Friday, 25 January 2019

Menteri Besar dan isteri mengundi awal


SESUDAH MENGUNDI AWAL PAGI... 


SEKOLAH KEBANGSAAN TANJUNG GAHAI, LIPIS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed ialah antara mereka yang mengundi awal hari ini, Sabtu 26 Januari sempena Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan P078 Cameron Highlands.

Kedua-dua pasangan tiba di perkarangan sekolah ini pada kira-kira 8.40 pagi. Bertegur-sapa dengan mereka yang turut hadir, kemudian ke saluran 1 beratur seketika, sebelum menunaikan tangggung jawab masing-masing pada kira-kira 8.50 pagi.

Selain turut menjadi Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) bagi PRK ini, Dato’ Sri Wan Rosdy ialah juga wakil rakyat setempat (BN – Jelai), kerusi yang dimenanginya dalam empat (4) Pilihanraya Umum (PRU) lepas bermula PRU Ke-11 tahun 2004.

Ketika ditemui wartawan kemudian, beliau telah ditanya tentang perjalanan proses pengundian serta juga peluang kemenangan bagi calon BN dari dalam kalangan Orang Asli beragama Islam, Encik Ramli Mohd Noor.   

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, pengundian pada hari ini berjalan dengan lancar. Cuacapun baik, redup, sejuk.

SATU UNDI KE DALAM PETI UNDI... 


YAKIN PENGUNDI BUAT PILIHAN BIJAK

“Dan nampaknya ramai pengundi telah keluar mengundi awal dan saya yakin, pengundi-pengundi akan buat pilihan yang bijak (tentang) siapakah yang mereka pilih untuk menjadi wakil mereka bagi P078 Parlimen Cameron Highlands ini,” katanya.

Mengenai peluang kemenangan katanya, sememangnya beliau meletakkan harapan yang tinggi namun turut menyedari betapa, “… memandangkan keadaan, suasana pilihanraya kali ini tidak sepertimana sebelumnya”.

“Saya telah melalui empat (4) kali Pilihanraya (Umum) di mana Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri adalah sama. Kempenpun saya nampak tidaklah hangat seperti apa yang berlaku pada pilihanraya kecil ini kerana mereka ada mempunyai kelebihan sebagai Kerajaan Memerintah.

“Walau bagaimanapun saya optimis, calon Barisan Nasional insyaAllah, akan menang kerana pengundi akan membuat penilaian yang bijak dan mereka dapat melihat selama ini banyak pembangunan yang telah dibawa ke sini oleh Kerajaan (Pusat pimpinan) Barisan Nsional,” katanya lagi.

Kepada soalan tentang reaksinya jika calon BN menang katanya, “Saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada pengundi kerana mereka telah membuat pilihan yang bijak”.

Jika sebaliknya pula jawabnya, “Kita terima. Kita terima. Kerana, negara kita mengamalkan demokrasi”


SEPERTIMANA TERSIAR DALAM BULETIN 1.30 PETANG, TV3... Membantu yang memerlukan bantuan. – Khabar