18. Kerajaan Negeri pimpinan saya pula, akan terus berusaha dengan apa juga sumbangan yang boleh diupayakannya, untuk memastikan ekonomi negeri dan juga negara, kembali sihat.

19. Ke arah itu, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan terus menjalinkan hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan yang di bawah Pakatan Harapan sekarang.

20. Ini perlu dilakukan bagi memastikan negara dan negeri Pahang terutamanya, akan terus terpelihara kemakmurannya demi kesejahteraan rakyat juga.

Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.

21. Mengambil kesempatan ini, sukalah saya berpesan kepada semua khususnya yang akan mengambil  perjalanan darat untuk ‘balik kampung’, supaya meneruskan amalan ‘berhati-hati di jalan raya’.

22. Janganlah kerana hendak ghairah tiba ke kampung halaman  masing-masing, aspek keselamatan jalanraya dikompromikan.

23. Ini perlu terus disarankan tanpa jemu-jemu memandangkan saban tahun, perjalanan-perjalanan ‘balik kampung’ sentiasa sahaja dicemari dengan angka-angka kemalangan dan kematian penggunanya, yang meningkat.

24. Oleh itulah, perbetulkan semula sikap kita masing-masing khususnya para pemandu dan penunggang pelbagai kenderaan. Kekallah kita dalam kesedaran untuk ‘biar lambat, asalkan selamat’.

25. Kepada golongan anak-anak muda pula, janganlah terus-menerus menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah mereka yang tercedera apatah pula meninggal dunia, akibat gejala bermain mercun.

26. Sudah-sudah dan cukup-cukuplah, serta insaflah; agar hari raya ini dapat memberi erti yang lebih bermakna dan berkesan kepada kita semua.  

27. Pada kesempatan ini, saya tidak lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada anggota-anggota keselamatan kita terutamanya anggota-anggota polis dan tentera, yang terpaksa berkhidmat pada hari perayaan ini.

28. Tugas dan tanggungajawab tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya, adalah besar demi memastikan keselamatan negera terus terpelihara, yang memungkinkan rakyat sekelian dapat hidup aman dan sentosa.

29. Sesungguhnya pengorbanan besar ini amat dihargai dan disanjungi.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walilla-hilhamd.

Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.

30. Sempena Hari Raya Aidil Fitri ini, sukacita saya mengajak Muslimin dan Muslimat semua, serta rakyat-jelata pelbagai anutan agama; ke Rumah Terbuka Menteri Besar pada 1 Syawal, bermula 2.30 petang hingga 6 petang, bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

31. Sudah menjadi tradisi, tahun demi tahun; Rumah Terbuka ini dianjurkan dan ini kali pertama saya sebagai Menteri Besar, menjadi tuanrumahnya.

32. Datanglah dalam pakaian baharu Hari Raya, dan bagi yang bukan Islam, datanglah dalam pakaian yang sepatutnya. Jamulah juadah yang dihidangkan dengan seadanya, sambil menjalinkan hubungan silaturrahim sesama semua.

33. Semoga dengan ini, sambutan Hari Raya di Rumah Terbuka Menteri Besar akan menjadi lebih bermakna serta memenuhi matlamat penganjurannya, insyaAllah.

Muslimin dan muslimat yang saya hormati sekelian.

34. Sekianlah sahaja perutusan daripada saya. Sekali lagi saya ucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri’, Maaf, Zahir dan Batin.

‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamaualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. – Khabar  



Saturday, 9 June 2018

Hasrat dan Cabaran, serta Hala-tuju Pahang di bawah kepimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sebagai Menteri Besar, sudah tentulah saya ingin melihat kebajikan rakyat negeri Pahang ini daripada segenap segi, akan dapat dipertingkat dan diperkemaskan,” katanya.

DATO' SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL... 


NOTA EDITOR;

Asalnya, Menteri Besar baharu kita, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail agak ‘reluctant’ untuk memberikan temubual eksklusif sepertimana hasil/tulisannya disiarkan dalam halaman 9 akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad, 10 Jun.

‘Reluctant’nya beliau penulis boleh fahami. Sementelah beliau, sepertimana yang penulis kenalinya sejak berbelas-belas tahun lepas; bukanlah seorang yang suka kepada ‘limelight’. Sebaliknya, beliau seorang yang lebih suka ‘let one's work to do the talking’ kerana mempercayai betapa ‘actions speak louder than words’.

