Friday, 1 March 2019

Operasi penguatkuasaan tangani pencerobohan dalam kawasan tadahan air Kuala Terla


“Operasi kali ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air (water catchment) untuk muka sauk (intake) Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja,” kata Menteri Besar.


NOTA EDITOR;

Ekoran operasi penguatkusaan ke atas kawasan tanah yang dicerobohi di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands yang sedang berlangsung sekarang, rungutan telah kedengaran dan portal berita MalaysiaKini telah cuba mendapatkan ulasan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenainya.

Berikut disiarkan sesi soal-jawab antara wartawan portal berita tersebut dengan Dato’ Sri Wan Rosdy. DSWR merujuk kepada Dato’ Sri Wan Rosdy manakala MKINI merujuk kepada portal berita berkenaan.     

HANYA SELEPAS NOTIS PENGOSONGAN TANAH TAHUN 2009 TIDAK DIENDAHKAN... Rupa-rupanya, hanya selepas notis pengosongan tanah tahun 2009 lagi tidak diendahkan maka baharulah tindakan ini dilaksanakan pada 25 Februari, itupun dengan memberi notis tujuh (7) hari sebelum (pada 18 Februari).   


MKINI ; Berapa buah kebun yang dilibatkan dalam operasi ini?

DSWR ; Jumlah kesemua kebun yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan kali ini ialah sebanyak 61 buah, yang berkeluasan 55 hektar.

Keputusan untuk melancarkan operasi ini ialah ekoran Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Daerah Cameron Highlands pada 1 Februari lepas, yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

Telah ditetapkan bahawa fokus penguatkusaan kali ini ialah ke atas pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan rizab jalan yang berada dalam kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom.

Operasi kali ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air (water catchment) untuk muka sauk (intake) Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.

TEMPOH PENGUATKUASAAN SEHINGGA APRIL

MKINI ; Sampai bila operasi ini akan berterusan? 

DSWR ; Operasi penguatkuasaan kali ini terbahagi kepada dua (2) fasa. 

Fasa pertama melibatkan 11 kebun, yang bermula sejak 25 Februari lepas dan asalnya dijangka berakhir 28 Februari tetapi kini terpaksa melanjutkannya hingga sebelum pertengahan bulan Mac ini.

Fasa kedua nanti akan melibatkan lagi 50 kebun dan dijangka mula operasi penguatkuasaannya pada bulan April.

MKINI ; Kenapa tempoh singkat (7 hari) diberi kepada pekebun untuk mengosongkan tanah?

NOTIS PERNAH DIKELUARKAN TAHUN 2009 TETAPI MASIH TERUSKAN

DSWR ; Sebenarnya, tiada tempoh khusus yang ditetapkan oleh undang-undang. Tempoh bagi arahan pengosongan tanah ini adalah terpulang kepada pentadbir tanah daerah untuk menentukan. 

Notis yang diberikan pula (bertarikh 18 Februari) adalah secara pentadbiran, bertujuan untuk mengingatkan pekebun yang melakukan pencerobohan ke atas tanah kerajaan tanpa izin. 

Mereka ini pula sebenarnya, telahpun menceroboh tanah kerajaan tanpa izin sejak 2009 lagi, tanpa menyumbang atau membayar lesen kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 itu lagi. 

Sungguhpun notis pernah dikeluarkan tetapi mereka masih meneruskan aktiviti maka, tempoh tujuh (7) hari yang diberikan kali ini adalah dikira munasabah. – Khabar

Thursday, 21 February 2019

Tindakan bersepadu tangani aktiviti perlombongan dekat Tasik Chini


“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari),” kata Menteri Besar.

KE MANA MENGALIRNYA KELODAK DARI TAPAK YANG TELAH DICEROBOHI INI JIKA TIDAK KE TASIK DI BAHAGIAN BAWAH SANA... Beberapa pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan kita sedang meninjau tapak yang diceroboh pada petang semalam. 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri mengesahkan satu tindakan susulan bersepadu melibatkan beberapa jabatan kerajaan berkaitan telah dilakukan petang semalam (Rabu, 20 Februari) ekoran aduan mengenai aktiviti perlombongan berhampiran Tasik Chini, Pekan.

“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari).

“Aduan oleh penyelidik berkenaan antara lain menyebut tentang aktiviti perlombongan yang tiba-tiba meningkat di sebuah daripada lombong yang ada di situ, yang telah melarat hingga menghampiri perairan Tasik Chini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy dalam kenyataan media petang Khamis, 21 Februari.

Penyelidik itu juga menurutnya, mengadu berlakunya pergerakan secara tiba-tiba lori-lori mengangkut tanah yang berkemungkinan bijih besi, masuk dan keluar di atas tapak Pusat Latihan Kemahiran Negara (PLKN) selepas jam 10 malam setiap hari.

Ekoran itu, tindakan bersepadu melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan telah dijalankan petang semalam ke tapak PLKN berkenaan dan kawasan lombong yang dimaksudkan.

LAGI KAWASAN YANG DICEROBOH... 


ADA BEKAS KERJA-KERJA PENEBANGAN/PENGOREKAN

Ketika tindakan tersebut didapati, tiada kerja-kerja ataupun jentera yang terdapat di atas tapak tetapi yang didapati ialah bekas kerja-kerja penebangan pokok dan aktiviti mengorek tanah dipercayai untuk maksud penjualan.

Status tanah pula menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, merupakan masih Tanah Kerajaan yang dalam proses untuk pertukaran hakmilik kepada Perbadanan Setiuasaha Kerajaan (PSK).

“Berdasarkan perbincangan bersama oleh jabatan-jabatan terlibat telah memutuskan agar PTG, PDT Pekan dan JMG mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan sambil menyediakan laporan lengkap mengenainya.

“Keputusan juga dibuat agar satu pasukan pengawasan penguatkuasaan PTG ditempatkan di tapak lain dalam kawasan yang dipercayai telah diceroboh untuk tujuan perlombongan tersebut,” katanya. 


