“Bantuan kepada
pelajar-pelajar kurang kemampuan, golongan miskin, mereka yang menghidapi
penyakit kronik hendaklah dibantu berterusan sebagaimana yang diamalkan oleh
Kerajaan Beta selama ini,” titah KDYMM Sultan Pahang.
PERSEMBAHAN
TEKS TITAH DIRAJA... KDYMM Sultan Pahang kelihatan sedang menerima
persembahan teks Titah DiRaja daripada Menteri Besar Dato' Sri DiRaja
Adnan Yaakob sambil DYMM Sultanah Pahang memerhatikan.
Berikut ialah teks Titah DiRaja KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Ke-13 pagi Isnin, 16 Mei di sini.
Memulakan Titah DiRaja pada 10.12 pagi, ia berlangsung kira-kira 19 minit yang berakhir pada 10.31 pagi.
Pindaan
yang paling minima telah dilakukan ke atas teks ini khususnya dalam pembahagian
perenggan-perenggan dengan tajuk-tajuk kecil diberikan pada permulaan setiap lima
(5) perenggan tersebut.
Beta
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia,
rahmat dan i’nayah-Nya, dapat Beta melafazkan Titah DiRaja bersempena Mesyuarat
Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang kali ke-13 pada pagi yang
berbahagia ini.
Beta
berasa amat berbesar hati kerana setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri
berlangsung, ianya telah berjalan dengan baik dan lancar dibantu oleh komitmen
dan rasa tanggung jawab semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian
dalam perbahasan, dengan memberikan pandangan kritis yang boleh meningkatkan
kemakmuran negeri Beta.
Beta
juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan atas
kecekapan mengendalikan persidangan Dewan.
Kepada
Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji
Adnan bin Haji Yaakob dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan, Beta mengucapkan
tahniah dan syabas kerana komited dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri
yang adil dan berjiwa rakyat.
TITAH BAGINDA TUANKU...
PAHANG BERADA PADA
LANDASAN EKONOMI YANG BETUL
Beta
juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ketua-ketua Jabatan yang
membantu menyalurkan maklumat-maklumat yang tepat pada setiap kali perbahasan Dewan
berlangsung.
Beta
gembira melihat pertumbuhan ekonomi negeri Pahang Darul Makmur yang telah
mengunjur sebanyak 4.6 peratus pada tahun 2015. Ini menunjukkan negeri Beta
berada di landasan ekonomi yang betul di bawah kepimpinan Orang Tua Beta, Yang Amat
Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob.
Beta
sedia maklum bahawa, Rancangan Malaysia Ke-10 telah berakhir pelaksanaannya
pada Disember 2015. Mulai tahun ini sehingga tahun 2020, Kerajaan akan
meneruskan agenda pembangunan dengan pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia
Ke-11.
Beta
berharap, Rancangan Malaysia Ke-11 akan dilaksanakan dengan memberikan
keutamaan kepada rakyat dan kemakmuran negara.
Beta
merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’
Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang
sentiasa berusaha mengangkat agenda pembangunan rakyat dalam merangka rancangan
pembangunan negara ini.
MENGAMINKAN DOA...
LAKSANAKAN
PROGRAM-PROGRAM RMK-11 DENGAN BERKESAN
Beta
percaya dan yakin bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Orang Tua Beta Yang
Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob
akan melaksanakan semua program di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 ini dengan
berkesan.
Beta
berharap sektor pertanian di negeri Beta akan dapat terus diperkasakan bagi
menzahirkan hasrat negara memaksimakan
pendapatan melalui sektor ini. Sektor pertanian juga dijangka berkembang pada
kadar 3.5 peratus setahun.
Beta ingin melihat negeri Pahang menyumbang kepada usaha
untuk negara mencapai matlamat membekalkan bahan makanan yang cukup untuk
negara. Ini penting bagi mencapai matlamat ‘food security’ untuk negara yang
masih mengimport bahan makanan untuk rakyat.
Beta bersyukur ke hadrat
Allah Subhanahu Wata‘ala kerana nilai pelaburan di negeri Pahang telah
meningkat kepada RM3.9 bilion pada tahun 2015 berbanding RM1.6 bilion pada tahun 2014.
Beta yakin
peningkatan pelaburan ini mampu memberi manfaat ekonomi yang besar kepada
rakyat negeri ini.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI MEMBACAKAN DOA... Dato' Sri Abdul Rahman Osman sedang membacakan doa memohon kerahmatan Ilahi.
TERUS UTAMAKAN PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR
Kegiatan pelaburan
penting untuk pembangunan ekonomi negeri kerana ianya mewujudkan peluang
pekerjaan untuk rakyat disamping melahirkan kesan putaran (spin-off effect)
ekonomi. Sesungguhnya ini baik untuk negeri.
