Monday 16 November 2020

Belanjawan Negeri 2021 - Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama

Belanjawan bernilai RM800.798 juta ringgit, satu lagi 'surplus budget' Menteri Besar bentangkan pada persidangan Dewan Negeri

'THUMBS UP' BUAT MENTERI BESAR SERTA BELANJAWAN NEGERI YANG DIBENTANGKAN... Foto ini dirakam sejurus sebelum beliau membacakannya bermula 11.13 pagi dan berakhir pada 12.42 tengah hari, bersamaan sejam 29-minit. Dengan elemen baharu seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP), nescaya Belanjawan ini ialah satu lagi belanjawan mesra-rakyat yang pastinya dialu-alukan semua, In Sya Allah.     

 

UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2021

YAB MENTERI BESAR PAHANG

 

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah inayah-Nya kita dapat hadir ke Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 yang bermula pada 16 November 2020. Pada sidang kali ini, Insya-Allah saya akan membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur bagi Tahun 2021 bertemakan, 'Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama'.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

PERUNTUKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

Dalam Belanjawan 2021, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah

322.54 bilion ringgit, di mana 236.5 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus sementara 69 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan serta peruntukan 17 bilion ringgit untuk Kumpulan Wang COVID-19. Manakala peruntukan untuk Simpanan Luar Jangka berjumlah 2 bilion ringgit. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan kerana dapat menyediakan Belanjawan untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan beberapa projek. Antara projek yang berimpak tinggi ialah:

Pelaksanaan Projek Central Spine Road di jajaran baharu di Negeri Pahang dengan peruntukan berjumlah 383.5 juta ringgit.

Peruntukan 45 juta ringgit bagi memenuhi keperluan pembekalan air bagi sektor petrokimia yang tertumpu di Zon Perindustrian Gebeng.

Pelaksanaan inisiatif Pas Perjalanan Tanpa Had My30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Bandar Kuantan dan Pulau Pinang dengan peruntukan keseluruhan 300 juta ringgit. Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga 30 ringgit sebulan.

Pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti secara berfasa ke Kuantan dan beberapa ibu negeri lain dengan peruntukan keseluruhan 150 juta ringgit.

Inisiatif pelaksanaan Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had dengan harga 5 ringgit untuk pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 6 serta golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Untuk Negeri Pahang, mereka boleh menggunakan pas ini bagi perkhidmatan kereta api antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dengan tambangnya hanyalah 5 ringgit sebulan berbanding sebelum ini secara purata 5 ringgit sehari.

Projek Jalan Pintasan Bagi Mengatasi Kesesakan Cameron Highlands.

Penambahan peruntukan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) kepada semua Kerajaan Negeri daripada 350 juta ringgit kepada 400 juta ringgit.

Kenaikan had kelayakan penggunaan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS sehingga 20 peratus atau 50 juta ringgit.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi Cukai Pelancongan yang akan diterima sebagai hasil kepada Kerajaan Negeri. Alhamdulillah, Negeri Pahang telah menerima cukai ini sebanyak 7.86 juta ringgit pada tahun 2019 dan 7.88 juta ringgit pada tahun 2020.

Walau bagaimanapun, pada tahun ini sektor pelancongan turut menghadapi kesan secara langsung akibat pandemik COVID-19. Negeri Pahang dianggarkan kehilangan hampir 1.05 juta pelancong setiap bulan, mulai Mac 2020 sehingga Oktober 2020. Data ketibaan pelancong bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020 adalah seramai 2.7 juta orang sahaja berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 sebanyak 6.3 juta orang.

Untuk makluman, Geran Hitung Kepala merupakan salah satu pemberian oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak 25.2 juta ringgit bagi pemberian tersebut. Justeru, Kerajaan Negeri amat berbesar hati sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peningkatan pemberian geran tersebut pada tahun hadapan.

Kerajaan Negeri juga telah menyelaraskan permohonan projek pembangunan sebanyak 1,160 projek yang bernilai 55.67 bilion ringgit dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Senarai projek ini merangkumi projek Public Funding Initiative (PFI) yang bernilai 20.67 bilion ringgit. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyelaraskan projek pembangunan RMK-12 yang melibatkan peruntukan negeri bagi tempoh lima (5) tahun mulai 2021-2025 dengan nilai keseluruhan sebanyak 2.53 bilion ringgit.

Kerajaan Negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan pada tahun 2020. Semoga kerjasama yang berterusan ini seiring dengan usaha untuk membangunkan ekonomi negeri dan kemakmuran rakyat.

INILAH MUKA DEPAN TEKS UCAPAN BELANJAWAN NEGERI SETEBAL 49 HALAMAN...

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Sepertimana kita semua sedia maklum, seluruh dunia termasuk negara kita sedang berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19 yang nampaknya semakin membimbangkan semua pihak. Pandemik ini telah mewujudkan krisis kepada ekonomi dunia. Sepanjang tempoh ini, negara kita telah mengalami beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 sehingga kini. Kerajaan Negeri Pahang amat prihatin dengan situasi yang berlaku pada masa ini yang mengakibatkan sebilangan rakyat terjejas sumber pendapatan sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Bagi menzahirkan keprihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah melancarkan pelbagai inisiatif melalui beberapa fasa untuk membantu rakyat di Negeri Pahang meringankan beban mereka.

Terdapat 22 inisiatif yang telah diperuntukkan bagi fasa pertama sehingga fasa kelima. Keseluruhan peruntukan bernilai 20.27 juta ringgit. Sehingga ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah 16.081 juta ringgit. Antara inisiatif utama yang dilaksanakan adalah:

Bantuan tunai kepada golongan peniaga, penjaja dan pemandu teksi yang terjejas seramai 17,935 orang. Jumlah keseluruhan peruntukan ialah 3.58 juta ringgit.

Bantuan tunai kepada pemain industri pelancongan, usahawan mikro e-hailing, veteran tentera, bekas polis, anggota sukarelawan Rejimen 505 Askar Wataniah dan nelayan tidak berlesen yang berjumlah 1.8 juta ringgit.

Bantuan tunai sebanyak 150 ringgit dan barangan makanan bernilai 50 ringgit kepada 23,720 penerima oleh pemimpin masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan serta kawasan yang terjejas sumber pendapatan. Jumlah keseluruhan peruntukan ialah 4.744 juta ringgit.

Bantuan tunai sejumlah 200 ringgit kepada 3,060 pelajar yang terkandas. Jumlah peruntukan adalah 612 ribu ringgit.

Sumbangan wang tunai 100 ringgit dan barangan keperluan bernilai 50 ringgit kepada 3,975 masyarakat Orang Asli melibatkan jumlah keseluruhan 596 ribu ringgit.

Peruntukan sebanyak 4.7 juta ringgit kepada frontliners sepanjang tugasan menangani COVID-19.

Pemberian insentif khas kepada 98 orang petugas COVID-19 dari hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan di Negeri Pahang yang ditugaskan ke Negeri Sabah sebanyak 500 ringgit seorang yang melibatkan jumlah 49 ribu ringgit kepada frontliners sepanjang tugasan menangani COVID-19. 

Semoga inisiatif ini dapat membantu rakyat dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya yang terjejas sepanjang tempoh PKP.

Alhamdulillah, selaku pentadbir negeri, Kerajaan Negeri Pahang telah membuat pengagihan secara bersasar merentasi semua kluster yang terkesan dengan pandemik ini mengikut kemampuan kewangan kita. Bidalan orang tua-tua, ‘berbelanja jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut’.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya musibah yang sedang melanda negara kita ini khususnya di Negeri Pahang dapat diatasi dengan kerjasama semua rakyat melalui pematuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Dengan ini, saya menjemput Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang,

Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad untuk bacaan doa.

KEDUDUKAN KEWANGAN SEMASA TAHUN 2020

Walaupun kita sekarang sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana kedudukan kewangan negeri terus berada dalam keadaan yang baik.

Sehingga 13 November 2020, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak 730.26 juta ringgit berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak 744 juta ringgit iaitu pencapaian sebanyak 98.15 peratus. Manakala Perbelanjaan Kerajaan Negeri pula adalah 560.78 juta ringgit iaitu bersamaan 75.64 peratus. Berdasarkan kadar kutipan hasil semasa, saya yakin kita mampu mencapai kutipan hasil melebihi 100 peratus menjelang penghujung Disember 2020. 

Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan seterusnya menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri tidak kukuh. Kerajaan Negeri bukan sahaja mampu membayar gaji tanpa gagal bahkan mampu memberikan bonus kepada kakitangan Kerajaan Negeri.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mempunyai pelaburan deposit dalam institusi kewangan bernilai 250 juta ringgit pada tahun 2020. Jumlah ini adalah jumlah yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Negeri.

Terima kasih diucapkan kepada semua penjawat awam Negeri Pahang yang telah bekerja keras meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.

Hasil yang diperolehi pada tahun 2020 oleh Kerajaan Negeri, selain diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus kepada jabatan-jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang, ia juga diberikan semula dalam bentuk sumbangan kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti berikut:

Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak 4.9 juta ringgit

Perbadanan Muzium Negeri Pahang sebanyak 4.0 juta ringgit

Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) sebanyak 8.2 juta ringgit

Pahang Skills Development Centre (PSDC) sebanyak 300 ribu ringgit

Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebanyak 831 ribu ringgit

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang sebanyak 6.4 juta ringgit dan;

Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) sebanyak 2.26    juta ringgit.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan berikut kepada rakyat di Negeri Pahang:

Sumbangan COVID-19 - 20.27 juta ringgit

Bantuan Malapetaka - 2 juta ringgit

Sumbangan Dana Khas (sumbangan kepada rakyat yang memerlukan) - 32.21 juta ringgit

Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) 12.9 juta ringgit

Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) - 7 juta ringgit

Peruntukan Khas kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) termasuk ADN pembangkang - 19.7 juta ringgit

 

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

ANGGARAN            BELANJAWAN        PERBELANJAAN    MENGURUS             DAN PEMBANGUNAN TAHUN 2021

Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan berjumlah 795.466 juta ringgit bagi Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, Perbelanjaan Lain dan Aset. Anggaran Perbelanjaan Mengurus untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak 55.573 juta ringgit atau 7.5 peratus berbanding tahun 2020.

Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan adalah sebanyak 201.915 juta ringgit. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah 109.415 juta ringgit dengan pembiayaan cara langsung, manakala 92.5 juta ringgit adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air. Projek ini akan menyumbang sebanyak 45 peratus daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air.

Secara keseluruhan, anggaran Perbelanjaan Pembangunan untuk tahun 2021 telah meningkat sebanyak 81.165 juta ringgit atau 67 peratus berbanding tahun 2020.

Belanjawan tahun 2021 ini adalah belanjawan yang telah mengambil kira semua aspek dan cabaran dalam menghadapi COVID-19. Belanjawan tahun 2021 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan Perbelanjaan Pembangunan.

ANGGARAN HASIL TAHUN 2021

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri dijangka mengutip hasil sebanyak 800.798 juta ringgit iaitu peningkatan sebanyak 56.775 juta ringgit atau 7.6 peratus berbanding anggaran tahun 2020. Kutipan hasil tahun 2021 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak 452.285 juta ringgit; hasil perhutanan sebanyak 165.495 juta ringgit; hasil air sebanyak 15.250 juta ringgit; Geran Kerajaan Persekutuan sebanyak 94.2 juta ringgit; dan lain-lain hasil sebanyak 73.568 juta ringgit. Kutipan hasil negeri dijangka akan mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil tanah.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 menganggarkan kutipan hasil negeri sebanyak 800.798 juta ringgit, manakala Perbelanjaan Mengurus pula dijangka sebanyak 795.466 juta ringgit, dengan lebihan sebanyak 5.332 juta ringgit. Walau bagaimanapun, bagi jumlah sebenar adalah bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun 2021.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

LAPORAN EKONOMI NEGERI PAHANG

Tahun 2021 merupakan lembaran baharu bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk memacu Negeri Pahang ke arah negeri yang berdaya maju seiring dengan cabaran ekonomi semasa khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Menurut Laporan Sosio-ekonomi Negeri Pahang 2019, ekonomi Malaysia pada tahun 2019 telah menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus berbanding 4.8 peratus pada tahun sebelumnya. Ia merekodkan nilai KDNK pada harga semasa berjumlah 1.51 trilion ringgit dan pada harga malar 1.42 trilion ringgit. Dari sudut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu pertumbuhan nilai tambah negara walaupun menunjukkan prestasi yang lebih sederhana pada tahun 2019.

Pada tahun 2019, pelaburan di Negeri Pahang mencatatkan sejumlah 9.25 bilion ringgit. Daripada jumlah tersebut, 5 bilion ringgit ialah pelaburan domestik manakala 4.25 bilion merupakan pelaburan  asing

Antara tiga (3) syarikat utama yang terlibat dalam pelaburan ini ialah Jianhui Paper Kuantan Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Gebeng, Daerah Kuantan, ND Paper Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bentong, Daerah Bentong dan Malaysia Newsprint Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Temerloh, Daerah Temerloh sejumlah 5,781 peluang pekerjaan telah diwujudkan kepada rakyat Negeri Pahang.

Pada tahun 2019, Sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan dengan kadar 6.2 peratus (2018: 6.5 peratus).

Manakala, Sektor Pertanian telah merekodkan pertumbuhan pada kadar yang lebih baik iaitu 3.5 peratus (2018: 1.3 peratus). Sektor Pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana iaitu sebanyak 4.7 peratus (2018: 5.8 peratus)

Walau bagaimanapun, Sektor Pembinaan di Pahang masih kekal mencatatkan pertumbuhan negatif 28.2 peratus (2018: negatif 25.8 peratus) dipengaruhi terutamanya oleh prestasi yang merosot dalam kesemua subsektor pembinaan yang mencatatkan pertumbuhan negatif. Seterusnya, Sektor Perlombongan dan Pengkuarian pula mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik pada kadar 4.2 peratus berbanding pertumbuhan negatif 5.5 peratus yang direkodkan pada tahun 2018.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan Negeri akan sentiasa menitikberatkan keseimbangan di antara keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan tagline  ‘Maju Terus Pahang’ dan ‘Pahang 1st. Pada masa yang sama juga, tumpuan Kerajaan Negeri adalah bukan sekadar memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi sahaja, tetapi juga akan memberi keutamaan kepada keupayaan Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat dapat mengekalkan pendapatan dan meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan negara dilanda COVID-19 ini. Belanjawan 2021 masih kekal untuk terus memberi fokus kepada tiga (3) strategi utama:

Pertama        :           Melonjak Ekonomi ke arah Negeri Berdikari 

Kedua           :           Memperkasa Perkhidmatan dan Modal Insan 

Ketiga           :           Mensejahterakan Kehidupan Rakyat

 

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

STRATEGI   PERTAMA:  MELONJAK EKONOMI  KE ARAH NEGERI BERDIKARI

MENINGKATKAN HASIL KERAJAAN NEGERI

Kerajaan Negeri Pahang telah menetapkan kutipan hasil tanah sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) pada tahun ini dengan sasaran hasil tanah ditetapkan sebanyak 95 peratus dan sasaran bagi kutipan tunggakan cukai tanah adalah sebanyak 80 peratus.

Sasaran kutipan hasil tanah bagi Negeri Pahang untuk tahun 2021 adalah sebanyak 452.285 juta ringgit. Kutipan ini termasuk bayaran premium tanah, permit, denda, rampasan dan sebagainya.

Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang telah ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 kini lebih memberikan tumpuan berterusan terhadap kes- kes yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan Negeri. Sebagai contoh, operasi penguatkuasaan perundangan tanah di Kampung Pamah Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 198.53 ekar telah berjaya mengekang kerugian hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan berjumlah 3.15 juta ringgit

Manakala operasi penguatkuasaan di Kampung Kundang, Daerah Pekan yang melibatkan keluasan tanah seluas 500 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) pula berjaya mengekang ketirisan kutipan hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan bernilai 3 juta ringgit

Sehingga ke hari ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah berjaya menyita 20 buah jentera yang dianggarkan bernilai 1.8 juta ringgit di atas pelbagai kesalahan. Jumlah kompaun dan denda yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2019 dan 2020 adalah bernilai 627 ribu ringgit dan 43 kes telah dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan.

Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang turut memainkan peranan penting dalam menjaga khazanah alam Negeri Pahang untuk manfaat segenap rakyat. Tindakan penguatkuasaan Ops Lestari 2 di Sungai Ichat, Daerah Cameron Highlands seluas 230 ekar telah berjaya mengembalikan kejernihan dan kualiti air Sungai Ichat sebagai sumber simpanan bekalan air kepada penduduk di Cameron Highlands. 