APA YANG HANYA TINGGAL... – Khabar




Wednesday, 6 February 2019

“Menang sorak, kampung terbela”


“Saya pula sering mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri mahupun rakan-rakan politik betapa, jikapun kita perlukan publisiti, biarlah ianya yang membawa kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung tergadai’.

“Ternyata sekali, YB Ramli dalam tempoh 14-hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya terutamanya daripada DAP itu,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy. 

DOUBLE THUMBS-UP...  Dato Sri Wan Rosdy dalam aksi mengangkat tanda bagus berganda.   


NOTA EDITOR ;

Ekoran kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Encik Ramli Mohd Nor pada Pilihanraya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands 26 Januari lepas, Pengarang Rencana, akhbar Utusan Malaysia, Sdr Zulkifli Jalil telah mewawancara Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengarah Pilihanraya untuk BN bagi PRK tersebut.

Berikut disiarkan sepenuhnya hasil wawancara berkenaan. Wawancara yang sama yang dijangka disiarkan dalam  Utusan Malaysia esok, Khamis 7 Februari hanyalah sebahagian tertentu daripadanya ekoran masalah kekangan ruang (space constraint).

Singkatan DSWR merujuk kepada Dato’ Sri Wan Rosdy manakala ZJ ialah Sdr Zulkifli Jalil.     


ZJ (01) : Selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tempoh hari, apa yang dapat dikongsi oleh Dato’ Sri hasil kerjasama UMNO-Pas dalam memastikan kemenangan calon BN?

DSWR : Sebelum bercakap tentang kerjasama (‘collaboration’) UMNO-PAS ini, sukacita saya katakan terlebih dahulu mengenai hubungan mesra (‘friendly relations’) antara UMNO dengan PAS di negeri Pahang ini, yang telah lama terjalin dan menjadi bertambah mesra lagi selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Dengan mengambil pedoman (‘cue’) daripada hubungan mesra antara UMNO dan PAS di peringkat kepemimpinan pusat yang ketika itu UMNO diketuai oleh Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi; saya sendiri telah mengambil inisiatif agar hubungan mesra UMNO-PAS di Pahang diperkukuhkan lagi.

Ekoran itulah, beberapa siri perjumpaan formal dan tidak formal telah diadakan antara saya dengan kepemimpinan PAS peringkat negeri yang diketuai oleh Pesuruhjayanya, YB Rosli Abdul Jabar yang juga wakil rakyat Tanjung Lumpur.

Daripada siri-siri perjumpaan inilah telah wujud seperti keserasian antara kedua-duanya sehinggakan, apabila saya melawat kawasan dilanda banjir di Beserah tahun lepas, telah turut diiringi oleh wakil rakyat di situ yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Andansura Rabu.

HUBUNGAN MESRA BERTUKAR JADI KERJASAMA PULA

Momentum hubungan mesra ini yang tentunya berasaskan kejujuran, terus kekal hinggalah ketika mana PRK P078 Cameron Highlands perlu diadakan, yang dengan itu, bak kata orang – ‘Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal’.

Maka, hubungan mesra inipun diterjemahkan pula kepada bentuk kerjasama, yang dengan itulah, PAS membuat keputusan untuk tidak meletakkan calonnya bertanding pada PRK ini. Dan yang lebih penting lagi, undi lebih 3,000 undi yang diperolehi calonnya pada PRU lepas telah diberikan kepada calon UMNO/BN pada PRK ini.

Pemberian undi yang besar ini saya harus akui, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan – setelah lebih 60 tahun UMNO/BN dianggap musuh sepertimana Encik Wan Mahadir Wan Mahmud, AJK PAS Cameron Highlands katakan.

Namun oleh sebab wala’ mereka terhadap arahan pemimpin parti dan saya percaya, ia turut ada kena-mengena dengan kepercayaan mereka kepada kejujuran oleh kepemimpinan UMNO Negeri sendiri, maka undi merekapun diberikan.

Saya sendiri dapat merasai bahawa kerjasama UMNO-PAS ini adalah sesuatu yang ‘real’ tatkala saya tiba awal pagi (Sabtu, 26 Januari) ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, Lipis untuk mengundi.

KEPUTUSAN ‘LUAR KOTAK’

Dalam perjalanan pulang, saya didatangi penyokong/pengundi PAS yang sudi bersalaman dan berpelukan dengan saya, yang tentunya menandakan sesuatu yang positif sedangkan ini tidak pernah berlaku pada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya.

Malahan, ketika pegumuman dibuat (pada malam Sabtu, 26 Januari dalam Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Hj Ahmad Shah, Tanah Rata), penyokong-penyokong PAS tetap setia berada dalam dewan serta datang kepada saya mengucapkan tahniah, termasuklah Encik Wan Mahadir. Takbir dilaungkan pula ketika saya hendak meninggalkan Dewan.

ZJ (02) : Bagaimana tercetus idea mencalonkan Encik Ramli Mohd Nor. Bolehkah kongsi kisah-kisah ‘human interest’ mengenai detik-detik pemilihan beliau dan kriteria yang dimilikinya?

DSWR : Segala-galanya berlaku ekoran calon BN dari MIC yang diuar-uarkan untuk bertanding semula, rakan saya, Datuk C.Sivarraajh, telah diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak layak berbuat demikian atas peraturan-peraturan yang telah ia nyatakan.

Memanglah jika menurut tradisi, kerusi Cameron Highlands dikhaskan untuk MIC. Namun, dengan senario terkini apatah pula dengan segala sentimen negatif ekoran kejadian tidak diingini berlaku di Selangor, saya telah terfikir, sesuatu yang di luar daripada kebiasaan atau ‘out of the box’ harus diambil dalam penentuan calon kita.

