Wednesday 11 November 2020

Sangka buruk tak ubah hakikat tentang penjagaan baik hutan Pahang

KERATAN AKHBAR ARTIKEL SAMA YANG BAKAL TERSIAR PADA HALAMAN 17 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN ESOK, KHAMIS, 12 NOVEMBER... 


Oleh AHYA ALIMUDDIN

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Semoga berbahagialah mereka yang gemar membidas dan bersangka buruk tentang penjagaan hutan di Pahang ini, yang kepada kita yang lebih mengetahui, ia ibarat ‘air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan’ atau ‘missing the forest for the trees’.

Dan, pembidasan serta sangkaan buruk ini masih tidak dapat menidakkan hakikat, Pahang ialah negeri terbaik memelihara hutan seperti diperakui oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) khususnya mesyuarat pada Mac 2019 dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepertimana kita ketahui, Pahang ialah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan keluasan gabungan tiga (3) negeri iaitu Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (793,000 hektar).

Pada mesyuarat MPFN tersebut telah dimaklumkan, Pahang ialah penyumbang terbesar kawasan berhutan atau ‘forested area’ dalam kalangan negeri-negeri Semenanjung Malaysia, dengan keluasan 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri.

Kawasan seluas 2.057 juta hektar ini boleh disamakan dengan keluasan – kecil sikit daripada seluruh negeri Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia yang seluas 2.1 juta hektar.

SAIZ HUTAN TADAHAN AIR 3 X KELUASAN PULAU PINANG

Daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan ini, 386,971.14 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air yang langsung tidak boleh di‘sentuh’ apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan.

Dan 386,971.14 hektar ini pula merupakan kira-kira tiga (3) kali ganda saiz seluruh negeri Pulau Pinang yang seluas kira-kira 103,104 hektar!

Keluasan ini (386,971.14 hektar) ialah tambahan lagi 132,212.58 hektar kepada 254,758.56 hektar sedia ada, sepertimana diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 8 Mei 2019, yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bukan itu sahaja, usaha penjagaan hutan ini turut meliputi kawasan tanahtinggi seperti Cameron Highlands yang pada 9 Oktober 2019, MMK Negeri bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar sebagai Hutan Taman Negeri di sana.

Dengan ini menjadikannya sebagai Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar yang diwartakan sejak tahun 2000.

PELIHARA HUTAN JUGA DEMI HIDUPAN LIAR/HARIMAU MALAYA

Demi memelihara hidupan liar pula, Kerajaan Negeri meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat MMK Negeri pada 27 November 2019.

Dalam pada kecenderungan pihak tertentu menumpukan kepada hal-hal negatif juga, diam tak diam Kerajaan Negeri telahpun mewartakan kira-kira 1.5 juta hektar di seluruh negeri ini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), menjadikan Pahang negeri mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri tidaklah berada dalam ‘denial mode’ mengenai gejala penerokaan haram. Oleh itu, ia sentiasa mengambil maklum dan tindakan penguatkuasaan ke atas apa sahaja laporan yang diterima berkaitan penerokaan atau pencerobohan tanah mahupun hutan secara haram di negeri ini.

Usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menangani dan mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat baru-baru ini misalnya, sewajarnya menjadi ‘model’ kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri seterusnya dalam menangani gejala tersebut.

RAKYAT MESTI YAKIN PENUH DENGAN USAHA TANGANI ISU PENCEROBOHAN TANAH/HUTAN

Rakyat juga diharap dapat membuka mata terhadap usaha dan kejayaan di kawasan tanathtinggi itu, serta memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menangani isu yang sama di daerah-daerah lain di negeri ini.

Apa yang tidak dihadapi Kerajaan Negeri dalam menangani isu di situ, yang berlarutan sejak sekian lama, tahun demi tahun, sebahagian besar disebabkan oleh pengaruh-pengaruh politik tertentu ke atas kepemimpinan negeri.

Selain bantahan oleh petani-petani terbabit termasuk mengadakan demosntrasi hingga memerlukan campur tangan pihak pasukan keselamatan; mereka juga membawa bantahan mereka hingga ke mahkamah yang kemudian mereka juga yang menarik baliknya.

Namun, Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy, terus bertegas. Selain tindakan merobohkan kebun-kebun haram dilaksanakan, Jabatan Perhutanan Negeri diminta menanam semula pokok-pokok yang sesuai di situ.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mewartakan kawasan seluas 121.12 hektar di situ sebagai HSK Sungai Ichat, bagi memastikan Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom ini terus terpelihara.

KETEGASAN DAN ‘POLITICAL WILL’ DATO’ SRI WAN ROSDY

Akhirnya, bukan sahaja tanah dikembalikan kepada Kerajaan Negeri malah air sungai Ichat yang tercemar sebelumnya dengan tahap 4 kini menjadi tahap 1 yang boleh diminum mentah-mentah.

Semuanya kerana ketegasan serta ‘political will’ yang tinggi Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah haram di kawasan tanahtinggi itu terutamanya, dapat diselesaikan.

Dan inilah juga mesej yang hendak disampaikan oleh kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy, yang dengan ketegasan secara beristiqamah inilah juga diharapkan hutan di negeri Pahang akan terus terpelihara. – Khabar