Wednesday 11 November 2020

Sumbangan Kerajaan Negeri RM2,000 dan RM1,000 seorang bagi 99 mangsa ribut Indera Mahkota 2

                                  

SUMBANGAN KERAJAAN NEGERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


DEWAN YEW HONG, INDERA MAHKOTA 2, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri masing-masing RM2,000 dan RM1,000 kepada 99 mangsa ribut 29 dan 30 Oktober lepas yang kerosakan rumah terutamanya bahagian atap, di kawasan perumahan Indera Mahkota 2, Kuantan.

Daripada 99 mangsa tersebut, 41 orang yang dibawah kategori rumah rosak teruk menerima RM2,000; manakala baki, 58 orang yang di bawah kategori rumah rosak minima menerima RM1,000.

Keseluruhan perbelanjaan bagi majlis penyampaian petang Rabu, 11 November di sini ialah RM140,000 yakni, 41 orang X RM2,000 = RM82,000, campur 58 orang X RM1,000 = RM58,000. 

“Program ini kita beri kepada 99 orang yang terlibat. Mana yang terjejas teruk kita bagi RM2,000, yang agak ringan sikit kita bagi RM1,000 berdasarkan penilaian yang dibuat oleh pihak Kerajaan. Ini sekadar membantu.

“Walau bagaimanapun agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah tampil memberikan bantuan dalam bentuk barangan seperti tikar, toto dan peralatan kebersihan diri,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy yang ditemui wartawan pada majlis itu.

KESEMUA MANGSA RIBUT IM 2 YANG HADIR... Jarak serta syarat-syarat SOP dipatuhi. 

AJAK RAKYAT TERUS AMALKAN SOP

Sebelum itu dalam ucapan luar teks 8-minitnya, beliau antara lain memuji kerjasama semua pihak termasuk JKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat yang bekerjasama dalam membantu mangsa pada malam kejadian.

Mengenai wabak pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia, beliau meminta rakyat Pahang terus mengamalkan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar Pahang terus kekal berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak sepertimana kebanyakan negeri lain yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).      

Wartawan yang menemuinya, turut bertanyakan tentang keputusan Kerajaan Negeri susulan pihak-pihak tertentu mencadangkan Pahang sebagai ‘venue’ bagi perlawanan peringkat suku akhir Piala Malaysia memandangkan negeri ini antara tiga (3) negeri sahaja yang berada dalam zon hijau berbanding negeri-negeri lain dalam zon merah berkaitan wabak pandemik COVID-19 tersebut.

Sebelum itu, Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telahpun umumkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya perlawanan bolasepak tersebut ditangguhkan sehinggalah wabak pandemik tersebvut kembali reda.

MASIH BINCANGKAN SESUATU DEMI KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT JUGA... Yang turut kelihatan dalam foto bersama-sama Dato' Sri Wan Rosdy ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Dato' Abdul Rahim Muda.


BELUM BUAT KEPUTUSAN TENTANG VENUE SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA

“Kerajaan Negeri belum buat apa-apa keputusan lagi,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

“Memang kita ada terima permohonan (daripada MFL; Malaysian Football League) dan kita akan rujuk perkara ini kepada Jabatan Kesihatan Negeri, PDRM, MKN, pihak Stadium (Darul Makmur) dan agensi-agensi yang berkaitan.

“Kerajaan Negeri akan mendapat, meminta pandangan daripada mereka dan selepas itu kita akan membuat pengumuman,” katanya lagi. 

AKSI MENTERI BESAR MELAYANI MESRA PARA WARTAWAN KITA... – Khabar