TERIMA KASIH BUAT MIC

Dalam pada itu, saya telah terbayangkan kemungkinan meletakkan seseorang dalam kalangan Orang Asli sebagai calon dan kebetulan, nama Encik Ramli Mohd Nor telah timbul lalu saya berjumpa dengannya, kemudian cuba meyakinkan semua bahawa Encik Ramlilah orangnya.

Saya akui, saya ada sebut dalam ucapan saya pada majlis 9 Januari lepas di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis betapa, bukanlah mudah untuk mendapatkan calon ini “apabila kita hendak buat perubahan” yang melibatkan perjumpaan dan perjumpaan hingga awal pagi.

“Akhirnya pagi semalam (8 Januari), kita mendapat kata putus – adalah calon yang memenuhi selera orangramai dalam Parlimen Cameron Highlands,” kata saya tanpa menyebut lagi nama calon kita Encik Ramli ketika itu.

Selain beliau Orang Asli yang dengan pemilihannya akan menjadikannya Orang Asli pertama sebagai Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, beliau juga beragama Islam yang dengan ini memudahkan pengundi yang sebahagian besarnya ialah Melayu/Islam, untuk mengundinya.

Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada MIC khususnya Presidennya, Tan Sri Vigneswaran, yang telah sudi mengorbankan kerusi untuk diserahkan kepada UMNO. Juga terima kasih saya kepada pemimpin-pemimpin MIC peringkat pertengahan dan bawahan serta ahli-ahlinya, yang terus berkempen demi kemenangan calon kita.         

KURANG BERCAKAP, ELAK KESILAPAN

ZJ (03) : Kelihatan segala percaturan calon DAP/PH tidak menjadi. Ada sahaja apa yang dibuat sepanjang kempen 14 hari itu tidak menjadi. Apa yang dapat dikongsi Dato' Sri akan hal ini?

DSWR : Dalam menjawab soalan ini, saya teringatkan kata-kata YB Ramli sendiri yang ditanyakan wartawan tentang keengganannya untuk lebih banyak bersuara atau bercakap dengan pihak media, tidak sepertimana lawannya dari DAP itu.

Dan YB Ramli menjawab yang beliau tidak boleh berbuat demikian kerana bimbangkan apa yang dicakapkanya itu mungkin tersilap, hingga menimbulkan kontroversi.

Dan calon DAP yang ‘kerana pulut, santan binasa, kerana mulutlah badan binasa’. Lihat sahaja kontroversi yang diakibatkannya apabila menyentuh tentang kononnya ‘kuih’ yang Orang Asli jual tak akan dibeli oleh orang Melayu.

Begitu jugalah apabila calon DAP itu mempertikaikan tentang pelbagai perkara termasuk kononnya saya sebagai wakil rakyat Dewan Negeri Jelai, tidak berbuat apa-apa untuk membina jalanraya di kawasan saya.

PENGUNDI LEBIH FAHAMI PEMBANGUNAN YANG DIBAWA

Sedangkan, Jalanraya Tanahtinggi Ringlet-Sungai Koyan sejauh 79.1 KM yang dilaluinya dari Tanah Rata untuk sampai berkempen ke kawasan Jelai, ialah jalanraya yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan siap semasa saya berada dalam penggal kedua saya sebagai wakil rakyat di situ.

Jadi, bila kita menjawab balik dengan fakta-fakta pula itu, dan pengundi pula lebih memahaminya; ia sudah jadi satu ‘backlash’ yang teruk juga terhadap kempen pilihanrayanya.

Saya pula sering mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri mahupun rakan-rakan politik betapa, jikapun kita perlukan publisiti, biarlah ianya yang membawa kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung tergadai’.

Ternyata sekali, YB Ramli dalam tempoh 14-hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya terutamanya daripada DAP itu. 

ZJ (04) : Biarpun Pakatan Harapan menurunkan Menteri-menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, waima TPM dan PM sekali pun, apa yang cuba `dijual’ oleh mereka kepada pengundi dan masyarakat di Cameron Highlands tidak `dimakan’ oleh mereka. Mengapa?

SEBAB PENGUNDI TAK TERPENGARUH

DSWR : Sebabnya, sepertimana saya pernah sebut sebelum ini lagi, mereka gemar ‘memutarkan semula piring hitam lama’ yang kepada pengundi di sini, sudahpun terlebih maklum mengenainya.

Oleh sebab itulah, apabila PM sendiri yang turun ke Sungai Koyan sehari sebelum hari mengundi, dan membangkitkan hal-hal berkaitan kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak; ia langsung tidak dapat mempengaruhi pengundi.

Begitu juga apabila Menteri Kewangan berceramah, mempertikaikan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri pimpinan saya yang kononnya tidak mungkin dapat mentadbir negeri dengan baik kerana hutang besar kami kepada Kerajaan Persekutuan;

Inipun tidak dipedulikan oleh pengundi dan penduduk setempat. Kenapa? Sebab ini bukan perkara baharu. Dalam persidangan Dewan Negeri sebelum inipun telah dijelaskan khususnya apabila hutang-hutang ini adalah berkaitan keperluan asas berkenaan sistem bekalan air.

Selepas itu, Menteri yang sama juga ada ‘tendency of shifting the goalpost’. Apabila soal hutang tidak ambil kisah, dituduhnya pula Kerajaan Negeri mengalami bajet deficit terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat (4) tahun (2014 – 2017), yang dengan itu kononnnya, tidak memungkinkan Kerajaan Negeri ini mentadbir negeri dengan baik.

MAMPUKAH KEJAYAAN DIULANGI DI SEMENYIH?

Dalam mengatakan soal itu, beliau mungkin ingat pengundi/rakyat tidak tahu betapa defisit bajet Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tahun 2019 ini sahaja ialah kira-kira RM352.8 juta, manakala defisit tahun 2018nya ketika mana Menteri itu ialah Ketua Menteri, ialah kira-kira RM748.5 juta!

