Tuesday 5 June 2018

Dua (2) Ahli MMK tambahan angkat sumpah jawatan.


Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak kembali semula, manakala seorang lagi muka baru – Dato’ Abdul Aziz Kiram  

DATO' SRI IR MOHD SOFFI... Sirih pulang ke gagang.


BILIK MENGHADAP BESAR, ISTANA ABDULAZIZ, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Dua (2) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri tambahan telah dilantik dan mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan pagi Selasa, 5 Jun di sini. 

Istiadat ini disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Kerabat-kerabat Bergelar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Ahli-ahli MMK sedia ada; serta, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN). 

Dua (2) yang dilantik itu ialah wakil rakyat (BN – Benta), Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak – yang kembali semula sebagai Ahli MMK; dan wakil rakyat (BN – Batu Talam) Dato’ Abdul Aziz Kiram. 

Dengan tambahan dua (2) ini, menjadikan Ahli MMK genap 10 orang selain daripada Menteri Besar sendiri. 

DATO' ABDUL AZIZ KIRAM... Muka baharu dalam MMK Negeri.


MENJUNJUNG KASIH

Pada Istiadat yang sama 15 Mei lepas di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, KDYMM Pemangku Raja Pahang cuma perkenan kepada pelantikan seramai lapan (8) orang sahaja ketika itu.

Dato’ Sri Wan Rosdy yang ditemui wartawan kemudian, telah menjunjung kasih ke sisi KDYMM Pemangku Raja Pahang yang telah memperkenankan pertambahan dua (2) kekosongan tersebut serta nama-nama mereka yang dicadangkan. 

“… sepertimana yang kita sedia maklum, selepas pelantikan Exco yang terdahulu, masih ada dua (2) kekosongan. Saya junjung kasih ke sisi Tuanku kerana memberi perkenan kepada pelantikan tambahan dua (2) orang lagi Exco. 

“Dan ini sepertimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pahang),” katanya, merujuk kepada Undang-undang Tubuh tersebut yang dalam Bahasa Inggerisnya ialah ‘Laws of the Constitution of Pahang’. 

Perkara 4 (2) (b) menyebut; ‘hendaklah Baginda dengan nasihat Menteri Besar melantik tiada lebih daripada 10 orang dan tiada kurang daripada empat orang ahli-ahli lain di antara ahli-ahli Dewan Negeri’. 

BERSAMA-SAMA MEMBANTU MB... Dato' Sri Wan Rosdy berfoto kumpulan dengan kedua-duanya.


AKAN UMUMKAN DUA PORTFOLIO ESOK

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang portfolio yang akan diserahkan kepada kedua-dua Ahli MMK tambahan ini yang menurutnya, ia akan ditentu dan diumumkan sebelum mesyuarat minggu MMK Negeri, esok. 

“Sepertimana yang saya katakan terdahulu, pada masa ini saya memegang empat (4) portfolio dan saya akan lepaskan dua (2) portfolio. Dan insyaAllah, esok saya akan umumkan sebelum mesyuarat Exco,” katanya. 
Kepada soalan lanjut katanya, “… belum muktamad lagi sebab kemungkinan ada sedikit pindaan kepada Exco yang ada sekarang ini, tak banyak, sikit jer. Satu (1) atau dua (2) sahaja. Jadi esok saya akan muktamadkan”.

'ALL THE MB'S MEN'... Genaplah 10 Ahli MMK, yang akan membantu Menteri Besar dalam mengurus-tadbir negeri dengan berkesan, insya-Allah. – Khabar