Namun, atas kesedaran betapa beliau kini ialah pemimpin eksekutif negeri yang ‘numero uno’;tentunya apa yang menjadi hasrat dan hala-tujunya dalam memimpin pentadbiran negeri, perlu turut diketahui oleh segenap penduduk negeri.

Dan, antara ‘platform’ terbaik untuk menguar-uarkannya tentulah menerusi pelbagai saluran media termasuklah Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia – ya, akhbar milik UMNO Malaysia tetapi, masih yang paling tinggi pengedarannya di seluruh negara.

Maka, dipersetujui dan berlangsunglah temubual eksklusif ini pada malam Jumaat lepas, 8 Jun bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 800, Jalan Teluk Sisek, Kuantan. Temubual berlangsung selepas Majlis Berbuka Puasa bersama-sama dengan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Berikut disiarkan sepenuhnya hasil temubual tersebut yang dikendalikan oleh Ketua Biro, Utusan Malaysia cawangan Pahang, Sdr Mohd Shariza Abdullah, dibantu oleh anak buahnya, wartawan Sdr Mohamad Shofi Mat Isa dan jurufoto, Sdr Ahmad Zakki Jilan. MSA merujuk kepada Mohd Shariza Abdullah manakala DSWR ialah Dato’ Sri Wan Rosdy.


MSA; Rakyat mungkin belum mengenali Dato’ Sri. Siapa sebenarnya Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini memegang jawatan Menteri Besar ke-15 ini?

DSWR; Saya sebenarnya anak kampung, menetap di kawasan pedalaman dan belajar di daerah Lipis. Saya melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang Diploma Pengajian Perdagangan.

Selepas itu, saya bekerja sekejap sebelum menyambung pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Maknanya, saya ini anak kampung yang duduk di Tanjung Gahai. Infrastruktur langsung tiada pada waktu itu, membaca buku pakai pelita dan kena menaiki bot untuk ke sekolah dan ke bandar.

MSA; Pernah menjadi pegawai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan Bernas, bagaimana Dato’ Sri boleh terlibat dalam politik dan mengapa memilih UMNO sebagai landasan perjuangan?

DALAM AKSI DAN 'ELEMENT'NYA... 


INGIN BALAS JASA KERAJAAN  

DSWR; Semasa bertugas dengan LPN sekejap kemudian dikorporatkan dan diswastakan, saya sedar bahawa saya boleh belajar, boleh buat diploma dan ijazah sebenarnya adalah disebabkan oleh Kerajaan yang ada pada ketika itu yang sediakan kemudahan pelajaran.

Sampai satu peringkat, saya terfikir untuk membalas semula jasa Kerajaan dan dengan sendiri berasa terpanggil untuk berbuat demikian.

Kebetulan pula bidang saya adalah Sains Kemasyarakatan pengkhususan Sains Politik. Saya ada minat tetapi tidaklah begitu ‘ambitious’ dalam politik. Saya sekadar berminat, bila ada peluang saya suka balik kampung. Apabila ada program politik, saya akan turut serta tetapi tidak menojolkan diri dan minat ada di situ.

Tetapi tanpa disangka, saya telah diminta oleh ramai ahli-ahli politik setempat untuk melibatkan diri dalam politik. Ketika itu saya Pengurus Bernas dan Bernas tiada halangan sebab ia sektor swasta.

Saya tidak boleh menolak sebab ramai yang minta saya turut serta dalam politik, mereka hanya mengatakan dapat persetujuan daripada saya. Saya masa itu tiada masalah. Sudah berkerja, gajipun sudah o.k dan anak-anakpun sudah besar.

Saya tidak menolak harapan rakan-rakan yang berada di kampung dalam bahagian Lipis ketika itu.


SAMA DALAM MATLAMAT, TAPI AKAN BERBEZA DARIPADA SEGI PENDEKATAN, 'METHODOLOGY'... 


TANPA DISANGKA-SANGKA, TIDAK PULA MERANCANG

Apabila saya menceburkan diri dalam politik di peringkat Bahagian, saya dapati ada penerimaan daripada masyarakat setempat dan ini dapat dibuktikan apabila saya telah diminta untuk bertanding jawatan.

Saya mendapat antara kedudukan paling tinggi dalam jawatan dan setiap kali ada pemilihan, saya mendapat tempat tertinggi. Ekoran itu, saya turut serta dan bila saya menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, saya keluarkan pandangan, pendapat, tidak mendesak, mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan ketika itu.