Daripada segi itu sahajapun, pengundi sendiri tahu betapa Menteri berkenaan rupa-rupanya ‘dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih’! Makanya, apa juga yang di‘jual’nya tidak ‘dibeli’ atau ‘ditelan’ orang di Cameron Highands khususnya di Dewan Negeri Jelai.

ZJ (05) : Mampukah buah kemenangan di Cameron Highlands ini laku sekali lagi di PRK DUN Semenyih 2 Mac depan?

DSWR : Dengan kebangkitan BN yang sebenar-benarnya di Cameron Highlands, apatah pula dengan kerjasama kukuh daripada PAS, pada pandangan saya, tidak mustahil bagi BN untuk meraih kejayaan yang sama di sana.

Tetapi, kita harus sentiasa ingat bahawa – ‘lain padang, lain belalang, lain orang, lain ragamnya’. Apapun, kejujuran yang sentiasa menjadi asas kepada kerjasama UMNO-PAS harus terus dititik-beratkan.

KATA KUNCI ; KESEPAKATAN DAN KESETIAKAWANAN

ZJ (06) : Berhubung keutuhan UMNO Pahang dalam mengharungi cabaran semasa politik tanah air mampukah bertahan/berdaya saing.

DSWR : InsyaAllah, kita akan terus mampu mempertahankannya, hendak-hendak pula kita sentiasa mementingkan kesepakatan – bekerja sebagai satu pasukan, sebuah keluarga besar dan kesetiakawanan dalam parti.

Ini sepertimana pada PRK di Cameron Highlands apabila tokoh-tokoh besar kami seperti Dato’ Sri Mohd Najib, dan ‘mentor’ saya, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, telah turut turun padang membantu jentera parti menjayakan misi perjuangan kami.

ZJ (07) : Apa yang sepatutnya/wajar dilakukan/diteruskan oleh barisan kepemimpinan UMNO/BN Pahang dalam menjamin survival parti di Pahang memandangkan Pahang selain Perlis, kini menjadi kubu kuat UMNO.

DSWR : Kata kuncinya di sini ialah – kesepakatan (‘unity’) dan bekerja sebagai satu pasukan, sebuah keluarga, serta kesetikawanan (‘comradeship).

SEMOGA PERJUANGAN DIBERKATI ALLAH SWT

UMNO Pahang sendiri telah buktikan selama ini betapa dengan kesepakatan dan kesetiakawanan antara pemimpin dengan pemimpin tidak kira di peringkat mana sekalipun; serta, antara pemimpin dengan ahli-ahlinyalah yang menyumbang kepada kekukuhan parti – dulu, kini dan selama-lamanya.

Dan kita di Pahang, tidak suka malah benci kepada rasmi ketam, yang tidak membenarkan dalam kalangan mereka untuk ‘naik ke atas’ dan berjaya.

Kita juga tidaklah teruja sangat untuk dikenali sebagai kubu kuat UMNO. Yang penting, kita perlu sentiasa pelihara kekuatan ini menerusi kedua-dua ‘kesepakatan’ dan ‘kesetiakawanan’ ini.

Moga-moga perjuangan kita di negeri ini, diberkati Allah Subhanahu Wata‘ala. Amin. – Khabar   




Wednesday, 30 January 2019

Cuti Peristiwa pada 31 Januari


… sempena Istiadat Melafaz dan Menanda tangani Sumpah Jawatan SPB Yang Dipertuan Agong ke-XVI

INI KENYATAAN MEDIANYA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang memperagakan kenyataan medianya sambil diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Sallehudin Ishak (kanan), dan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Fakhruddin Mohd Ariff (kiri).   


BILIK KUNGJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan esok, Khamis, 31 Januari ialah cuti peristiwa bagi seluruh negeri.

Ia bersempena Istiadat Melafaz dan Menanda tangani Sumpah Jawatan SPB Yang Dipertuan Agong ke-XVI oleh Kebawah KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada esok, Khamis, 31 Januari.

“Setelah saya mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah maka saya pada hari ini, ingin mengumumkan cuti pada hari esok, Khamis, 31 Januari 2019.

“Cuti peristiwa ini diberi memandangkan 31 Januari ini merupakan tarikh yang penuh bersejarah kepada negeri dan seluruh rakyat-jelata di negeri Pahang ini, dengan pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

“Kali terakhir detik bersejarah seumpama ini dirasai ialah kira-kira empat (4) dekad yang lalu apabila Paduka Ayahanda, Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Mu‘adzam Shah, dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-7 untuk tempoh lima (5) tahun antara 26 April 1979 dan 25 April 1984.      

PADA PERSIDANGAN MEDIA PETANG RABU, 31 JANUARI... 


CUTI SEBAGAI TERJEMAHAN RASA KESYUKURAN DAN KEGEMBIRAAN

“Oleh itu, pengumuman cuti peristiwa pada esok, 31 Januari, adalah difikirkan sebagai amat bersesuaian.

“Ini juga sebagai terjemahan kepada rasa kesyukuran dan kegembiraan yang amat sangat oleh Kerajaan Negeri dan rakyat-jelata sekalian, atas pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16.

“Moga-moga dengan ini, tempoh lima (5) tahun pemerintahan Baginda akan disempurnakan dengan sebaik-baiknya, demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat-jelata seluruh Negara,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy pada persidangan media petang Rabu, 30 Januari di sini.

Berikut ialah Kenyataan Media beliau sepenuhnya;

KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI BESAR PAHANG

CUTI PERISTIWA
SEMPENA
ISTIADAT MELAFAZ DAN MENANDA TANGANI SURAT SUMPAH JAWATAN SEBAGAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG KE-XVI
OLEH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG, AL-SULTAN ABDULLAH RI‘AYATUDDIN AL-MUSATAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HJ AHMAD SHAH AL-MUSTA‘IN BILLAH


(SALAM)

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULAHI WABARAKATUH, DAN SALAM SEJAHTERA.


