Thursday 20 March 2014

PKNP jadi tuanrumah Sukan GEMAPUTERA Ke-XIII Pahang 2014



… Menteri Besar laksanakan ‘soft-launch’ kejohanan
MENGESAH 'SOFT-LAUNCH'... Dengan menurunkan tandatangannya pada plak kejohanan. Sambil Dato' Sri DiRaja Adnan berbuat demikian, Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Lias memerhatikan. 


TINGKAT 16, KOMPLEKS TERUNTUM, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang ini, melaksanakan ‘soft-launch’ Sukan GEMAPUTERA Ke-XIII Pahang 2014 yang dituanrumahkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Kejohanan sukan yang melibatkan kira-kira 1,500 peserta mewakili kesemua 13 perbadanan kemajuan ekonomi negeri-negeri (PKEN) serta, UDA Holdings Bhd; bermula 26 Mac dan berakhir 29 Mac.

“Kita jangkakan pada kali ini InsyaAllah, akan meriahlah, sebab PKNP sudahpun bersiap lama. Daripada segi logistik, kita sudah siap semua,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media menyusuli ‘soft-launch’ itu pada petang Khamis, 20 Mac di ruang lobi pejabat PKNP, di sini.

Menurutnya, ini kali kedua PKNP menjadi tuanrumah kepada kejohanan sukan dwi-tahunan ini. Kali pertama ialah pada tahun 2000, yang merupakan Sukan GEMAPUTERA Ke-VIII.

Lima (5) jenis sukan katanya, akan dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu karom (‘venue’ pertandingan di Kompleks Dagangan Mahkota); futsal (di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Perubatan); bola jaring (di Stadium Tertutup SUKPA), boling (di Berjaya Megamall); dan golf (di Kelab Golf DiRaja Pahang).

HANYA DENGAN SENTUHAN JARI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersedia untuk melaksanakan tugasnya, hanya dengan sentuhan jari pada skrin yang terdapat di depannya.  


YANG PENTING JADI TUANRUMAH

Mengenai peluang kontinjen PKNP pada kejohanan sukan kali ini katanya, “Yang sebenarnya, kita berasa puas hati dapat jadi tuanrumah (serta) dapat mengambil bahagian. Siapa nak johan, ikutlah kemampuan masing-masing.

“Setiap kontinjen memang nak jadi johan tapi kita PKNP ini, jadi johan pun boleh, tak jadi johan pun tak apa. Yang pentingnya kita dapat jadi tuanrumah,” katanya yang juga Pengerusi PKNP.

Selain UDA Holdings Bhd, kesemua 13 PKEN yang menyertai Sukan GEMAPUTERA Ke-XIII Pahang 2014 ini ialah PKNP sendiri; Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis (PKENPs);

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk); Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS);

Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS); Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM); Perbadanan Johor (JCorp); Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT); Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK);

GEMAPUTERA TURUT ANJUR KURSUS DAN LATIHAN

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO); dan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Sebagai rekod, GEMAPUTERA ialah singkatan kepada Gabungan Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan Awam Malaysia. Ditubuhkan sejak Januari 1985 – selain penganjuran kejohanan sukan; peranannya juga antara lain, ialah penganjuran kursus dan latihan bagi meningkatkan kemahiran kerja anggota-anggota dalam kalangan kakitangan PKEN semua.   

Yang turut hadir pada pelaksanaan ‘soft-launch’ serta persidangan media ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Ketua Eksekutif PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor; serta, pegawai-pegawai tertinggi perbadanan tersebut. – Khabar