Apabila sampai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11, nama saya tanpa disangka-sangka disebut untuk menjadi calon. Oleh sebab minat itu ada dan saya pula tidak merancang untuk menjadi wakil rakyat, tidak bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa dan sebagainya; saya diminta untuk bertanding. Jadi, atas dasar tersebut saya menawarkan diri bertanding dalam PRU-11.

MSA; Difahamkan, Dato’ Sri hanya mengetahui tentang pemilihan sebagai Menteri Besar dalam perjalanan (ke Istana Abu Bakar, Pekan), sebelum pelantikan pada sebelah petang 15 Mei lepas. Bagaimana Dato’ Sri menerimanya?

DSWR; Penerimaan ini sepertimana saya menerima jawatan saya sebagai wakil rakyat, dicalonkan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan ditawarkan sebagai Menteri Besar. Ketiga-tiga ini saya rasa sama sahaja.

DALAM TEMUBUAL MALAM JUMAAT... 


TERIMA TANGGUNGJAWAB PENUH AMANAH/ ‘SENSE OF URGENCY’

Maknanya, tidak disangka-sangka. Saya serah kepada Allah SWT sebab kerja ini, kita hendak berkhidmat. Kalau kita ditawarkan, kita kena bekerja dan apabila mendapat berita, saya terima tanggungjawab ini dengan penuh amanah.

Saya akan pikul tanggungjawab ini lebih-lebih lagi dalam keadaan landskap politik yang berubah ketika ini.

MSA; Bagaimana Dato’ Sri melihat syarat pelantikan Menteri Besar selama dua (2) tahun atau satu tempoh yang diperkenankan oleh Istana Pahang?

DSWR; Saya ingat tempoh dua (2) tahun ini bagus. Ini mungkin KDYMM Pemangku Raja, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ingin lihat supaya kita ada ‘sense of urgency'.

Maknanya, dalam masa dua (2) tahun ini, ‘you must do something’, mungkinlah. Jadi bagi saya, ini tidak ada masalah sebab kita semua ingin menawarkan diri untuk berkhidmat.

BERSAMA ISTERI TERCINTA... Foto ini dirakam semasa Dato' Sri Wan Rosdy dengan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed di sisi; sedang menyampaikan perutusan Hari Raya Aidil Fitri yang dirakam oleh kru stesen televisyen RTM dan TV3. Ini disusuli kemudian dengan temubual eksklusif dengan Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia tersebut.   


SAMA TAPI PENDEKATAN, ‘METHODOLOGY’ BERBEZA

MSA; Apakah pendekatan atau acuan pentadbiran yang Dato’ Sri mahu terapkan selepas menggantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menjadi Menteri Besar sejak empat (4) penggal lepas?

DSWR; Lebih kurang sama, untuk rakyat, tetapi mungkin pendekatan, ‘methodology’ berbeza dan sudah tentulah ada ruang-ruang untuk saya pertingkat dan perkemaskan lagi. Tetapi kita punya ‘core business’ itu untuk rakyat, sama sahaja tidak lari tetapi cara itu mungkin berbeza sikit.

Yang penting, matlamat sama, faedah dapat kepada rakyat, kita bantu rakyat dan beri kebajikan kepada rakyat.

MSA; Mengetuai Kerajaan Negeri Pahang pada saat berlakunya perubahan besar dalam landskap politik negara. Apakah cabarannya?

DSWR; Saya ingat tiada cabaran yang besar sangat sebab rakyat sudah membuat pilihan dan kedua-dua pihakpun ingin berkhidmat kepada rakyat.

BERSAMA RAKAN SEPERJUANGAN, DATO' SRI SHAFIK FAUZAN SHARIF... 


KERAJAAN PAHANG/PERSEKUTUAN SAMA-SAMA NAK BERI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA RAKYAT

Kita di Pahangpun ingin berkhidmat kepada rakyat dan di peringkat Persekutuanpun ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, demi rakyat saya ingat tiada masalah.

Kalau Kerajaan Negeri Pahang minta sesuatu untuk rakyat, saya ingat Kerajaan Persekutuan tidak akan menghalang, malah akan memberikan kerjasama yang baik.

MSA; Pentadbiran Dato’ Sri mungkin berdepan kekangan termasuk daripada segi kewangan kerana Pahang kini negeri berstatus pembangkang. Bagaimana hendak menyerap cabaran ini?

DSWR; Saya tidak menafikan apabila di peringkat Persekutuan tidak sehaluan dengan negeri, maknanya kita ini pembangkang. Tetapi di negeri Pahang, kita adalah Kerajaan.