(UMUMKAN CUTI PERISTIWA 31 JANUARI 2019)

01. BERSEMPENA DENGAN ISTIADAT MELAFAZ DAN MENANDA TANGANI SUMPAH JAWATAN SEBAGAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG KE-16 OLEH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG, AL-SULTAN ABDULLAH RI‘AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HJ AHMAD SHAH AL-MUSTA‘IN BILLAH DI ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR ESOK, KHAMIS, 31 JANUARI 2019 BERSAMAAN 25 JAMADILAWAL 1440 HIJRAH;

SETELAH SAYA MENDAPAT PERKENAN DARIPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG, AL-SULTAN ABDULLAH RI‘AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HJ AHMAD SHAH AL-MUSTA‘IN BILLAH MAKA SAYA PADA HARI INI, INGIN MENGUMUMKAN CUTI PADA HARI ESOK, HARI KHAMIS, 31 JANUARI 2019.

02. CUTI PERISTIWA INI DIBERI MEMANDANGKAN 31 JANUARI INI MERUPAKAN TARIKH YANG PENUH BERSEJARAH KEPADA NEGERI DAN SELURUH RAKYAT-JELATA DI NEGERI PAHANG INI, DENGAN PELANTIKAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN PAHANG SEBAGAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DPERTUAN AGONG.

03. KALI TERAKHIR DETIK BERSEJARAH SEUMPAMA INI DIRASAI IALAH KIRA-KIRA EMPAT (4) DEKAD YANG LALU APABILA PADUKA AYAHANDA, SULTAN HJ AHMAD SHAH AL-MUSTA‘IN BILLAH IBNI ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR RI ‘AYATUDDIN AL-MU‘ADZAM SHAH, DILANTIK SEBAGAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG KE-7 UNTUK TEMPOH LIMA (5) TAHUN ANTARA 26 APRIL 1979 DAN 25 APRIL 1984.      

04. OLEH ITU, PENGUMUMAN CUTI PERISTIWA PADA ESOK, 31 JANUARI, ADALAH DIFIKIRKAN SEBAGAI AMAT BERSESUAIAN.

05. INI JUGA SEBAGAI TERJEMAHAN KEPADA RASA KESYUKURAN DAN KEGEMBIRAAN YANG AMAT SANGAT OLEH KERAJAAN NEGERI DAN RAKYAT-JELATA SEKALIAN, ATAS PELANTIKAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG, AL-SULTAN ABDULLAH RI‘AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH, SEBAGAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG KE-16.

06. MOGA-MOGA DENGAN INI, TEMPOH LIMA (5) TAHUN PEMERINTAHAN BAGINDA AKAN DISEMPURNAKAN DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, DEMI KEMAKMURAN NEGARA DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT-JELATA SELURUH NEGARA.
 
(AJAKAN KE PANGKALAN T.U.D.M KUANTAN)

07. SEMPENA DENGAN CUTI PERISTIWA INI JUGA, SUKACITA SAYA MENGAJAK PARA PENJAWAT AWAM SEKALIAN KHUSUSNYA, AGAR DAPAT HADIR BERAMAI-RAMAI KE PANGKALAN TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA (T.U.D.M) KUANTAN, PADA KIRA-KIRA 7 PAGI HARI YANG SAMA, BERSEMPENA DENGAN ISTIADAT MEMULIAKAN KEBERANGKATAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU DAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN PAHANG, KE KUALA LUMPUR.

08. SELEPAS ITU, BOLEHLAH BERADA DI KEDIAMAN MASING-MASING SAMBIL MENGIKUTI SIARAN LANGSUNG MENERUSI STESEN-STESEN TELEVISYEN BERKENAAN, YANG DIJANGKA MENYIARKAN ISTIADAT MELAFAZ DAN MENANDA TANGANI SUMPAH JAWATAN SEBAGAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG KE-16 PADA PAGI YANG SAMA.

09. DENGAN INI, DAPATLAH KITA SAMA-SAMA LEBIH MERASAI, SETERUSNYA LEBIH MENGHARGAI DETIK-DETIK YANG PENUH BERSEJARAH INI, INSYA-ALLAH.


DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
WISMA SRI PAHANG
KUANTAN

30 JANUARI 2019. – Khabar   





Saturday, 26 January 2019

BN benar-benar bangkit di Cameron Highlands

… calon BN, Encik Ramli Mohd Nor menang majoriti besar 3,238 undi!

“Kemenangan hari ini saya dapati; Yang pertama sekali, pengundi bijak memilih calon.

“Yang keduanya, PAS tidak menawarkan diri untuk bertanding selain itu, mereka telah memberi kerjasama dan menyeru kepada pengundi-pengundi PAS untuk menyokong Barisan Nasional.

“Yang ketiga, isu-isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan tidak diterima oleh rakyat kerana isu yang dibangkitkan itu ialah – kalau saya kata 100 peratus mungkin tak betul; (tetapi) 80 peratus adalah tidak benar…,” kata Menteri Besar

KEMENANGAN HASIL USAHA KITA BERSAMA... 'No single factor'. 


DEWAN GEMILANG, SMK SULTAN AHMAD SHAH, TANAH RATA – “Kemenangan hari ini saya dapati; yang pertama sekali, pengundi bijak memilih calon.

“Yang keduanya, PAS tidak menawarkan diri untuk bertanding. Selain itu, mereka telah memberi kerjasama dan menyeru kepada pengundi-pengundi PAS untuk menyokong Barisan Nasional.

“Yang ketiga, isu-isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan tidak diterima oleh rakyat kerana isu yang dibangkitkan itu ialah – kalau saya kata 100 peratus mungkin tak betul; (tetapi) 80 peratus adalah tidak benar,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas calon Barisan Nasional (BN), Encik Ramli Mohd Nor diumumkan sebagai pemenang bagi Pilihanraya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands pada malam Sabtu, 26 Januari di sini.

