Monday, 24 November 2014

Usaha pulihara, kembalikan kegemilangan Cameron Highlands



… Timbalan Perdana Menteri garis pelan tindakan bagi merealisasikannya

DARI ARAH SANA... Tan Sri Muhyiddin serta yang lain, tertumpu kepada arah yang ditunjukkan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan ketika meninjau ke satu tapak penanaman di tepian anak Sungai Habu. 
 

PEJABAT DAERAH DAN TANAH CAMERON HIGHLANDS, TANAH RATA – Ke arah memulihara dan mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan utama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan pelan tindakan bagi merealisasikannya.

Beliau yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands memaklumkan betapa pelan tindakan itu meliputi pelan jangka pendek dan panjang, termasuk tentang pengawasan projek pembangunan dan aktiviti pertanian serta gejala kehadiran pendatang tanpa izin (PATI) di tanahtinggi ini.

“Usaha ini bukan sahaja untuk memulihara alam sekitar malah mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal dengan kebersihan alam sekitar dan hutan semula jadi yang amat menarik,” katanya seperti dilaporkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian pada persidangan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands selama kira-kira tiga (3) jam pada pagi Isnin, 24 November, di sini.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir menyertai mesyuarat khas ini ialah Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Perlimen Cameron Highlands, Dato’ Sri G.Palanivel;

DARI ATAS EMPANGAN SULTAN ABU BAKAR... Tan Sri Muhyiddin yang diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan serta yang lain, turut meninjau dari atas Empangan Sultan Abu Bakar yang sudah terbina sejak 1968 atau kira-kira atau lebih empat (4) dekad lepas. 
 

SUDAH LEBIH 8,000 HEKTAR TANAH DITEROKAI

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sri Maximus Ongkili; Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Richard Riot; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Shahidan Kassim;

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail; dan, Ketua Pengarah, Jabatan Pertahanan Awam, Datuk Zaitun Ab Samad.

Bagi mengawasi pembangunan di Cameron Highlands, Tan Sri Muhyiddin berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diminta meneliti semula Pelan Tempatan yang telah diluluskan sebelum ini, supaya ia dapat diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Contohnya bagi pembangunan hartanah yang dikemukakan, Kerajaan Negeri bolehlah pertimbangkan atau hadkan penggunaan kawasan yang hendak dimajukan,” katanya.

Mengenai aktiviti pertanian katanya, kawasan tanaman baharu tidak perlu lagi diwujudkan berikutan tanah yang diteroka untuk tujuan pertanian sudah mencapai hampir 8,600 hektar.

YANG MANA LEBIH DAHULU?... Struktur Empangan Sultan Abu Bakar sudah wujud sejak lebih 40 tahun berbanding yang terkemudian seperti kawasan tanaman ini yang sebahagiannya pula terletak dalam rizab sungai bagi laluan air yang dilepaskan oleh empangan ini. 

Maka, bila berlaku banjir di kawasan berkenaan yang lebih rendah daripadanya, empangan milik dan selenggaraan TNB ini - yang sudah lama menyumbang khidmatnya sebagai satu daripada elemen utama tebatan banjir di kawasan tanahtinggi, selain menjadi sumber elektrik hidro; yang perlu dipersalahkan?


‘ENFORCEMENT’, ‘ENFORCEMENT’, ‘ENFORCEMENT’, ‘ENFORCEMENT’

Sedangkan, ia satu kawasan yang luas yang jika menurut perancangan sebenar kawasan tanahtinggi ini menurutnya, sepatutnya hanya meliputi kawasan seluas antara 2,300 hektar dan 2,500 hektar.

“Selain itu, tanaman yang diusahakan di sinipun kita kena lihat apa yang boleh dianggap sesuai,” katanya.

Mengenai masalah PATI yang bekerja di kawasan ini pula, Tan Sri Muhyiddin berkata, semua agensi peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Mengikut Peguam Negara, kita tidak ada masalah daripada segi undang-undang, ia sudah cukup baik (berkaitan) soal tanah dan pendatang tanpa izin atau penerokaan tanah secara haram.

“Yang penting – ‘enforcement’ (penguatkuasaan), ‘enforcement’, ‘enforcement’, ‘enforcement’,” katanya tegas.

PENERBANGAN PULANG... Helikopter yang membawa Tan Sri Muhyiddin berlepas pulang dari Kelab Golf Sultan Hj Ahmad Shah, Tanah Rata selepas mesyuarat serta lawatan siang Isninnya ke tanahtinggi ini. 


TNB BIAYAI SJKC LEMBAH BERTAM KE TAPAK BAHARU

Beliau turut memaklumkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lembah Bertam akan dipindahkan ke tempat lebih selamat atas persetujuan pihak lembaga sekolah berkenaan, dengan dibiayai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mengenai dakwaan petani bahawa mereka telah memohon untuk Program Pemutihan 6P bagi PATI dan telah membayar yuran namun belum memperoleh dokumen pengesahan, beliau meminta majikan terlibat untuk merujuk semula masalah itu kepada Jabatan Imigresen.

“Yang penting ada bukti kalau dia kata sudah bayar, ada cap jari dan dia tidak dapat surat kerja sah, bermakna ada benda yang masih tergantung. Kalau betul dia sah, sahih, maka kita boleh timbangkan perkara itu,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan dan penguatkuasaan sehingga berlakunya penerokaan tanah secara berleluasa, Tan Sri Muhyiddin berkata, bukti yang cukup perlu ada sebelum sebarang tuduhan dilemparkan terhadap mereka.

“Kita kena berlaku adil kepada pegawai atau pihak mana sekalipun, kalau dia bukan pegawai kerajaan sekalipun; kita tidak boleh tuduh dan menuding jari,” katanya.

MENYAMPAIKAN BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR

Beliau meminta orangramai supaya menyalurkan apa juga maklumat tentang amalan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka mempunyai maklumat mengenai dakwaan tersebut.

Sebelum persidangan media ini bermula, Tan Sri Muhyiddin telah turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands pada 5 November lepas. – BERNAMA/Khabar