“… kita sedang
menghadapi dilemma. Kalau misalannya Kerajaan khususnya jabatan kerajaan
persekutuan yang mempunyai ‘jurisdiction’ (bidangkuasa) dalam perkara ini –
Imigresen, Polis, ambil tindakan; kegiatan pertanian, ekonomi Cameron akan
terjejas.
“Kalau kita
tidak ambil tindakan, nampak seolah-olah – bukan Kerajaan Persekutuan (tapi)
Kerajaan Negeri pula (dianggap) tidak menguatkuasakan, salah guna kuasa, rasuah;
tidak ambil tindakan kepada pendatang-pendatang tanpa izin ini,” kata Menteri
Besar.
PENDATANG ASING DI LADANG TEH CAMERON KITA... # Foto ini dimuat turun daripada sebuah blog dalam media sosial kita.
KOMPLEKS YAYASAN
PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan
Yaakob membangkitkan tentang dilemma yang dihadapi Kerajaan berkaitan isu kebanjiran
pendatang asing dari Bangladesh di Cameron Highlands, sepertimana dimainkan
oleh sebuah akhbar tempatan.
Sambil
menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap tajuk berita muka depan akhbar itu – Mingguan
Malaysia keluaran Ahad, 2 November lepas, dengan penggunaan perkataan ‘ditawan’
yang menurutnya;
“… perkataan
‘ditawan’ ini adalah agak luar biasalah, terlebih sikitlah. Tak ada sebab
kenapa orang Bangladesh akan menawan Cameron Highlands. Kita ada Kerajaan, kita
ada Raja, kita ada Pejabat Daerah, ada Pejabat Tanah”.
Dato’
Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata; “…
kita sedang menghadapi dilemma. Kalau misalannya Kerajaan khususnya jabatan
kerajaan persekutuan yang mempunyai ‘jurisdiction’ (bidangkuasa) dalam perkara
ini – Imigresen, Polis, ambil tindakan; kegiatan pertanian, ekonomi Cameron
akan terjejas.
“Kalau kita
tidak ambil tindakan, nampak seolah-olah – bukan Kerajaan Persekutuan (tapi)
Kerajaan Negeri pula (dianggap) tidak menguatkuasakan, salah guna kuasa, rasuah;
tidak ambil tindakan kepada pendatang-pendatang tanpa izin ini.”
DATO' SRI DIRAJA ADNAN... Sedang menjelaskan beberapa perkara berhubung dengan isu pendatang asing di Cameron Highlands pada persidangan media lewat petang Rabu, 5 November.
CUMA 6,057 PENDATANG
ASING PUNYAI PERMIT SAH
Beliau
berkata demikian pada persidangan media pasca-Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri lewat
petang Rabu, 5 November di sini, sebagai reaksi kepada laporan berita akhbar
berkenaan, yang turut disusuli dengan siri keduanya yang disiarkan oleh akhbar
Utusan Malaysia pada Isnin, 3 November.
Beliau
tidak menafikan, terdapat pendatang asing ini yang mempunyai permit sah yang
dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen tetapi ia melibatkan cuma 6,057 orang iaitu
dalam sektor pertanian, 5,990 orang; perladangan, 13 orang; pembinaan, 27 orang;
dan perkhidmatan, 27 orang.
Sebenarnya
kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pendatang asing di kawasan tanahtinggi itu bukan
terdiri daripada orang Bangladesh semata-mata, bahkan dari negara-negara lain-lain
seperti Nepal, Vietnam, China, termasuk pelarian Rohingya dari Myanmar yang
ditempatkan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) di Kuala Terla.
“Kita perlu
kaji, kenapa mereka ada di situ? Kalau kita tangkap kesemuanya, yang pendatang
tanpa izin ini, akhbar kata 30,000 mungkin 40,000pun; di mana kita hendak letak
dia?
“Balai Polis
Cameron Highlands boleh letak 40 orang sahaja. Kalau kita tangkap dia orang ni,
mana kita nak letak? Dan yang kedua kita kena kaji isu; kanapa orang ini datang?
Kenapa orang datang ke Cameron Highlands, kenapa ramai Bangladesh datang ke
Cameron Highlands?”
tanya Menteri Besar.
KEPERLUAN TENAGA
KERJA LEBIH 30,000 ORANG
“Kita tahu
Cameron Highlands ini pusat menamam sayur (bunga-bungaan dan buah-buahan) –
halal, haram kita cerita kemudian. Kalau kita tutup semua pusat ini, kita boleh
tutup, tapi dari segi ‘foreign exchnage’nya, kita kerugian banyak juga,
‘billions’.
“Kenapa orang
ini datang? Sebab kita – kita ini bukan saya ya. Kita ni ialah penanam-penanam
sayur, penanam-penanam bunga; mereka perlukan orang ini. Bukan Kerajaan.
Kerajaan tak pernahpun mengendalikan kedatangan mereka ini,” katanya lagi.
Dato’
Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata betapa menurut kajian Jabatan Pertanian, bagi
setiap hektar tanah yang diusahakan untuk tanaman hasil-hasil pertanian
berkenaan, memerlukan empat (4) tenaga kerja.
Dan
di kawasan tanahtinggi tersebut menurutnya, luas kawasan tanaman ialah
kira-kira 7,528 hektar iaitu 5,368 hektar bagi tanaman sayur-sayuran; 1,589
hektar bagi tanaman teh; 539 hektar bagi tanaman bunga; dan, 32 hektar bagi
tanaman buah-buahan.
Didarabkan
keluasan 7,528 hektar ini dengan keperluan tenaga kerja seramai empat (4) orang
untuk sehektar menjadikan jumlah tenaga kerja yang diperlukan ialah seramai
30,112 orang!
TIDAK
PERTAHANKAN SOAL BILANGAN BESAR ORANG BANGLADESH
“Mana nak cari
orang Malaysia (untuk bekerja di ladang-ladang pertanian ini)? Ada orang
Melayu, orang Cina, orang Asli boleh bekerja untuk mengeluarkan sayur, bunga,
buah-buahan, teh di Cameron Highlands?
“Saya bukan
mempertahankan soal Bangladesh ramai ini ya... Tapi saya nak mengatakan, kalau
Kerajaan mengambil tindakan – bukan Kerajaan Negeri, ini luar bidang kuasa
Kerajaan Negeri; soal Imigresen sebagainya.
“Katalah kita
hantar mereka ini semua balik, apa akan jadi? Ada orang Melayu nak kerja? (Ada)
orang Cina (nak) kerja, tak dak…,” katanya lagi.
Mengenai
orang Bangladesh juga yang didapati berniaga di pasar-pasar malam di sana kata
Menteri Besar, yang harus dipersalahkan ialah pemilik lesen sendiri – orang tempatan,
yang kemudian menjualnya kepada pendatang asing tersebut.
“Untuk itu,
Kerajaan akan ambil tindakan ke atas pemegang-pemegang lesen, kita (akan)
rampas. Orang Bangladesh tak boleh berniaga. Tak ada masalah, kita boleh buat,”
tegasnya lagi.
“Jadi saya nak
mengatakan, tak tepat kalau mengatakan Cameron Highlands itu ditawan oleh
orang-orang luar. Tinggal lagi keadaan ini berlaku kerana keperluan kegiatan
pertanian itu sendiri dan masalahnya peranan yang kosong itu (atau tenaga
kerja) tidak dapat dimainkan oleh orang kita, diisi oleh orang Bangladesh,” katanya
menyimpulkan. – Khabar