Operasi mencegah lombong haram di Daerah Lipis telah berjaya memastikan bekalan sumber air penduduk terjaga dan hutan-hutan simpan kekal tidak diceroboh dengan sewenang-wenangnya.

Bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan penguatkuasaan, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang selaku wakil Kerajaan Negeri telah berkolaborasi dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi membangunkan sistem pemantauan menggunakan data-data satelit. Penggunaan sistem ini memberikan anjakan kepada kemampuan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dan agensi-agensi lain bagi menganalisis dan memantau aktiviti guna tanah di seluruh Negeri Pahang tanpa melibatkan sebarang kos.

Pewujudan unit-unit baharu seperti Unit Ketirisan Hasil dan Unit Pasukan Khas pada tahun 2019 telah menunjukkan kesan yang sangat positif. Sebanyak 231 ribu ringgit tunggakan pinjaman ternakan dan sejumlah 148 ribu ringgit tunggakan sewa Taman Kekal Pengeluaran Makanan telah berjaya dikutip.

Prestasi yang cemerlang turut dicatatkan oleh Unit Pasukan Khas apabila berjaya mengutip 31 juta ringgit tunggakan hasil tanah dengan komitmen yang jitu daripada semua Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Pahang. Syabas diucapkan.

Selain itu, pengoperasian Pahang Corporation Sdn. Bhd. pada tahun 2020 dijangka dapat menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak 4.4 juta ringgit pada tahun 2021. Ia sesuai dengan matlamat penubuhannya yang bertanggungjawab mengkaji cadangan-cadangan pelaburan dari aspek pulangan serta risiko-risiko perniagaan dan memantau pelaksanaan aktiviti perniagaan yang diceburi oleh Syarikat- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Pewujudan Pahang Water And Energy Resources Sdn. Bhd. juga dijangka bakal menyumbang sebanyak 2 juta ringgit kepada Kerajaan Negeri mulai tahun 2021. Selain memberikan pulangan hasil kepada Kerajaan Negeri, ia juga membantu pengurusan sumber air mentah sedia ada agar pembekalan air mentah sentiasa mencukupi daripada segi kuantiti dan kualiti.

Negeri Pahang adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber mineral dengan anggaran rizab mineral melebihi daripada 125 bilion ringgit. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah konsortium bagi menguruskan aktiviti pengeluaran sumber mineral di Negeri Pahang iaitu Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd. (PMC) yang akan menjadi Pusat Sehenti (One-Stop Centre) bagi merancang, mengurus dan memantau aktiviti perlombongan di Negeri Pahang. 

PMC turut menjadi pemegang lesen mineral tunggal bagi semua aktiviti mencarigali, penjelajahan dan perlombongan. Ia dijangka dapat menyumbang 50 juta ringgit kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2021.

Seterusnya, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk memberi lesen kepada pelombong-pelombong kecil iaitu melalui Skim Pelombong Kecil.

MENINGKATKAN EKONOMI NEGERI PAHANG MENGIKUT SEKTOR

Sektor Perindustrian

Pelan Perindustrian dan Pembangunan Negeri Pahang 2020 - 2025 telah diwujudkan untuk mengenal pasti hala tuju pembangunan perindustrian bagi menjadikan Negeri Pahang sebagai sebuah negeri maju dan kompetitif menjelang tahun 2025. Lima (5) sektor utama yang terlibat adalah pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan. Ia menumpukan kepada industri ringan, sederhana, berat dan berteknologi tinggi serta industri masa hadapan. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 200 ribu ringgit untuk tujuan pelan ini.

Majlis Perindustrian Negeri Pahang akan diwujudkan pada tahun 2021 bagi membincangkan isu-isu dan hala tuju perindustrian. Tujuan penubuhan Majlis Perindustrian Negeri Pahang ini adalah untuk menyeragamkan, menyelaras dan membantu semua pemain industri dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam Pelan Perindustrian dan Pembangunan Negeri Pahang 2020-2025. Ia akan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa yang berkaitan dengan perladangan, pelancongan, pertanian, infrastruktur dan belia serta semua Pegawai Daerah, Ketua Jabatan yang berkaitan dan pemain-pemain industri.

Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam perancangan bagi mewujudkan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus. Wilayah Pahang Barat Plus merangkumi Daerah Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Raub, Bentong dan Bera. Plus ini adalah merujuk kepada Daerah Bera. 

Tujuan Majlis ini ditubuhkan adalah untuk memantau pelaksanaan Pelan Pembangunan Ekonomi Pahang Barat yang akan menjadi hala tuju kepada perancangan pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus. Ini adalah kerana pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus jauh ketinggalan jika dibandingkan pembangunan di Wilayah Pahang Timur khususnya Daerah Kuantan.

Selain itu, terdapat tiga (3) kawasan Taman Perindustrian yang akan diberikan tumpuan iaitu Tanjung Agas Maritime Park, Gambang Halal Park dan Pahang Technology Park. Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bersama-sama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur sedang giat melakukan promosi melalui lawatan, forum dan trade missions untuk menarik pelabur tempatan dan pelabur asing untuk melabur di kawasan perindustrian yang terlibat.

Dalam usaha memperkasa usahawan di Negeri Pahang, Kerajaan Negeri akan membangunkan Pelan Pembangunan Industri Kecil Sederhana (IKS) Negeri Pahang yang bertujuan untuk memperkukuhkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana, serta membantu sektor perusahaan mikro di negeri ini selain untuk membina kapasiti dan keupayaan sesebuah perusahaan dalam meningkatkan lagi skala perniagaan hingga ke pasaran antarabangsa.

Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan medium pemasaran secara dalam talian untuk usahawan dagang di samping menganjurkan kursus e-dagang bagi SME melalui kerjasama dengan syarikat milik Kerajaan Negeri. Pelan ini juga akan menyediakan skim latihan bagi graduan baharu dan usahawan sedia ada yang merupakan anak  kelahiran Pahang supaya mereka dapat memajukan aktiviti sosio-ekonomi rakyat dan menyediakan peluang pekerjaan.

Bagi tujuan pembangunan usahawan ini, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sejumlah 7.6 juta ringgit dalam RMK-12.

Sektor Pelancongan

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 1.5 juta ringgit pada tahun 2020 bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap Daerah di Negeri Pahang.

Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan projek-projek pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah 49.25 juta ringgit.

Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hotel dan resort di Negeri Pahang menerima 3,000 tempahan bilik penginapan susulan kebenaran rentas negeri. Sehubungan itu, bagi membantu semula ekonomi sektor pelancongan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan bantuan rebat atau kupon dengan jumlah keseluruhan sebanyak 50 ribu ringgit melalui aplikasi PahangGo. Kupon ini boleh digunakan di hotel-hotel terpilih yang dikenal pasti.

Tourism Pahang turut memainkan peranan melalui pelaksanaan pelbagai program pelancongan secara individu atau webinar. Antara strategi Tourism Pahang, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada tahun 2021 adalah:

Memperhebatkan promosi tanah tinggi, Taman Negara dan Tioman;

Meningkatkan penggunaan platform digital; dan

Mengambil bahagian dalam platform promosi terkini seperti Virtual Travel Fair bersama dengan penggiat-penggiat industri.

Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 5 juta ringgit kepada Tourism Pahang untuk mempergiatkan usaha mempromosikan sektor pelancongan Negeri Pahang pada tahun 2021.

Sektor Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi

Jabatan Pertanian Negeri Pahang akan meneruskan tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah- buahan, kelapa, tanaman kontan, herba, rempah ratus serta komoditi berpotensi dan bernilai tinggi melalui penyaluran insentif pengembangan teknologi dalam bentuk benih, bahan input serta kemudahan infrastruktur ladang untuk peningkatan produktiviti tanaman.

Sehingga akhir 2019, sebanyak 619 ribu tan metrik hasil pertanian dengan nilai 2.29 bilion ringgit telah dikeluarkan oleh Negeri Pahang. Pengeluaran bahan makanan sehingga Ogos 2020 telah mencapai 259 ribu tan metrik dengan nilai 1.66 bilion ringgit dan dijangka meningkat kepada 620 ribu tan dengan nilai 2.48 bilion ringgit sehingga akhir 2020. Sehingga akhir 2021, peningkatan pengeluaran dianggarkan mencapai 631 ribu tan metrik dengan nilai 2.52 bilion ringgit.