Encik Ramli memperolehi 12,038 undi dengan majoriti besar, 3,238 undi (berbanding Pilihanraya Umum Ke-14 lepas, yang calon BN ketika itu, Dato’ C.Sivarraajh menerima cuma 597 undi), mengatasi calon-calon lain – Encik M.Manogaran dari Pakatan Harapan (PH) dengan 8,800 undi; serta calon-calon bebas, Encik Sallehudin Ab Talib, 314 undi; dan, Encik Wong Seng Yee, 276 undi.

MENGHARGAI KERJASAMA TULEN UMNO-PAS... 


PENGUNDI JADI SAKSI KEPADA PEMBANGUNAN CAMERON HIGHLANDS

Berikut disiarkan secara ‘verbatim’ apa yang telah diperkatakan lagi oleh Dato’ Sri Wan Rosdy pada pertemuan dengan wartawan-wartawan berkenaan;

“Sebagai contoh, mereka kata tidak ada pembangunan di Jelai dan Tanah Rata. Sedangkan rakyat, pengundi-pengundi di Cameron Highlands boleh melihat sendiri pembangunan yang berlaku.

“Sebagai contohnya perumahan untuk Orang Asli di Sungai Ruil. Kerajaan Barisan Nasional ketika itu memberi peruntukan sebanyak RM44 juta. Kemudian jalan ke Pos Sinderut yang sepanjang 35 KM – kita mendapat peruntukan hampir RM40 juta.

“Jalan untuk datang ke Cameron Highlands ini. Kalau dulunya kita terpaksa melalui Tapah, melalui Perak; melalui Gua Musang; tetapi Kerajaan Barisan Nasional membuat jalan dari Raub-Sungai Koyan-Ringlet-Tanah Rata.

“Jadi, apabila tuduhan mengatakan bahawa tidak ada pembangunan, rakyat tidak yakinlah. Dan mereka nampak bahawa di sebelah sana cuba memainkan isu-isu yang tidak betul.

PELUKAN ERAT DALAM PERJUANGAN MEMASTIKAN KEMENANGAN... 


PENGUNDI BIJAK MENILAI

“Kemudian tuduhan mereka mengatakan bahawa Kerajaan Negeri berhutang banyak. Sedangkan tuduhan ini tak betul. Perkara ini telahpun diselesaikan dan kitapun telah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan.

“Banyak lagilah perkara-perkara yang mereka kata yang tidak boleh diterima oleh pengundi. Jadi pengundi menilai dengan bijak dan mereka merasakan bahawa janji ataupun tuduhan, isu-isu, yang dibangkitkan itu adalah tidak relevan, tidak mempengaruhi mereka dan adalah tidak benar.

“Selain daripada itu, sampingan sebagai contoh, mereka gagal menunaikan (janji-janji) dalam manifesto merekalah, setelah sembilan (9) bulan menjadi kerajaan, dan banyak lagilah”.

Beliau juga berkata betapa, “Kejayaan inipun bukan kejayaan saya seorang. Ia adalah kejayaan sebagai satu pasukan. Saya tak boleh kerja seorang. Ada yang kata, ini sebab Dato’ Wan sebagai Pengarah (Pilihanraya) sebagainya.  

“Yang sebenarnya sebab jentera, bantuan daripada semua pihak, kemudian banyak lagi yer… Bantuan daripada Dato’ Najib; sumbangan beliau untuk membantu di dalam pilihanraya ini ada”.

BN TERUS KUKUH DENGAN KERJASAMA PELBAGAI PARTI KOMPONENNYA... 


KEMENANGAN BERASASKAN PELBAGAI FAKTOR

Mengenai kemungkinan ‘troll’ yang sering dilakukan oleh Dato’ Sri Mohd Najib terhadap Kerajaan Pakatan Harapan dalam laman sosialnya pula, kata Dato’ Sri Wan Rosdy;

“Ada memainkan peranan. Sejauh mana pentingnya itu saya tak dapat nak nilailah yer. Hanya yang boleh saya katakan bahawa, kejayaan Barisan Nasional ini adalah pelbagai faktor, bukan ‘single factor’.

“Banyak lagi faktor-faktornya kalau boleh saya rumuskan – PAS tidak meletakkan calonnya; jentera kita yang bekerja kuat; kemudian tuduhan-tuduhan pembangkang yang tidak berasas; pembangunan yang ada di Jelai dan juga di Tanah Rata; banyak, banyak sumbangan.

“Itu yang menyebabkan kita menang. Contohnya, kalau kita buat gulai karilah kan. Kalau kita buat kari tak ada ikan, tak jadi. Kalau kita tak letak gulapun tak jadi. Jadi ramuan itulah yang menyebabkan kita menang”.

Kepada soalan tentang bagaimana pada PRK ini telah turun beberapa ‘heavyweight’ daripada Pakatan Harapan sepertimana Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad, begitu juga dengan Dato’ Sri Anwar Ibrahim dan Menteri-menteri Kabinet namun PH tetap gagal, katanya;   


TERIMA KASIH BUAT SEMUA... 


SOAL TANAH IALAH ‘STATE MATTER’

“Kerana, tak ada isu yang besar. Malahan isu yang dimainkan itu rakyatpun, pengundipun tahu. Sebagai contohnya mereka mengatakan soal tanah. Soal tanah adalah ‘state matter’.

“Kemudian soal hutang negeri. Ini telahpun dijelaskan dan telahpun diselesaikan dan telahpun dibincangkan. Bukan satu isu baru.

“Jadi saya fikir, apabila pengundi melihat ini, pengundi sendiri merasakan bahawa Pakatan Harapan tidak ada isu dan tidak ada sesuatu yang baru.

“Sedangkan bagi pihak Barisan Nasional, di Pahang ini kita Kerajaan; dan mereka dapat melihat bahawa kita secara konsisten cuba membantu membuat yang terbaik untuk rakyat.

