Thursday 24 January 2019

BN bangkit di Cameron Highlands

ANTARA POSTER YANG MENARIK MEMAPARKAN CALON KITA, ENCIK RAMLI...  


Oleh Ahya Alimuddin

TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS“Saya harap pengundi-pengundi buat keputusan yang bijak. Bagi pihak kami, Barisan Nasional (BN) telahpun menyerahkan calon yang (menurut semakan kami adalah) paling diminati, disukai oleh pengundi-pengundi di dalam Parlimen Cameron Highlands.

“Dan beliau mempunyai kelulusan yang agak tinggi, banyak pengalaman, memegang jawatan sebagai pesara Polis (pangkat) ACP. Dan saya percaya, beliau mampu mewakili masyarakat di dalam Parlimen Cameron Highlands,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.   

Ini dikatakannya kepada wartawan yang menemuinya pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands oleh Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohamad Hasan pada Khamis, 10 Januari lepas.

Dato’ Sri Wan Rosdy yang mula mengambil alih tampuk kepimpinan Pahang kira-kira lapan (8) bulan lepas sejak 15 Mei 2018, ialah juga Pengarah Pilihanraya bagi BN untuk PRK ini. Beliau juga ialah Pengerusi BN Pahang serta Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands.

Setelah dua (2) minggu tempoh berkempen sejak Hari Penamaan Calon pada 12 Januari dan Sabtu, 26 Januari ialah Hari Mengundi; kata-kata pemimpin ini yang berkongsi sama tarikh lahir (pada 1 Oktober 1958) dengan calon – Encik Ramli Mohd Nor itu dilihat ada kebenarannya.

ANAK MUDA MUDAH DIDEKATI MESRA... 


KECELARUAN KERAJAAN PERSEKUTUAN PH

“Sungguhpun Encik Ramli ialah Orang Asli beragama Islam yang sudah tentunya akan memenangi hati 34 peratus pengundi Melayu dan 22 peratus pengundi Orang Asli; beliau juga pandai membawa diri dengan pengundi Cina (29 peratus) dan India (15 peratus).

“Malah, beliau dilihat fasih berBahasa Mandarin dalam klip video beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, terbitan MCA. Maka, atas dasar itu atau personaliti calon BN ini sahaja, sudahpun ada ‘umph’,” kata seorang penganalisis politik yang ditemui di sini.

Bertuahnya BN pada PRK ini ialah, PAS menjadi rakan sekutunya yang boleh dikatakan tulen, jika dilihat daripada segi komitmen tinggi pemimpin-pemimpin mereka dalam mengadakan ceramah politik bersama dengan pemimpin-pemimpin BN.

Dan PAS tidak meletakkan calonnya bertanding kali ini yang dengan itu dijangkakan, lebih 3,000 undi yang calon PAS perlolehi dengan penyertaan parti itu pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei lepas, mungkin beralih mengundi calon BN pula.

Yang menyebelahi BN juga pada PRK ini ialah, segala kecelaruan dan tindakan-tindakan para pemimpin Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak disenangi rakyat.

CALON KITA PILIHAN DAN KESUKAAN PELBAGAI KAUM... 


‘REFERENDUM’ TERJEMAHAN KETIDAK PUASAN HATI TERHADAP KERAJAAN PH

Antaranya yang utama ialah ekoran kos kehidupan yang terus meninggi, peneroka di Rancangan Tanah Felda pula terkesan lebih teruk akibat harga kelapa sawit merudum, serta janji-janji ‘manis’ PRU Ke-14 menerusi manifesto PH yang terus tinggal janji.

Oleh itulah, Dato’ Sri Mohamad, dalam ucapannya pada satu ceramah di Sungai Koyan bersama-sama pemimpin PAS termasuk Presidennya, Dato’ Sri Abdul Hadi Awang, telah lantang berkata; “Ini merupakan ‘referendum’ terjemahan ketidak puasan hati rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Pakatan Harapan”.

Sungguhpun semua petunjuk menjurus kepada kemenangan BN namun ada kebimbangan dengan ‘penerobosan demi penerobosan’ oleh pemimpin-pemimpin ternama PH/pemegang jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan, ke kawasan-kawasan ‘putih’ BN dalam tempoh berkempen.

‘Penerobosan-penerobosan’ ini berlaku seperti ke ketiga-tiga Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3; serta, ke perkampungan-perkampungan Orang Asli; dikhuatiri  boleh mempengaruhi penduduk/pengundi di sana.

Apatah pula dengan serangan-serangan dilancarkan oleh Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng dalam ceramah-ceramah politiknya di kawasan-kawasan ini, yang mempertikaikan tentang kononnya kewangan Kerajaan Negeri BN yang tenat.

MARI BERGAMBAR BERAMAI-RAMAI... Dan tentunya, sokong dan undi calon BN kita.


‘SAYA TAHULAH, SAYA MENTERI KEWANGAN’

Dalam ceramah-ceramah tersebut juga, Encik Lim suka mendabik dada dan berkata – ‘Saya tahulah, saya Menteri Kewangan’ maka beliau berharap, apa yang dikatakannya dipercayai oleh khalayak.

Misalnya, Kerajaan Negeri Pahang pimpinan BN katanya, mempunyai defisit bajet negeri terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat (4) tahun (2014 – 2017), yang dengan itu tidak memungkinkan Kerajaan Negeri ini mentadbir negeri dengan baik.

Sedangkan, dia tidak beritahu betapa defisit bajet Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tahun 2019 ini sahaja ialah kira-kira RM352.8 juta manakala defisit tahun 2018nya ketika mana Encik Lim ialah Ketua Menteri, ialah kira-kira RM748.5 juta!

Dan berapakah pula defisit bajet Kerajaan Persekutuan PH untuk tahun 2019 ini, yang menteri yang bertanggung jawab mengenainya ialah Encik Lim? RM52,700 juta atau RM52.7 billion!

Inilah cabaran-cabaran yang harus dihadapi jentera pilihanraya BN bagi menangani dan menghadapi tohmahan-tohmahan serta dakwaan-dakwaan ‘separuh benar’ oleh puak-puak PH.  

Moga-moga dengan ini, penduduk/pengundi Cameron Highlands bijak menilainya lalu bijak juga dalam membuat pilihan untuk akhirnya mengundi Encik Ramli Mohd Nor, InsyaAllah. 


SAMA-SAMA MERENUNGI MASA DEPAN... serta berserah, memohon doa kepada Yang Maha Esa. – Khabar