Friday 18 March 2016

PR1MA Pahang; Kerjasama berkesan Kerajaan Negeri, swasta demi kesejahteraan rakyat.



PADA MAJLIS PERASMIAN... Foto ini dirakam sempena Dato' Sri DiRaja Adnan merasmikan PR1MA Pahang di KM 23, Jalan Kuantan-Gambang pada 15 Mei 2014. Selain Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato' Sri Wan Rosdy Ismail; 

Antara yang turut kelihatan ialah Ahli Parlimen, Dato' Abdul Manan Ismail (BN - Paya Besar) (dua dari kiri); wakil rakyat negeri, Dato' Mohd Suhaimi Jusoh (BN - Lepar) (tiga dari kiri); serta, pemaju perumahan ini - Pengarah, Syarikat Dinamik Budimas Sdn Bhd, Dato' Fong Teck Loon (kanan sekali). 
   

ALAMAYA, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Jika mahu dicari contoh terbaik tentang berkesannya kerjasama antara Kerajaan Negeri dan swasta demi melaksanakan projek-projek untuk mensejahterakan rakyat di Pahang ini, maka ianya ialah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang atau singkatannya, PR1MA Pahang.

Oleh kerana keberkesanannya, ramai yang melihat betapa satu kaedah ‘menang-menang’ telah tercapai menerusinya, yang bukan sahaja memanfaatkan rakyat-jelata, malah Kerajaan Negeri dan pihak swasta sendiri.

Inilah yang boleh dikatakan tentang PR1MA Pahang – cetusan idea Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang turut termaktub dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lepas dengan akujanji membina 15,000 unit dalam tempoh lima tahun antara tahun 2014 dan 2018.      

Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas PRU ke-13 itu, atau pada Mac 2014, sebanyak 13,257 unit atau kira-kira 88 peratus daripada sasaran 15,000 unit, telahpun bermula serta dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Hari ini, selepas kira-kira tiga (3) tahun, 90 projek kesemuanya telah Kerajaan Negeri luluskan dengan anggaran pembinaan sehingga 33,980 unit, iaitu satu angka yang tentunya melepasi sekali ganda daripada 15,000 unit yang disasarkan.

HALUS, KEMAS DAN CANTIKNYA STRUKTUR BINAAN... Dan esok, Sabtu, 19 Mac, penghuni yang terpilih bagi 90 unit yang sudah siap dan memperolehi CCC di bawah fasa 1 pembinaan PR1MA Pahang di KM 23, Jalan Kuantan-Gambang akan bertuah menerima kunci masing-masing daripada Dato' Sri Mohd Najib sendiri.  


DUA PROJEK DENGAN 394 UNIT TELAH SIAP

Daripada jumlah tersebut, dua (2) projek dengan 394 unit telahpun berjaya disiapkan serta menerima Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) termasuklah mereka yang terlibat pada Majlis Penyerahan Kunci Projek PR1MA Pahang oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di KM 23, Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini, pagi Sabtu, 19 Mac.

Di bawah PR1MA Pahang ini, spesifikasi unit rumah ditetapkan, yang utama, harga jualannya cuma RM150,000 - diskaun 10 peratus bagi kakitangan Kerajaan; untuk rumah berkembar setingkat berkeluasan lantai minimum 93 meter persegi berbanding harga di pasaran antara RM270,000 dan RM300,000.

Yang lain ialah unit-unit ini mesti mempunyai tiga (3) bilik tidur, dua (2) bilik mandi dengan keluasan bilik tidur utama mestilah 16 meter persegi dan keluasan dua (2) bilik tidur lain masing-masing kira-kira 11.2 meter persegi.

Manakala, kemasan lantai mestilah daripada jubin jenis seramik bagi keseluruhan ruang rumah meliputi ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, bilik air dan dapur. Kemasan dinding bagi tandas dan dapur pula mestilah daripada jubin jenis seramik dengan ketinggian hingga paras 1,600 milimeter (lima kaki) dari aras lantai.  