Saya tidak fikir akan menimbulkan masalah yang begitu besar. Cuma untuk projek-projek besar, Kerajaan Negeri mungkin tidak ada kemampuan kewangan. Namun daripada segi untuk memberi kebajikan dan perkhidmatan yang kosnya tidak begitu banyak, tidak ada masalah.

MUKA DEPAN AKHBAR MINGGUAN MALAYSIA TERBITAN 10 JUN... 


GLC NEGERI DIHARAP SUMBANG DANA KEPADA KERAJAAN NEGERI

Saya sendiri insyaAllah, akan memperkemaskan lagi kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Kita juga akan melihat anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dapat menyumbang kewangan kepada Kerajaan Negeri.

Saya harap mereka dapat meningkatkan kecekapan, mengurus kewangan dengan baik, mengelakkan pembaziran dan mencipta keuntungan yang lebih daripada sekarang.

MSA; Apakah perancangan Dato’ Sri untuk memajukan Pahang?

DSWR; Saya nampak, kita akan mempertingkatkan sistem penyampaian sebab kita dapat rungutan daripada bawah.

Contohnya, untuk mendapatkan pertukaran hakmilik (tanah) memakan masa yang agak lama dan saya telah menurunkan kuasa saya – yang sepatutnya perkara tersebut sampai ke Menteri Besar; kita turunkan kuasa tersebut ke peringkat pentadbiran sehingga ke peringkat Pegawai Daerah.

SIARAN PADA HALAMAN 9... 


MENURUNKAN KUASA KE PERINGKAT DAERAH SEKALIPUN

Tetapi perkara yang penting, contohnya pertukaran hakmilik daripada Bumiputera kepada bukan Bumiputera, itu mesti sampai kepada tangan Menteri Besar untuk keputusannya.

Tetapi, pertukaran hakmilik untuk kasih-sayang sebagai contohnya, daripada ayah kepada anak dan ibu kepada anak; kita boleh buat di peringkat daerah, dalam masa sehari atau dua hari perkara ini boleh diselesaikan.

Itu salah satu yang kita akan percepatkan dan saya juga melihat untuk meningkatkan hasil sebagai contohnya, jika daripada dahulu kita mengenakan cukai kawasan pertanian tetapi oleh sebab peredaran masa, tanah tersebut ada dimajukan dengan stor, yang sepatutnya dikenakan cukai perniagaan yang lebih tinggi daripada cukai pertanian. Itu pun kita akan lihat.

Jika benar ada perniagaan di situ, ada stor, cukainya kita akan naikkan serta merta. Dengan ini, secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan kepada negeri dan saya rasa pihak peniaga mereka tiada masalah sebab dahulu pertanian, bila dah buka perniagaan, mereka ada stor dan dapat keuntungan lebih daripada pertanian.

Matlamat saya, insyaAllah, kita akan cuba berdikari (sebab) negeri Pahang ada kedudukan kewangan yang stabil. Kita mampu untuk berdikari, untuk bayar gaji (para penjawat awamnya) dan untuk melaksanakan program-program tertentu dan sebagainya.

Tetapi untuk projek-projek mega memang tidak mampu untuk kita melaksanakannya.

FOKUS KEPADA PENTADBIRAN NEGERI

MSA; Menyentuh mengenai UMNO, lazimnya Menteri Besar menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri tetapi sehingga kini, Dato’ Sri DiRaja Adnan masih menjalankan tugas berkenaan. Apakah Dato’ Sri akan mengambil alih tugas ini?

DSWR; Di Pahang ini, semangat kerjasama kita ini macam keluarga. Saya sendiri sebenarnya, apabila Dato Sri DiRaja Adnan minta saya pegang jawatan tersebut, saya sendiri minta beliau pegang jawatan itu atas alasan, saya ingin memberikan tumpuan, fokus kepada pentadbiran negeri.

Dengan keadaan politik yang ada pada hari ini, kita kena komited dan bersungguh-sungguh. Kalau saya Menteri Besar dan saya juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, agenda dan fokus saya terbahagi kepada dua.

Keadaan politikpun tidak begitu tenteram dan sebagainya. Saya rasa saya akan beri perkhidmatan yang kurang berkesan. (Sebaliknya) kalau saya fokus kepada pentadbiran, Dato’ Sri DiRaja Adnan pegang jawatan Pengerusi Perhubungan, masing-masing memainkan peranan dan kita ada ‘synergy’.

Dato’ Sri DiRaja Adnan fokus kepada politik, beliau boleh berikan tumpuan yang sepenuhnya. Saya (pula) fokus kepada pentadbiran, tetapi dalam masa yang sama kita akan sekali.

