Tuesday, 3 February 2015

60 peratus peruntukan bantuan pendidikan daripada hasil sawit Yayasan Pahang



“… kerana saya seorang bekas guru, dan memang saya pentingkan hal-hal pelajaran, pendidikan ini.

“Maka, apabila diberi kepercayaan menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Yayasan Pahang, saya telah menentukan supaya bantuan (pendidikan) ini dipertingkatkan lagi,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan  

HASIL DARIPADA SAWIT... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan bantuan persekolahan YP bernilai RM120 kepada seorang daripada penerima sambil diperhatikan antara lain Dato' Azhar (di sisi kanannya) dan Encik Mahmud (di sisi kirinya).
 

SMK PELANGAI, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini berkata, kira-kira 60 peratus daripada peruntukan yang disediakan bagi pelbagai program bantuan pendidikan oleh Yayasan Pahang (YP) berpunca daripada hasil tanaman sawitnya.

“Pada masa dahulu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… kita mengharapkan pemberian kawasan balak daripada Kerajaan Negeri, untuk di‘tender’ (lalu memperolehi hasil kewangan daripadanya).  

“Tapi sekarang ini, balakpun dah tak ada,” katanya dan menambah, “… maka kita telah ubah strategi kita iaitu YP diberikan tanah dan daripada tanah itu ditanam kelapa sawit. Hasil kelapa sawit digunakan untuk membantu YP memberikan bantuan kewangan kepada anak-anak.

“Yang sehingga ke hari ini, 60 peratus daripada peruntukan untuk bantuan pendidikan ini datangnya daripada hasil kelapa sawit ladang YP,” katanya dalam ucapan luar teks 16-minitnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan YP bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai pagi Selasa, 3 Februari di sini.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, fungsi YP  berbeza sedikit daripada agensi-agensi Kerajaan Negeri yang lain khususnya daripada segi perbelanjaannya terhadap hal-hal berkaitan pendidikan di negeri ini.

PARA TETAMU PAGI SELASA... Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Dato' Hamdan Hussein (kanan sekali); Timbalan Pengurus Besar YP Encik Nurhishamuddin Yaakob (di sebelah kanan Dato' Hamdan); Encik Nasharuddin (enam dari kanan, berbaju biru); dan, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Dato' Ahmad Jaafar (sembilan dari kanan). 
 

DUIT YP BELANJA UNTUK PENDIDIKAN

Sedang agensi-agensi lain itu memberi tumpuan kepada bidang-bidang perniagaan serta mendapat keuntungan untuk mereka katanya, YP tidak sedemikian, melainkan membelanjakan pendapatannya untuk pendidikan.

“Maknanya, YP ini tak boleh simpan duit, sayapun dah beritahu. Ada duit, terus keluar bagi kepada anak-anak dan juga kepada sekolah-sekolah. Kalau duit kita; kita dapat sikit, kita simpan sikit.

“Tapi Yayasan Pahang ini, duit yang dapat itu disimpan bukan untuk disimpan. Disimpan untuk dibelanjakan kepada kegiatan memberi bantuan persekolahan, bantuan pendidikan kepada pelajar-lelajar di semua peringkat – dari sekolah rendah, sekolah menengah sampailah ke peringkat universiti,” katanya.

Pada awal ucapannya lagi, beliau telah menyebutkan tentang rasional disebalik arahannya kepada YP supaya meningkatkan nilai peruntukan untuk program-program pendidikan di negeri ini.

“… kerana saya seorang bekas guru, dan memang saya pentingkan hal-hal pelajaran, pendidikan ini.

LEBIH 900 PELAJAR TERIMA BANTUAN RM120 SEORANG

“Maka, apabila diberi kepercayaan menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Yayasan Pahang, saya telah menentukan supaya bantuan (pendidikan) ini dipertingkatkan lagi,” katanya.

Yang ekoran itulah juga menurutnya, nilai bantuan pendidikan yang dikeluarkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini adalah jauh melebihi nilai yang telah dibelanjakan untuk maksud yang sama 10 tahun sebelumnya.

Sementelah berdepanan dengan para pelajar – lebih 900 orang semuanya, Dato’ Sri DiRaja Adnan menasihatkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh memandangkan masa depan yang dijangka lebih mencabar.

“Dunia pada masa depan sangat mencabar. Siapa yang mempunyai ilmu pengetahuan dia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” katanya, persis ayah menasihati anak.

“Negara yang mempunyai rakyat yang mempunyai tahap pendidikan, ilmu yang baik mungkin boleh bersaing dengan negara-negara lain dan kita dapat lihat bagaimana dengan ilmu pengetahuan, kuasa-kuasa ekonomi luar negeri, golongan-golongan tertentu; mencatur pergerakan ekonomi dan juga politik dunia,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir pada majlis ringkas tetapi bermakna ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; Yang DiPertua, Majlis Perbandaran Bentong, Encik Syahid Ismail; Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mansor Mohd Nor; Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasharuddin Ahmad; dan, Pengurus Besar YP, Encik Mahmud Mohd Nawawi. 

PENGHARGAAN DARIPADA PENERIMA... 

TAK PERLU TUNGGU PILIHANRAYA SAHAJA... Inilah amalan Dato' Sri DiRaja Adnan yang wajar diteladani. Ziarahan sebegini biasanya dilihat berlaku semasa dalam tempoh kempen satu-satu pilihanraya tetapi Dato' Sri DiRaja Adnan tidak sedemikian. 

Sesudah selesai menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan YP, beliau bergegas pula menziarahi beberapa rumah penduduk dekat sini termasuk rakan sejawatannya ketika sama-sama mengajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Pelangai dahulu, Encik Mohd Noh Duseh. – Khabar