Monday 17 March 2014

"Bersabar, dan pohon petunjuk Allah. InsyaAllah, kita akan jumpa," titah KDYMM Sultan Pahang



Baginda ditemui wartawan selepas menziarahi keluarga penumpang MH370 di hotel penginapan mereka

BAGINDA DISAMBUT SALAM OLEH AYAH KEPADA JURUTERA PENERBANGAN... Encik Selamat Omar - ayah kepada jurutera penerbangan, Mohd Khairul Amri yang turut berada dalam penerbangan MH370 itu, sedang hendak menyambut salam daripada KDYMM Sultan Pahang. 

Yang turut kelihatan ialah YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muadzam (tiga dari kiri dalam pakaian batik) dan Tan Sri Aseh.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN
KDYMM Sultan Pahang hari ini mencemar duli menziarahi keluarga penumpang Penerbangan Malaysia pesawat MH370, yang ditempatkan di Hotel Everly, Putrajaya.

Dalam ziarahan tersebut dengan ketibaan Baginda kira-kira 11.50 pagi, Isnin, 17 Mac, Baginda meluangkan masa hampir sejam bertemu dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka.  

Ketika ditemui wartawan kemudian, Baginda menzahirkan kesedihan atas musibah yang menimpa ke atas pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 kru itu, serta menasihati keluarga tersebut supaya terus bersabar dan berdoa.

“Saya nasihatkan mereka supaya bersabar, dan pohon petunjuk Allah. InsyaAllah, kita akan jumpa,” titah Baginda yang diiringi Paduka Isteri, DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, serta anakanda, YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muadzam.

Yang turut hadir menyambut ketibaan kemudian mengiringi Baginda sepertimana dilaporkan oleh agensi berita serta akhbar-akhbar aliran perdana – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Utusan Malaysia dan Berita Harian ialah Presiden, Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.

DENGARKAN TITAH NASIHAT PADUKA TUANKU... Sebelum berangkat pulangpun, KDYMM Sultan Pahang masih lagi sempat menitah-nasihatkan kepada Encik Selamat yang juga seorang pemastautin di Bera. 


JAGAI KEBAJIKAN AHLI-AHLI KELUARGA

KDYMM Sultan Pahang turut bertitah, Baginda telah juga menasihatkan ahli-ahli keluarga berkenaan supaya terus tinggal di hotel yang telah disediakan oleh Penerbangan Malaysia, sambil menunggu laporan lanjut.

Sambil itu Baginda menitahkan agar pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya menjagai kebajikan ahli-ahli keluarga ini, yang sedang mengalami saat-saat kesedihan akibat kejadian yang menimpa.

Pada petang Selasa, 11 Mac lepas, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut menziarahi ahli-ahli keluarga berkenaan, begitu juga sebelum itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen kawasan Bera, melakukan yang sama. 

Penerbangan MH370 laluan Kuala Lumpur-Beijing menggunakan pesawat Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang serta 12 kru, dilaporkan hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac lepas. Ia dijangka tiba di Beijing pada 6.30 pagi, hari yang sama.

Usaha-usaha pengesanannya – masuk hari ke-10 yang kini melibatkan lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat dan Australia, terus dilakukan.

 
ENCIK SELAMAT OMAR DENGAN FOTO ANAKNYA, MOHD KHAIRUL AMRI... Foto ini sepertimana tersiar dalam akhbar The Star, pada hari ini. – Khabar