Mereka yang layak memohon untuk memiliki unit-unit ini pula ialah rakyat Malaysia dengan keutamaan kepada rakyat KDYMM Sultan Pahang, berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM10,000 sebulan, keutamaan kepada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, dan, telah menetap di negeri ini secara terus-menerus tidak kurang daripada lima tahun.

DATO’ SRI DIRAJA ADNAN – MENTOR PR1MA PAHANG

Satu daripada kesemua 90 projek PR1MA Pahang yang dimaksudkan ialah di KM 23, Jalan Kuantan-Gambang ini, berkeluasan kira-kira 22.1 hektar dengan sasaran pembinaan  sebanyak 308 unit.

Dato’ Sri DiRaja Adnan, mentor kepada PR1MA Pahang - projek perumahan rakyat yang diwujudkan sebagai pelengkap kepada PR1MA kendalian Kerajaan Persekutuan, telah hadir merasmikannya pada pagi 15 Mei, 2014. 

“… semasa PRU-13, Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan bahawa kalau dipilih lagi oleh rakyat, kita akan membina 15,000 unit rumah mampu milik untuk tempoh lima tahun, 2014 – 2018.

“Rupa-rupanya, dalam tempoh setahun ini, kita telah (mula) membina 13,000 (unit). Bermakna, ‘target’ (usaha mencapai sasaran 15,000 unit) itu berjalan (dengan baik),” katanya pada persidangan media kemudiannya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan ramuan di sebalik kejayaan tersebut yang menurutnya, disandarkan kepada pendekatan ‘menang-menang’ – baik kepada Kerajaan Negeri, pemaju yang dilantik mahupun kepada rakyat kelak.    

MEMPERMUDAHKAN PROSES BIROKRASI

“Kerajaan mempermudahkan segala proses birokrasi, termasuk (dengan) mengenakan premium yang sangat rendah (terhadap pemaju, yang mengusahakan Tanah Kerajaan bagi pembinaan unit-unit PR1MA Pahang ini) maka pihak pemaju dapat jimat kosnya,” katanya.

Dengan adanya prosedur birokrasi yang diringkaskan katanya, kerja-kerja sebenar di atas tapak dapat berjalan lancar dan segera, yang seterusnya menyumbang kepada kadar yang cepat dalam dalam kerja-kerja pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ini.
Berhubung dengan premium, memang Kerajaan Negeri mengenakannya pada kadar yang amat rendah – hanya RM2,000 bagi setiap lot tanah yang ditetapkan seluas 12.2 meter X 21.3 meter atau 260 meter persegi. 

Kadar ini bersamaan cuma kira-kira 71 sen bagi 0.09 meter persegi (atau, sekaki persegi) sedangkan harga semasa bagi pemilikan tanah di pasaran khususnya di Kuantan ketika ini paling rendahpun ialah kira-kira RM5.60 sekaki persegi (0.09 meter persegi), atau murahnya lapan kali ganda!

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, sedia menawarkan kadar premium lebih rendah malah percuma, jika Tanah Kerajaan yang dipilih bagi pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ialah di kawasan yang kurang sesuai seperti berpaya, yang memerlukan kerja-kerja penambakan tanah yang banyak lalu kos yang besar.

PENUBUHAN JAWATANKUASA TEKNIKAL PR1MA PAHANG

Ini ekoran kesedaran betapa kos bagi penambakan tanah sahaja adalah membebankan iaitu kira-kira RM1.5 juta bagi kerja-kerja penambakan setebal semeter untuk keluasan tanah kira-kira 4.05 hektar sahaja.

Ke arah mempercepatkan dan membanteras gejala birokrasi, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal PR1MA Pahang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, dianggotai 14 jabatan teknikal berkenaan.

Pada peringkat awal dahulu, jawatankuasa ini akan bermesyuarat hanya setelah menerima tujuh permohonan daripada pemaju untuk menjayakan projek PR1MA Pahang ini namun kemudian ditetapkan, mesyuarat akan dipanggil walaupun menerima satu permohonan. 

Dalam pada itupun, setiap jabatan teknikal yang termasuk pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), diberi tempoh tiga (3) minggu untuk menyemak dan memberi ulasan terhadap permohonan pemaju bagi menjayakan PR1MA Pahang di satu-satu kawasan.