“Dan saya fikir, rakyat boleh menilai, memikirkan – di satu pihak hanya menyatakan isu-isu lama, perkara-perkara lama, perkara yang telahpun dibincangkan dan mereka rasa tidak berjaya, tidak boleh mempengaruhi pengundi.


YB AHLI PARLIMEN CAMERON HIGHLANDS KITA... 'The newly-minted YB'.


PENGELUARAN PERMIT PENGGUNAAN TANAH

“Sedangkan di satu pihak yang lain yakni Barisan Nasional, mereka dapat melihat dan merasakan… Saya bagi satu contoh, pengeluaran permit penggunaan hutan di mana perkara ini, Kerajaan Negeri telah memberi penekanan yang serius untuk membantu penanam-penanam, pekebun sayur.  

“Sebab tanah ini ialah satu perkara yang sensitif. Perkara ini telahpun dilaksanakan (selama ini) dan bukannya ada kaitan dengan pilihanrayapun.

“Dan ianya akan terus dilaksanakan untuk masa-masa yang akan datang jika kita fikirkan ada tanah yang sesuai, ada faedah untuk rakyat, untuk mereka bercucuk tanam untuk mencari makan, dan sebagainya”. – Khabar


      


BN bangkit di Cameron Highlands



… calon BN, Encik Ramli Mohd Noor menang majoriti 3,238 berbanding majoriti cuma 597 pada PRU-14

“Kemenangan hari ini saya dapati; Yang pertama sekali, pengundi bijak memilih calon. Yang keduanya, PAS tidak menawarkan diri untuk bertanding selain itu, mereka telah memberi kerjasama dan menyeru kepada pengundi-pengundi PAS untuk menyokong Barisan Nasional.

“Yang ketiga, isu-isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan tidak diterima oleh rakyat kerana isu yang dibangkitkan itu ialah – kalau saya kata 100 peratus mungkin tak betul; 80 peratus adalah tidak benar…,” kata Menteri Besar


KITA MENANG... Ternyata, kemenangan BN ialah kerana calonnya; sokongan PAS; serta, isu-isu yang PH bangkit tetapi tidak diterima rakyat/pengundi Cameron Highlands. 

Friday, 25 January 2019

Menteri Besar dan isteri mengundi awal


SESUDAH MENGUNDI AWAL PAGI... 


SEKOLAH KEBANGSAAN TANJUNG GAHAI, LIPIS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed ialah antara mereka yang mengundi awal hari ini, Sabtu 26 Januari sempena Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan P078 Cameron Highlands.

Kedua-dua pasangan tiba di perkarangan sekolah ini pada kira-kira 8.40 pagi. Bertegur-sapa dengan mereka yang turut hadir, kemudian ke saluran 1 beratur seketika, sebelum menunaikan tangggung jawab masing-masing pada kira-kira 8.50 pagi.

Selain turut menjadi Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) bagi PRK ini, Dato’ Sri Wan Rosdy ialah juga wakil rakyat setempat (BN – Jelai), kerusi yang dimenanginya dalam empat (4) Pilihanraya Umum (PRU) lepas bermula PRU Ke-11 tahun 2004.

Ketika ditemui wartawan kemudian, beliau telah ditanya tentang perjalanan proses pengundian serta juga peluang kemenangan bagi calon BN dari dalam kalangan Orang Asli beragama Islam, Encik Ramli Mohd Noor.   

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, pengundian pada hari ini berjalan dengan lancar. Cuacapun baik, redup, sejuk.

SATU UNDI KE DALAM PETI UNDI... 


YAKIN PENGUNDI BUAT PILIHAN BIJAK

“Dan nampaknya ramai pengundi telah keluar mengundi awal dan saya yakin, pengundi-pengundi akan buat pilihan yang bijak (tentang) siapakah yang mereka pilih untuk menjadi wakil mereka bagi P078 Parlimen Cameron Highlands ini,” katanya.

Mengenai peluang kemenangan katanya, sememangnya beliau meletakkan harapan yang tinggi namun turut menyedari betapa, “… memandangkan keadaan, suasana pilihanraya kali ini tidak sepertimana sebelumnya”.

“Saya telah melalui empat (4) kali Pilihanraya (Umum) di mana Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri adalah sama. Kempenpun saya nampak tidaklah hangat seperti apa yang berlaku pada pilihanraya kecil ini kerana mereka ada mempunyai kelebihan sebagai Kerajaan Memerintah.

“Walau bagaimanapun saya optimis, calon Barisan Nasional insyaAllah, akan menang kerana pengundi akan membuat penilaian yang bijak dan mereka dapat melihat selama ini banyak pembangunan yang telah dibawa ke sini oleh Kerajaan (Pusat pimpinan) Barisan Nsional,” katanya lagi.

Kepada soalan tentang reaksinya jika calon BN menang katanya, “Saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada pengundi kerana mereka telah membuat pilihan yang bijak”.

Jika sebaliknya pula jawabnya, “Kita terima. Kita terima. Kerana, negara kita mengamalkan demokrasi”


SEPERTIMANA TERSIAR DALAM BULETIN 1.30 PETANG, TV3... Membantu yang memerlukan bantuan. – Khabar     







Thursday, 24 January 2019

BN bangkit di Cameron Highlands

ANTARA POSTER YANG MENARIK MEMAPARKAN CALON KITA, ENCIK RAMLI...  


Oleh Ahya Alimuddin

TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS“Saya harap pengundi-pengundi buat keputusan yang bijak. Bagi pihak kami, Barisan Nasional (BN) telahpun menyerahkan calon yang (menurut semakan kami adalah) paling diminati, disukai oleh pengundi-pengundi di dalam Parlimen Cameron Highlands.

