Monday, 16 February 2015

Menteri Besar puas hati dengan pencapaian 18-tahun Pahang Skills



… berjaya latih lebih 30,000 orang.

“… graduan universiti yang menganggur, buat latihan industri di sini untuk tujuan ‘re-skilling’, 85 peratus (daripada mereka) dapat pekerjaan dalam tempoh enam (6) bulan (selepas latihan),” kata Menteri Besar.

MERASMIKAN LOGO BAHARU PAHANG SKILLS... Kelihatan di sisi Dato' Sri DiRaja Adnan semasa melancarkan logi baharu ini ialah Dato' Lahuree (berkot hitam); Dato' Norol Azali yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri; dan, Encik Khairul Rizal (di belakang Dato' Norol Azali).


KAMPUS PAHANG SKILLS, SEMAMBU, KUANTAN – Pahang Skills – nama baharu bagi Pahang Skills Development Centre (PSDC), hari ini mendapat pujian daripada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas pencapaian selama 18 tahun penubuhannya.

Dengan melahirkan lebih 30,000 pelatih sebagai pekerja mahir dan separuh mahir, beliau yang menyempurnakan majlis penjenamaan semula pusat pembangunan ini pagi Isnin, 16 Februari berkata pada persidangan media;

“Kita berpuas hatilah dengan pencapaian Pahang Skills, dulunya Pahang Skills Development Centre. Tujuan ditubuhkan dahulu ialah untuk melatih pekerja-pekerja mahir dan separuh mahir, untuk memenuhi keperluan industri di negeri Pahang ini khususnya di kawasan perindustrian Gebeng.

“Tapi saya lihat dari masa ke semasa, kurikulum dan juga mutu kursus yang diberi sangat meningkatlah. Dan ramai pekerja-pekerja yang sangat mahir telah dikeluarkan oleh pusat ini dan mereka ini kebanyakannya menikmati gaji yang lumayan di tempat mereka bekerja”.

“Keseluruhannya, apa yang telah dilakukan oleh Pahang Skills dengan mempunyai ahli lembaga lapan (8) orang dari industri, tujuh dari Kerajaan dan dipengerusikan oleh seorang pengerusi pada masa ini Dato’ Lahuree (Sudiran),

LOGO BAHARU PADA BAS YANG JUGA BAHARU... Dato' Sri DiRaja Adnan juga melancarkan logo baharu Pahang Skills pada bas baharu miliknya. Dengan membiayai sendiri pembelian bas berharga RM520,000 ini membuktikan betapa benar pusat ini beroperasi secara 'self-funding', tanpa membebankan kewangan Kerajaan Negeri. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini selain Dato' Lahuree dan Dato' Norol Azali ialah Dato' Shahaniza serta wakil-wakil industri dalam Lembaga Pengurusan Pahang Skills. 


SUMBANGAN PAHANG SKILLS KEPADA TAHAP NEGARA MAJU

“… adalah sangat menyumbang kepada cita-cita YAB Perdana Menteri untuk mencapai tahap negara maju dan negara berpendapatan tinggi (menjelang tahun 2020),” katanya lagi.

Selain turut menyatakan kebanggaannya betapa operasi Pahang Skills adalah secara ‘self-funding’, beliau juga memuji pusat ini kerana berjaya menganjurkan program latihan yang dapat menjamin pekerjaan kepada graduan-graduan menganggur.

Program berkenaan – Program Peningkatan Kemahiran Perindustrian (INSEP: Industrial Skills Enhancement Programme), ialah program latihan bidang-bidang kejuruteraan, keselamatan dan ICT, bagi meningkatkan keboleh-pasaran mereka.

“… graduan universiti yang menganggur, buat latihan industri di sini untuk tujuan ‘re-skilling’, 85 peratus (daripada mereka) dapat pekerjaan dalam tempoh enam (6) bulan (selepas latihan),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.    

Yang Pahang Skills perlukan sekarang katanya ialah – selain sokongan berterusan Kerajaan Negeri, sikap proaktif Lembaga Pengurusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, untuk sentiasa mengubah-suaikan kurikulum serta ‘module’ pusat ini bagi menepati keperluan dan perubahan semasa yang berlaku dalam industri.

PASTI DAN BERHEMAH DALAM PEMANDUANNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menguji-pandu bas baharu jenama Hino ini.  


PERUNTUKAN UNTUK GANTI ALATAN ‘ROBOTIC’

Sehubungan itu, beliau menyatakan persetujuan Kerajaan Negeri untuk menyediakan peruntukan kira-kira RM2 juta bagi menggantikan peralatan-peralatan ‘robotic’ yang ada, yang kini sudahpun ‘obsolete’ kerana usianya lebih 12 tahun.

“Saya difahamkan, soal ‘robotic’ sebagai contoh, kita agak ketinggalan sebab sistem yang ada di Pahang Skills ini sudahpun menjangkau 12 tahun dan kita perklukan RM2 juta untuk membeli peralatan baharu, dan ini kita akan lakukan segera,” katanya.

Mengenai permintaan agar Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan jalan masuk baharu ke pusat ini dengan melalui Kampus UIA berdekatan, yang bersebelahan dengan Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan katanya, beliau bersetuju dengannya.

“In-sya-Allah, kita bersetuju dan kita akan cari peruntukan, tidak banyak, dalam RM2.6 juta. Kita akan dapatkan peruntukan dan kita akan ‘punch’ ataupun kita akan tusuk atau kita akan potong satu jalan melalui UIA untuk sampai ke mari,” katanya.

Ke arah pelaksanaan kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, beliau akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk membuat kajian lanjut mengenainya termasuklah dalam menentukan jajaran dan kos sebenar.

SERTAI 'WEFIE' BERSAMA-SAMA PELATIH-PELATIH PAHANG SKILLS... Dengan 'sporting'nya, Dato' Sri Adnan turut sudi sertai acara 'wefie' bersama-sama pelatih-pelatih pusat ini. 


NAMA BAHARU UNTUK BEZAKAN DENGAN NEGERI-NEGERI LAIN  

Mengenai majlis pagi ini katanya, penjenamaan semula PSDC kepada Pahang Skills perlu bagi membezakannya dengan pusat-pusat latihan kemahiran negeri-negeri lain seperti Penang Skills Development Centre dan Perak Skills Development Centre.

Yang turut hadir pada majlis ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Norol Azali Sulaiman dan Dato’ Shahaniza Shamsuddin; Dato’ Lahuree dan Timbalannya, Dato’ Mas’ut Awang Samah; serta, Ketua Pegawai Eksekutif, Pahang Skills, Encik Khairul Rizal Ramli. – Khabar