Thursday 19 November 2020

Menyanggah persepsi buruk mengenai keadaan hutan di Pahang…

“Di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang boleh dibalak inipun, ianya sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC), yang mengeluarkan ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ atau singkatannya, M.C & I.

“Adalah membanggakan sejak tahun 2002 lagi, Pahang terus kekal menerima persijilan ini dan terkini, hasil pengauditian yang berlangsung bermula 25 Februari hingga 2 Mac 2019, sijil MC & I ini dilanjutkan lagi untuk tempoh bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024, membuktikan tentang pengurusan hutan yang baik yang Pahang amalkan selama ini” – Menteri Besar.    

 

SEMAK SEBELUM PENGGULUNGAN... 

 

DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Tersipulah mereka yang sangsi tentang angka-angka perhutanan yang Kerajaan Negeri keluarkan selama ini, bagi memberi persepsi buruk mengenai sektor perhutanan kita apabila Menteri Besar sendiri menempelak betapa – ‘figures do not lie’.

Menurutnya, adalah hakikat bahawa, keluasan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini ialah kira-kira 1.55 juta hektar dan angka ini kekal stabil sungguhpun setiap tahun, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Kestabilan ini pula boleh dicapai disebabkan Kerajaan Negeri mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan atau ‘sustainable forest management’ yang menerusinya, kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.   

“Daripada 1.55 juta hektar HSK tersebut, seluas 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya, seluas 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan yang tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab tertentu termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif.

“Di kawasan HSK yang boleh dibalak inipun, ianya sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC), yang mengeluarkan ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ atau singkatannya, MC & I,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

SOLAT JUMAAT DI MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1, KUANTAN... Sebaik-baik selesai sesi pagi hari terakhir Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Ke-14, Dato' Sri Wan Rosdy berjalan sahaja ke Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 untuk menunaikan Solat Jumaat tanpa menduga atau terserempak bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut menunaikan solat sama di sini.  

LUAS KAWASAN DIBALAK JUGA RENDAH DARIPADA LUAS CATUAN TEBANGAN TAHUNAN

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kira-kira 29-minit bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke-14 berlangsung 5-hari yang berakhir hari ini, Jumaat, 20 November di sini.

Kata-katanya ini sebagai menjawab perbahasan oleh wakil rakyat pembangkang (DAP – Ketari) Puan Young Syefura Othman yang membangkitkan soal perhutanan termasuk menanyakan tentang kesahihan angka-angka berkenaan.

Dato’ Sri Menteri Besar turut menyatakan kebanggaannya kerana Pahang juga tidak pernah melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (C.T.T) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11, 2016 – 2020) CTT yang ditetapkan ialah seluas 13,687 hektar namun untuk tahun 2019 sahaja katanya, luas kawasan yang dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu cuma 10,313 hektar.

“Oleh kerana itulah maka hasil kayu-kayan kita tidak menghadapi masalah bagi pengeksportan,” tegasnya lagi.

SANTAI DI MEJA MAKAN... Sempat pula Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri Wan Rosdy dijamukan makan tengah hari oleh 'host' yang juga Imam Besar, Masjid Sultan Ahmad 1, Dato' Badli Shah Alauddin. 

Berikut disiarkan sepenuhnya, ucapan penggulangan tersebut –

 

UCAPAN PENGGULUNGAN

YAB MENTERI BESAR PAHANG

MESYUARAT KETIGA PENGGAL KETIGA DEWAN NEGERI KE-14

DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN

20 NOVEMBER 2020 (JUMAAT).

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam Sejahtera. 

 

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua

 

(MUQADDIMAH)   

Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat, Tuan Yang Dipertua kerana mengizinkan saya untuk menggulung perbahasan bagi pihak Kerajaan serta portfolio-portfolio di bawah saya, sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke-14 pada hari ini.

Penggulungan ini adalah sebagai menjawab kepada pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat semasa sesi perbahasan bagi Rang Undang-undang Perbekalan (2021) 2020 dan Usul Anggaran Pembangunan dan Perbekalan Air 2021 yang berlangsung selama dua (2) hari pada 17 dan 18 November lepas.

Saya juga ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kerjasama semua Ahli-ahli Yang Berhormat, yang telah diberikan sepanjang perjalanan Persidangan Dewan Negeri yang mulia ini, yang bermula pada Isnin, 16 November. Persidangan kali ini sekali lagi menyerlahkan kematangan Ahli-ahli Yang Berhormat dan ternyata, ukhwah persahabatan sesama Ahli-ahli Yang Berhormat tanpa mengira batasan fahaman politik sentiasa terpelihara.    

