NOTA EDITOR;
Berikut disiarkan sepenuhnya, Perutusan Hari Raya Aidil Fitri oleh
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Perutusan ini telah dirakam pada
malam Jumaat, 8 Jun di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 800, Jalan Teluk
Sisek Kuantan.
Rakaman berbentuk audio-video dilakukan oleh Stesen TV-stesen TV RTM, dan
TV3, serta Pahangku Media. Transkrip rakaman ini pula diedarkan kepada
organisasi berita-organisasi berita tempatan pada Rabu, 13 Jun, untuk siaran tanpa
penetapan apa-apa ‘embargo’.
RAKAMAN PADA MALAM JUMAAT, 8 JUN... Di sisi Dato' Sri Wan Rosdy ialah isteri tercinta, Datin Sri Burhah Mohammed.
KEDIAMAN RASMI
MB, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,
Allahuakbar Walilla-hilhamd.
'Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh'.
Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.
'Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh'.
Muslimin dan Muslimat yang saya hormati sekelian.
01. Terlebih dahulu, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat allah
subhanahu wata‘ala, kerana dengan limpah rahmat dan hidayatNya, kita dapat
bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah, bersamaan dengan tahun
2018.
02. Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta seisi
keluarga, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada
Muslimin dan Muslimat di seluruh negara, khususnya negeri Pahang Darul Makmur.
03.
Alhamdulillah, setelah sebulan kita berpuasa dalam bulan Ramadan al-Mubarak,
kini tibalah masa kita menyambut Hari Raya, pada 1 Syawal.
04.
Sesungguhnya, ini merupakan sambutan hari kemenangan kita bersama, dalam
menempuhi segala cabaran semasa kita berpuasa selama sebulan yang lepas.
05.
Banyak yang kita dapat pelajari daripada mengerjakan ibadah pada bulan puasa.
Paling tidak, kita diajar supaya bersabar daripada cabaran berlapar dan
berdahaga, selain bersabar daripada terbabit dalam amalan-amalan yang boleh
mengurangkan pahala ataupun membatalkan puasa.
06.
Selepas melalui tempoh sebulan ini, maka tibalah kita pada hari menyambut
kemenangan kita, dan kita dituntut untuk bergembira meraikannya.
07.
Antara cara kita meraikan sambutan perayaan ini tentulah dengan meneruskan
amalan kunjung-mengunjung antara sesama kita.
08.
Kunjung-mengunjung ini pula bukan setakat yang melibatkan adik-beradik atau
saudara-mara terdekat dan jauh; tetapi turut melibatkan rakan-rakan serta
jiran-jiran.
09. Sesuai pula dengan kehidupan rakyat negara ini yang berbilang kaum
dan agama, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibbah
dan perpaduan.
10. Satu daripada punca utama berlangsungnya kestabilan politik dan
keutuhan ekonomi negara selama ini ialah kerana adanya semangat muhibbah dan
perpaduan dalam kalangan kita.
11. Maka, semangat ini hendaklah terus dijelmakan dalam kehidupan
seharian kita, termasuklah semasa menyambut perayaan sepertimana Hari Raya Aidil
Fitri ini.
Muslimin
dan Muslimat yang saya hormati sekelian.
12. Memang tidak dinafikan, keadaan ekonomi negara masih lagi mencabar
ketika ini namun perayaan seumpama ini perlulah diteruskan juga.
13. Dengan keadaan mencabar ini, mungkin ada yang berpandangan perlu bagi
kerajaan menyarankan agar muslimin dan
muslimat dan rakyat sekelian, mengamalkan sikap berjimat-cermat serta ‘berjerut-perut’.
14. Namun sesungguhnya, ‘berjerut-perut’ bukanlah kaedah yang terbaik.
Sebaliknya, jika ia diamalkan oleh kerajaan terutamanya, ekonomi negara akan
terkesan secara negatif hingga boleh menyebabkan ekonomi keseluruhannya
menguncup.
15. Ekonomi yang menguncup sesungguhnya, adalah tidak baik untuk negara.
16. Oleh itulah, saranan saya selaku Menteri Besar – berbelanjalah,
tetapi, berbelanjalah sekadar termampu dan berbelanjalah seperti, ‘mengukur baju di badan sendiri’.
