Thursday 26 November 2020

Batu api, adu domba yang tak menjadi

... Pahang terus serlahkan kekukuhan Muafakat Nasional (MN)

                             

PERSEPAKATAN PADU KITA... Foto ini dirakam sempena Majlis Hari Raya  Aidil Fitri tahun 2019 anjuran Jabatan Perhutanan Negeri di Kompleks Darul Makmur, Indera Mahkota 8, Kuantan.


Oleh AHYA ALIMUDDIN

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kepada Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, kerjasama erat UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) di Pahang, adalah ‘well tested and strongly proven’ sepertimana kejayaan cemerlang calon-calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO pada Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands hujung Januari 2019, dan PRK Chini awal Julai lepas.

Ini disebut oleh Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan BN Negeri, semasa menggulung perbahasan hari terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke-14 tengah hari Jumaat lepas (20 Julai), dan menambah;

“Oleh itu, kerjasama erat kita dalam MN di negeri ini yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran sesama kita – parti-parti berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dengan PAS, disokong pula oleh parti-parti bukan Melayu-Islam dalam BN; hendaklah diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh PRU Ke-15 kelak, insyaAllah”.   

Terkesan dengan kata-kata ini, seorang Ahli Dewan Negeri pembangkang mencelah dan dalam nada menyindir menanyakan kot-kot beliau bersedia melantik seorang daripada Ahli Dewan Negeri PAS sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Dato Sri Wan Rosdy segera membalas yang beliau memang bersedia tetapi PAS yang menolak, lalu bangun Ahli Dewan Negeri (PAS – Beserah), Encik Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri berkata;

MENGHADIRI MESYUARAT JAWATANKUASA PENYELARAS MN PAHANG BARU-BARU INI... Menerusi 'engagement' formal seperti inilah juga yang dapat terus mengukuhkan lagi persepakatan dalam MN Pahang kita.

KERAJAAN YANG ADA DAH BERJALAN BAIK

“Sebenarnya tidak timbul soal beri laluan ataupun menawarkan jawatan Exco kerana kami tak nak. Dalam ertikata lain, PhD… tak perlulah berpolitik begitu sekali dalam Dewan ini.

“Kita nak majukan negeri, jadi kalau Kerajaan yang ada dah berjalan dengan baik, kenapa harus ganggu dengan perkara-perkara remeh, yang tak perlukan sebarang pindaan (perubahan)”.

Ahli Dewan Negeri (BN – Lanchang) Dato' Sri Sharkar Shamsuddin pula meminta laluan dan menempelak betapa Ahli Dewan Negeri pembangkang tersebut; “… bukannya batu api (tapi) ‘ronson’. Dan ‘ronson’ ini, api dia dalam airpun hidup”.

Dialog-dialog terkini inipun membuktikan kukuhnya persepakatan UMNO/PAS dalam MN Pahang. Kemuncaknya ialah pada sebelah petang apabila kelapan-lapan Ahli Dewan Negeri PAS bersama-sama 24 Ahli Dewan Negeri BN dari UMNO dan seorang Ahli Dewan Negeri BN dari MCA, menyuarakan persetujuan kepada sebuah Rang Undang-undang (RUU).

Malangnya, setelah RUU ini diluluskan dengan suara majoriti, blok minoriti kelapan-lapan Ahli Dewan Negeri pembangkang (tidak termasuk seorang yang sedang bercuti) seumpama ‘budak kalah main guli’ yang tidak dapat menerima hakikat, telah secara biadap keluar Dewan tanda protes.

ARTIKEL SAMA DALAM UTUSAN MALAYSIA HALAMAN 15 TERBITAN ESOK, JUMAAT, 27 NOVEMBER 2020...

STATUS-QUO

RUU yang dimaksudkan ialah Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020 yang berkaitan pelantikan tidak lebih lima (5) Ahli Dewan Negeri (Dilantik), tanpa melalui proses pilihanraya.

