Wednesday 4 February 2015

Laluan alternatif guna Jalan Pintasan Gebeng untuk angkut bauksit, bijih besi ke Pelabuhan Kuantan



… tempoh dua (2) bulan pula untuk pindahkan tapak ‘stockpile’ keluar daripada ‘segi-empat’ Kawasan Perindustrian Gebeng-Pelabuhan Kuantan

Langkah-langkah Kerajaan Negeri ambil bagi mengelak pencemaran debu merah di Kawasan Perindustrian Gebeng yang menjadi rungutan pelabur

MUQADDIMAHNYA OLEH DATO' SRI SUK... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menyemak butiran mengenai perjumpaan sambil Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Sri Muhammad Saffian Ismail menyampaikan pengenalan sebelum bermulanya sesi perbincangan pada perjumpaan pagi Rabu ini. 

Antara yang turut kelihatan ialah Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato' Azizan Ahmad; dan, Ketua Polis Negeri, SAC Dato' Sri Sharifuddin Abd Ghani.    


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Berkuatkuasa esok, Khamis, 5 Februari; semua lori mengangkut bahan bauksit dan bijih besi tidak lagi dibenarkan melalui jalan merentasi Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini.

Sebaliknya, perlu melalui Pintasan Gebeng bermula dari persimpangan berdekatan Pejabat Sirim Bhd cawangan Pahang, kemudian turun menerusi persimpangan Sungai Ular sebelum ke Pelabuhan Kuantan.

Dalam tempoh dua (2) bulan ini pula, kesemua bahan berkenaan yang dilambakkan sementera secara terbuka di ketujuh-tujuh tapak ‘stockpile’ dalam segi-empat Kawasan Perindustrian Gebeng-Pelabuhan Kuantan, perlu dikosongkan.

Selepas tempoh itu, bahan-bahan ini perlu mempunyai tapak-tapak ‘stockpile’ baharu di luar segi-empat kawasan tersebut, sebelum diangkut ke Pelabuhan Kuantan untuk pengeksportan.

Inilah dua (2) perkara utama yang dipersetujui pada perjumpaan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dengan 28 pengusaha pengeluaran bauksit dan 36 pengusaha pengeluaran bijih besi pagi Rabu, 4 Februari di sini.

ANTARA PENGUSAHA BAUKSIT... 
 

KERJA-KERJA PEMBERSIHAN OLEH MPK

Perjumpaan ini ialah ekoran rungutan yang Kerajaan Negeri terima tentang tercemarnya dengan teruk, Kawasan Perindustrian Gebeng, dengan debu-debu merah yang berpunca daripada pengangkutan dan penyimpanan sementara bahan-bahan bauksit terutamanya, di sana.

Sementara kedua-dua perkara ini dilaksanakan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) – dengan peruntukan kira-kira RM130,000 yang bakal disumbangkan oleh kesemua pengusaha terbabit, akan membersihkan jalan dan kawasan perindustrian tersebut.

“Minggu lepas, saya dan juga Ahli-ahli Exco (Kerajaan Negeri) diberi taklimat, jalan ke Gebeng dan dalam Kawasan Perindustrian Gebeng yang tercemar teruk oleh kesan bauksit dan juga bijih besi.

“Saya terus mengambil langkah hari ini memanggil ‘operator’ yang mengendalikan bijih besi dan juga bauksit. Kita telah panggil dan saya telah menekankan pentingnya juga dalam kita mewujudkan atau kita mencipta kekayaan, mencipta duit, tetapi keselesaan rakyat dan orangramai juga perlu dijaga.

“Bukan tujuan kita untuk menyekat sesiapa untuk membuat kekayaan, membuat duit tapi, tanggungjawab Kerajaan juga menjaga kepentingan, keselesaan rakyat.

MENGIKUTI PERSEMBAHAN VIDEO TENTANG PENCEMARAN DEBU MERAH DI KAWASAN PERINDUSTRIAN GEBENG... 


DAPAT ‘FEEDBACK’ BAIK DARIPADA PARA PENGUSAHA

“Hasil perjumpaan tadi saya juga telah dapat ‘feedback’ yang baik daripada ‘operator-operator’ ini…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, lalu menyebutkan tentang perkara-perkara yang telah dipersetujui pada persidangan media selepas perjumpaan itu.

Berhubung dengan tapak ‘stockpile’ baharu katanya, selain pengusaha sendiri diminta mencari lokasi yang sesuai, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri juga akan diminta membantu untuk mengenal pastikannya.  

“Saya hanya minta pihak pelabur (di Kawasan Perindustrian Gebeng) supaya bersabar sikit dalam tempoh dua (2) bulan ini. Hanya saya ralat sikit, kita mendapat surat daripada FMM dan juga pihak LPT hanya baru-baru ini.

“Sayapun tak sedar. Bila sedar, saya terus panggil ‘meeting’. Bila dapat surat daripada  Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), dapat surat daripada LPT, ‘complaint’ tentang kotornya, tercemarnya Gebeng ini; maka, saya telah panggil perjumpaan hari ini (dan) kita dapatlah menyelesaikan (isu yang dibangkitkan),” katanya lagi.

Selepas ini menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, beliau berharap para pengusaha tersebut akan dapat mematuhi syarat-syarat yang lebih ketat yang akan dikenakan, termasuk dalam soal menentukan jenis lori yang digunakan untuk kerja-kerja pengangkutan bahan-bahan berkenaan.  

SESI BERSAMA-SAMA MEDIA... Yang turut kelihatan mengiringi Dato' Sri DiRaja Adnan pada persidangan media ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Dato' Shafik Fauzan Sharif. 
 

‘LAST RESORT’… TAK DIBENARKAN PERLOMBONGAN LANGSUNG

Agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kastam DiRaja Malaysia (KDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) katanya, akan mengambil tindakan sewajarnya selepas ini.

Beliau juga memberitahu betapa segala syarat dan peraturan tentang penguatkuasaan ini akan disenaraikan dan diedarkan kepada para pengusaha yang diharapkan mereka dapat mematuhinya.

Bagaimanapun tegasnya, “‘Last resort’, mungkin kegiatan perlombongan tidak akan dibenarkan langsung di Pahang ini. Kalau mereka masih tidak… (mematuhi syarat-syarat dan peraturan ini) ya. Tapi itu ‘last resort’lah”.

Kepada soalan tentang ancaman pelabur mahu memindah-keluar kilang mereka dari Kawasan Perindustrian Gebeng yang dilihat tercemar itu kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, satu pelabur sudahpun mencari lokasi lain untuk penempatan semula kilangnya.

“Satu dah cari tempat lain untuk ‘relocate’. Tak boleh, tak boleh (biarkan gejala ini terus berlaku). Saya tak payah sebutlah kilang mana. Satu dah nak keluar.

PERLU AMBIL TINDAKAN CEPAT

“Kalau semua (pelabur serta kilang-kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng) keluar, lingkup (sektor perindustrian di) Pahang ni. Itu sebab kita (perlu) ambil tindakan cepat,” katanya.

Menurut butiran yang dibekalkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri, jumlah eksport bauksit dari Pahang pada tahun lepas (2014) ialah 2.3 juta tan manakala untuk bijih besi, ialah kira-kira 5.4 juta tan. – Khabar