Satu elemen baharu yang diperkenalkan pada persidangan kali ini ialah, menetapkan secara teratur, susunan Ahli-ahli Yang Berhormat yang hendak membahaskan Rang Undang-undang dibentangkan.

Penetapan ini kepada saya, adalah satu langkah berfokus, wajar dan bijak hinggakan pada persidangan ini, buat pertama kalinya, hampir kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat atau seramai 28 orang daripada 31 orang, telah menyertai sesi perbahasan. Dengan masing-masing Ahli Yang Berhormat tahu masa dan giliran dia hendak berbahas, telah benar-benar menjimatkan masa dan melancarkan perjalanan Dewan.

Apatah lagi, setiap Ahli Yang Berhormat diberi masa 15-minit untuk melakukannya, dan pada akhir tempoh tersebut, suiz mikrofon di depan Ahli-ahli Yang Berhormat dimatikan seketika, sekaligus memberi isyarat tentang berakhirnya tempoh masa yang ditetapkan.   

Mengambil kesempatan ini, sukacita saya ucapkan tahniah dan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua dan Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua, kerana telah mengendalikan persidangan Dewan ini dengan baiknya. Saya juga bersyukur dan gembira melihatkan keadaan kesihatan Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua semakin baik. Semoga Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua akan pulih sepenuhnya dalam masa yang tidak beberapa lama lagi, In Sya Allah.  

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua

(JUNJUNG KASIH KE SISI PEMANGKU RAJA PAHANG)

Sebelum meneruskan ucapan, sukacita saya lafazkan junjung kasih tidak terhingga ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah, yang telah perkenan bercemar duli, untuk menjadi Penaung DiRaja kepada semua badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan pemeliharaan hidupan liar di negeri ini.

Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini tidak lain menunjukkan keprihatinan tinggi oleh ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kepada hal-hal berkaitan hidupan liar di negeri ini. Dengan ini, kehidupan liar di Pahang akan lebih terpelihara hendaknya. Begitulah prihatin dan mulianya jiwa Baginda dan tentu seluruh rakyat negeri berasa tersangat bangga.  

(TERIMA KASIH ATAS PENYEDIAAN UCAPAN BELANJAWAN NEGERI 2021)

Pada kesempatan ini juga, sukacita saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pegawai yang terlibat, yang telah merangka, menyemak, menyemak semula seterusnya menyiapkan Ucapan Belanjawan Negeri 2021 sepertimana saya telah bentangkan selama sejam 29-minit pada pagi Isnin, 16 November lepas.

Para pegawai ini ialah dalam kalangan mereka dari Pejabat Kewangan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri; daripada Yang Berhormat Pegawai Kewangan atau ‘S-FinO’ dan Timbalannya, sehinggalah kepada pegawai-pegawainya, dibantu pula oleh pegawai-pegawai di Pejabat Menteri Besar sendiri.

Layaklah mereka ini untuk saya berikan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga, pada ‘muqaddimah’ sempena Ucapan Penggulungan saya ini.

Buat sementara ini sebagai menandakan penghargaan kepada mereka, saya tujukan pantun –

 

Ikan kaloi, ikan kelisa,

Bukan ikan, sebarang ikan, 

Orang Berbudi, Kita Berbahasa,

Terima kasih saya ucapkan.   

 

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua, 

(KEWANGAN NEGERI TERUS KUKUH)

Mengambil kesempatan ini juga, sukacita saya menyebutkan bahawa Belanjawan 2021 Negeri Pahang merupakan pembentangan kali ketiga yang saya lakukan sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada Mei 2018.

Belanjawan Negeri 2019 bernilai RM703.8 juta yang dibentang pada Isnin, 19 November 2018; telahpun merekodkan kejayaan dengan pencapaian kira-kira 120 peratus.

Jangkaan hasil ialah RM703.8 juta tetapi kutipan hasil sebenar pada akhir tahun 2019 ialah RM847.3 juta, atau lebihan RM143.5 juta bersamaan dengan lebihan kira-kira 20 peratus.

