Monday 10 November 2014

Ugutan serta pelbagai kekangan dalam kuatkuasakan undang-undang di Cameron Highlands



NOTA EDITOR

Berikut disiarkan kembali laporan berita oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran Selasa, 11 November. Siaran ini ialah dengan suntingan yang sangat minimal.

TANDATANGAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU... KDYMM Sultan Pahang sedang mencemar duli, menurunkan tandatangan Baginda ke plak perasmian. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, antara yang kelihatan dalam foto ini ialah YAM Tengku Besar Pahang; isteri kepada Menteri Besar, Dato' Sri Junaini Kassim; Ketua Polis Negeri, Dato' Sri Sharifuddin Abdul Ghani; Dato' Ahmad; dan, Dato' Sri Khazali. 


WISMA KASTAM SULTAN AHMAD SHAH, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mendedahkan pihak berkuasa di Cameron Highlands terpaksa berdepan dengan ugutan termasuk ugutan bunuh ketika melakukan penguatkuasaan ke atas penerokaan haram di kawasan tanah tinggi itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Daerah Cameron Highlands, Pejabat Tanah dan Galian Cameron Highlands dan Pejabat Perhutanan Cameron Highlands; bukan sahaja mempunyai kekangan akibat tidak cukup kakitangan dan peralatan tetapi turut berhadapan dengan ugutan.

“Saya hendak menyatakan bukan senang bagi agensi penguatkuasan yang kecil bilangannya, kekurangan peralatan dan kewangan untuk mengambil tindakan. Kita ada sebab-sebab tertentu, ugutan sudah banyak kali, peluru dapat, semua banyak kali dah.

“Saya amat mengalu-alukan sokongan Kerajaan Persekutuan dalam mengambil daya usaha utama untuk bertindak tegas dengan menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.

“Kerana sebelum ini apabila kita buat operasi, ambil tindakan, pengusaha tanah haram turun beramai-ramai menaiki kenderaan pacuan empat roda, ‘Range Rover’ dari bukit halang jalan dan kenderaan Jabatan Imigresen, penguatkuasa pejabat tanah dan majlis daerah.

PERSEMBAHAN CENDERAMATA UNTUK KEBAWAH DULI TUANKU... 

BERDEPAN DENGAN ORANG TAMAK

“Kena ada gerakan kuasa yang lebih besar daripada kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan sekarang kerana kita berdepan dengan orang yang tamak mengerjakan tanah haram. Ini bukan masalah warta tanah atau tidak, tanah yang tak diwartakan pun dikerjakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah oleh KDYMM Sultan Pahang pagi Isnin, 10 November di sini.

Antara yang turut hadir pada majlis perasmian ini ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Dato’ Sri Khazali Ahmad.

Bangunan tersebut yang terletak bersebelahan Jalan Sungai Lembing, dibina sejak Mei 2010, telah siap sepenuhnya kira-kita tiga tahun kemudian pada Februari 2013. Kos pembinaan ialah kira-kira RM16.7 juta.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan dan mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Cameron Highlands semalam.

SAMA-SAMA MENYAKSIKAN BAHAN-BAHAN PAMERAN... 

ZINK, MESIN BASUH DAN PETI SEJUK DALAM EMPANGAN

“Banjir di Cameron Highlands tidak dapat dielakkan kerana terdapat mendapan yang banyak di sungai dan empangan. Ini banjir lumpur kalau kita tengok dalam sungai bukan sahaja zink, mesin basuh dan peti sejuk pun ada.

“Sebenarnya di bawah Empangan Sultan Abu Bakar ada lubang untuk air sentiasa dilepaskan tetapi lubang berkenaan tersumbat. Orang di Cameron Highlands perlu bekerjasama.

“Saya tidak mahu berkeras tetapi mereka perlu memikirkan keselamatan diri. Ini tidak, buat bangunan tepi sungai, apabila banjir (dan menjadi mangsanya) jangan salahkan kerajaan,” jelasnya.

Beliau seterusnya meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan membabitkan penyelewengan termasuk mengesan ahli politik tertentu yang didakwa melindungi pencerobohan di Cameron Highlands sehingga menyebabkan bencana banjir lumpur dan tanah runtuh berlaku Rabu, 5 November lepas.

“Saya amat berharap SPRM yang telah memulakan penyiasatan sejak beberapa bulan lalu ekoran laporan akhbar tentang ada amalan rasuah dan salah guna kuasa agar meneruskan dan mempercepatkan siasatan,” katanya.

TIDAK CAMPURI PROSES UNDANG-UNDANG

“Dalam berita di akhbar-akhbar ada menyebut penglibatan ahli politik dan semua orang hanya menumpu kepada Menteri Besar. Oleh itu, saya berharap siasatan disegerakan agar pihak-pihak terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Pendirian Kerajaan Negeri dalam isu tersebut kata Menteri Besar itu lagi, adalah amat jelas iaitu tidak akan melindungi sesiapa sahaja yang bersalah dan tidak mencampuri proses undang-undang. – Utusan/Khabar