TAK BERTANDING KERUSI MKT

Maknanya, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar akan duduk sekali, berbincang sekali dan sebagainya. saya ingat tidak ada masalah. Dalam erti kata lain, ia akan menjadi lebih berkesan.

Tiada tempoh ditetapkan untuk jawatan itu kerana kita satu keluarga dan kita bekerja sebagai satu kumpulan.

MSA; Dato’ Sri tidak bertanding untuk apa-apa jawatan tertinggi pada pemilihan UMNO kali ini. Mengapa mengambil keputusan ini?

DSWR; Saya sendiri menawarkan diri untuk tidak bertanding Majlis Tertinggi kerana bagi saya, untuk menjaga negeri lebih penting. Parti bukan tidak penting, tetapi ramai orang lain yang boleh jaga parti ini dan kita lihat di Pahangpun, ramai yang hendak bertanding Majlis Tertinggi.

Elok kita bagi peluang kepada rakan-rakan. Jadi saya sendiri, saya tidak fikir banyakpun, saya sendiri rasa tidak perlu untuk saya bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO.

KEWANGAN NEGERI BERTAMBAH BAIK

MSA; Harapan Dato’ Sri?

DSWR; Sebagai Menteri Besar, sudah tentulah saya ingin melihat kebajikan rakyat negeri Pahang ini daripada segenap segi, akan dapat dipertingkat dan diperkemaskan,

Kedudukan kewangan negeri bertambah baik, hutang dengan Kerajaan Persekutuan mungkin kita boleh kurangkan dan yang lebih pentingnya, rakyat akan mendapat banyak manfaat daripada Kerajaan yang ada di negeri ini.

Kita akan usahakan ke arah itu mengikut keupayaan kita, kedudukan kewangan sedia ada dan insyaAllah, jika semua berjalan dengan baik, Pahang akan menjadi lebih maju daripada sekarang. – Khabar


Friday, 8 June 2018

Bonus RM450 untuk penjawat awam Gred 41 ke bawah, dibayar pada 12 Jun


“Saya harap kakitangan Kerajaan dapat menggunakan bantuan bayaran bonus ini dengan sebaik mungkin. Walaupun tidak banyak tapi sedikit-sebanyak ianya membantu meringankan beban kewangan mereka untuk menghadapi Hari Raya Aidil Fitri,” katanya. 

MESRA-MEDIA... Sebaik-baik selepas menunaikan hajat pihak media untuk merakamkan Perutusan Hari Raya Aidil Fitri, Dato' Sri Wan Rosdy turut sudi menerima ajakan mereka untuk sesi berfoto bersama. 

Selain Dato' Sri Wan Rosdy; yang turut kelihatan ialah Setiausaha Akhbarnya, Dato' Abdul Wahab Mohamad Ali serta antara lain - Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Pahang, Sdr Mohd Shariza Abdullah (duduk barisan depan, dua dari kanan); Ketua Pemberita TV, RTM Pahang, Sdr 'Ben' (duduk berisan depan, kiri sekali); dan, wartawan TV3 Pahang, Sdr 'Raza' (duduk barisan depan, kanan sekali). 

Selain untuk kerja-kerja rakaman perutusan oleh RTM, TV3 dan Pahang-ku; Sdr Mohd Shariza dan anak-anak buahnya, Sdr Shofi dan Sdr Zaki Jilan (masing-masing berdiri, kiri sekali dan dua dari kiri) turut serta untuk sesi temubual eksklusif dengan Menteri Besar yang siaran temubual tersebut dijangka dalam akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad, 10 Jun ini.       


KEDIAMAN RASMI MB, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan berita baik untuk penjawat awam di negeri ini dengan pengumuman pemberian bonus RM450 kepada mereka pada Gred 41 dan ke bawah.

Pembayaran pula menurutnya, akan dibuat pada Selasa, 12 Jun. Dan 12 Jun adalah bersamaan 27 Ramadan atau kira-kira tiga (3) hari menjelang Hari Raya Aidil Fitri 1 Syawal, yang dijangka jatuh pada Jumaat, 15 Jun.      

“Setelah saya meneliti kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pahang, kita mampu membayar bonus kepada kakitangan kerajaan di bawah Gred 41 ke bawah, sebanyak RM450.