Kerajaan Negeri dengan ini akan memperuntukkan sebanyak 5.5 juta ringgit pada tahun 2021 untuk memantapkan lagi sektor pertanian. Peningkatan peruntukan sebanyak 0.5 juta ringgit atau 10 peratus daripada tahun 2020 diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan anggota masyarakat dalam pembangunan pertanian dan membantu lebih ramai golongan muda dan B40 menerima insentif teknologi pertanian untuk menjana sumber pendapatan. 

Contohnya melalui Program Tanaman Keliling Rumah, insentif berupa benih dan bahan input pertanian akan disalurkan kepada individu dan juga komuniti setempat dan dijangkakan seramai 1,000 orang akan mendapat manfaat daripada program ini pada tahun 2021.

Kerajaan Negeri juga memberi penekanan kepada pengekalan amalan pertanian yang baik yang menjurus penglibatan lebih ramai petani memperolehi sijil myGAP dan myOrganic. Ketetapan ini untuk pengeluaran bahan makanan yang lebih berkualiti dan berorientasikan eksport. Sehingga akhir tahun 2019, terdapat 597 ladang dengan keluasan 5,910 hektar telah memperolehi sijil myGAP dan dijangkakan angka ini akan melonjak kepada 800 ladang menjelang akhir tahun 2021.

Bagi menambah pengetahuan dan peningkatan kemahiran para petani, sebanyak 414 latihan dirancang untuk diadakan sepanjang tahun 2021 dengan penglibatan seramai 8,280 orang petani di seluruh Negeri Pahang.

Sektor Perhutanan

Asas pengurusan hutan di Negeri Pahang telah bermula dengan memperuntukkan hutan-hutan simpanan kekal yang menjadi khazanah Negara diwarta bertujuan untuk memastikan perlindungan dan pemeliharaan kawasan tersebut. Tanah yang telah dianggap sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah tertakluk di bawah pengurusan hutan secara berkekalan atau Sustainable Forest Management (SFM).

Sehingga kini, atas kerjasama yang baik dan komited di antara jabatan- jabatan dan agensi-agensi di Negeri Pahang, telah memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam pemeliharaan sumber hutan negara untuk kesejahteraan masyarakat masa kini dan akan datang. Ini jelas terbukti dengan jumlah hutan di Negeri Pahang sehingga Jun 2020 adalah seluas 2.05 juta hektar atau 57 peratus daripada keluasan tanah negeri seluas 3.59 juta hektar. 

 Daripada jumlah ini, seluas 1.55 juta hektar atau 43 peratus merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK), manakala 399.7 ribu hektar atau 11 peratus adalah Taman Negara/Suaka Hidupan Liar dan Burung serta selebihnya 86.9 ribu hektar atau 2 peratus adalah Tanah Kerajaan Berhutan.

Sesungguhnya Negeri Pahang harus berbangga kerana berupaya mengekalkan khazanah hijau ini dengan begitu luas iaitu melebihi 50 peratus daripada keluasan tanah Negeri. Melalui usaha ini, ianya dapat memberikan manfaat jangka panjang seperti pengekalan kawasan tadahan air yang turut dirasai oleh negeri-negeri yang bersempadan dengan Negeri Pahang seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terus dan terancang. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak 3.7 juta ringgit untuk tujuan pembangunan, penguatkuasaan dan termasuk memasukkan cip ke pokok-pokok bagi tujuan pemuliharaan hutan di Negeri Pahang.

Di samping itu juga, Kerajaan Negeri akan mewartakan beberapa kawasan sebagai Taman Negeri di Negeri Pahang. Antaranya Lubuk Yu di Daerah Maran.

Sektor ini akan terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sasaran sejumlah 165 juta ringgit bagi tahun 2021. Kutipan ini adalah daripada bayaran premium, royalti dan caj-caj lain.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah melaksanakan 11 Operasi Bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang. Secara keseluruhannya sehingga kini, hasil lelongan kayu rampasan adalah bernilai 3.14 juta ringgit manakala kompaun dan ganti rugi bernilai 5.18 juta ringgit telah berjaya diperolehi.

Seterusnya, melalui RMK-12, pelbagai projek pembangunan dan aktiviti perhutanan juga telah dirancang dengan anggaran peruntukan sebanyak 35.5 juta ringgit.

POTENSI PELABURAN NEGERI PAHANG

Tahun 2020 adalah tahun yang mencabar kerana COVID-19 telah melanda seluruh dunia. Negeri Pahang turut merasai kesan daripada penularan wabak tersebut dari segi sektor ekonomi. Sekatan pergerakan jelas sekali menyebabkan bilangan pelabur berkurang di semua negeri termasuklah Negeri Pahang.

Bagi  tahun 2019, Negeri Pahang telah menerima pelaburan melalui Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sebanyak 4.9 bilion ringgit melibatkan 34 buah projek. 3.9 bilion ringgit merupakan daripada pelaburan asing dan 1 bilion ringgit daripada pelaburan tempatan. Sebanyak 3,319 peluang pekerjaan telah disediakan.

Manakala bagi tahun 2020 (sehingga Jun), Negeri Pahang telah menerima pelaburan sebanyak 1.3 bilion ringgit dimana 61 juta ringgit merupakan daripada pelaburan asing dan selebihnya daripada pelaburan tempatan. 

Tiga (3) syarikat utama yang terlibat dalam pelaburan ini ialah Ayuga Agarwood Hitec Plantation Sdn. Bhd di Daerah Bentong, BRB Malaysia Sdn. Bhd di Gebeng, Daerah Kuantan dan Lotus KFM Berhad di Pelabuhan Kuantan, Daerah Kuantan. Projek ini telah menyediakan kira- kira 715 peluang pekerjaan.

Jumlah pelaburan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2019 mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak 6.1 bilion ringgit di Negeri Pahang yang menjana sekurang- kurangnya 3,469 peluang pekerjaan. Manakala pada tahun 2020, jumlah pelaburan yang telah dicatatkan adalah sebanyak 1.6 bilion ringgit yang menjana sebanyak 1,542 peluang pekerjaan.

Dari bulan November 2019 sehingga kini, melalui Unit Antarabangsa, Kerajaan Negeri Pahang telah menerima 49 permohonan pelabur asing dari Singapura, Thailand, China, Eropah, Timur Tengah, dan Korea. Antara 49 permohonan itu, 19 syarikat pelabur asing telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dan dua (2) syarikat telah menandatangani Memorandum Perjanjian Bersama (MoA) Pihak Kerajaan Negeri Pahang yang bernilai keseluruhan 910 juta ringgit.

Bagi tujuan menyokong pelaburan di Negeri Pahang, Pelabuhan Kuantan kini sedang berusaha untuk merealisasikan beberapa program pembangunan fizikal untuk kemudahan perdagangan dan industri. Pada tahun 2021, Lembaga Pelabuhan Kuantan mensasarkan dua (2) projek pembangunan utama yang sedang diusahakan pada tahun 2020 iaitu pembinaan dua (2) buah dermaga kimia cecair yang baharu serta pembangunan Hab Logistik Maritim untuk industri minyak dan gas di dalam Kawasan New Deep Water Terminal Pelabuhan Kuantan seperti pembinaan jeti baharu sepanjang 350 meter, wharf hard standing area, gudang berbumbung serta tangki simpanan air dan minyak.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

STRATEGI KEDUA: MEMPERKASA PERKHIDMATAN DAN MODAL INSAN

MEMANTAPKAN PENTADBIRAN KERAJAAN

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri amat memberi penekanan terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam di Negeri Pahang dalam usaha untuk memenuhi ekspektasi serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dengan menaik taraf infrastruktur pentadbiran Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah mengumumkan tentang beberapa penubuhan unit dan agensi di bawah seliaan Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), Unit Antarabangsa, Unit Ketirisan Hasil, Pahang Mining Corporation Sdn. Bhd (PMC), Pahang Water And Energy Resources Sdn. Bhd., Unit Pembangunan Wanita dan PahangGo. 

