Monday 3 March 2014

Berikan Pahang ekuiti dalam syarikat merawat dan membekal air



… selain perjanjian yang telah termeterai sejak 2007, bagi pembekalan air mentah 10 sen semeter padu, menerusi Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) ke Loji Rawatan Air Langat 2 di Selangor

SAMPAIKAN SIJIL PENYERTAAN... 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Sambil mengalu-alukan penanda tanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor bagi melaksanakan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2), Selangor yang telah lama tertangguh;

Kerajaan Pahang meminta dipertimbangkan agar ia turut diberikan ekuti tertentu dalam syarikat yang bakal ditubuhkan untuk menguruskan operasi rawatan air dan membekalkannya dari LRAL2 kelak.

“Sayapun telah menyatakan di beberapa forum dan kita akan (lakukan) ‘follow-up’, kita akan jual air mentah tetapi pada ketika yang sama, mungkin kita juga perlukan sikit-sebanyak kerjasama dari pihak yang berkenaan, untuk memberikan kita ekuiti dalam syarikat yang merawat dan juga menjual air.

“Kita perlukan juga sikit. Takkanlah, 10 sen satu meter padu (sahaja, bagi membekal air mentah)? 10 sen satu meter padu yang akan mendatangkan hasil lebih kurang RM70 ke RM80 juta setahun, tak banyak tu.

“Kita bayar gajipun (untuk kakitangan kerajaan) lebih dari itu,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Penghargaan Projek Pemodenan Lesen Perniagaan peringkat negeri, tengah hari Isnin, 3 Mac di sini.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


MoU AKAN MUDAHKAN PENYALURAN AIR MENTAH KE SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai MoU yang telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor berkaitan Penstrukuran Semula Industri Bekalan Air Selangor pada Rabu, 26 Februari lepas.

Dengan MoU itu antara lain dipersetujui bahawa Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan LRAL2 serta sistem agihannya berkuatkuasa tarikh itu, serta memastikan semua kelulusan dan kebenaran berkaitan pembangunan LRAL2 hendaklah diluluskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh yang sama.

Dalam pada itupun, Dato’ Sri DiRaja Adnan akur betapa; “Yang pentingnya, kita mengalu-alukan langkah Kerajaan Selangor dengan Kerajaan Persekutuan, bersama-sama menandatangani MoU dan perjanjian itu.

“Ini memudahkan lagi proses kita menyalurkan air (mentah kira-kira 1.69 juta meter padu sehari) dari Sungai Semantan (serta empangan) ke Sungai Langat, melalui terowong bawah tanah Karak-Kuala Langat.

“Dan ini baik untuk rakyat Selangor. Di Selangorpun, bukan semua orang Selangor. Orang Pahang, orang Kelantanpun ramai (menetap) di Selangor. Dan sekarang ini, krisis air sangat memuncak di sana. Kalau ada projek (Loji Rawatan Air) Langat 2 ini (yang sepatutnya dipersetujukan sejak dahulu), masalah tak timbul,” tegasnya.

SEBAHAGIAN KHALAYAK, TENGAH HARI ISNIN... 


PELEPASAN AIR DARI EMPANGAN REMAN CHEREH

Kepada soalan tentang musim kemarau yang sedang negara alami dengan sesetengah negeri khususnya Selangor, memulakan langkah catuan air hingga membebankan penduduknya katanya, Pahang tidak menghadapi masalah itu.   

“… so far, especially for Kuantan, we don’t encounter any problem because we have Reman Chereh Dam, we have a lot of water there. Last two weeks, the State Secretary has ordered the release of water from the dam into the river, to be treated by the water treatment plant in Panching,” katanya.

“Maknanya, bersyukurlah. Banjir (yang melanda negeri ini khususnya Kuantan, akhir tahun lepas) kita teruk. (Apabila musim) kemarau (ketika ini), kita tak kena catuan air,” katanya lagi.

Mengenai jumpaan fosil dinosaur di negeri ini katanya, Kerajaan Negeri telahpun meminta Jabatan Perhutanan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kontinjen Pahang supaya mengemukakan cadangan tentang kaedah terbaik mengawal kawasan jumpaan tersebut.

“Saya telah cadangkan supaya kalau kawasan tapak itu kecil, kita boleh pagar. Tapi kalau kawasan tapak itu besar melibatkan tiga daerah berkenaan, besar… maka kita boleh adakan mungkin sistem rondaan berkala, 24 jam sekali, 12 jam sekali,” katanya.

JAWATAN EXCO KERAJAAN NEGERI SUDAH PENUH

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut melayani soalan daripada wartawan akhbar Cina mengenai keputusan Mesyuarat Tergempar MCA baru-baru ini, bersedia untuk menerima semula pelantikan wakil-wakilnya ke dalam Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri, serta jawatan-jawatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kita di negeri Pahang ini, bilangan kerusi exco telah penuh. Kalau kita hendak letak wakil parti komponen seperti MCA, kita kena pinda Perlembagaan Negeri, ini agak merumitkan.

“Mungkin kita boleh isi yang berkaitan dengan Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, dan juga ketua-ketua kampung.

“Saya dapati memang merumitkan terutama sekali untuk kaum Cina, bila mereka tidak ada wakil dalam Kerajaan Negeri sehinggakan ada hal-hal tertentu, saya terpaksa pula tanya kawasn-kawan Cina saya dari parti komponen,” katanya.

Beliau seterusnya mengalu-alukan Projek Pemodenan Lesen Perniagaan anjuran bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang antara lain, melibatkan kerja-kerja memudahcarakan lagi pengeluaran lessen-lesen perniagaan oleh pihak-piohak berkuasa tempatan.

NEGERI PAHANG SEBAGAI PERINTIS

“Negeri Pahang negeri yang mula-mula sekali ya, yang menjalankan insiatif ini untuk memudahkan proses memohon dan juga meluluskan lesen-lesen perniagaan ini,” katanya lagi.

Yang turut hadir pada majlis yang melibatkan 16 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri termasuk kesemua 11 PBT di negeri ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman;

Penasihat Undang-undang Negeri yang baharu, Dato’ Shamsul Bahari Ibrahim; serta, Timbalan Ketua Pengarah, MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman, yang juga Ketua Sekretariat, Kumpulan Fokus Berkaitan Perekayasaan Pelesenan Perniagaan (FGBPR: Focus Group on Business Process Re-engineering), Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). – Khabar