17. Hanya dengan ini, selain kita dapat terus bergembira menyambut hari
kemenangan ini; kita juga sebenarnya membantu merancakkan kembali ekonomi
negara.
18.
Kerajaan Negeri pimpinan saya pula, akan terus berusaha dengan apa juga
sumbangan yang boleh diupayakannya, untuk memastikan ekonomi negeri dan juga
negara, kembali sihat.
19.
Ke arah itu, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan terus
menjalinkan hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan yang di bawah Pakatan Harapan
sekarang.
20.
Ini perlu dilakukan bagi memastikan negara dan negeri Pahang terutamanya, akan
terus terpelihara kemakmurannya demi kesejahteraan rakyat juga.
Muslimin
dan Muslimat yang saya hormati sekelian.
21.
Mengambil kesempatan ini, sukalah saya berpesan kepada semua khususnya yang
akan mengambil perjalanan darat untuk
‘balik kampung’, supaya meneruskan amalan ‘berhati-hati di jalan raya’.
22.
Janganlah kerana hendak ghairah tiba ke kampung halaman masing-masing, aspek keselamatan jalanraya
dikompromikan.
23.
Ini perlu terus disarankan tanpa jemu-jemu memandangkan saban tahun,
perjalanan-perjalanan ‘balik kampung’ sentiasa sahaja dicemari dengan angka-angka
kemalangan dan kematian penggunanya, yang meningkat.
24.
Oleh itulah, perbetulkan semula sikap kita masing-masing khususnya para pemandu
dan penunggang pelbagai kenderaan. Kekallah kita dalam kesedaran untuk ‘biar
lambat, asalkan selamat’.
25.
Kepada golongan anak-anak muda pula, janganlah terus-menerus menjadi penyumbang
kepada peningkatan jumlah mereka yang tercedera apatah pula meninggal dunia,
akibat gejala bermain mercun.
26.
Sudah-sudah dan cukup-cukuplah, serta insaflah; agar hari raya ini dapat
memberi erti yang lebih bermakna dan berkesan kepada kita semua.
27. Pada kesempatan ini, saya tidak lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Raya
Aidil Fitri kepada anggota-anggota keselamatan kita terutamanya anggota-anggota
polis dan tentera, yang terpaksa berkhidmat pada hari perayaan ini.
28. Tugas dan tanggungajawab tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya, adalah
besar demi memastikan keselamatan negera terus terpelihara, yang memungkinkan
rakyat sekelian dapat hidup aman dan sentosa.
29. Sesungguhnya pengorbanan besar ini amat dihargai dan disanjungi.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walilla-hilhamd.
Muslimin
dan Muslimat yang saya hormati sekelian.
30. Sempena Hari Raya Aidil Fitri ini, sukacita saya mengajak Muslimin
dan Muslimat semua, serta rakyat-jelata pelbagai anutan agama; ke Rumah Terbuka
Menteri Besar pada 1 Syawal, bermula 2.30 petang hingga 6 petang, bertempat di Dewan
Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.
31. Sudah menjadi tradisi, tahun demi tahun; Rumah Terbuka ini dianjurkan
dan ini kali pertama saya sebagai Menteri Besar, menjadi tuanrumahnya.
32. Datanglah dalam pakaian baharu Hari Raya, dan bagi yang bukan Islam,
datanglah dalam pakaian yang sepatutnya. Jamulah juadah yang dihidangkan dengan
seadanya, sambil menjalinkan hubungan silaturrahim sesama semua.
33. Semoga dengan ini, sambutan Hari Raya di Rumah Terbuka Menteri Besar
akan menjadi lebih bermakna serta memenuhi matlamat penganjurannya, insyaAllah.
Muslimin dan muslimat yang saya hormati sekelian.
34. Sekianlah sahaja perutusan daripada saya. Sekali lagi saya ucapkan ‘Selamat
Hari Raya Aidil Fitri’, Maaf, Zahir dan Batin.
‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamaualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.
– Khabar