Tuesday 11 March 2014

'Seperti mencari sebatang jarum halus dari dalam timbunan jerami...'

… pemberitaan yang wajar daripada akhbar ‘The Star’ mengenai pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370

CARIAN JARUM HALUS DARI DALAM TIMBUNAN JERAMI...


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – ‘Mystery of MH370; Like a needle in a haystack’ atau diterjemahkan lebih-kurang bermaksud – Misteri MH370; Seperti mencari sebatang jarum halus dari dalam timbunan jerami.

Dalam pada pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370 hari kelima yang belum berhasil, tajuk berita utama ini oleh akhbar ‘The Star’ pada Rabu, 12 Mac adalah wajar, yang dilihat boleh meredakan keadaan.

Sementelah kita mula menerima laporan berita kononnya ada dalam kalangan waris mangsa penumpang pesawat itu dari negara China, mula melempiaskan kemarahan akibat tekanan tidak ketemuan lagi pesawat itu, dengan membaling botol plastik kosong ke arah kakitangan Penerbangan Malaysia di Beijing.

“Sudah hari kelima sejak Penerbangan Malaysia MH370 hilang dan persoalan yang mengecewakan kita ialah: Bagaimanakah pesawat sepanjang 64 meter mudah sahaja ghaib disebalik penggunaan segala teknologi serba-canggih seperti ‘transmitter’ pengesan kecemasan (ELT) dan Sistem Komunikasi Pesawat bagi Menangani dan Melaporkan (ACARS)?

“Para pakar berkata, ia masih tidak mustahil jika segala segala-gala yang mungkin boleh menjadi silap, berlaku juga. Dan pesawat itu boleh jadi berada di mana-mana sahaja”.

TAJUK UTAMA AKHBAR THE STAR... 


BAHAGIAN-BAHAGIAN UTAMA AIR FRANCE HANYA DITEMUI DUA TAHUN SELEPAS KEJADIAN

Dan tajuk kecil pada muka surat dua antara lain menyebut dan diterjemahkan lebih-kurang bermaksud; “Pakar-pakar: Bukannya mudah untuk mengesan pesawat yang hilang dalam lautan yang terbentang luas.”

Pada muka surat tiga pula, dalam satu laporan beritanya dengan mengutip tiga perenggan daripadanya diterjemahkan lebih-kurang bermakna:

Insiden yang paling hampir dengan misteri kehilangan MH370 ialah bencana tahun 2009 melibatkan syarikat penerbangan Air France penerbangan 447, yang menjunam ke dalam Lautan Atlantik semasa perjalanan Rio de Jeneiro, Brazil-Paris, Peranchis.

“Beberapa kepingan/cebisan dari Air France penerbangan 447 dikesan terapung-apung di lautan itu sehari selepas pesawat berkenaan terhempas.

“Kebanyakan daripada bahagian-bahagian utama pesawat itu bagaimanapun, ditemui pada tahun 2011 (Nota penulis: atau dua tahun kemudian!) dan laporan terakhir mengenai bencana tersebut hanya dapat dikeluarkan setahun kemudian”.

SETIA NANTIKAN LAPORAN BERITA SAHIH SAHAJA

Laporan berita sebegini daripada akhbar yang pernah dipersendakan sebagai – ‘milik MCA, dikuasai meja beritanya oleh MIC, demi manfaat DAP’; tentunya dialu-alukan, berbanding sebelumnya yang termasuklah di bawah tajuk utama; ‘Another Pride of Penang’.

Sementara itu, kita teruslah setia menantikan laporan sahih dan tidak mempunyai ‘leaning’ (sandaran) yang salah, serta diharap tidak bercanggah-canggah, daripada pihak-pihak berkuasa berkenaan. – Khabar