Belanjawan Negeri 2020 bernilai RM744.02 juta yang dibentang pada Isnin, 18 November 2019 juga berjaya - disebalik kekangan COVID-19 dan langkah-langkah ketat membendungnya bermula Mac 2020; dengan pencapaian lebih 98.5 peratus setakat semalam, 19 November 2020, atau lebih RM732.8 juta, dan dijangka melepasi paras 100 peratus pada 31 Disember 2020.

Dengan ‘trend’ ini dan Belanjawan Negeri 2021 pula bernilai RM800.798 juta, sasaran Belanjawan Negeri sebanyak RM1 billion dijangka boleh dicapai dalam tempoh dua-tiga tahun akan datang.

Dengan ini, tentu lebih banyak yang dapat Kerajaan Negeri lakukan termasuk memulangkannya semula kepada rakyat-jelata dalam pelbagai bentuk dan kaedah sepertimana inisiatif-inisiatif di bawah Bantuan Prihatin Pahang (B.P.P), In Sya Allah.

 

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua

(MENJAWAB PERBAHASAN YB-YB)

Sebelum saya meneruskan, saya berterima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, yang telah menyatakan sokongan kepada pembentangan Belanjawan Negeri 2021 termasuklah pengenalan pertama kalinya, Bantuan Prihatin Pahang (BPP). 

Atas sokongan padu ini, adalah menjadi cabaran dan tanggunjawab saya pula untuk memastikan setiap perkara yang terkandung dalam Belanjawan Negeri 2021 ini akan dilaksanakan secara berkesan terutamanya apa yang telah ditetapkan di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP), supaya kumpulan yang disasarkan dapat memanfaati sepenuhnya.

(YB-YB B.N DAN PAS SETUJU POTONG 10 PERATUS ELAUN)

Saya sangat gembira dan berbesar hati apabila saranan saya agar Ahli-ahli Yang Berhormat mencontohi 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) supaya turut memotong 10 peratus daripada elaun selama tiga (3) bulan pada bulan-bulan November, Disember 2020 dan Januari 2021, telah mendapat respon yang baik.

Pada sesi perbahasan oleh Ahli Yang Berhormat Pulau Manis, ada menyebut mengenai persetujuan memotong 10 peratus elaun ini, begitu juga oleh Ahli Yang Berhormat Beserah.

Ahli Yang Berhormat Pulau Manis sebagai mawakili 14 Ahli-ahli Yang Berhormat dari Barisan Nasional (BN), manakala Ahli Yang Berhormat Beserah mewakili lapan (8) Ahli Yang Berhormat dari parti PAS.

Terima kasih dan tahniah saya ucapkan.

Ini menunjukkan keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam masa negeri melalui tempoh yang sukar akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum reda di peringkat negara ketika ini.       

Mengambil kesempatan ini juga saya ingin mengulas perbahasan oleh Ahli Yang Berhormat Damak mengenai kerjasama erat dalam Muafakat Nasional (M.N) yang perlu terus dikukuhkan di negeri ini, dan inilah juga yang menjadi pendirian saya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan B.N Negeri selama ini.

Sesungguhnya kerjasama erat kita dalam Muafakat Nasional (M.N) adalah sudah, dengan izin, ‘well tested and strongly proven’ sepertimana Pilihanraya Kecil-Pilihanraya Kecil Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019) dan Dewan Negeri Chini (4 Julai 2020) telah jelmakan kemenangan selesa buat calon-calon BN dari UMNO.

Oleh itu, kerjasama erat kita dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri ini yang bertunjangkan keikhlasan dan kejujuran sesama kita – parti-parti berpaksikan Melayu-Islam, UMNO dengan PAS, disokong pula oleh parti-parti bukan Melayu-Islam dalam BN; hendaklah diteruskan sehingga menjelang dan melangkaui tempoh Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 kelak, In Sya Allah.  

 

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua.

(PAHANG KEKAL URUS HUTAN DENGAN BAIK)

Ahli Yang Berhormat Ketari antara lain membangkitkan soal perhutanan di negeri ini termasuk menanyakan tentang kesahihan angka-angka yang telah Kerajaan Negeri sebutkan sebelum ini.

Sukacita saya katakan sekali lagi, angka tidak pernah berbohong atau dengan izin, ‘figures do not lie’.

Adalah hakikat bahawa, keluasan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini ialah kira-kira 1.55 juta hektar dan angka ini kekal stabil sungguhpun setiap tahun, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Kestabilan ini boleh diperolehi dan dicapai disebabkan Kerajaan Negeri mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan atau dengan izin, ‘sustainable forest management’. Menerusinya, kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.   

