Friday 4 March 2016

'UMNO Pahang tetap memberikan sokongan padu dan berdiri teguh di belakang Presiden Parti, Dato' Sri Najib Tun Razak'



NOTA EDITOR;

Ekoran perkembangan politik semasa, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, telah mengeluarkan kenyataan media pada pagi Sabtu, 5 Mac.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media tersebut, tanpa sebarang suntingan kecuali dengan memisah-misahkan perenggan-perenggan tertentu yang masih tidak menyimpang maksudnya.  


KENYATAAN MEDIA  

1. Apapun suasana dan kemelut politik yang melanda Parti dan Negara sekarang ini, UMNO Pahang tetap memberikan sokongan padu dan berdiri teguh di belakang Presiden Parti, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

2. Sejarah dunia dan negara membuktikan bahawa krisis, perselisihan, pertelingkahan, kemelut, kegawatan dan darurat adalah perkara biasa yang dialami oleh sesebuah negara.

Apa yang penting ialah langkah-langkah pro-aktif dan munasabah wajib diambil untuk mengurus dan mengatasi masalah yang timbul. Ini semestinya memerlukan sokongan padu daripada rakyat khususnya ahli Parti semua peringkat

3. Sebagai Presiden dan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib sedang memberikan perhatian serius menguruskan ekonomi negara yang tidak menentu disebabkan suasana ekonomi global yang juga tidak menentu.

Langkah seterusnya ialah untuk menangani kenaikan kos hidup yang membebankan kehidupan rakyat. Semua Ahli sewajibnya menyokong penuh Presiden Parti dan Perdana Menteri supaya setiap langkah yang diambil mencapai matlamat.

UMNO PAHANG SEDIH

4. UMNO Pahang berasa sedih, dukacita, marah dan mengecam keras tindakan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO dan lain-lain pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan Pembangkang dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri.

Mereka lupa bahawa menjatuhkan Perdana Menteri bermakna menjatuhkan juga UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional dan inilah juga matlamat Pembangkang. Ini sesuatu yang sangat tidak wajar dan merupakan sabotaj besar kepada Parti, Kerajaan dan Negara.
5. UMNO Pahang berpendapat bahawa dalam perjuangan, apapun tindakan hendaklah berpaksikan prinsip, nilai, maruah dan harga diri dan bukan berpaksikan nafsu dan emosi.

Perbuatan dan tindakan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Sri Shafie Afdal dan Dato’ Sri Mukhriz berpakat dan bersekongkol dengan Pembangkang atas apa juga tujuan adalah dikecam oleh ahli-ahli UMNO di Pahang. Ini merupakan satu tindakan mensabotaj UMNO, BN dan kepercayaan majoriti rakyat.

6. UMNO Pahang sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan perbezaan pendapat dan perbahasan yang teratur dan beradab kerana ianya memberi peluang kepada wujudnya prinsip dan dasar perjuangan yang lebih teratur dan mantap.

PILIHANRAYA IALAH SALURAN DEMOKRATIK

7. Ada saluran demokratik menukar Perdana Menteri dan Kerajaan, yakni menerusi Pilihanraya.

Menukar Perdana Menteri dan Kerajaan menerusi tekanan umum dan demonstrasi cuma berlaku di negara pemerintahan kuku besi yang dibayar melalui pertumpahan darah rakyat. Jangan pula cara ini cuba dibawa ke negara kita, Malaysia tercinta.

8. UMNO Pahang mendesak Presiden Parti dan Perdana Menteri meneruskan perjuangan dengan penuh semangat dan dedikasi demi untuk rakyat. Jangan pandang kiri, kanan atau toleh ke belakang.

Buatlah yang terbaik untuk ugama Islam, bangsa Malaysia dan tanahair, Malaysia tercinta.

ADNAN YAAKOB,
PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO
NEGERI PAHANG
KUANTAN
5 MAC 2016 – Khabar