Wednesday 12 March 2014

RM202 juta pinjaman TEKUN Nasional kepada 20,000 usahawan Pahang

… nilai dikeluarkan dalam tempoh 16 tahun ini, sejak 1998

“Jadi, kita tidak nampaklah bagaimana usahawan-usahawan ini boleh gagal.
Bahkan, kita hanya nampak bagaimana usahawan-usahawan ini mesti berjaya,”
kata Menteri Besar.


BAYAR KEPADA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato’ Shahiruddin; yang turut kelihatan ialah Dato' Abdul Rahim (kiri sekali) dan Dato' Jebasingam (dua dari kanan). 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan kira-kira RM200 juta nilai pinjaman yang dimanfaati oleh kira-kira 20,000 usahawan di Pahang.

Setiap usahawan dengan itu, masing-masing memanfaati pinjaman bernilai purata kira-kira RM10,200, dan penyaluran ini ialah bagi tempoh 16 tahun ini sejak 1998 hingga Februari lepas.

Angka-angka positif ini diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Program Jelajah Informasi Usahawan Negeri Pahang yang disempurnakannya pada petang Rabu, 12 Mac di sini.  
   
“Saya tertarik dengan angka yang baharu sahaja saya dapat berhubung dengan penyaluran pinjaman TEKUN ini. Sebagai contoh, dari tahun 1998 sehingga Februari 2014, negeri Pahang menerima manfaat sebanyak RM201,971,500 dinikmati oleh 19,735 usahawan.  

“Besar jumlah, bilangannya ini. Jadi, kita tidak nampaklah bagaimana usahawan-usahawan ini boleh gagal. Bahkan, kita hanya nampak bagaimana usahawan-usahawan ini mesti berjaya,” katanya.




KUNJUNGAN KE GERAI PEMPAMER... Meneliti maklumat mengenai TEKUN
Nasional


PUSAT USAHAWAN PAHANG DI TEMERLOH

Dalam pada itupun katanya, TEKUN Nasional telahpun bersetuju untuk mewujudkan Pusat Usahawan Pahang di Temerloh yanga dengannya, akan memudahkan lagi perhubungan serta urusan yang harus dilakukan oleh usahawan negeri ini dengannya.

Ketika ditanya tentang pembayaran balik pinjaman ini, begitu juga dengan pinjaman-pinjaman yang disalurkan oleh pihak lain, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengakui, memang
ada usahawan yang gagal melakukannya.

Sungguhpun begitu katanya, beliau telah difahamkan betapa pinjaman yang disalurkan
oleh pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), telah menerima pembayaran balik
kepada pinjaman yang disalurkan hingga mencapai kadar 90 peratus.


“Saya difahamkan tadi, Amanah Ikhtiar (Malaysia), pembayaran balik (kepada pinjaman yang disalurkan) kadarnya agak tinggi, di sekitar 90 peratus. Maknanya, ‘non-performing loan’nya taklah banyak. Hutang tidak berbayar tidaklah banyak sangat,” katanya.

Mengenai Program Jelajah Informasi Usahawan Negeri Pahang – yang selepas
di Kuantan akan disusuli dengan penganjurannya di daerah-daerah lain, menurut
Dato’ Sri DiRaja Adnan, ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri di bawah kendalian
Pengerusi, Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato’
Shahiruddin Ab.Moin.




KETUA EKSEKUTIF NEGERI DALAM UCAPANNYA... Menteri Besar sedang
menyampaikan ucapan luar teks 25-minitnya.


AGENSI-AGENSI PERLU PROAKTIF

Matlamat utama ialah untuk mendedahkan usahawan-usahawan atau bakal-bakal usahawan
yang ada, kepada maklumat-maklumat yang boleh membantu mereka sama ada 
memulakan perniagaan ataupun mengembangkannya.

“Usahawan ini, jika hendak berniaga, saya telah sebut tadi, mesti ada ilmu 
pengetahuan yang pada ketika yang sama, mesti ada akses kepada maklumat
-maklumat terkini – dari MARA, dari TEKUN, dari Amanah Ikhtiar, dari PUNB,
dari SME Corp.

“Dengan adanya maklumat-maklumat ini maka mereka boleh pada ketika yang
sesuai, jika diperlukan, mendapatkan bantuan pinjaman dari agensi-agensi ini,”
kata Menteri Besar lagi.

Dalam pada itu, beliau meminta agensi-agensi berkenaan supaya bersikap proaktif
dengan mengambil inisiatif sendiri dalam penyaluran maklumat kepada para usahawan,
menerusi penganiyuran program mahupun penyebaran ‘flyers’ tentang agensi masing-
masing.

Selain Dato’ Shahiruddin, yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri
Muhammad Safian Ismail; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri,
Dato’ Zul-kifly Osman;

Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Roslan Harun; serta
ketua-ketua agensi berkenaan seperti Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai
Eksekutif TEKUN Nasional, Dato’ Abdul Rahim Hassan; dan, Ketua Pegawai Eksekutif,
SME Corp Malaysia, Dato’ Hafsah Hashim; dan, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis 
Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato' Jebasingam Isaace 
John. – Khabar