“Saya harap kakitangan Kerajaan dapat menggunakan bantuan bayaran bonus ini dengan sebaik mungkin. Walaupun tidak banyak tapi sedikit-sebanyak ianya membantu meringankan beban kewangan mereka untuk menghadapi Hari Raya Aidil Fitri,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan bagi ‘side-story’ wartawan, yang sebelum itu telah merakamkan perutusannya sempena Hari Raya Aidil Fitri pada malam Jumaat, 8 Jun di sini.  

BACAAN YASIN... Sebelum rakaman perutusan, petang dan malam Jumaat itu juga diadakan majlis berbuka puasa disusuli solat Maghrib berjemaah dan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Mufti Negeri, Dato' Sri Abdul Rahman Osman (dua dari kanan).  


RM3.295 JUTA PERUNTUKAN, LIBATKAN 7,324 PENJAWAT AWAM

Menurutnya, keputusan tentang pembayaran bonus itu dicapai dua (2) hari lepas, Rabu, 6 Jun. Ia dipercayai diambil pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikannya di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong.   

Adalah difahamkan, jumlah penjawat awam berGred 41 dan ke bawah di negeri ini ialah seramai 7,324 orang atau kira-kira 67 peratus daripada keseluruhan kira-kira 11,000 penjawat awam di negeri ini.

Dengan 7,324 orang yang akan menerima bonus RM450 ini bermakna, nilai keseluruhan yang perlu Kerajaan Negeri peruntukkan dan bayar bagi kategori penjawat awam yang lebih memerlukan ini ialah kira-kira RM3.295 juta.

Sungguhpun nilai RM450 ini dikatakan kecil tetapi ia masih melebihi bonus sepertimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada penjawat-penjawat awamnya, yang sekadar RM400 seorang.    

Kepada soalan wartawan tentang nilai yang berkurangan tahun ini berbanding tahun lepas yang sebanyak RM500 katanya mengulangi, betapa ia bergantung kedudukan kewangan negeri semasa.

AKTIVITI KEMASYARAKATAN... Dato' Sri Wan Rosdy turut merasmikan secara ringkas, aktiviti kemasyarakatan anjuran Majlis Belia Negeri (MBN). Yang turut kelihatan ialah Presiden MBN, Sdr Wan Emril Nizam Wan Embong dan Pengerusi, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Dato' Sri Mohd Johari Hussain (kanan sekali).    


SAMA-SAMA KITA KERJA KUAT, FOKUS KEPADA KERJA

“Dan untuk pembayaran bonus ini, bukan kita – saya bersama-sama rakan Exco, Pegawai Kewangan Negeri; suka-suka meletakkan kita bayar RM450, tidak. Kita mengambil kira kedudukan kewangan yang ada, implikasi kewangan.

“Jadi kita rasa, Kerajaan Negeri merasakan hanya mampu membayar RM450 untuk Gred 41 dan kebawah. Itu yang kita bayar RM450. Kalau kita rasa setakat RM350, kitapun akan bayar RM350 kerana kedudukan kewangan setakat itu sahaja.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan di sini menyeru kakitangan yang berkenaan untuk bersama-sama kita kerja kuat, fokus kepada kerja kita supaya hasil negeri dapat dipertingkatkan.

“Dan tahun depan insyaAllah, kalau kedudukan kewangan negeri bertambah baik daripada apa yang ada hari ini; kita boleh bagi, bayar lebih. Sebab, kita nak serah balik (hasil negeri) kepada rakyat…,” katanya lagi. 


MENINJAU SANTAI, KE BAZAR RAMADAN DI PERKARANGAN STADIUM DARUL MAKMUR... Diiringi isteri, Datin Sri Burhah Mohammed (berbaju warna merah-hati), Dato' Sri Wan Rosdy - pada malam yang sama juga; telah turun meninjau ke gerai-gerai jualan Bazar Ramadan ini. – Khabar  



Tuesday, 5 June 2018

Dua (2) Ahli MMK tambahan angkat sumpah jawatan.


Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak kembali semula, manakala seorang lagi muka baru – Dato’ Abdul Aziz Kiram  

DATO' SRI IR MOHD SOFFI... Sirih pulang ke gagang.


BILIK MENGHADAP BESAR, ISTANA ABDULAZIZ, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Dua (2) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri tambahan telah dilantik dan mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan pagi Selasa, 5 Jun di sini. 

Istiadat ini disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Kerabat-kerabat Bergelar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Ahli-ahli MMK sedia ada; serta, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN). 

Dua (2) yang dilantik itu ialah wakil rakyat (BN – Benta), Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak – yang kembali semula sebagai Ahli MMK; dan wakil rakyat (BN – Batu Talam) Dato’ Abdul Aziz Kiram. 

