Thursday 27 March 2014

Bacalah al-Quran sebagai amalan, dan amalkan ajarannya, saran Menteri Besar

Beliau turut menarik minat khalayak tentang kisah jenazah yang sudah dikebumikan dua (2) tahun tetapi dikesani secara tidak sengaja, kelihatan hampir sempurna yang rupa-rupanya hamba Allah berkenaan amalkan pembacaan al-Quran semasa hayatnya.    

SIHAT, CERIA DAN MENCERIAKAN... Selepas berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang, KDYMM Tuanku turut berkenan untuk bersesi bergambar bersama-sama. 

Mungkin ada sesuatu yang dititah-bual secara berjenaka oleh KDYMM Baginda, hingga menyebabkan johan-johan - kategori qari, Encik Ahmad Naeim Mohd @ Mat Isa dari Jerantut (dua dari kiri), dan kategori qariah, Puan Nur Hafizah Ahmad Tajuddin dari Bera (dua dari kanan), ketawa-ria. 

Begitu juga dengan Dato' Sri DiRaja Adnan, serta Dato' Mohd Noor (terlindung di belakang KDYMM Sultan Pahang). Foto ini dirakam semasa bersedia untuk sesi bergambar berkenaan.   


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar membaca al-Quran menjadi amalan harian kita, serta mengamalkan ajarannya.

Menurutnya, banyak manfaat yang boleh diperolehi jika kedua-dua perkara-perkara tersebut dijadikan sebagai amalan.

Lalu, beliau – dalam menyampaikan ucapan luar teks 16-minit pada penyampaian hadiah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri pada malam Khamis, 27 Mac di sini yang disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang, membawa kisah yang pernah berlaku di kampungnya sendiri sebelum ini.

Kisah berkisar kepada peristiwa yang tidak disengajakan, apabila penggali kubur sambil bersaksikan 12 orang kampung yang lain, tergali sebuah kubur yang jenazahnya sudah dikebumikan sejak dua (2) tahun sebelum.  

Yang menarik perhatian ialah apabila mendapati jasad jenazah berkenaan – kecuali pada bahagian mata, seolah-olah masih sempurna hingga menyebabkan mereka mencari punca kepada keadaan tersebut.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 16-MINITNYA...


ARWAH SEMASA HAYAT, BACA AL-QURAN SEBELUM KE TEMPAT KERJA

Akhirnya didapati betapa arwah, semasa hayatnya, selain merupakan seorang yang gemar membelanja mereka yang minum atau makan di sebuah kedai makan di kampungnya; juga ialah seorang yang sering membaca al-Quran sebelum keluar bekerja saban hari.

“… sikit-sebanyak, mungkin menunjukkan bahawa, apa yang disebutkan sebagai mukjizat Rasulullah (yang diturunkan wahyu dan dikitabkan sebagai) al-Quran ini, maka itulah tandanya, yakni jasad pacal tua berkenaan tidak sedikt terluak ataupun tidak sedikitpun berbau sebagainya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Dalam konteks ini, patik mohon menyembahkan mudah-mudahan, pacal-pacal yang hadir yang demikian dapat dipanjangkan kepada kaum keluarga pacal-pacal sekelian supaya menjadikan membaca al-Quran itu sebagai amalan hidup,” katanya lagi.

Beliau seterusnya memuji amalan sesetengah orang yang membaca al-Quran apabila sahaja ada masa teruang, seperti dalam perjalanan menaiki kereta. Yang lebih baik ialah menjadikan ajaran yang dipelajari daripada al-Quran itu sebagai amalan.   

Sementelah pula katanya, al-Quran mengandungi pelbagai bidang ilmu termasuklah dalam soal-soal pentadbiran serta ilmu sains, yang boleh dimanfaati untuk kehidupan seharian manusia.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT, MEMENUHI RUANG DEWAN...  


PAHANG TUANRUMAH TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengumumkan bahawa Pahang telah terpilih menjadi tuanrumah kepada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-57 yang akan berlangsung selama lima hari antara 13 dan 17 Mei, bertempat di Dewan ini juga.

“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, akan berusaha sedaya-upaya supaya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ini menjadi satu majlis yang cemerlang, dan akan dikenang oleh semua pihak yang terlibat – sama ada daripada segi persiapan mahupun daripada segi penyertaan,” katanya.

Selain keberangkatan KDYMM Sultan Pahang, yang turut menyampaikan titah-ucapan 13-minit Baginda serta menyampaikan hadiah; serta, beberapa kerabat bergelar;

Antara yang turut hadir ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; beberapa Ahli Exco Kerajaan Negeri; Ketua Hakim Syarie Negeri, Dato’ Abdul Rahman Yunus; dan, Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Noor Abdul Rani. – Khabar