Tuesday 1 March 2016

Pahang terima pelaburan RM7,040 juta pada tahun lepas (2015) sahaja!

… menjadikan nilai pelaburan keseluruhan kira-kira RM43,200 juta yang diterima antara tahun 2007 dan Januari lepas (2016) atau purata kira-kira RM4,800 juta setahun.

“Limpahan pelaburan di negeri ini dikaitkan dengan kewujudan MCKIP dan projek perluasan Pelabuhan Kuantan, yang merupakan projek ‘game changer’ yang akan menentukan kejayaan Pahang dan ECER,” kata Menteri Besar.   

SUMBANGAN ECERDC BUAT TIGA (3) PELAJAR ORANG ASLI YANG CEMERLANG DALAM UPSR LEPAS... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan berkata sesuatu kepada ketiga-tiga pelajar anak Orang Asli ini. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Muhammad Safian; Dato' Sri Jebasingham; dan, Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato' Daeng Nasir Ibrahim.
 

PEJABAT ECERDC PAHANG, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Pahang telah menerima kemasukan pelaburan bernilai RM7,040 juta (RM7.04 bilion) pada tahun lepas sahaja.  

Ini menjadikan nilai pelaburan terkumpul – dalam tempoh sembilan (9) tahun terakhir ini, antara 2007 dan awal tahun 2016; sebanyak RM43,200 juta (RM43.2 bilion) atau purata kira-kira RM4,800 juta setahun.   

Pekerjaan yang disediakan pula ialah kira-kira 4,677 pada tahun lepas sahaja, menjadikan kira-kira 43,875 pekerjaan yang berjaya disediakan menerusi pelaburan berkenaan dalam tempoh tersebut juga. 

Butiran-butiran positif ini disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bilangan 1/2016, Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) petang Selasa, 1 Mac di sini.

“Limpahan pelaburan di negeri ini dikaitkan dengan kewujudan MCKIP dan projek perluasan Pelabuhan Kuantan, yang merupakan projek ‘game changer’ yang akan menentukan kejayaan Pahang dan ECER,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

SENYUM SEMUA...

 
CHINA PELABUR ASING TERBESAR DI PAHANG

Beliau seterusnya menyebut betapa; “Kedua-dua projek tersebut merupakan penyumbang penting kepada perhubungan dua hala antara Kerajaan Malaysia dan China.

“Buat masa ini, China merupakan pelabur asing terbesar di Pahang dan juga ECER, dengan pelaburan bernilai RM5.6 bilion (atau, RM5,600 juta) oleh Alliance Steel Sdn Bhd”.

Beliau juga memaklumkan, kluster pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan kira-kira RM22,400 juta (RM22.4 bilion); disusuli dengan kluster pelancongan kira-kira RM7,500 juta (RM7.5 bilion); infrastruktur, kira-kira RM3,000 juta  (RM3 bilion); serta, minyak, gas dan petrokimia, kira-kira RM2,860 juta (RM2.86 bilion).

Sambil menyatakan puas hatinya dengan pencapaian ini yang turut diiringi dengan manfaat yang rakyat Pahang nikmati daripadanya - sama ada melalui peningkatan kualiti hidup, peluang pekerjaan dan peluang-peluang keusahawanan yang diwujudkan menerusi program-program anjuran ECERDC;

Tahun 2016 ini pula katanya, merupakan satu detik penting buat ECER khususnya apabila negara dan negeri Pahang kini melangkah memasuki tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016 – 2020).

PRESTASI AKADEMIK ANAK ORANG ASLI BERTAMBAH BAIK

Bagi membangunkan ekonomi berteraskan rakyat katanya, ECERDC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan dan keusahawanan yang telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 rakyat tempatan yang daripadanya, 98 peratus ialah daripada golongan isi rumah 40 peratus terbawah (B40).

“Saya juga turut dimaklumkan bahawa pelaksanaan inisiatif pembangunan modal insan secara holistik oleh ECERDC yang bertujuan untuk mempertingkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli, telah membuahkan hasil.

“Pendapatan ketua keluarga mereka sebagai peserta program Agropolitan adalah lebih lumayan, sementara prestasi akademik anak-anak peserta yang bersekolah pula semakin baik setelah menghadiri program Latihan Kemahiran Akademik yang dijalankan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Daripada segi ekonomi berteraskan modal pula katanya, fokus ialah kepada pembangunan Taman Teknologi Pahang serta pelaksanaan projek-projek infrastruktur seperti peluasan Pelabuhan Kuantan, pembangunan Bandar Pelabuhan Kuantan dan pembangunan Loji Rawatan Air di Ganchong, Pekan. 

Usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan Tasik Chini yang merupakan Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia menurutnya, juga akan diteruskan bagi memastikan kelestarian khazanah alam sekitar di kawasan ECER. 

KAWASAN BEKAS DARA & LKWJ TERUS DIBANGUNKAN

Dalam aspek pertanian, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah dan Ladang Nanas Bersepadu – kedua-duanya di Rompin, dan, Taman Herba dan Bioteknologi Chegar Perah di Lipis katanya, telah mula beroperasi.

Beliau juga berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM350 juta untuk pelaksanaan projek di bawah inisiatif peruntukan khusus bagi kawasan bekas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) yang disalurkan melalui ECERDC.

Setakat ini katanya lagi, sebanyak 659 projek telah diluluskan di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Saya juga turut dimaklumkan bahawa ECERDC akan memulakan misi perdagangan untuk menarik pelaburan dari negara-negara seperti Jepun, China dan Korea Selatan, dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta MIDA dan MITI pada tahun ini. 

“Saya yakin, melalui misi tersebut dan usaha jitu oleh ECERDC, ianya boleh menarik lebih ramai pelabur untuk melabur ke kawasan ECER termasuk ke negeri Pahang, demi memastikan Pahang mampu menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya.

KEHADIRAN

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Sri Jebasingham Issace John; yang turut serta pada mesyuarat sulung ECERDC Pahang untuk tahun ini ialah;

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Nik Rahmat Nik Taib; Timbalan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Dato’ Zamauri Abdul Aziz;

Timbalan Ketua Pengraha (Dasar), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Badaruddin Mahyudin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)/Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Suhaimi Mohd Yunus;

Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Nazri Abu Bakar; Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri, Dato’ Zainal Abidin; Pengarah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri, Puan Hazizah Sulaiman; dan, Timbalan Pengarah III, Seksyen Pembangunan Wilayah, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Puan Noriyah Kandar. – Khabar