Saturday 2 June 2018

Solat Ghaib, Bacaan Yasin dan Tahlil sempena kemangkatan Bonda Mertua KDYMM Pemangku Raja Pahang, di London


… YAM Enche' Besar Johor, Almarhum Khalsom Abdullah, 83, mangkat awal pagi tadi. Almarhum ialah Bonda kepada DYMM Sultan Johor, dan juga KDYTM Tengku Puan Pahang.    

BACAAN YASIN... Kelihatan KDYMM Pemangku Raja sedang membaca Surah Yasin. Yang turut kelihatan ialah Dato' Wan Rosdy, Dato' Sri Ishak Mohamad, dan Dato' Mohd Fakharuddin.    


MASJID KAMPUNG SRI SEMANTAN, TEMERLOH – KDYMM Pemangku Raja Pahang serta para jemaah, menunaikan Solat Ghaib, Bacaan Yasin dan Tahlil sempena kemangkatan Bonda Mertua Baginda – YAM Enche' Besar Johor Khalsom Abdullah di London awal pagi Sabtu ini. 

Almarhum YAM Enche' Besar Johor, 83, dilaporkan mangkat pada jam 2.55 pagi tadi waktu tempatan (Malaysia) atau 7.55 malam Jumaat, 1 Jun waktu London di Hospital King Edward VII.

Ketiga-tiga amal ibadah tersebut diimam dan dipimpin oleh Mufti Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Osman sebaik-baik selepas solat Maghrib berjemaah pada petang Sabtu, 2 Jun di sini.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut serta dalam mengerjakan amal ibadah itu ialah Ahl-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Nazri Ngah dan Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff.

Menurut laporan, YAM Enche Besar Khalsom ialah isteri pertama kepada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, yang menerusi ikatan perkahwinan itu dikurniakan seorang putera dan tiga (3) puteri.

BERDOA KETIKA MELAKUKAN SOLAT JENAZAH GHAIB... 


SUMBANGAN BUAT GOLONGAN MEMERLUKAN

Puteranya ialah DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim; manakala puteri-puterinya ialah Tunku Kamariah Aminah, Tunku Zabedah, dan, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga KDYTM Tengku Puan Pahang.

Sebelum mengerjakan amal ibadah ini, KDYMM Pemangku Raja – sepertimana jadual asal, telah perkenan berbuka puasa bersama-sama rakyat-jelata Baginda di perkarangan masjid ini.

Dan sepertimana kebiasaan juga, Baginda turut perkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, yang diundang khas untuk menyertai majlis berkenaan. 


BAGI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN, SUMBANGAN TERUS DIBERI... KDYMM Tuanku sedang memberi sumbangan kepada yang memerlukan. 


AL-FATIHAH... Almarhum ialah Bonda kepada seorang putera - DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim; dan tiga (3) puteri yang termasuk KDYTM Tengku Puan Pahang. – Khabar