Dalam tempoh seminggu-dua kebelakangan ini pula, di tempat lain termasuk peringkat nasional, perkara berkaitan pembahagian kerusi sesama anggota MN bagi menghadapi PRU Ke-15 telah mula diperkatakan, tetapi tidak halnya di Pahang.

Sudah beberapa kali kini termasuk wawancaranya dengan akhbar Utusan Malaysia, Dato’ Sri Wan Rosdy secara konsisten menyebut bahawa sehingga kini, pembahagian kerusi Dewan Negeri di Pahang kelak adalah menurut ‘status-quo’ dengan merujuk kepada kesemua 33 kerusi dikuasai UMNO, MCA dan PAS.

Yang lain – sembilan (9) kerusi ketika ini diduduki Ahli Dewan Negeri pembangkang (tujuh (7) DAP dan dua (2) PKR); MN dan BN Negeri akan berbincang bagi menentukan parti mana dalam kalangan MN dan BN Negeri, yang akan bertanding kelak.  

Demikianlah istimewanya persepakatan dalam MN dan BN Negeri di bawah teraju Dato’ Sri Wan Rosdy. Dan beliau pula mewarisi BN Negeri daripada ‘mentor’nya, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang pada PRU Ke-14 lepas, telah ‘mewariskan’ Pahang sebagai hanya satu daripada dua (2) negeri di bawah BN yang terus kekal memerintah berbanding negeri-negeri lain serta peringkat kebangsaan.

FORMULA ‘OUT OF THE BOX’

Menyingkap kembali perihal MN Pahang, ia mula terserlah setelah calon BN dari UMNO memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019. Ketika itu, cabaran utamanya ialah, Kerajaan Pusat dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) dan pula, empat (4) PRK pasca PRU Ke-14 sebelum itu dimenangi berturut-turut oleh calon-calon PH.

Dengan formula ‘out of the box’ Dato’ Sri Wan Rosdy yang meletakkan pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya negara anak Orang Asli sebagai calon BN/UMNO – Dato’ Ramli Mohd Noor, dan pula PAS tidak bertanding sebaliknya memberi sokongan dan bekerja kuat demi persepakatan dalam MN.

Ekoran itulah, calon BN/UMNO berjaya pecahkan ‘jinx’ kekalahan pada PRK-PRK Negeri Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, serta PRK Parlimen Port Dickson sebelumnya.

Seolah-olah kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands merupakan pemula dan faktor suntikan semangat, dua (2) PRK Negeri berikut – Semenyih dan Rantau, dimenangi oleh calon BN/UMNO.  

Persepakatan MN Pahang tidak terhenti di situ malah diperkuatkan lagi dengan pertama kali dalam sejarah, penganjuran perhimpunan sehingga 10,000 orang ahli UMNO/PAS dan orangramai pada Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) di padang Majlis Perbandaran Kuantan pada 27 April 2019.

KEMENANGAN CHINI IALAH ‘ICING ON THE CAKE’

Susulan itulah pada 13 September atau empat (4) bulan kemudian, HPU peringkat kebangsaan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Sepertimana di Kuantan yang turut dihadiri oleh kedua-dua Presiden parti – Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Abdul Hadi Awang, begitulah juga di PWTC.

Dan, PRK Negeri Chini pada 4 Julai lepas (2020) seumpama ‘icing on the cake’ setakat ini, sebagai pengabsahan kekuatan MN Pahang apabila calon BN/UMNO sekali lagi menang bergaya pada PRK dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Yang lain kata orang, ialah sejarah dan sejarah inilah yang hendak dijadikan bekalan dan pedoman khususnya dalam aspek kerjasama MN Pahang yang tidak boleh mudah di batu api mahupun diadu dombakan, sepertimana kata-kata Dato’ Sri Wan Rosdy tadi;

“… yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran sesama kita – parti-parti berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dengan PAS, disokong pula oleh parti-parti bukan Melayu-Islam dalam BN; hendaklah diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh PRU Ke-15 kelak, insyaAllah”. – Khabar