Daripada 1.55 juta hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) tersebut, seluas 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya, seluas 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan yang tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab tertentu termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif.

Di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang boleh dibalak inipun, ianya sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC), yang mengeluarkan ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ atau singkatannya, MC & I.

Adalah membanggakan sejak tahun 2002 lagi, Pahang terus kekal menerima persijilan ini dan terkini, hasil pengauditian yang berlangsung bermula 25 Februari hingga 2 Mac 2019, sijil MC & I ini dilanjutkan lagi untuk tempoh bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024, membuktikan tentang pengurusan hutan yang baik yang Pahang amalkan selama ini.    

Adalah juga membanggakan ialah, Pahang tidak pernah melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, CTT yang ditetapkan ialah seluas 13,687 hektar dan untuk tahun 2019 sahaja, luas kawasan yang dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu cuma 10,313 hektar.

Oleh kerana itulah maka hasil kayu-kayan kita tidak menghadapi masalah bagi pengeksportan Ahli Yang Berhormat Ketari juga menanyakan tentang peruntukan RM92.5 juta   berkaitan pembekalan air dan sukacita saya katakan, ia akan melibatkan projek-projek seperti berikut –

I)   Bekalan air Raub, sebanyak RM12 juta

II)  Bekalan Air Kuantan Fasa 3, sebanyak RM10.5 juta

III) Bekalan Air Karak, sebanyak RM10 juta

IV) Bekalan Air Lipis, sebanyak RM8 juta

V)  Bekalan Air Nenasi, sebanyak RM5 juta

dan,

VI) Projek Pemindahan Air Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan, sebanyak RM47 juta.

Masih berkaitan air yang turut dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Triang, sukacita saya katakan, hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat bernilai RM1 billion akan dilupuskan susulan langkah penstrukturan semula air di seluruh negara.

Kerajaan Negeri juga tidak perlu menyuntik modal kepada Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) bagi Perbelanjaan Modal (CAPEX) baharu, memandangkan PAIP boleh memohon pinjaman baharu terus kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).

(GANGGUAN GAJAH DI KAMPUNG GOL, JERANTUT)

Ahli Yang Berhormat Tahan antara lain membangkitkan tentang gangguan gajah liar di Kuala Tahan dan Kampung Gol, Jerantut yang ekoran kawasannya dikacau diakibatkan oleh kelulusan projek ladang hutan di kawasan berdekatan.

Projek ladang hutan ini melibatkan kawasan seluas 119.13 hektar di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tekai Tembeling (Tambahan). Ketika ini bagaimanapun, hanya kerja-kerja penolakan jalan ke kawasan lesen sedang dilaksanakan.

Bagi mengatasi masalah ini sepertimana turut dihadapi di beberapa daerah lain,        Tabung Amanah Pengurusan Gajah Negeri Pahang telahpun ditubuhkan dan Jabatan Perhilitan telahpun memohon peruntukan kira-kira RM84.55 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Daripada peruntukan ini, pelbagai usaha akan dilaksanakan antaranya ialah bagi pewujudan sebuah lagi pusat konservasi gajah, serta pembinaan halangan fizikal dan pos pemantauan.

Selain itu, sebuah ‘task force’ akan turut dibentuk dan dicadangkan diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang juga Ahli Yang Berhormat Pulau Tawar, serta akan turut dianggotai oleh Ahli Yang Berhormat Tahan.

Tugas ‘task force’ ialah untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan usaha-usaha berkesan dalam menangani dan mengatasi gejala gajah-gajah liar ini. 

(TANJUNG AGAS OIL & GAS AND MARITIME PARK)

Perkara berkenaan Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas, Pekan telah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Peramu Jaya dengan meminta agar Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), mempercepatkan usaha untuk menyempurnakan pembangunannya.

Tidak dinafikan, hampir semua prasarana asas telah dilengkapkan di kawasan seluas 1,710 hektar bersamaan 4,225.66 ekar ini. Misalnya, jalan, jambatan dan lampu jalan telahpun siap dibina dan diadakan sejak Julai 2011, begitu juga bekalan air dengan siapnya projek Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong Fasa 3A pada April 2020 lalu dapat membekalkan sehingga 80 juta liter sehari.