Jawatankuasa teknikal inilah juga yang akan membuat keputusan mengenai permohonan para pemaju, kemudian diangkat terus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, untuk kelulusan muktamad.

KAEDAH ‘MENANG-MENANG’

Yang dimaksudkan dengan ‘menang-menang’ melibatkan Kerajaan Negeri-pemaju-rakyat tadi – Kerajaan Negeri memudahcarakan proses dan kelulusan bagi memajukan  Tanah Kerajaan dengan projek PR1MA Negeri Pahang ini, sambil mendapat pulangan RM2,000 bagi setiap lot (260 meter persegi) yang diluluskan itu.

Misalnya, bagi projek di KM23, Jalan Gambang-Kuantan, jumlah unit yang akan dibina ialah 308 buah maka, hasil yang bakal diperolehi oleh Kerajaan Negeri menerusi kenaan premium ialah RM616,000 (308 unit X RM2,000 kadar premium).

‘Menang’nya pemaju kerana memperolehi peluang niaga yang luas serta memperolehi keuntungan dengan ‘margin’nya ialah antara 10 dan 20 peratus, yang boleh dikatakan lumayan bersandarkan suasana ekonomi ketika ini.

Manakala, ‘menang’nya rakyat pula – kumpulan sasaran sebenar, memperolehi rumah yang selesa dan pula, dengan  kadar mampu milik – RM150,000 atau penjimatan antara RM120,000 hingga RM150,000 setelah memperolehi diskaun hingga 40 ke 50 peratus! (daripada harga di pasaran antara kira-kira RM270,000 dan RM300,000).

Oleh kerana itulah, PR1MA Pahang dilihat berjaya dan akan memperolehi kejayaan yang lebih dengan semakin galaknya pemaju-pemaju perumahan berebut-rebut untuk turut membangunkannya.

CADANG BINA RUMAH TERES RM80,000 SEUNIT PULA

Bertitik-tolak daripada kejayaan tersebutlah maka kini, Kerajaan Negeri bercadang melakukan penambah-baikan kepadanya dengan cadangan pembinaan rumah teres berharga RM80,000 sebuah pula.

“Sekarang ini, kita akan buat pula rumah yang berharga RM80,000 ke bawah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan mengumumkan projek dikenali ‘Rumah Makmur’ dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran PR1MA Pahang bagi Pontian Jaya pagi Isnin, 4 Mei, 2015.

“Kita dah beritahu mana-mana (pihak) yang berminat, dia boleh buat rumah (berharga) RM80,000 ke bawah. Mungkin separuh daripada projek dia – kalau 100 buah rumah dia  buat, 50 (buah) kena buat RM80,000 ke bawah, yang lain itu ikut dialah,” beliau menambah kata.

Sasaran projek Rumah Makmur ialah terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah, dengan pendapatan bulanan satu isi rumah ialah RM5,000 dan ke bawah.

Rumahnya pula ialah teres bertiang dengan spesifikasi; keluasan lot minimum 120 meter persegi, luas binaan minimum ialah 74.3 meter persegi, tiga (3) bilik tidur dengan keluasan minimum – 14.8 meter persegi untuk bilik tidur utama dan masing-masing 11.1 meter persegi untuk bilik tidur kedua dan ketiga.

SATU PROJEK RUMAH MAKMUR LULUS DI KAMPUNG TIRAM

Terdapat dua (2) bilik air, Rumah Makmur ini juga akan dipasang di lantainya jubin seramik di ruang tamu dan makan, serta di dapur dan juga dalam bilik air yang turut dipasang jubin seramik pada dindingnya hingga setinggi 1,600 milimeter (lima kaki).

Dengan tawaran terbaharu Rumah Makmur ini – yang setakat ini satu (1) projek telah diluluskan di kawasan seluas kira-kira 100 ekar di Kampung Tiram bersebelahan Indera Mahkota dekat sini, PR1MA Pahang akan terus memainkan peranan utama sebagai pembekal utama perumahan mampu milik di negeri ini. – Khabar