Dengan tambahan dua (2) ini, menjadikan Ahli MMK genap 10 orang selain daripada Menteri Besar sendiri. 

DATO' ABDUL AZIZ KIRAM... Muka baharu dalam MMK Negeri.


MENJUNJUNG KASIH

Pada Istiadat yang sama 15 Mei lepas di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, KDYMM Pemangku Raja Pahang cuma perkenan kepada pelantikan seramai lapan (8) orang sahaja ketika itu.

Dato’ Sri Wan Rosdy yang ditemui wartawan kemudian, telah menjunjung kasih ke sisi KDYMM Pemangku Raja Pahang yang telah memperkenankan pertambahan dua (2) kekosongan tersebut serta nama-nama mereka yang dicadangkan. 

“… sepertimana yang kita sedia maklum, selepas pelantikan Exco yang terdahulu, masih ada dua (2) kekosongan. Saya junjung kasih ke sisi Tuanku kerana memberi perkenan kepada pelantikan tambahan dua (2) orang lagi Exco. 

“Dan ini sepertimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pahang),” katanya, merujuk kepada Undang-undang Tubuh tersebut yang dalam Bahasa Inggerisnya ialah ‘Laws of the Constitution of Pahang’. 

Perkara 4 (2) (b) menyebut; ‘hendaklah Baginda dengan nasihat Menteri Besar melantik tiada lebih daripada 10 orang dan tiada kurang daripada empat orang ahli-ahli lain di antara ahli-ahli Dewan Negeri’. 

BERSAMA-SAMA MEMBANTU MB... Dato' Sri Wan Rosdy berfoto kumpulan dengan kedua-duanya.


AKAN UMUMKAN DUA PORTFOLIO ESOK

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang portfolio yang akan diserahkan kepada kedua-dua Ahli MMK tambahan ini yang menurutnya, ia akan ditentu dan diumumkan sebelum mesyuarat minggu MMK Negeri, esok. 

“Sepertimana yang saya katakan terdahulu, pada masa ini saya memegang empat (4) portfolio dan saya akan lepaskan dua (2) portfolio. Dan insyaAllah, esok saya akan umumkan sebelum mesyuarat Exco,” katanya. 
Kepada soalan lanjut katanya, “… belum muktamad lagi sebab kemungkinan ada sedikit pindaan kepada Exco yang ada sekarang ini, tak banyak, sikit jer. Satu (1) atau dua (2) sahaja. Jadi esok saya akan muktamadkan”.

'ALL THE MB'S MEN'... Genaplah 10 Ahli MMK, yang akan membantu Menteri Besar dalam mengurus-tadbir negeri dengan berkesan, insya-Allah. – Khabar    

Saturday, 2 June 2018

Solat Ghaib, Bacaan Yasin dan Tahlil sempena kemangkatan Bonda Mertua KDYMM Pemangku Raja Pahang, di London


… YAM Enche' Besar Johor, Almarhum Khalsom Abdullah, 83, mangkat awal pagi tadi. Almarhum ialah Bonda kepada DYMM Sultan Johor, dan juga KDYTM Tengku Puan Pahang.    

BACAAN YASIN... Kelihatan KDYMM Pemangku Raja sedang membaca Surah Yasin. Yang turut kelihatan ialah Dato' Wan Rosdy, Dato' Sri Ishak Mohamad, dan Dato' Mohd Fakharuddin.    


MASJID KAMPUNG SRI SEMANTAN, TEMERLOH – KDYMM Pemangku Raja Pahang serta para jemaah, menunaikan Solat Ghaib, Bacaan Yasin dan Tahlil sempena kemangkatan Bonda Mertua Baginda – YAM Enche' Besar Johor Khalsom Abdullah di London awal pagi Sabtu ini. 

Almarhum YAM Enche' Besar Johor, 83, dilaporkan mangkat pada jam 2.55 pagi tadi waktu tempatan (Malaysia) atau 7.55 malam Jumaat, 1 Jun waktu London di Hospital King Edward VII.

Ketiga-tiga amal ibadah tersebut diimam dan dipimpin oleh Mufti Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Osman sebaik-baik selepas solat Maghrib berjemaah pada petang Sabtu, 2 Jun di sini.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut serta dalam mengerjakan amal ibadah itu ialah Ahl-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Nazri Ngah dan Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff.

Menurut laporan, YAM Enche Besar Khalsom ialah isteri pertama kepada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, yang menerusi ikatan perkahwinan itu dikurniakan seorang putera dan tiga (3) puteri.