Sungguhpun jawapan yang hendak saya berikan ini mungkin agak klise atau basi (ENG; cliché) namun saya perlu katakan bahawa, PKNP dan syarikat pemaju iaitu TGA Solutions Sdn Bhd, sedang memuktamadkan terma dan syarat dengan beberapa pelabur asing, sebelum pelaburan sebenar bagi membangunkan semula Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas, dapat direalisasikan, In Sya Allah.   

Ahli-ahli Yang Berhormat Beserah, Panching, Mentakab dan Triang turut membangkitkan masalah banjir kilat di kawasan masing-masing. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bercadang memberi sejumlah tertentu peruntukan dan diletakkan di bawah tanggungjawab Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengendalikan peruntukan serta usaha menangani masalah ini.

Perkara berkaitan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus turut dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Padang Tengku dan sukacita saya jelaskan sekali lagi, Majlis Pembangunan Wilayah ini akan berfungsi sebagai pemantau kepada pelaksanaan strategi-strategi jangka pendek dan jangka panjang sepertimana terkandung dalam Pelan Pembangunan  Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.

Kajian Pelan Pembangunan ini pula akan dirangkakan oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan pihak perunding yang dilantik, mengambil kira tiga (3) aspek utama iaitu –

I) Pelaburan, dengan tumpuan kepada bidang-bidang pelancongan dan pertanian.

II) Infrastruktur, dengan tumpuan kepada sistem perhubungan jalanraya, telekomunikasi dan utiliti.

dan,

III) Pembangunan Modal Insan, dengan tumpuan kepada pembangunan usahawan dan Orang Asli.         

Terakhir namun tetap penting atau dengan izin, ‘last but not least’, Ahli Yang Berhormat Pelangai telah antara lain menggesa Kerajaan Negeri memohon kepada Kerajaan Pusat supaya menghidupkan semula Lembaga-lembaga Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara atau DARA, dan Jengka atau LKWJ; yang telah dibubarkan pada tahun 1997 atas arahan Kerajaan Pusat.

Ahli Yang Berhormat Pelangai juga menyarankan agar Kerajaan Negeri melakukan kerja susulan dengan Kerajaan Pusat mengenai royalti minyak atau diistilahkan sebagai wang ihsan sebanyak RM100 juta, yang dijanjikan kepada negeri ini sebelum ini.

Berkenaan wang ihsan RM100 juta, sukacita saya maklumkan kepada Ahli Yang Berhormat Pelangai serta Dewan, saya telah membuat kerja-kerja susulan antaranya telah berjumpa dan menulis surat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sama-samalah kita mendoakan agar natijah yang terbaik dapat diperolehi daripada usaha-usaha susulan ini, In Sya Allah.

Kerajaan Negeri turut mengambil perhatian terhadap gesaan tentang pengwujudan semula Lembaga Kemajuan Wilayah berkenaan. Sukacita saya katakan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2 November 2020, telahpun melantik sebuh syarikat – IIUM Entrepreneurship and Consultancies Sdn Bhd sebagai perunding bagi menjalankan kajian tentang penubuhan semula DARA dan LKWJ.

Pihak perunding memaklumkan, kajian akan mengambil masa enam (6) bulan dan dijangka siap pada Mei 2021. Hasil dapatan kajian akan dibincang semula dengan pihak KPLB dan juga Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri akan meneliti dapatan kajian ini nanti dan membuat keputusan terbaik demi pembangunan dan kemaslahatan penduduk di kawasan-kawasan tinggalan DARA dan LKWJ, In Sya Allah.     

 

Yang Berhormat,

Tuan Yang Dipertua

Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungn ini, sukacita saya umumkan satu    berita baik khususnya untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (S.P.M) iaitu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyumbangkan RM50 bagi setiap pelajar, yang diharap dapat digunakan sebagai pesediaan menghadapi peperiksaan tersebut tahun depan.

Dianggarkan, seramai kira-kira 15,054 pelajar akan menduduki peperiksaan ini, dengan itu melibatkan peruntukan kewangan kira-kira RM752,700.

Sekianlah sahaja dan saya berharap saya telah menjawab sebahagian besar persoalan yang ditujukan kepada saya sebagai Menteri Besar, yang turut mengetuai jawatankuasa negeri-jawatankuasa negeri yang berkenaan.

Saya berharap, apa yang telah saya jawab ini adalah memadai. jika masih ada belum berjawab, In Sya Allah, jawapan secara bertulis dengan maklumat dan butiran yang lebih terperinci akan saya berikan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat kelak.

‘Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.  – Khabar