“Dan beliau mempunyai kelulusan yang agak tinggi, banyak pengalaman, memegang jawatan sebagai pesara Polis (pangkat) ACP. Dan saya percaya, beliau mampu mewakili masyarakat di dalam Parlimen Cameron Highlands,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.   

Ini dikatakannya kepada wartawan yang menemuinya pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands oleh Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohamad Hasan pada Khamis, 10 Januari lepas.

Dato’ Sri Wan Rosdy yang mula mengambil alih tampuk kepimpinan Pahang kira-kira lapan (8) bulan lepas sejak 15 Mei 2018, ialah juga Pengarah Pilihanraya bagi BN untuk PRK ini. Beliau juga ialah Pengerusi BN Pahang serta Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands.

Setelah dua (2) minggu tempoh berkempen sejak Hari Penamaan Calon pada 12 Januari dan Sabtu, 26 Januari ialah Hari Mengundi; kata-kata pemimpin ini yang berkongsi sama tarikh lahir (pada 1 Oktober 1958) dengan calon – Encik Ramli Mohd Nor itu dilihat ada kebenarannya.

ANAK MUDA MUDAH DIDEKATI MESRA... 


KECELARUAN KERAJAAN PERSEKUTUAN PH

“Sungguhpun Encik Ramli ialah Orang Asli beragama Islam yang sudah tentunya akan memenangi hati 34 peratus pengundi Melayu dan 22 peratus pengundi Orang Asli; beliau juga pandai membawa diri dengan pengundi Cina (29 peratus) dan India (15 peratus).

“Malah, beliau dilihat fasih berBahasa Mandarin dalam klip video beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, terbitan MCA. Maka, atas dasar itu atau personaliti calon BN ini sahaja, sudahpun ada ‘umph’,” kata seorang penganalisis politik yang ditemui di sini.

Bertuahnya BN pada PRK ini ialah, PAS menjadi rakan sekutunya yang boleh dikatakan tulen, jika dilihat daripada segi komitmen tinggi pemimpin-pemimpin mereka dalam mengadakan ceramah politik bersama dengan pemimpin-pemimpin BN.

Dan PAS tidak meletakkan calonnya bertanding kali ini yang dengan itu dijangkakan, lebih 3,000 undi yang calon PAS perlolehi dengan penyertaan parti itu pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei lepas, mungkin beralih mengundi calon BN pula.

Yang menyebelahi BN juga pada PRK ini ialah, segala kecelaruan dan tindakan-tindakan para pemimpin Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak disenangi rakyat.

CALON KITA PILIHAN DAN KESUKAAN PELBAGAI KAUM... 


‘REFERENDUM’ TERJEMAHAN KETIDAK PUASAN HATI TERHADAP KERAJAAN PH

Antaranya yang utama ialah ekoran kos kehidupan yang terus meninggi, peneroka di Rancangan Tanah Felda pula terkesan lebih teruk akibat harga kelapa sawit merudum, serta janji-janji ‘manis’ PRU Ke-14 menerusi manifesto PH yang terus tinggal janji.

Oleh itulah, Dato’ Sri Mohamad, dalam ucapannya pada satu ceramah di Sungai Koyan bersama-sama pemimpin PAS termasuk Presidennya, Dato’ Sri Abdul Hadi Awang, telah lantang berkata; “Ini merupakan ‘referendum’ terjemahan ketidak puasan hati rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Pakatan Harapan”.

Sungguhpun semua petunjuk menjurus kepada kemenangan BN namun ada kebimbangan dengan ‘penerobosan demi penerobosan’ oleh pemimpin-pemimpin ternama PH/pemegang jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan, ke kawasan-kawasan ‘putih’ BN dalam tempoh berkempen.

‘Penerobosan-penerobosan’ ini berlaku seperti ke ketiga-tiga Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3; serta, ke perkampungan-perkampungan Orang Asli; dikhuatiri  boleh mempengaruhi penduduk/pengundi di sana.

Apatah pula dengan serangan-serangan dilancarkan oleh Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng dalam ceramah-ceramah politiknya di kawasan-kawasan ini, yang mempertikaikan tentang kononnya kewangan Kerajaan Negeri BN yang tenat.

MARI BERGAMBAR BERAMAI-RAMAI... Dan tentunya, sokong dan undi calon BN kita.


‘SAYA TAHULAH, SAYA MENTERI KEWANGAN’

Dalam ceramah-ceramah tersebut juga, Encik Lim suka mendabik dada dan berkata – ‘Saya tahulah, saya Menteri Kewangan’ maka beliau berharap, apa yang dikatakannya dipercayai oleh khalayak.

Misalnya, Kerajaan Negeri Pahang pimpinan BN katanya, mempunyai defisit bajet negeri terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat (4) tahun (2014 – 2017), yang dengan itu tidak memungkinkan Kerajaan Negeri ini mentadbir negeri dengan baik.

Sedangkan, dia tidak beritahu betapa defisit bajet Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tahun 2019 ini sahaja ialah kira-kira RM352.8 juta manakala defisit tahun 2018nya ketika mana Encik Lim ialah Ketua Menteri, ialah kira-kira RM748.5 juta!

Dan berapakah pula defisit bajet Kerajaan Persekutuan PH untuk tahun 2019 ini, yang menteri yang bertanggung jawab mengenainya ialah Encik Lim? RM52,700 juta atau RM52.7 billion!

Inilah cabaran-cabaran yang harus dihadapi jentera pilihanraya BN bagi menangani dan menghadapi tohmahan-tohmahan serta dakwaan-dakwaan ‘separuh benar’ oleh puak-puak PH.  

Moga-moga dengan ini, penduduk/pengundi Cameron Highlands bijak menilainya lalu bijak juga dalam membuat pilihan untuk akhirnya mengundi Encik Ramli Mohd Nor, InsyaAllah. 


SAMA-SAMA MERENUNGI MASA DEPAN... serta berserah, memohon doa kepada Yang Maha Esa. – Khabar