Friday 8 June 2018

Bonus RM450 untuk penjawat awam Gred 41 ke bawah, dibayar pada 12 Jun


“Saya harap kakitangan Kerajaan dapat menggunakan bantuan bayaran bonus ini dengan sebaik mungkin. Walaupun tidak banyak tapi sedikit-sebanyak ianya membantu meringankan beban kewangan mereka untuk menghadapi Hari Raya Aidil Fitri,” katanya. 

MESRA-MEDIA... Sebaik-baik selepas menunaikan hajat pihak media untuk merakamkan Perutusan Hari Raya Aidil Fitri, Dato' Sri Wan Rosdy turut sudi menerima ajakan mereka untuk sesi berfoto bersama. 

Selain Dato' Sri Wan Rosdy; yang turut kelihatan ialah Setiausaha Akhbarnya, Dato' Abdul Wahab Mohamad Ali serta antara lain - Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Pahang, Sdr Mohd Shariza Abdullah (duduk barisan depan, dua dari kanan); Ketua Pemberita TV, RTM Pahang, Sdr 'Ben' (duduk berisan depan, kiri sekali); dan, wartawan TV3 Pahang, Sdr 'Raza' (duduk barisan depan, kanan sekali). 

Selain untuk kerja-kerja rakaman perutusan oleh RTM, TV3 dan Pahang-ku; Sdr Mohd Shariza dan anak-anak buahnya, Sdr Shofi dan Sdr Zaki Jilan (masing-masing berdiri, kiri sekali dan dua dari kiri) turut serta untuk sesi temubual eksklusif dengan Menteri Besar yang siaran temubual tersebut dijangka dalam akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad, 10 Jun ini.       


KEDIAMAN RASMI MB, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan berita baik untuk penjawat awam di negeri ini dengan pengumuman pemberian bonus RM450 kepada mereka pada Gred 41 dan ke bawah.

Pembayaran pula menurutnya, akan dibuat pada Selasa, 12 Jun. Dan 12 Jun adalah bersamaan 27 Ramadan atau kira-kira tiga (3) hari menjelang Hari Raya Aidil Fitri 1 Syawal, yang dijangka jatuh pada Jumaat, 15 Jun.      

“Setelah saya meneliti kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pahang, kita mampu membayar bonus kepada kakitangan kerajaan di bawah Gred 41 ke bawah, sebanyak RM450.

“Saya harap kakitangan Kerajaan dapat menggunakan bantuan bayaran bonus ini dengan sebaik mungkin. Walaupun tidak banyak tapi sedikit-sebanyak ianya membantu meringankan beban kewangan mereka untuk menghadapi Hari Raya Aidil Fitri,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan bagi ‘side-story’ wartawan, yang sebelum itu telah merakamkan perutusannya sempena Hari Raya Aidil Fitri pada malam Jumaat, 8 Jun di sini.  

BACAAN YASIN... Sebelum rakaman perutusan, petang dan malam Jumaat itu juga diadakan majlis berbuka puasa disusuli solat Maghrib berjemaah dan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Mufti Negeri, Dato' Sri Abdul Rahman Osman (dua dari kanan).  


RM3.295 JUTA PERUNTUKAN, LIBATKAN 7,324 PENJAWAT AWAM

Menurutnya, keputusan tentang pembayaran bonus itu dicapai dua (2) hari lepas, Rabu, 6 Jun. Ia dipercayai diambil pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikannya di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong.   

Adalah difahamkan, jumlah penjawat awam berGred 41 dan ke bawah di negeri ini ialah seramai 7,324 orang atau kira-kira 67 peratus daripada keseluruhan kira-kira 11,000 penjawat awam di negeri ini.

Dengan 7,324 orang yang akan menerima bonus RM450 ini bermakna, nilai keseluruhan yang perlu Kerajaan Negeri peruntukkan dan bayar bagi kategori penjawat awam yang lebih memerlukan ini ialah kira-kira RM3.295 juta.

Sungguhpun nilai RM450 ini dikatakan kecil tetapi ia masih melebihi bonus sepertimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada penjawat-penjawat awamnya, yang sekadar RM400 seorang.    

Kepada soalan wartawan tentang nilai yang berkurangan tahun ini berbanding tahun lepas yang sebanyak RM500 katanya mengulangi, betapa ia bergantung kedudukan kewangan negeri semasa.

AKTIVITI KEMASYARAKATAN... Dato' Sri Wan Rosdy turut merasmikan secara ringkas, aktiviti kemasyarakatan anjuran Majlis Belia Negeri (MBN). Yang turut kelihatan ialah Presiden MBN, Sdr Wan Emril Nizam Wan Embong dan Pengerusi, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Dato' Sri Mohd Johari Hussain (kanan sekali).    


SAMA-SAMA KITA KERJA KUAT, FOKUS KEPADA KERJA

“Dan untuk pembayaran bonus ini, bukan kita – saya bersama-sama rakan Exco, Pegawai Kewangan Negeri; suka-suka meletakkan kita bayar RM450, tidak. Kita mengambil kira kedudukan kewangan yang ada, implikasi kewangan.

“Jadi kita rasa, Kerajaan Negeri merasakan hanya mampu membayar RM450 untuk Gred 41 dan kebawah. Itu yang kita bayar RM450. Kalau kita rasa setakat RM350, kitapun akan bayar RM350 kerana kedudukan kewangan setakat itu sahaja.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan di sini menyeru kakitangan yang berkenaan untuk bersama-sama kita kerja kuat, fokus kepada kerja kita supaya hasil negeri dapat dipertingkatkan.

“Dan tahun depan insyaAllah, kalau kedudukan kewangan negeri bertambah baik daripada apa yang ada hari ini; kita boleh bagi, bayar lebih. Sebab, kita nak serah balik (hasil negeri) kepada rakyat…,” katanya lagi. 


MENINJAU SANTAI, KE BAZAR RAMADAN DI PERKARANGAN STADIUM DARUL MAKMUR... Diiringi isteri, Datin Sri Burhah Mohammed (berbaju warna merah-hati), Dato' Sri Wan Rosdy - pada malam yang sama juga; telah turun meninjau ke gerai-gerai jualan Bazar Ramadan ini. – Khabar