Pembangunan modal insan penting bagi negeri Pahang
untuk terus berkembang dalam semua bidang kehidupan di negeri ini.
Beta berharap Yayasan Pahang sebagai contoh
dan lain-lain agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran dan Jabatan Tenaga Kerja,
perlu memainkan peranan proaktif bagi membantu usaha Kerajaan membangun dan
memantapkan pembangunan modal insan di negeri ini.
Usaha-usaha seperti bantuan pendidikan dan
penyediaan kursus-kursus berkaitan hendaklah dilipat gandakan.
Beta
ingin mengingatkan Kerajaan Beta supaya memberikan keutamaan kepada
pemuliharaan alam sekitar dalam melaksanakan rancangan pembangunan di semua
bidang.
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT KITA... Ini ialah sebahagian daripada wakil rakyat-wakil rakyat negeri kita serta beberapa Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
NEGERI INI UNTUK
DIWARISI GENERASI AKAN DATANG
Kawasan
tanahtinggi, punca air, sungai dan tasik, pulau dan yang seumpanya, mestilah
diambil kira dalam melaksanakan setiap rancangan pembangunan. Ini perlu kerana
negeri dan isi kandungannya akan diwarisi oleh generasi akan datang. Kita wajib
meninggalkan satu warisan yang berterusan dan berkekalan kepada mereka.
Keadaan
alam sekitar yang baik dan sempurna serta dikawal rapi, boleh menggalakkan
kegiatan pelancongan di negeri ini. Kegiatan pelancongan yang progresif boleh
membantu mewujudkan kegiatan putaran ekonomi yang baik untuk negeri.
Beta
berharap usaha dan langkah mewartakan tanah rezab Orang Asli hendaklah
dipercepatkan. Disamping itu, peluang asas ekonomi untuk mereka hendaklah juga
diusahakan.
Orang
Asli tidak lagi boleh mengamalkan kehidupan seperti dahulu, bahkan mereka mesti
menyesuaikan diri dengan peredaran masa. Kerajaan Beta tidak akan mengabaikan
kepentingan Orang Asli.
Beta
amat memahami dan sangat bersimpati dengan rakyat Beta yang sebilangan besar
masih lagi dihimpit oleh tekanan sara hidup yang semakin meningkat.
KEMESRAAN BAGINDA... KDYMM Sultan Pahang sedang menerima menghadap wakil rakyat-wakil rakyat negeri sambil bermesra dengan mereka.
Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Yang Dipertua Dewan, Dato' Sri Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri - Dato' Sri Sharkar Shamsuddin dan Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, wakil rakyat Dato' Sri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN - Peramu Jaya).
TERKESAN DENGAN
SUASANA EKONOMI DUNIA YANG TIDAK MENENTU
Harga
banyak barangan dan perkhidmatan sudah melonjak berlipat ganda. Kita memahami
bahawa ekonomi negeri dan negara kita terkesan oleh keadaan dan suasana ekonomi
dunia yang tidak menentu.
Beta
berharap Kerajaan Beta terus memberikan perhatian dan mencari jalan bagaimana
golongan rakyat yang terhimpit ini dapat dibantu.
Bantuan
kepada pelajar-pelajar kurang kemampuan, golongan miskin, mereka yang
menghidapi penyakit kronik hendaklah dibantu berterusan sebagaimana yang
diamalkan oleh Kerajaan Beta selama ini.
Beta
sukacita sejak Mei 2013 sehingga sekarang, lebih kurang 33,000 unit rumah yang
berharga RM150,000 seunit telah dapat dilaksanakan pembinaan di semua peringkat
oleh Kerajaan Beta.
Beta
juga gembira Kerajaan Beta melaksanakan program perumahan setiap unit berharga RM80,000
untuk dimiliki rakyat. Program membina rumah RM80,000 seunit ini yang
dilaksanakan sejak Mac 2016, telah mencapai bilangan lebih kurang 1,000 unit
sehingga hari ini.
PENGHARGAAN BUAT
PERDANA MENTERI, MENTERI BESAR
Pada
pagi yang berbahagia ini, Beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Orang
Tua Beta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun
Haji Abdul Razak atas segala bantuan dan sokongan diberikan kepada Kerajaan Negeri
Beta dalam usaha membangunkan negeri dan membantu rakyat negeri Pahang Darul Makmur.
Beta
juga melafazkan ucapan terima kasih kepada Orang Tua Beta Yang Amat Berhormat Menteri
Besar Pahang Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan semua
kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir Kerajaan Negeri Pahang Darul
Makmur untuk faedah rakyat sekalian.
Semoga
Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa memberi petunjuk, taufik dan hidayah dalam
apa jua yang kita lakukan untuk negeri ini.
Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar