Thursday 5 February 2015

Timbalan Perdana Menteri lancar pembinaan rumah baharu untuk mangsa banjir



… sempena lawatan ke daerah Lipis termasuk penyampaian wang ehsan kepada 59 keluarga mangsa banjir serta tinjau jambatan Sungai Tenom yang rosak teruk

SIMBOLIK... Tan Sri Muhyiddin sedang meng'ikat' bata - simbolik tanda terlancar sudah usaha bagi pembinaan semula rumah baharu menggantikan yang asal yang musnah akibat banjir. Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Mohd Shafie. 
 

DEWAN ORANGRAMAI, KAMPUNG AUR GADING, LIPIS – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam lawatan setengah hari ke daerah Lipis, Khamis, 5 Februari, telah melancarkan pembinaan rumah baharu untuk mangsa banjir di sini.

Sebanyak lapan (8) buah akan dibina di Kampung Aur Gading ini untuk dihuni oleh lapan (8) keluarga yang rumah rumah asal mereka bersebelahan Sungai Tenom, musnah akibat banjir.

Tan Sri Muhyiddin yang diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; serta Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar Dato’ Sri Mohd Shafie Apdal; dan, Menteri Kerjaraya Dato’ Fadillah Yusof  telah kemudian, menyampaikan Bantuan Wang Ehsan kepada 59 keluarga yang turut terbabit banjir.

Sebelum itu, sesampainya ke daerah ini pada kira-kira 9 pagi, Timbalan Perdana Menteri itu telah diberikan taklimat ringkas kemudian meninjau jambatan Sungai Tenom yang rosak teruk akibat bencana yang sama pada Disember lepas.

Pada persidangan media kemudian, BERNAMA melaporkan tentang keputusan Kerajaan Persekutuan mewujudkan sebuah sekretariat khas kekal di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

MENARIKNYA REKA BENTUK RUMAH BAHARU INI... 
 

TUBUH SEKRETARIAT KHAS TANGANI ISU PASCA BANJIR

Tujuan pengwujudannya ialah bagi bagi menyelia semua bentuk bantuan pasca banjir, termasuk pembinaan dan pembaikan rumah-rumah rosak di negeri-negeri yang terjejas banjir.

Sekretariat Khas ini dengan dibantu oleh beberapa jabatan dan agensi Kerajaan kata Tan Sri Muhyiddin sepertimana laporan oleh agensi berita kebangsaan itu, diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah ICU, Dato’ Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof.

“Ini bagi membolehkan segala urusan pasca banjir dapat dilaksanakan lebih tersusun dan teratur terutama pelaksanaan projek pembinaan rumah mangsa banjir yang musnah dan rosak teruk, selain urusan pembaikan infrastruktur seperti jalan dan jambatan,” katanya.

Menurutnya, tugas yang dilaksanakan oleh Sekretariat Khas sebelum ini, adalah di bawah tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun ekoran banjir luar biasa yang melanda negara akhir tahun lepas, ianya tidak lagi boleh dibuat secara sambilan atau sementara.

Ini ialah kerana semua bentuk bantuan yang hendak disalurkan terutama berkaitan pembinaan rumah yang musnah dan pembaikan semula rumah rosak, memakan masa yang lama jika tidak disusun dan dirancang dengan baik.

PERUNTUKAN RM48,000 – RM50,000 BINA RUMAH BAHARU

“Ia (pembinaan semula rumah musnah dan pembaikan rumah rosak) bukan perkara yang mudah kerana ada isu tertentu yang perlu disemak dan diteliti termasuk soal pemilikan tapak rumah,” katanya.

“Perlu ada siasatan dan semakan. Jadi, dengan adanya sekretariat ini, ia akan lebih memudahkan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut,” katanya dan menambah kata betapa Sekretariat sama bertanggungjawab melantik kontraktor yag bertauliah di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Beliau seterusnya berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi membaiki rumah rosak, manakala bagi pembinaan rumah baharu ialah antara RM48,000 dan RM50,000.

Sebagai tanda komitmen Kerajaan membantu mangsa banjir meneruskan kelangsungan hidup katanya lagi, Sekretariat Khas akan turut menyediakan peluang untuk mangsa banjir mencari semula sumber pendapatan mereka termasuk memulakan perniagaan.

Terdahulu, ketika berucap, Tan Sri Muhyiddin turut menyebut tentang peruntukan yang telah Kerajaan Persekutuan salurkan iaitu RM3,000 juta bagi memulihkan kembali negeri-negeri yang dilanda banjir, yang tidak termasuk kos pemulihan jambatan dan jalan sebanyak RM1,050 juta. – Bernama/Khabar