Semua penubuhan organisasi ini telah memberikan impak yang positif pada tahun 2020 dalam memantapkan lagi tadbir urus perkhidmatan kepada rakyat di samping menyumbangkan tambahan hasil kepada Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri seterusnya pada tahun 2021 akan memperuntukkan sebanyak 5 juta ringgit untuk pengukuhan Pentadbiran Tioman dan penguatkuasaan kawalan 23 pulau di bawah gugusan Pulau Tioman.

Kerajaan Negeri juga dalam kajian penstrukturan semula struktur organisasi Jabatan Agama Islam Pahang. Penstrukturan ini akan melibatkan dua (2) daerah dan sebanyak empat (4) buah Pejabat Agama Islam Daerah iaitu Kuantan, Maran, Jengka dan Chenor. 

Bagi Daerah Kuantan, akan diwujudkan tambahan satu (1) Pejabat Agama Islam Daerah baru di Mukim Kuala Kuantan 2 (Pahang Barat); dan mengekalkan Pejabat Agama Islam Daerah sedia ada di Bandar Kuantan (Ibu Negeri). Manakala bagi Daerah Maran, akan kekal dua (2) Pejabat Agama Islam Daerah iaitu Pejabat Agama Islam Daerah Maran dan Jengka.

PEMBINAAN PUSAT PENTADBIRAN SULTAN AHMAD SHAH (PPSAS)

Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan secara langsung terhadap kemajuan pelaksanaan pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS). Pelaksanaan projek ini telah diberhentikan buat sementara waktu bermula 18 Mac 2020 sepanjang tempoh PKP. Walau bagaimanapun, projek kini sedang giat dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan. Sehingga Oktober 2020, kemajuan sebenar projek adalah sebanyak 53.5 peratus.

Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pembinaan PPSAS dapat disiapkan pada tahun 2021 supaya perkhidmatan yang lebih berkesan dapat diberikan kepada pelanggan dengan suasana kerja yang lebih kondusif.

Selain itu, bagi memastikan PPSAS menjadi antara bangunan kerajaan yang terunggul, Kerajaan Negeri akan memastikan infra telekomunikasi untuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan selular teknologi 4G yang menyeluruh di dalam dan luar PPSAS. Infra telekomunikasi juga perlu ke arah ketersediaan untuk sasaran menjadi bangunan kerajaan yang pertama mempunyai akses teknologi 5G.

MEMACU KE ARAH KERAJAAN DIGITAL

Pada tahun 2020, bagi menyokong penyampaian perkhidmatan, sebanyak 360 ribu ringgit telah diperuntukkan bagi penggantian insfrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di jabatan-jabatan kerajaan meliputi server, komputer dan juga pencetak yang digunakan bagi pengoperasian sistem-sistem online di kaunter.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak 220 ribu ringgit bagi kerja-kerja penyelenggaraan ICT di ruang pejabat Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang serta 71 ribu ringgit bagi kerja- kerja penyelenggaraan dan peralatan ICT serta sambungan rangkaian luaran (UNIFI) di Pejabat Pentadbiran Pulau Tioman.

Justeru, pada tahun 2021, sejumlah 7.9 juta ringgit akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri iaitu peningkatan sebanyak 3.48 juta ringgit berbanding tahun 2020 bagi pembangunan teknologi maklumat kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan.

BANTUAN PENDIDIKAN KEPADA RAKYAT

Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang telah membangunkan Pelan Strategik Yayasan Pahang dan Kumpulan 2020-2028. Anggaran peruntukan perbelanjaan tahun 2021 bagi bantuan pendidikan dan kebajikan, program pendidikan serta bantuan kemasyarakatan adalah sebanyak 65 juta ringgit merangkumi pendidikan berjumlah 51 juta ringgit, komuniti berjumlah 13 juta ringgit dan ekonomi sebanyak 1 juta ringgit.

Antara sasaran Yayasan Pahang pada tahun 2021 ialah:

Ranking Ke-3 dan ke atas peringkat Kebangsaan dalam pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021.

80 peratus anak yatim melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

95 peratus murid boleh membaca seawal Tahun 1.

10 peratus masyarakat Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.

20 juta ringgit setahun kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Pahang.

MENINGKATKAN SYIAR ISLAM

Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 129.26 juta ringgit bagi Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan untuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada tahun 2021. Peruntukan ini merangkumi pembelian kenderaan kepada sekolah-sekolah dan masjid sebanyak 16 buah yang melibatkan 1.92 juta ringgit, pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah   Addiniah Padang Tengku Kuala Lipis, menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan asrama sekolah-sekolah yang keseluruhannya berjumlah 9.6 juta ringgit.

Selain peruntukan Kerajaan Negeri, Jabatan Agama Islam Pahang juga menerima peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi peruntukan elaun guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) sebanyak 30.9 juta ringgit setahun dan peruntukan bagi bayaran elaun imam kariah sebanyak 9.8 juta ringgit setahun.

Jabatan Agama Islam Pahang mensasarkan untuk melaksanakan penambahbaikan sistem perkhidmatan kepada rakyat antaranya adalah :

Mewujudkan direktori Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam (wali hakim) Negeri Pahang dalam Sistem e-Munakahat sedia ada bagi membantu memudahkan masyarakat dalam membuat urusan terutamanya proses perkahwinan.

Mewujudkan perkhidmatan rundingcara (khidmat nasihat) atas talian dalam menyelesaikan sesuatu aduan yang diterima dengan mengambil masa yang seminima mungkin. Kaedah ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan peratusan aduan yang berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

MEMARTABATKAN NILAI SEJARAH NEGERI

Perbadanan Muzium Negeri Pahang bukan sahaja sekadar mengurus bagi mengekalkan muzium yang ada, tetapi telah melakukan perubahan, perkembangan, perancangan dan aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat Pahang khususnya dan Malaysia amnya.

Bagi tahun 2020, Perbadanan Muzium Negeri Pahang telah menaik taraf Muzium Seni Pahang dan bangunan bekas pejabat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Pelancongan Pahang) di Kuantan kepada Kompleks Muzium Negeri Sultan Haji Ahmad Shah. Walaupun Belanjawan 2020 Perbadanan Muzium Negeri Pahang meningkat, tetapi hasil dari pengeluaran belanjawan ini akan memberi pulangan yang setimpal kepada pembangunan Negeri Pahang.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 10 juta ringgit bagi mengurus dan mentadbir Perbadanan Muzium Negeri Pahang termasuk projek menaik taraf muzium-muzium dan kajian pembangunan artifak.

MEMPERKASAKAN MASYARAKAT BERILMU

Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang bertindak sebagai agensi peneraju dalam memacu perkhidmatan perpustakaan dan maklumat sekali gus memastikan Khazanah Warisan Intelek Negeri terpelihara. Perpustakaan amat komited menyediakan perkhidmatan terkini khususnya dalam mengiringi Revolusi lndustri Keempat (IR 4.0), Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dan Data Raya (Big Data).

Di samping menyediakan perkhidmatan perpustakaan secara konvensional, Perbadanan Perpustakaan  Awam Pahang tidak ketinggalan dalam arus ledakan penyampaian maklumat secara maya melalui perkhidmatan portal U-Pustaka yang berkolaborasi dengan perpustakaan negeri-negeri lain dan juga agensi kerajaan yang lain seperti Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 6.6 juta ringgit untuk membantu perpustakaan ke arah sebuah Pusat Kecemerlangan dan Pendigitalan Sumber Ilmu Negeri.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

MENINGKATKAN KECEMERLANGAN SUKAN

Negeri Pahang memiliki ramai atlet yang kini bergelar Olympian bermula dengan Saudara Amirul Hamizan Ibrahim (Acara Angkat Berat pada Olimpik Beijing 2008), Saudara Mohd Faizal Baharom (Acara Angkat Berat pada Olimpik London 2012) Saudari Michelle Koh (Acara Golf Wanita pada Olimpik Rio 2016) dan Saudari Nur Shazlin Mohamad Latif (Acara Sukan Pelayaran pada Olimpik Rio 2016). Turut mencatat sejarah adalah Saudara Mohd Syamil Mohd Saad (Acara Powerlifting pada Sukan Paralimpik Rio 2016).

Keberkesanan setiap program pembangunan sukan yang dilaksanakan adalah terletak kepada pengukuran pencapaian atlet-atlet negeri ini di kejohanan-kejohanan yang disertai termasuklah Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang merupakan sukan bertaraf kebangsaan yang paling prestij di negara ini. Seterusnya atlet-atlet yang menunjukkan kecemerlangan di dalam sukan masing-masing akan dinilai bagi melayakkan diri mewakili negara ke kejohanan-kejohanan yang bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan KOMANWEL, Sukan ASIA dan Sukan OLIMPIK.

Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 2.87 juta ringgit yang merangkumi perbelanjaan mengurus dan penyelenggaraan di Majlis Sukan Pahang termasuk kerja-kerja kawalan keselamatan dan pembaikan bagi meningkatkan perkhidmatan infrastruktur dan pengurusan. Semoga dengan peruntukan pembangunan ini dapat memberikan keselesaan kepada pihak pengurusan dan atlet-atlet dalam menjalani latihan.

MEMUPUK BELIA BERDAYA SAING

Terdapat beberapa program telah berjaya dilaksanakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara maya iaitu Kejohanan MyESports : MyStay@HomeChallenge Peringkat Negeri Pahang yang telah menarik ramai penyertaan belia-belia Negeri Pahang. Program ini telah dilaksanakan di bawah Bahagian Pembangunan Sukan dengan kerjasama e-Sports Malaysia Pahang.

Kerajaan Negeri turut berbangga dengan pencapaian Cik Nurliana Mohammad yang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Belia Negara 2020. Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak 10 ribu ringgit kepada beliau. Semoga ia dapat menyuntik semangat kepada belia-belia di luar sana yang merupakan tulang belakang negara.

Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf orang-orang muda sebagai pelapis generasi masa hadapan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan satu Dana Khas sebanyak 10 juta ringgit yang boleh dijadikan sebagai bantuan awal dan pengembangan perniagaan (seed capital and expansion investment) khusus untuk golongan muda Negeri Pahang untuk melibatkan diri dalam sektor perniagaan. Lima (5) syarikat GLC dan pihak Majlis Daerah akan dilibatkan untuk pelaksanaan program ini.

Selain itu juga, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan pembangunan belia Negeri Pahang sebanyak 470 ribu ringgit untuk diagihkan kepada Majlis Belia Negeri Pahang, 11 Majlis Belia Daerah dan 15 Badan Gabungan bagi memastikan pembangunan belia secara komprehensif dapat dilaksanakan.

Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan kursus-kursus kemahiran untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing pada masa hadapan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saling bekerjasama atas semangat sukarelawan seperti Squad Bencana Pahang yang membantu Kerajaan Negeri dalam menghadapi musibah.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

STRATEGI KETIGA : MENSEJAHTERAKAN KEHIDUPAN RAKYAT PRESTASI PELAKSANAAN PROJEK PEMBANGUNAN RMK-11

Prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) iaitu sejumlah 0.91 bilion ringgit telah dibelanjakan bagi melaksanakan 355 projek di Negeri Pahang, iaitu 42.83 peratus daripada siling yang telah diperuntukkan. Prestasi ini boleh dibanggakan kerana prestasi nasional ialah 44.84 peratus.

Diharapkan pelaksanaan projek-projek di Negeri Pahang akan berjalan dengan lancar dan apabila siap kelak, akan memberikan manfaat kepada rakyat Negeri Pahang. Kerajaan Negeri sentiasa menekankan aspek integriti dan urus tadbir yang terbaik perlu diamalkan bagi menjayakan semua perancangan dan dasar negara.

PRESTASI PELAKSANAAN PROJEK KHAS

Sehingga 7 September 2020, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sejumlah 66.1 juta ringgit bagi melaksanakan 2,457 projek/program di Negeri Pahang meliputi pelbagai peruntukan seperti Peruntukan Khas YAB. Perdana Menteri, YB. Menteri, YB. Ahli Parlimen, YB. Senator, YB. Timbalan Menteri, YB. ADUN, Projek Sambungan, Projek Kecil Persekutuan UPP, Kementerian Kewangan, Projek Mesra Rakyat dan Projek di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Penyaluran peruntukan-peruntukan ini bertujuan menambah dan melengkapkan lagi pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia Lima (5) Tahun (RMLT), merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat dan juga sebagai wadah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat.

Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri disalurkan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah 10 juta ringgit bagi Projek Rangsangan Ekonomi (PRE). Sebanyak 228 projek di seluruh daerah di Negeri Pahang dapat dibangunkan. Sehingga kini kemajuan projek telah mencapai 98 peratus siap. Sedikit sebanyak peruntukan yang disalurkan ini dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

PERUNTUKAN MARRIS

Pembangunan sebuah negeri bergantung kepada jaringan kemudahan jalan raya yang sempurna bagi menjadi penghubung ekonomi mahupun sosial. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang disalurkan bagi penyenggaraan jalan negeri yang berjumlah 298 juta ringgit pada tahun 2020. Kita diberikan khabar gembira dengan pengumuman penambahan sejumlah 50 juta ringgit untuk semua negeri bagi tahun 2021. Ini akan membolehkan semua rakyat di Negeri Pahang secara tidak langsung akan dapat merasai manfaat ini.

Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas kerjasama yang erat dan lancar di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bersama-sama menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang terbaik kepada rakyat Negeri Pahang.

PERKHIDMATAN BEKALAN AIR

Secara keseluruhannya Negeri Pahang telah mencapai 98 peratus kawasan liputan bekalan air di mana 100 peratus bagi kawasan bandar telah pun mendapat bekalan air bersih manakala kawasan luar bandar 98 peratus.

Bagi tahun 2021, pelaksanaan projek pembinaan sebuah loji rawatan air dan tangki air di Kuantan dijangka akan dimulakan bagi memenuhi keperluan bekalan air di Kawasan Perindustrian Gebeng dengan anggaran kos projek keseluruhan 619 juta ringgit.

Di antara projek yang sedang giat dilaksanakan adalah membina tangki imbangan di Kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah 173 juta ringgit, membina dan menyiapkan loji air di Semambu berjumlah 446 juta ringgit dan projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Kawasan Perindustrian Gebeng berjumlah 115 juta ringgit. Selain itu, terdapat juga projek untuk mengatasi kekeruhan di Loji Rawatan Air di Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau, Daerah Raub berjumlah 18 juta ringgit.

Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan pembiayaan secara pinjaman bagi pelaksanaan Projek Paip Agihan dari Kemaman ke Gebeng ini bagi memenuhi permintaan  bekalan  air  daripada  pemain-pemain  industri di Kawasan Perindustrian Gebeng dan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP). Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sebuah kerajaan yang mesra perniagaan dan komited menjadikan Kawasan Perindustrian Gebeng dan MCKIP sebagai kawasan perindustrian berteknologi tinggi.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri terus memberikan komitmen untuk melaksanakan program bekalan air yang telah dirancang. Pada tahun 2020, sebanyak 35.2 juta ringgit peruntukan telah disediakan bagi menyiapkan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta menaik taraf sistem sedia ada. Manakala pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 92.5 juta ringgit iaitu peningkatan sebanyak 57.3 juta ringgit bagi tujuan perbekalan air Negeri Pahang.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan meneruskan perlaksanaan projek-projek yang telah dirancang di bawah program RMK-12 yang mana sebahagian besarnya adalah merupakan projek-projek sambungan yang telah mula dilaksanakan dalam RMK-10 dan RMK-11. Projek-projek tersebut melibatkan pembinaan loji rawatan air, pembinaan tangki simpanan dan pemasangan paip yang telah pun siap dan digunakan oleh pihak industri dan pengguna domestik.

Kerajaan Negeri juga sedang dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang dengan Kerajaan Persekutuan dan dijangkakan perjanjian berkenaan akan termeterai sebelum 31 Disember 2020. Melalui penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Pahang, pinjaman bekalan air luar bandar yang bernilai 1 bilion ringgit Kerajaan Negeri akan dihapus kira dan baki pinjaman bekalan air akan dinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Kerajaan Negeri kini berpuas hati dengan prestasi PAIP yang telah boleh berdikari berdasarkan kedudukan kewangan syarikat yang stabil dan kukuh. Kerajaan Negeri kini tidak perlu lagi menyalurkan bantuan geran secara tahunan kepada pihak PAIP untuk tujuan pengoperasian mereka. Sehingga 31 Oktober 2020, PAIP telah memperolehi keuntungan kasar sebanyak 23.5 juta ringgit dan dijangka meningkat kepada 32 juta ringgit pada tahun 2021.

PERUMAHAN DAN KEMUDAHAN UNTUK RAKYAT

Agenda perumahan mampu milik akan terus menjadi agenda utama Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang bagi penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Pahang.