BERDOA KETIKA MELAKUKAN SOLAT JENAZAH GHAIB... 


SUMBANGAN BUAT GOLONGAN MEMERLUKAN

Puteranya ialah DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim; manakala puteri-puterinya ialah Tunku Kamariah Aminah, Tunku Zabedah, dan, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga KDYTM Tengku Puan Pahang.

Sebelum mengerjakan amal ibadah ini, KDYMM Pemangku Raja – sepertimana jadual asal, telah perkenan berbuka puasa bersama-sama rakyat-jelata Baginda di perkarangan masjid ini.

Dan sepertimana kebiasaan juga, Baginda turut perkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, yang diundang khas untuk menyertai majlis berkenaan. 


BAGI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN, SUMBANGAN TERUS DIBERI... KDYMM Tuanku sedang memberi sumbangan kepada yang memerlukan. 


AL-FATIHAH... Almarhum ialah Bonda kepada seorang putera - DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim; dan tiga (3) puteri yang termasuk KDYTM Tengku Puan Pahang. – Khabar    




Friday, 1 June 2018

Dedahkan lebih aktif ilmu tentang harta pusaka, titah KDYMM Pemangku Raja Pahang


“… saya mahu isu berkaitan pengetahuan urusan harta pusaka yang masih cetek diperbetulkan melalui pendedahan ilmu oleh pihak jabatan agama,” titah Baginda, yang buat hari kedua berturut-turut menyebut mengenai harta pusaka dalam Titah DiRaja.

MENITIPKAN TITAH DIRAJA... Diapit kanan dan kiri oleh Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Mohd Fakharuddin; KDYMM Baginda sedang melafazkan Titah DiRaja yang buat dua hari berturut-turut, hal berkaitan harta pusaka Baginda terus tekankan. 

Yang turut kelihatan di belakang, duduk di meja santapan ialah isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri Burhah Mohammed.  


PERKARANGAN MASJID JAMEK KOTA PERDANA, PEKAN – Begitulah beratnya penekanan KDYMM Pemangku Raja Pahang terhadap soal harta pusaka sehingga buat hari kedua berturut-turut, perkara itu dibangkitkan lagi dalam Titah DiRaja Baginda.

Ini sepertimana Baginda bertitah pada Majlis Berbuka Puasa petang Jumaat, 1 Jun di sini. Hal yang sama juga telah turut Baginda titahkan pada majlis serupa petang Khamis, 31 Mei di Kampung Batu Papan, Bera.

Pada majlis petang Khamis itu, Baginda turut memetik laporan akhbar yang menyebut tentang besarnya jumlah harta pusaka yang tidak dituntut pewaris dalam kalangan umat Islam seluruh negara, nilainya hingga mencecah kira-kira RM66,000 juta!

Sehubungan itu, Baginda menitahkan agar ilmu mengenai harta pusaka – terutamanya tentang kepentingan dan cara pelaksanaannya; didedahkan secara lebih aktif oleh pihak-pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurut maklumat yang dikumpul dan dilaporkan oleh JAIP titah Baginda, ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak tahu tentang cara untuk menuntut harta pusaka yang ditinggalkan oleh keluarga mereka.

YANG MEMERLUKAN, TERUS DIDEKATI DAN DIBANTU DENGAN SUMBANGAN YANG SEWAJARNYA... 


ILMU TENTANG HARTA PUSAKA YANG MASIH CETEK

“Sedangkan, harta yang ditinggalkan itu dapat membantu mereka meneruskan hidup. Berikutan itu, saya mahu isu berkaitan pengetahuan urusan harta pusaka yang masih cetek diperbetulkan melalui pendedahan ilmu oleh pihak jabatan agama,” tegas Baginda.

“JAIP juga perlu bagi nasihat sewajarnya kepada masyarakat termasuk mereka yang datang untuk bertanya mengenai urusan tuntutan harta pusaka,” titah Baginda lagi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad;

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff yang juga wakil rakyat setempat (BN – Bebar); dan Pegawai Daerah Pekan, Encik Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus.

LAGI SUMBANGAN KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN...  


CERIANYA... Tentu ada sesuatu yang dititah-bualkan oleh KDYMM Tuanku sehingga Dato' Sri Wan Rosdy dan lainnya termasuk Dato' Mohd Fakharuddin riang-gembira. Yang turut kelihatan ialah Encik Md Yusli Ibrahim (kiri sekali). – Khabar