Projek PRIMA Pahang dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan syarikat pemaju perumahan. Kerajaan Negeri memberikan tanah kerajaan dengan bayaran premium yang sangat minimum iaitu 2 ribu bagi setiap lot rumah. 

Dengan kos tanah yang sangat minimum ini, Kerajaan Negeri mampu menetapkan harga jualan rumah PRIMA Pahang yang berkeluasan binaan rumah 1,000 kaki persegi pada harga hanya 150 ribu sahaja. Malahan bagi penjawat awam, diberikan lagi potongan 10 peratus menjadikan harga rumah tersebut hanya 135 ribu ringgit

Inilah komitmen dan iltizam Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah yang benar-benar mampu milik kepada rakyat Negeri Pahang. Sasaran bagi tahun 2021, PR1MA Pahang dijangka akan dibangunkan sebanyak 1,000 unit.

Manakala Program Rumah Makmur dilaksanakan sebagai penambahbaikan kepada program PR1MA Pahang sedia ada. Golongan sasar adalah kepada mereka yang berpendapatan 5 ribu ringgit ke bawah satu isi rumah. 

Sehingga kini, sebanyak 16 projek telah diluluskan dengan jumlah rumah sebanyak 4,222 unit. Pada tahun 2020, sebanyak lima (5) projek telah memulakan kerja-kerja pembinaan iaitu tiga (3) projek di Lipis, satu (1) projek di Kuantan dan satu (1) projek di Maran (Bandar Jengka).

Kerajaan Negeri seterusnya tampil dengan inisiatif mewujudkan Tabung Perumahan Rakyat Pahang. Sehingga Oktober 2020, jumlah kutipan terkumpul bagi Tabung Perumahan Rakyat Pahang adalah sebanyak 12.9 juta ringgit berbanding sasaran sebanyak 6 juta ringgit yang diumumkan dalam Belanjawan 2020. 

Kutipan untuk tabung ini adalah daripada caruman oleh pemaju swasta sebanyak 11.92 juta ringgit dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang sebanyak 980 ribu ringgit. Jumlah kutipan Tabung Perumahan Rakyat Pahang ini dijangka akan terus meningkat pada tahun 2021.

Melalui dana daripada tabung ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Projek Rumah Rakyat Pahang untuk membina rumah kepada golongan B40, miskin atau miskin tegar yang tersenarai dalam senarai e-Kasih, tidak memiliki rumah, atau rumah yang didiami terlalu uzur untuk dibaiki serta bantuan baik pulih rumah-rumah yang daif atau tidak selamat untuk diduduki. 

Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah 6.37 juta ringgit bagi pembinaan 98 unit Projek Rumah Rakyat Pahang yang berkeluasan 750 kaki persegi dengan kos sebanyak 65 ribu ringgit dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak. 

 Permohonan rumah ini dibuat melalui Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemilihan diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Bagi tahun 2021, program ini akan diteruskan dengan pembinaan lagi 98 unit Rumah Rakyat Pahang.

Di samping itu, peruntukan bagi pembaikan sebuah rumah maksimum sebanyak 10 ribu ringgit turut diberikan bagi pembaikan rumah rakyat yang memerlukan dari semasa ke semasa.

PEMBANGUNAN ORANG ASLI

Penubuhan Unit Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang pada tahun 2019 telah memberi banyak impak positif dalam pengurusan dan pembangunan masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang sepanjang tahun 2020. Kerajaan Negeri memperuntukkan 2.1 juta ringgit untuk tujuan pengurusan dan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Fokus utama unit ini pada tahun 2021 adalah untuk memperkemas solusi bagi isu-isu tanah Orang Asli dan memberi fokus kepada pembangunan belia dan kepimpinan masyarakat Orang Asli.

Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk penubuhan Perbadanan Orang Asli Negeri Pahang. Fungsi Perbadanan Orang Asli Pahang adalah sebagai badan yang bertanggungjawab menyediakan pelan induk pengurusan dan pembangunan ekonomi secara lebih terancang untuk masyarakat Orang Asli Negeri Pahang. 

Perbadanan Orang Asli Pahang dijangka mampu memberi impak positif kepada kelancaran proses pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli Negeri Pahang dan akan bertindak mengurus ekonomi Orang Asli secara lebih berstrategi, sistematik dan holistik. Perbadanan Orang Asli Pahang juga akan diberi hak untuk menguruskan pembangunan projek ekonomi untuk tanah-tanah Orang Asli yang telah diwartakan.

KEPRIHATINAN RAKYAT, KEUTAMAAN NEGERI

Kerajaan Negeri sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua bencana yang melanda, sama ada bencana semula jadi mahupun kejadian yang tidak diingini. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah menyalurkan 3 juta ringgit kepada Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) di bawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang mulai tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 1 juta ringgit atau 50 peratus berbanding tahun 2020.

Peka dengan keadaan ekonomi rakyat Negeri Pahang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah melonggarkan syarat kepada peniaga dengan memberikan kebenaran melaksanakan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi yang bersesuaian. Sebanyak 1,210 permit harian perniagaan telah dikeluarkan oleh MPK sejak bulan Julai 2020. Usaha ini membolehkan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik berupaya meneruskan kelangsungan hidup mereka. Kerajaan

Negeri juga berhasrat akan memperluaskan insentif ini kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Pahang.

Tidak dilupakan, peranan wanita yang menjadi tulang belakang kemajuan Negeri Pahang, tanpa mereka maka pincanglah struktur sesebuah pentadbiran. Ini adalah kerana wanita kini adalah wanita yang bergerak bersama-sama seiring dengan alaf baharu. Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan peruntukan sebanyak 772 ribu ringgit untuk pembangunan wanita.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri amat berbangga kerana seorang kanak- kanak perempuan kelahiran Negeri Pahang telah terpilih untuk menerima Anugerah Pingat Hang Tuah yang merupakan satu anugerah pengiktirafan keberanian luar biasa kanak-kanak di Malaysia. Beliau adalah adik Nuraina Erieka Binti Abdullah berumur 13 tahun yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah menunjukkan keberanian luar biasa menyelamatkan nyawa adiknya yang berusia 3 bulan dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Flat Taman Anggerik, Jalan Berserah Kuantan. 

Ini telah membuktikan peranan wanita telah bermula daripada awal usia lagi. Sekalung tahniah diucapkan kepada adik Nuraina Erieka atas penganugerahan ini dan sebagai menghargai pengorbanan beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut berbesar hati menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Srikandi Kanak-Kanak Negeri Pahang 2020 dan menerima hadiah sebanyak 2 ribu ringgit.

Selain itu juga, pada 4 September yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah menyerahkan sebuah rumah kepada Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) yang bernilai 1.2 juta ringgit untuk dijadikan Pusat Menangani Krisis Wanita yang menyediakan perlindungan sementara kepada wanita-wanita yang terlibat dalam keganasan rumah tangga, penderaan mental, fizikal dan sebagainya. Berdasarkan rekod, jumlah keganasan rumah tangga yang dilaporkan sehingga Oktober 2020 di Negeri Pahang ialah sebanyak 57 kes yang meliputi kes perintah perlindungan, khidmat kaunselor, khidmat nasihat dan rujukan dari hospital.

Menyedari hakikat pentingnya golongan wanita, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan peruntukan sebanyak 1.5 juta ringgit melalui Program Cakna Suri iaitu Ujian Mamogram secara percuma kepada 6,000 wanita di seluruh Negeri Pahang pada tahun 2021. Peserta adalah berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan bermula awal tahun hadapan di klinik-klinik yang dipilih. Semoga sedikit sebanyak ianya dapat membantu pengesanan awal kanser payudara yang sering dihadapi oleh wanita kini.

MUSIBAH MENIMPA DIRASAI BERSAMA

Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan jalan yang terbaik bagi membantu rakyat lebih-lebih lagi yang terkesan dengan cabaran pandemik ini. Dari rakyat kita perolehi, kepada rakyat juga kita memberi. Dengan ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan lebihan hasil yang berjumlah 5 juta ringgit kepada Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang untuk digunakan bagi tujuan mengekang wabak dan juga membantu mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini.

Di kesempatan ini juga, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan semua pihak dalam sama-sama membantu menghadapi saat-saat getir sebegini. Ini dibuktikan dengan komitmen caruman yang telah dibuat secara sukarela oleh 4,589 kakitangan Kerajaan Negeri Pahang melalui pemotongan gaji bermula bulan April sehingga September 2020. Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak 573 ribu ringgit.

Bahkan mulai bulan November, Disember tahun 2020 serta Januari tahun 2021, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju dibuat pemotongan gaji pokok sebanyak 10 peratus untuk disumbangkan dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang.

Di Dewan ini, saya juga menyeru agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk pembangkang untuk turut membuat pemotongan 10 peratus gaji pokok bagi disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang.

PENUTUP

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh rakyat-jelata, yang telah memberi kerjasama baik, sehingga membolehkan Kerajaan Negeri berfungsi sewajarnya.

Ini tentunya menepati kehendak agama sepertimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An-Nisa’, Ayat 59 yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman. Taatilah Allah, taatilah Rasul dan para pemimpin dalam kalangan kamu”.

Dan hubungan ini pula hendaklah berlangsung dalam apa juga keadaan sepertimana pula Hadith Nabi S.A.W, riwayat Muslim yang bermaksud ;

“Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu”.

Dan sesungguhnya, hubungan rakyat dengan kerajaan mestilah yang sentiasa bersifat dua hala; kewajipan kerajaan ke atas rakyat ialah berlaku saksama dan memelihara hak-hak serta kebajikan mereka, manakala rakyat pula wajib memberikan kerjasama baik dalam sama-sama membangunkan negara dengan mentaati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para penjawat awam sama ada penjawat awam negeri mahupun persekutuan. Sebagai pentadbir dan pelaksana, peranan penjawat awam sangat ditagih dan dihargai dalam memastikan apa juga dasar dan projek yang dirangkakan oleh Kerajaan Negeri, dapat diterjemah dan dilaksanakan dengan jaya dan berkesan serta menepati matlamat dan sasaran.

Penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sehinggalah kepada entiti seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia atau RELA telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bersama-sama pihak Kerajaan Negeri Pahang membendung jangkitan COVID-19 ini. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen yang diberikan. Jasa dan pengorbanan tuan-tuan sangat kami hargai.

Dan sudah tentulah saya perlu ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, serta juga rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, yang sama-sama berganding bahu bagi mengemudi dan menjayakan apa juga perancangan oleh Kerajaan Negeri.

Kemuncak kepada segalanya ialah persembahan ucapan setinggi-tinggi junjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Patik doakan moga-moga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah, sihat walafiat; agar pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus-menerus terzahir dengan kata-kata keramat – ‘Raja Rakyat, Sehati Sejiwa; Raja, Rakyat, Berpisah Tiada’.

Ampun Tuanku.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

BANTUAN PRIHATIN PAHANG 2021 (BPP)

Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dalam menghadapi cabaran situasi kini. Kerajaan Negeri juga sedaya boleh meneruskan perjuangan bagi memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di Negeri Pahang terjaga. Oleh itu, Kerajaan Negeri amat berbesar hati ingin mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang pada tahun 2021 kepada rakyat Negeri Pahang;

Bagi menjaga kebajikan golongan warga emas yang berumur 80 tahun ke atas, sumbangan secara one-off sebanyak 250 ringgit seorang melibatkan seramai 2,054 orang dengan peruntukan berjumlah 513,500 ringgit.

Bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU), Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah 8,493,250 ringgit kepada 33,973 penerima secara one-off dengan kadar 250 ringgit seorang.

Bagi 3,014 penerima Bantuan Am Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar bantuan am ini dari 300 ringgit sebulan kepada 350 ringgit sebulan yang menjadikan keseluruhan peruntukan tambahan adalah sebanyak 1,808,400 ringgit setahun.

Bagi menghargai bakti imam-imam kariah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak 750 ringgit seorang kepada seramai 1,032 imam seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan 774 ribu ringgit.

Selain itu, tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan secara one-off sebanyak 250 ringgit seorang yang melibatkan seramai 888 bilal dan 889 siak seluruh Negeri Pahang dengan jumlah peruntukan 444,250 ringgit.

Bagi tujuan memberi semangat kepada seramai 24 ribu pelajar- pelajar Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan yang bakal memasuki alam persekolahan Darjah 1 pada tahun 2021, sejumlah 2.4 juta ringgit diperuntukkan iaitu pemberian secara one-off 100 ringgit kepada setiap murid.

Tidak dilupakan juga kepada 543 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), 62 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKB) dan 70 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang telah banyak menyumbangkan bakti di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan sejumlah 250 ringgit secara one-off kepada setiap Pengerusi dengan jumlah peruntukan 168,750 ringgit.

Tidak sekadar itu, untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40, sumbangan secara one-off sebanyak 250 ringgit diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai 1,594 orang. Ia akan melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah 398,500 ringgit.

Selain itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan sebanyak 840 ribu ringgit setahun untuk Elaun Tambahan Guru Al-Quran dan Fardhu Ain Asrama kepada 350 orang pada kadar 200 ringgit seorang mulai tahun 2021. Elaun ini akan meningkat daripada 800 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan.

Kerajaan Negeri juga prihatin kepada institusi Maahad Tahfiz yang ada di Negeri Pahang. Oleh itu, Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) akan menerima peruntukan berjumlah 1 juta ringgit secara keseluruhan untuk diagihkan kepada 89 buah Maahad Tahfiz.

Selain itu, seramai 301 orang Tok Batin akan turut menerima sumbangan secara one-off bernilai 250 ringgit seorang yang berjumlah 75,250 ringgit.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian sebanyak 200 ringgit kepada pasangan yang berkahwin kali pertama pada tahun depan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan 10 ribu ringgit untuk setiap 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti untuk memberikan latihan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU). Jumlah peruntukan adalah sebanyak 520 ribu ringgit.

Kerajaan Negeri seterusnya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penjawat awam yang bertungkus lumus membantu memberikan perkhidmatan yang terbaik meskipun dalam keadaan yang sukar biarpun kadangkala mereka menerima kritikan tetapi ianya langsung tidak melemahkan diri untuk lebih mencurahkan bakti khususnya di Negeri Pahang.

“Pokok  tidak  akan mampu berdiri utuh  tanpa  akar  yang  kuat  mencengkam bumi, biarpun angin, taufan, ribut melanda, tetap mampu berdiri  teguh mendongak    ke  langit “.  Begitulah  simboliknya kepentingan  penjawat  awam kepada Negeri.

Dengan ini, dengan penuh rasa syukur, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak 1,000 ringgit kepada kesemua kakitangan kerajaan tanpa pengecualian gred, kerana setiap inci kejayaan yang kita rasai hari ini adalah hasil usaha padu kita semua.

Seramai 8,000 penjawat awam akan menerima manfaat tersebut dan pembayaran dibuat sebelum 16 Januari 2021. Jumlah peruntukan untuk Bayaran Khas Kewangan ini adalah sebanyak 8 juta ringgit.

Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini bertambah berbanding dengan tahun lepas yang berjumlah 750 ringgit dan Insya-Allah, pada tahun yang mendatang, sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah kukuh, tidak mustahil Kerajaan Negeri akan memberikan Bantuan Khas Kewangan ini dengan lebih lagi.

Tidak dilupakan, kepada Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain di sekolah dan asrama, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan secara one-off berjumlah 300 ringgit kepada 2,978 guru yang terlibat. Jumlah peruntukan Bantuan Khas Kewangan ini adalah sebanyak 893,400, ringgit.

Harapan Kerajaan Negeri agar kita sentiasa ingat akan ‘Jika berbelanja janganlah sampai boros, dan jika berjimat janganlah sampai kedekut’.

Buah kerdas buah genuak, 

Dalam hutan tumbuh meliar, 

Usah risau usahlah cuak, 

Nasib rakyat takkan terbiar.

 

Dalam hutan tumbuh meliar, 

Sukar dikesan oleh ruminan, 

Nasib rakyat takkan terbiar, 

Belanjawan Negeri ialah jaminan.


Sukar dikesan oleh ruminan, 

Khasiatnya tinggi sudah tertera, 

Belanjawan Negeri ialah jaminan, 

Negeri makmur rakyat sejahtera.

 

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Saya dengan ini membentangkan Belanjawan 2021 dan saya mohon mendapat sokongan semua, Insya-Allah.

Saya mohon mencadangkan.

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH - Khabar